Prolog

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

ZAID menemui jalan buntu. Kedua-dua tangannya naik mencengkam kepala sebelum menyerak rambut seperti orang kurang siuman. Hembusan nafas dihela kuat, cuba membebaskan segala kekusutan yang pastinya tidak bisa diusir semudah itu. Daripada menekur lantai, Zaid angkat muka lalu memandang setiap satu wajah yang berada di ruang tamu tersebut.

Puan Jurina membengis tanpa kata manakala Encik Yusri tidak menayang sebarang riak. Membuatkan Zaid tunduk sekali lagi, sedar bahawa situasi ini cukup serius setelah apa yang terbongkar tadi. Laras kepala kembali kepada asal, setentang dengan semua penghuni di ruangan tersebut, sebelum anak mata Zaid beralih arah kepada seorang gadis yang berada di samping Puan Jurina.

Kepuasan yang terlakar di muka Aimi mengundang rasa jelik di hati Zaid, sehinggakan terukir nyata reaksi menyampah kepada gadis itu. Tidak dihiraukan ibu bapa Aimi yang turut sama ada kerana semua orang pasti arif betapa bencinya Zaid terhadap Aimi. Daripada sekolah menengah, sampai sudah besar panjang, sedikit pun tidak memudar perasaan itu, malah makin bercambah selepas apa yang telah Aimi lakukan terhadap Safira.

"Mama tak kira. Mama nak Zaid kahwin juga dengan Aimi!" Puan Jurina berkeras dengan hasratnya.

"Ma..."

"For once, Zaid Yusran, tolonglah dengar cakap mama. Dalam keadaan macam ni, Zaid nak buat apa? Nak batalkan semua benda? Perkahwinan Zaid dengan Safira ni tinggal seminggu aje lagi tau. Zaid tergamak ke nak malukan keluarga kita, nak jatuhkan air muka mama dengan papa dekat semua tetamu yang hadir nanti? Hah?" ujar Puan Jurina, tidak sudah-sudah menjerat Zaid agar menerima permintaannya.

Zaid terbungkam. Lidahnya bagaikan terpasung daripada mengeluarkan sebarang bicara. Jika sebelum ini Zaid sering mengikut kepala sendiri dalam apa-apa hal, lebih-lebih lagi apabila melibatkan hidupnya sebagai taruhan, namun kini apabila melibatkan maruah keluarga, entah mengapa sukar untuk Zaid beralasan dan tolak secara mentah. Tetapi, untuk Zaid bersatu dengan Aimi sebagai pasangan suami isteri... itu adalah perkara yang paling lelucon seumur hidupnya.

"Zaid tahu semua tu, ma. Zaid minta maaf bagi pihak Safira. Zaid yakin Safira pergi pun semuanya sebab Aimi. Aimi yang tak habis-habis ganggu Safira, cakap macam-macam dekat Safira, supaya Safira akhirnya tinggalkan Zaid. Zaid tak bodoh, ma. Zaid tahu Aimi dalang di sebalik semua benda ni sebab dia dah tergedik-gedik sangat nak kahwin dengan Zaid. Tapi, memang tak la Zaid nak kahwin dengan dia!" Semberono Zaid menuduh seraya matanya menikam wajah Aimi sesekali.

"You cakap apa ni, Zaid? Safira pergi sebab dia sendiri nak pergi. Apa kena-mengena dengan I pula?" Lembut Aimi menyoal. Seolah tiada salah dirinya itu terhadap Safira selama ini.

Zaid menggeser gigi, menahan rasa jengkel yang teramat sangat. "Kau tak payah la tayang muka acah suci kau ni. Menyampah aku tengok! Orang lain kau boleh perdayakan, tapi bukan aku, Aimi."

"Sudah la, Zaid. Tak habis-habis nak bela perempuan tu dah kenapa? Tak payah nak tuding jari dekat Aimi pula sedangkan Safira yang tinggalkan Zaid. Kalau Aimi nak buat macam yang Zaid cakap tu, daripada dulu dia dah buat. Bukan sekarang, bila segala persiapan kahwin Zaid dah siap. Sebab ni la daripada dulu lagi mama tak sedap hati Zaid bercinta dengan budak entah datang dari mana tu. Sedarlah sikit Zaid yang Safira tu tak ikhlas pun dengan Zaid. Atau mungkin, dia dah sedar diri yang dia dengan Zaid tak setaraf langsung. Sebab tu dia berambus!" Sinis sekali butir bicara Puan Jurina.

Bukan setakat Zaid, Encik Yusri dan ibu bapa Aimi juga turut terpempan mendengarnya. Aimi sahaja yang sengap dalam kesenangan apabila dirinya sedang dibela oleh Puan Jurina.

"Mama nak marah Zaid ke, nak pukul Zaid ke, mama buatlah. Tapi, mama jangan sesekali hina Safira. Dia perempuan yang baik, lemah lembut, hormat orang tua, menutup aurat dengan sempurna. Jauh beza dengan Aimi yang mama suka sangat ni." Terketap-ketap rahang Zaid menuturkan ayat itu.

Manakala Aimi pula gigit bibir menahan geram. Kenapa dia rasa ayat Zaid tadi seolah-olah ingin menyindirnya?

"Tak apalah, Ju. Kalau Zaid tak sudi..." Puan Rossa yang tidak betah ingin membiarkan ketegangan ini berlanjutan, berura-ura ingin menyampuk. Tetapi, laju bicaranya dipintas oleh Puan Jurina.

"Tak, Ros. Zaid sudi atau tak, Ju tetap nak dia kahwin dengan Aimi. Cukuplah dia ikut kehendak dia sendiri selama ni. Sekarang, biar Ju pula campur tangan selepas mengeyakan semua permintaan dia."

"Zaid... walaupun anak uncle ni tak sebaik Safira di mata Zaid, tapi Aimi betul-betul sukakan Zaid. Bukan setakat suka, dia sayang Zaid, dia cintakan Zaid. Daripada dulu lagi." Encik Basir pula menyampuk.

Zaid menjongket senyum sinis. Suka? Sayang? Cinta? Habis Zaid perlu korbankan perasaan dia pada Safira demi Aimi? Mengarut!

"Jangan cakap macam tu, Sir. Aimi ni baik aje di mata kami." Encik Yusri yang tidak senang dengan nada Encik Basir tadi kini membalas. Kemudian, dia halakan pandangan ke arah satu-satunya si anak lelaki itu. "Zaid, fikirkanlah dulu apa yang mama kamu cakap tu. Papa tak nak paksa, tapi papa harap Zaid buatlah tindakan sewajarnya supaya keadaan yang jadi ni selesai secara baik tanpa kena tempiasnya dekat keluarga kita."

Kepala Zaid tersandar lemah pada belakang sofa. Matanya dikejap rapat sembari keluh berat dilepaskan. Dalam wajah yang masih tegang, Zaid mengamati wajah Aimi sebelum dia kalih kepada orang tuanya pula.

"Betul mama nak Zaid kahwin dengan Aimi?" Suara itu berdesir serius.

"Ya."

"Okey, Zaid akan kahwin dengan Aimi." Tapi, jangan harap Zaid akan layan Aimi seperti Safira, apatah lagi sebagai seorang isteri.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro