| Bunga | 45

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

SEWAKTU mereka sampai di Mukim Anjana, dengan diiringi beberapa orang dari mukim tersebut bersama Anggun - mereka semua disambut oleh seorang lelaki bertubuh tegap dalam usia 40-an bersama beberapa lagi lelaki lain yang tampak seperti pembantu kepadanya.

Sekilas sahaja lihat, sudah dapat diagak lelaki itulah ketua mukim di sini. Apatah lagi lelaki itu dengan pantas sahaja bertanya kenapa dengan Tok penghulu yang berdarah. Apabila dijawab lelaki tua telah tersalah dipanah oleh anak buahnya, kelam kabut lelaki tersebut menyuruh agar dibawa Tok penghulu ke pusat rawatan. Sekejap sahaja kelibat Tok penghulu hilang dipapah dua orang Anjana, Falah juga meminta untuk mengikut lelaki tua tersebut. Ketua Mukim hanya membenarkan kerana memahami kerisauan Falah.

Apabila hanya tinggal Henry, Iman dan Linda bersama ketua mukim itu maka dengan segera Ketua Mukim menjemput ke terataknya.

"Nama aku Wan, tapi semua memanggil aku Ketua sejak aku memegang jawatan ini." Ketua Mukim memulakan perbualan dengan Henry dalam langkah mereka ke kediaman Ketua Mukim.

"Aku Mikail." Henry memperkenalkan nama belakang apabila merasakan nama pertamanya agak susah.

"Nama yang bagus." Ketua Mukim tersenyum. Memuji nama teman barunya ini.

"Aku tak pernah tahu kewujudan mukim ini di Pulau Jengka." Henry melegarkan pandangan ke serata kawasan tersebut. Dia suka melihat suasana kampung di sini. Harmoni dan damai nampaknya. Rumah pun tidaklah terlalu rapat-rapat dan tidak juga terlalu berjarak. Mukim ini sangat redup kerana terlalu banyak pohon yang tumbuh sehinggakan sangat sedikit ruang yang tersiang.

"Kami sembunyikan diri dari dunia kerana tidak mahu wanita di timur mengetahui kewujudan kami." Ketua Mukim bersuara serius.

"Wanita di timur?" Henry berkerut. "Mona?" Soalnya ingin kepastian. Iman dan Linda turut tertarik dengan perbualan itu.

Ketua Mukim menghela nafas. "Terlalu banyak perkara yang ingin aku kongsikan pada kalian sebelum kalian menyambung perjalanan. Marilah ke rumah aku. Kita berbual di sana." Ujar Ketua seterusnya.

Tidak lama kemudian, mereka tiba di sebuah rumah dari kayu yang cukup besar berbanding daripada rumah lain, inilah kediaman Ketua Mukim. Mereka dijemput masuk dan dihidangkan buah-buahan. Namun Henry menolak untuk makan kerana hendak menunggu Falah.

Ketua Mukim faham.

Sekejap sahaja Falah muncul bersama seorang Anjana, dan selepas itu barulah mereka berani untuk menjamu buah-buahan apabila melihat Falah baik-baik sahaja selepas menggigit sebuah epal.

Sebenarnya Falah sudah berpesan dalam perjalanan tadi, tunggu dia makan dahulu baru yang lain boleh makan. Pesanan itu disampaikan secara senyap-senyap kerana menghormati kewujudan Anggun bersama teman-teman di dalam perjalanan tadi.

Maka kerana itulah mereka sanggup menunggu Falah untuk mula makan. Dan sekarang apabila mereka dihidangkan makanan-makanan seperti ubi keledek rebus dan sebagainya, mereka lihat Falah hanya makan dengan tenang - lalu tanpa menunggu lebih lama mereka terus sahaja membaham semua makanan itu kerana kelaparan.

Syukur hari ini mereka ada rezeki.

"BAGAIMANA dengan lelaki tua tadi?" Ketua Mukim bertanya sewaktu mereka sudah selesai makan. Tinggal hanya menikmati teh misai kucing.

"Keadaannya baik. Hanya memerlukan rehat." Falah menjawab kerana hanya dia yang memeriksa keadaan Tok penghulu di kalangan mereka berempat. Kali terakhir dia lihat Tok penghulu, lelaki tua itu sedang lena selepas sahaja dikeluarkan mata panah dari dadanya. Cuma jelas Tok penghulu sangat uzur.

Ketua Mukim terangguk-angguk. Sejenak dia berkerut.

"Aku hairan kenapa kau membantu lelaki tua itu sedangkan mengikut cerita Anggun, lelaki itu telah menyerang kamu bukan?"

"Ya, dia telah serang kami. Tapi kami percaya dia telah disihir untuk menyerang kami."

"Disihir oleh?" Ketua Mukim tertarik untuk tahu.

Belum pun sempat Falah jawab, Henry tiba-tiba sahaja mencelah,

"Aku rasa, lebih baik tuan ceritakan dahulu apa sebenarnya yang berlaku di Pulau Jengka ini. Dan apa yang tuan ingin ceritakan pada kami sebenarnya?"

Serta merta keadaan bilik tersebut bertukar serius sebaik mendengar soalan Henry. Wajah Ketua Mukim mendung semacam. Sudah hilang rasa ingin tahu pada soalannya tadi.

"Baiklah, akan aku ceritakan pada kalian semua apa yang berlaku. Tapi ini adalah kisah yang diceritakan oleh nenek moyang kami. Bukanlah kami mengetahui semua ini dengan sebetulnya. Hanya separuh yang aku tahu."

"Cerita tentang apa?" Iman mencelah hendak kepastian.

"Tentang serunai maut." Ketua Mukim menjawab datar. Matanya memandang Iman. "Itu yang kalian ingin tahu bukan?" kemudian pandangan dijatuhkan pada yang lain.

"Ya.." Henry angguk.

"Jadi biar aku hikayatkan ia satu persatu, lalu kalian dapat memahami apakah sebenarnya yang berlaku. Dan kalian jadi tahu apakah tujuan kalian di sini."

DUA abad lalu, tersebut sebuah kisah, seorang gadis bernama Bunga. Hidupnya bahagia bersama keluarga. Terdidik dan teratur adabnya. Bercakap dengan penuh sopan. Senyuman yang sentiasa melirik manis. Dia sangat gemar bermain seruling. Selalu ke belahan sungai yang menjadi sempadan kampungnya dengan mukim di seberang sana untuk bermain seruling ditemani alam.

Satu hari ketika dia sedang asyik bermain seruling, dirinya tanpa sedar sedang diperhatikan sang jejaka bernama Tuah.

Di situ dia terpaku melihat jejaka tersebut, dan jejaka itu juga terpaku menatapnya. Belahan sungai yang menjadi sempadan Kampung Jantan Senja dan Mukim Pandan menjadi saksi pertemuan cinta itu. Bunga sudah lupa pesanan bapa agar menjauhi penduduk mukim seberang sana, sudah lupa akan adab yang dididik ibu agar tidak bergaul dengan mana-mana teruna. Namun siapa sangka, Tuah juga telah jatuh hati pada Bunga.

Sepurnama, mereka bersulam kasih. Setiap petang bertemu di belahan sungai itu. Bercerita dan bergelak ketawa. Kekadang Bunga bermain seruling ditemani Tuah. Berada di situ dengan kekasih hati terasa bagai di syurga sehingga tanpa sedar telah berbuat maksiat dan terlanjur asmara.

Begitulah yang terjadi beberapa lama sehinggalah akhirnya Tuah melamar Bunga menjadi isterinya di sungai yang sama. Bunga kegembiraan lalu menerima lamaran itu tanpa memikirkan akibatnya.

Begitulah kisah, hari tidak selalu cerah. Petangnya hujan dan ribut datang merombak segala kebahagian di siang tadi. Apabila Bunga datang membawa Tuah menghadap orang tuanya, Bunga diherdik dan dihalau. Tuah adalah dari Mukim Pandan dan semua tahu Mukim Pandan sudah bermusuhan lama dengan Kampung Jantan Senja.

Bunga akhirnya membawa diri bersama Tuah, diusir keluarga, diusir penduduk kampung. Namun Tuah ada di sisi Bunga, menjanjikan yang manis. Yang buat air mata Bunga kembali kering disemalu senyuman manis.

Namun senyuman manis itu tidak berpanjangan, saat Bunga memijak kaki di Mukim Pandan, seluruh dunianya gelap gelita apabila baru mengetahui yang rupanya Tuah sudah beristeri dan sudah pun memilki cahaya mata. Hati Bunga hancur. Terlebih hancur apabila rupanya diri ini hanyalah digunakan untuk kebanggan seorang Tuah kerana berjaya membawa pulang seorang anak sunti dari kampung musuh.

Dan Bunga baru mengetahui dirinya hanyalah boneka untuk Tuah. Tuah tidak mencintainya.

Bunga diletakkan dalam sangkar. Siangnya dia diseksa di hadapan orang ramai. Malamnya dia dibiarkan merengkot kepedihan di dalan sangkar yang sangat kotor.

Beberapa purnama nasib Bunga berterusan begitu, setiap malam dia menangis merindui keluarga, menangis kerana dikecewakan cinta. Tanpa sedar perutnya membesar kerana sebuah benih yang tumbuh bukan kerana cinta.

Satu malam, seorang wanita tua datang menegurnya di dalam sangkar itu. Bunga tidak mampu menggerakkan walau sekadar bibirnya untuk menjawab teguran itu. Namun sangat tidak disangka, wanita tua itu membantunya. Dibebaskan dia dari sangkar yang sangat menjijikkan itu.

Bunga dibawa lari wanita itu ke sebuah pondoknya di tengah hutan. Wanita tua itu menggelar dirinya Nyai. Tinggal bersendirian di pondok usang ini.

Bunga disembuhkan wanita baik hati itu, dia tahu pasti sekarang Tuah dan penduduk lain mencarinya di mana-mana. Namun semua itu tidak mahu dia fikirkan lagi. Dia rasa lebih baik dia mati. Apatah lagi dia baru tahu dia telah kandungkan anak benih Tuah.

Dia benci dirinya yang mudah jatuh pada seorang lelaki. Dia benci benih yang menjadi tanda cintanya pada Tuah.

Tujuh purnama menggilas waktu, akhirnya lahir bayi yang dinamakan Mona. Awalnya Bunga tidak mahukan Mona. Hanya Nyai menjaga Mona sehingga Mona membesar. Namun siapakah Bunga untuk lari dari fitrah seorang ibu. Dia jatuh sayang pada anak itu. Mona menjadi penyeri hidup Bunga selepas begitu lama hidupnya kelam.

Beberapa tahun berlalu, Mona menjadi gadis berusia tujuh tahun yang lincah. Selalu keluar memburu bersama Nyai. Bunga hanya mampu tersenyum setiap kali Mona merengek hendak keluar bersama Nyai.

Namun, kisah tragis seorang Bunga tidak terhenti di situ sahaja.

Di satu malam, ketika semua sedang lena. Bunga terjaga kerana mendengar bunyi bising di luar sana. Apabila dia dengan berhati-hati keluar, dia dapat lihat sekumpulan lelaki sedang berada di perkarangan rumah Nyai. Mereka serba hitam dan menyembunyikan wajah.

Bunga tahu, salah seorang dari mereka ada Tuah. Dia kenal Tuah walaupun dalam kabut malam, dia cam Tuah walaupun lelaki itu menutup wajah. Belum pun sempat Bunga mengejutkan Nyai dan anaknya, tidak semena wajahnya diserkup kain yang berbau memeningkan dan saat itu dunianya terus kelam bersama jeritan Mona memanggil Bonda.

Bunga terjaga, perkara pertama yang Bunga nampak adalah api.

Api yang marak menjulang seolah hendak membakarnya hidup-hidup. Dia terkedu tidak terkata. Seluruh tubuhnya diikat. Dan pemandangan di hadapan buat seluruh tubuhnya menggeletar.

Jeritan dari Mona mengejutkan Bunga, dirinya sangat terkejut apabila mendapati Nyai diheret beberapa lelaki. Dan Bunga tidak terkejut apabila mendapati di balik api yang bersemarak itu muncul Tuah sedang tersenyum sinis padanya.

Bunga tidak terkata. Apabila melihat Nyai dengan tubuh tua renta itu diheret penuh paksaan ke api besar yang menjulang, Bunga tahu apakah penghujungnya.

Jeritan Nyai menyaring dahsyat. Api menjilat seluruh tubuhnya. Mona yang melihat meraung memanggil neneknya.

Seketika jeritan Nyai memudar, tubuh tua itu hangus. Rentung. Lelaki-lelaki yang melihat tersenyum puas.

Dan Bunga bertambah kaku saat melihat Mona diangkat, jeritan Mona memecah udara malam. Berkali-kali dia memanggil bonda. Tangisannya meledak bagai anak tekak akan hancur bila-bila masa.

Bunga hendak menjerit, hendak berkata jangan. Namun suaranya tersekat. Air matanya meluncur laju ke pipi. Melihat Mona menangis, hatinya hancur.

Dan tangisan Mona hilang sebaik api menelan tubuhnya.

Pandangan Bunga kabur.

Tawa jelek lelaki di sebelahnya buat kemarahannya terbakar sama seperti terbakarnya tubuh anak di dalam api itu.

Sejenak rambutnya dicengkam lelaki di sebelah, Tuah. Dia terdongak.

"Rindu aku?"

Bunga memandang tajam lelaki itu.

"Aku tahu anak itu anak aku. Dia comel tapi sayang aku jijik dengan dia."

Bunga hanya diam. Bibirnya bergetar.

"Sekarang gliran kau pula Bunga." Tubuhnya dicampak ke tanah.

Bunga terduduk penuh hina. Air matanya jatuh ke tanah. Kali pertama dia rasa lidahnya bisu untuk menutur suara. Untuk menjerit kesakitan seperti biasa.

Hatinya hilang. Ya hatinya hilang tika ini. Dia cuma mahu mati. Saat tubuhnya diheret ke api yang marak menjulang, bibirnya tersenyum.

Dia mahu mati.

"Bosannya.. Takkan macam tu je?" Tiba-tiba entah dari mana satu suara muncul. Serta merta semua senyap terbisu. Langkah lelaki yang mengheret Bunga juga kaku.

"Menyedihkan betul cerita kalian ini. Tak epik langsung." Satu kaki menghentak tanah, tanda dia baru sahaja turun dari sebuah pokok. Semua memandang susuk itu. Terkejut.

Susuk itu serba kelabu. Berjalan dengan dua tangan diletak belakang tubuh gaya orang bijak. Bibir kelabunya tersenyum sinis.

"Kalian semua sungguh kasihan. Terlalu daif sehingga hanya mampu menyakitkan orang tua, kanak-kanak dan wanita. Sedih." Lelaki kelabu itu mencebik. Mengejek.

"Siapa kau?!" Tuah menjerit. Parang diangkat tinggi.

"Siapa aku? Hrmmm." Lelaki serba kelabu itu mengusap dagu.

Kemudian dia memandang Bunga. "Mungkin malaikat yang datang untuk menyelamatkan wanita itu?" senyuman sinisnya terukir untuk Bunga.

Bungan tergamam.

"Gila!! Serang dia!!" Tuah menggertak marah. Terus konco-konconya menyerang lelaki tersebut.

Lelaki serba kelabu itu tenang. Sehingga sempat lagi menguap sebelum menyambut serangan dari penyerang pertama. Cekap dan tangkas. Sekejap dia menghilang dalam kabus asap. Muncul di sebelah lain. Semua terpinga-pinga. Tuah juga terkejut.

Lelaki serba kelabu itu tersengih. Lalu dia menggerakkan tangan menjemput orang menyerangnya.

Tidak menunggu lama terus semua menyerang lelaki itu. Seperti sebelum ini lelaki itu menghilang dengan mudah, asap kelabu bergerak pantas lalu muncul di hadapan Bunga yang terduduk memerhati semua itu. Bunga tidak terkata.

"Ambil ini Bunga. Tiup." sesuatu diberikan oleh lelaki itu dari belakang tubuh. Dia berjaga-jaga. Konco-konco Tuah terpinga-pinga apabila kehilangan lelaki tersebut.

Bunga terkedu melihat sesuatu itu. Bertambah terkedu apabila ikatan di tubuhnya sudah terbuka sendiri. Apa ini?

Lambat-lambat dia menyambut pemberian lelaki itu.

Seruling.

Ya, seruling miliknya yang menjadi pemula cinta dia dan Tuah.

"Tiup." lelaki itu bernada serius sebelum berdesup hilang dan seperti taufan dia menyerang semua konco-konco Tuah.

"Siapa kau hah?!" Tuah menjerit marah. Rasa bagai diperbodohkan apabila lelaki itu kerap menghilang.

"Aku bukan manusia." lelaki itu muncul di hadapan Tuah. Tersenyum sinis. "Aku makhluk celaan tuhan." dan hilang.

"Arghhhh!! Sial!!!" Tuah menggila. Parang digerakkan merata tempat. Sakit hati dengan cara permainan lelaki itu.

"Tiup, Bunga. Tiup bersama dendam dalam diri kamu. Tiup bersama amarah dalam dada kamu."

Bunga tercengang mendengar bisikan itu sangat dekat. Bagai berbisik di telinganya.

Seruling buluh miliknya itu dipandang lama.

Tuah dan konco-konco makin menggila. Menyerang dengan membuta tuli.

Dengan tangan terketar Bunga mengangkat seruling itu ke bibir. Nafas dtarik perit.

Sekilas, saat bibir bertemu lubang di seruling itu - nafas dihembus sayu. Air matanya jatuh sebaik mata dipejam.

"Bunga, aku cinta kamu. Sangat." Suara Tuah lapan tahun lalu terjeda. Bagai jelas dalam bayangan senyumannya waktu itu. Bagai jelas dalam ingatan kegembiraan waktu itu.

Namun semua itu digantikan dengan tangisan dan jeritan keperitan saat diri diseksa dalam sangkar yang menjijikkan. Saat diri dibogelkan di hadapan penduduk mukim lalu ditertawakan dengan kata-kata lucah. Saat diri menangis merayu agar dihentikan segala penderitaan ini. Belum cukup dengan itu, tangisan Mona mencelah memori, jeritan perit Nyai merombak hati.

Dan segala keperitan itu bersatu dalam nafas yang dihembus pada bulatan kecil buluh ini. Bagai menceritakan sebuah kepahitan yang tidak mampu dihikayatkan pada sesiapa. Jiwanya hancur. Hatinya sudah tiada. Dan serunai menggantikan semua itu.

Saat Bunga membuka mata, apa dia nampak hanyalah satu.

Semua tubuh tadi bergelimpangan dalam susuk rentung. Suasana bertukar senyap. Hanya api yang tinggal meliuk kecil dalam baranya.

Bunga kaku.

"Kamu telah lakukannya."

Bunga tertoleh.

Susuk berkelabu tadi kelihatan berdiri di sebelahnya. Turut memandang tubuh-tubuh rentung yang bergelimpangan.

"Kau siapa?" Bunga bertanya.

Lelaki itu tunduk memandang Bunga.

Senyumannya terukir. "Aku tuhan kau."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro