| Embun | 54

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

KEPULANGAN mereka – pasukan tentera Anjana disambut meriah oleh semua penduduk. Riuh-rendah suara mereka bersorak untuk pasukan tentera itu. Ada sesetengah yang menangis gembira dan tidak kurang juga yang menangis kesedihan sebaik mendapat berita kehilangan keluarga mereka.

Dalam hiruk-pikuk itulah Iman dan Linda mencelah keramaian ingin mencari Henry dan Falah. Perasaan mereka bercampur-baur. Gembira dan risau. Rindu dan resah. Lalu sebaik mendapati Henry yang berdiri bersebelahan dengan Falah yang bertongkat – mereka berdua tidak menunggu lama terus menerpa dua lelaki itu. Untuk Iman, dia tidak beragak untuk memeluk suaminya sehingga Henry sendiri terkejut besar. Manakala untuk Linda dia hanya mampu berdiri mengulas senyuman untuk Falah mahupun Henry. Jika dia dihalalkan untuk buat seperti Iman, memang sudah lama dia buat.

Ketika itulah, satu suara kecil menyampuk jejak kasih itu. Sekaligus membuatkan Iman terjerit kecil kerana terlalu terkejut dengan kemunculan Nuna di depan mata mereka. Dia hampir menyangka budak kecil itu ialah toyol sesat! Apatah lagi Nuna boleh pula ketawa terbahak-bahak.

"Macamana budak ni boleh ada dekat sini?!" Iman menyorok di belakang bahu Henry. Ketakutan melihat Nuna yang tersengih-sengih.

"Dia masih hidup, Bunga gunakan kera sumpahan jadi mayat dia." Henry jawab selamba. Iman buat muka jijik mendengarkannya.

Dalam masa itulah Tok Penghulu tiba bersama seorang Anjana, sebaik terpandang Nuna terus berubah wajahnya. Falah yang menyedari kehadiran Tok penghulu segera menegur Nuna. Nuna terus memandang Falah sebelum pandangannya jatuh pada atuknya yang sedang tercengang menatapnya.

"Atuk!!" Nuna menjerit riang pada atuknya. Terus berlari menuju ke arah Tok penghulu lalu dua beranak itu pun berpelukan seraya menangis. Tidak menyangka pertemuan ini akan diizinkan sekali lagi oleh-Nya.

Semua yang melihat pertemuan itu jadi turut sebak. Hatta Linda yang tidak mengetahui apa-apa pun turut menitiskan air mata.

Tiada kata ingin mereka ucapkan, hanya air mata kesyukuran yang mereka boleh zahirkan.

DUA hari mereka menetap di sini, begitu banyak perkara yang mereka ajarkan pada seluruh penduduk Mukim Anjana. Daripada cara istinja' yang betul, kemudian tertib wuduk, solat, menutup aurat, dan berbagai lagi. Falah benar-benar menjadi guru untuk mereka semua. Hatta Henry, Iman dan Linda juga belajar banyak perkara daripada Falah. Sehingga ada yang berseloroh memanggil Falah Tok guru apabila Falah sering sahaja menyampaikan ceramah selepas setiap kali solat. Sudah ada gaya seperti ustaz selebriti.

Perkara yang paling menggembirakan untuk mereka selama dua hari ini ialah memasang cahaya sepuas hati mereka di malam hari. Sehingga pada malam itu juga mereka telah membuat pesta cahaya menyambut kejayaan Falah bersama rakan-rakan yang telah menghapuskan sumpah pulau ini.

Namun hari ini menjadi hari yang paling sugul untuk penduduk Mukim Anjana. Kerana hari ini ialah hari terakhir untuk Falah bersama rakan-rakan berada di sini. Misi mereka membanteras Serunai Maut sudah selesai. Sudah tiba waktu untuk mereka pulang ke Kampung Hamparan dan mengislamkan penduduk di sana pula. Malah Falah sudah memasang niat untuk mengislamkan semua yang dia temui di tengah jalan nanti. Kata Falah ini ialah tugas dia dan semua umat islam. Tidak sepatutnya dia membiarkan manusia terus mensyirikkan Allah.

Maka sepatutnya untuk semua penduduk Mukim Anjana bersedih kerana tuan guru mereka sudah ingin pulang. Waktu perpisahan menjadi waktu paling sayu. Semua menangis ketika mendengar nasihat Falah untuk kali terakhir. Hatta Ketua sendiri teresak-esak kerana terlalu sedih dengan perpisahan ini. Ketika Falah sudah siap memberi pesanan terakhir itu, semua lelaki segera menerpa Falah. Berpelukan dengan lelaki itu dengan tangisan yang menjadi-jadi. Falah sendiri menangis saat berpelukan dengan mereka semua.

Henry juga menjadi mangsa pelukan semua lelaki itu. Manakala Iman dan Linda menjadi mangsa pelukan kaum wanita. Riuh kedengaran tangisan di dataran ini. Perpisahan menjadi sangat memilukan antara mereka dan penduduk Anjana.

Saat matahari baru naik segalah, mereka pun bergerak pergi. Falah, Henry, Iman, Linda, Tok penghulu dan Nuna. Mereka berenam akan bergerak pulang ke Kampung Hamparan. Dijangka perjalanan mereka akan memakan masa sehari setengah. ketika mereka semua bergerak, hanya lambaian yang mampu mereka berikan sedangkan seluruh penduduk itu masih menangis. Ada sesetengah mereka yang merayu Falah agar terus berada di sini, namun Falah dengan berat hati menolak rayuan itu. Dia punya tugas yang besar di luar sana.

Lalu bergeraklah kumpulan itu menuju ke barat, kembali ke penghujung Pulau Jengka. Membawa berita baru untuk penduduk di sana. Yang pasti berita ini akan menjadi berita gembira untuk semua penduduk di sana.

KAMPUNG Hamparan mula bergelap. Mengamalkan adat mereka seperti biasa yaitu memadam sebarang cahaya sebaik sahaja matahari terbenam. Gerai-gerai segera ditutup. Tidak tinggal walau satu. Seluruh penduduk lekas pulang ke rumah. Waktu malam ialah waktu celaka untuk mereka.

Namun untuk Mak Embun, dia masih berada di luar pada waktu begini. Merenung langit yang mula bertukar suram tanpa cahaya matahari. Mega merah pula mengambil alih ruang langit. Mak Embun tidak berputus asa. Dia tetap berharap akan kepulangan suaminya satu hari nanti. Walaupun hampir sepuluh hari sudah suaminya hilang, namun dia tetap yakin bahawa satu ketika nanti pasti Razak akan kembali.

Hati tuanya sangat hiba. Belum pun kesedihan atas kehilangan cucunya reda, dia diuji dengan kehilangan suami pula. Sudah berhari-hari pencarian terhadap suaminya dibuat, namun tetap tidak kedapatan di mana-mana. Hatta lokasi terakhir pun tidak kedapatan. Seluruh penduduk kampung sudah berputus asa untuk mencari ketua kampung mereka, namun tidak Mak Embun. Firasatnya kuat mengatakan yang suaminya sekarang sedang berada di luar sana dalam keadaan selamat.

"Mak," tidak semena suara Nurin menyapa. Bahunya disentuh lembut.

Mak Embun memandang menantunya itu. Tangan Nurin di bahu digenggam. Nurin pantas melabuhkan duduk di sisi ibu mertuanya, juga berada di tangga rumah ini merenung langit. Remang senja makin terang.

"Mak masih tunggu ayah?" Nurin bertanya sayu.

Mak Embun tersenyum hambar. Tidak menjawab soalan menantunya.

"Mak, mak kan tak sihat. Mak kena berehat, jom masuk rumah." Nurin memujuk lembut. Kerap sahaja dia perlu memujuk ibu mertuanya ini masuk ke rumah. Tapi seperti yang dia maklum, ibu mertuanya bukan senang termakan pujuk. Degil!

Mak Embun menghela nafas, terus melempar pandangan ke langit. Seolah merenung jauh mencari suaminya yang hilang entah ke mana. Jika langit mampu berkata-kata, pasti langit sudah beritahu dia di mana Razak.

"Mak, dah dekat seminggu lebih ayah hilang." Nurin mengurut-ngurut telapak tangan ibu mertuanya. "Semua orang sudah cuba cari di merata tempat."

"Tapi tiada siapa berani untuk pergi melepasi Pohon Ara Jejawi itu bukan?" Mak Embun terlebih dahulu memotong bicara Nurin. Bukannya dia tak tahu, pasti Nurin hendak menyuruhnya agar tidak berharap lagi dengan kepulangan Razak.

Nurin terdiam dengan soalan itu.

"Selagi tiada sesiapa berani melepasi pohon itu, tiada siapa boleh kata suami mak dah tak ada." Tegas Mak Embun memberitahu.

"Tapi mak, Ara Jejawi itu ialah sempadan kita dan Serunai Maut. Sesiapa yang melepasinya tidak akan selamat." Kepercayaan itu diulang Nurin. "Jika ayah melepasi pohon itu, mana mungkin—"

"Lalu kau mahu kata, ayah sudah mati? Begitu Nurin?"

Wajah Nurin pucat. "Bukan begitu mak." Tergagap dia membalas. Dia tidak berniat langsung dengan kenyataan itu. Dia cuma tak sanggup melihat ibu mertuanya terpunduk di tangga ini kala senja mengucup waktu. Ibu mertuanya bukan sihat sangat. Bila melihat wanita itu menangis, itu lagi buat hatinya risau pada Mak Embun.

"Jangan paksa mak untuk melupakan ayah semudah itu. Mak percaya, ayah akan pulang. Ayah cuma keluar berjuang." Itulah firasat Mak Embun selama ini.

Nurin bungkam, tertunduk sendiri.

Tidak semena, sedang mereka dalam suasana tegang dek kemarahan Mak Embun – terdengar suara riuh menjeritkan sesuatu dalam teriakan yang menakutkan. Membuatkan kesepian kampung ini diragut serta-merta oleh teriakan histeria itu.

"Ada orang menyalakan cahaya di atas bukit!! Ada cahaya di atas bukit!!" Seorang lelaki kelihatan menjeritkan ayat itu sambal berlari ke arah bukit.

Demi sahaja mendengarkan kata-kata lelaki tersebut, serta-merta Nurin berdiri diikuti Mak Embun. Hendak melihat sendiri api yang dikatakan ada di atas bukit. Dan benar seperti yang dikatakan, memang ada api di atas sana.

Nurin menekup mulut terkejut. Mak Embun tercengang-cengang. Osman yang turut mendengar jeritan itu keluar dengan segera dari rumah. Malah semua penduduk kampung mula menjengukkan kepala dari jendela rumah masing-masing demi sahaja mendengar jeritan itu. Dan sebaik melihat cahaya terang di atas bukit berdekatan kampung mereka ini, terus para lelaki mahupun perempuan berkejar ke sana. Mereka ketakutan.

Mak Embun pula pantas menyarung capalnya lalu berjalan laju mengikuti orang lain.

"Mak!" Nurin terkejut. Berpandangan dengan suaminya. Terus ketika itu mereka juga berlari ke arah bukit. Dalam suasana senja yang semakin memerah ini, penduduk Kampung Hamparan bertebaran demi memadam cahaya api di atas bukit itu.

Sesampai di sana, suasana sangat kecoh. Tempat nyalaan api besar itu terletak di atas sana. Membuatkan mereka kebuntuan mencari jalan ke arah sana. Mereka hanya perlu memadam cahaya itu sebelum Serunai Maut yang dipercayai mereka itu bakal membunuh mereka semua.

"Siapa yang begitu gila menyalakan cahaya di pulau ini!? Dia mahu membunuh kita semua kah!?" Seorang lelaki di situ bersuara keras. Para wanita sudah menangis ketakutan. Tidak dapat membayangkan apakah pengakhiran yang bakal berlaku pada mereka jika mereka berterusan sebegini.

"Pak Sabri, kita perlu panjat bukit sebelum serunai berbunyi!" Lelaki lain pula bersuara. Wajahnya sudah berpeluh-peluh.

"Kau fikir kita sempat?! Belum sempat kita panjat bukit itu, kita terlebih dahulu mati!" Pak Sabri menjawab kasar.

"Kita tak akan sempat berbuat apa! Kita akan mati!" Lelaki lain mencelah seraya mencengkam rambut. Semua yang mendengar berteriak penuh putus asa.

Ketika ini tiada siapa mampu berbuat apa, seolah hanya pasrah dengan apa sahaja yang bakal berlaku nanti. Sesetengah wanita di situ sudah berhenti menangis, tersedu-sedu memeluk anak mereka yang tidak mengerti apa-apa. Para lelaki terduduk pasrah. Jika hendak dipanjat bukit itu, pasti mereka terlebih dahulu mati sebaik mendengar bunyi serunai. Nurin memeluk Mak Embun, memejam mata dengan air mata yang mengalir. Semua seolah pasrah. Sedia menadah alunan yang bakal bergema nanti dan mereka bersedia untuk mati bersama-sama.

"Mak, Nurin rindukan Nuna." Tidak semena Nurin bersuara perlahan pada ibu mertuanya. Air matanya jatuh lesu. Mak Embun hanya senyap menatap cahaya api di atas bukit.

"Apa khabar Nuna sekarang?" Nurin teresak-esak. Osman yang mendengar soalan isterinya itu hanya senyap. Dia sudah terduduk putus asa di sebelah. Wajahnya kosong.

"Ibu," Suara kanak-kanak kecil kedengaran di antara mereka yang pasrah. "Kita akan mati kah?" Soal anak kecil itu pada ibunya. Ibunya menangis. Tidak menjawab soalan anaknya.

Tidak semena kanak-kanak itu ternampak cahaya di balik pepohon. Matanya dikecilkan merenung cahaya itu. Cahaya itu semakin lama semakin besar.

"Ibu," Lagi sekali kanak-kanak itu memanggil ibunya. "Tengok tu." Dia mengangkat jari pada cahaya itu.

Semua yang berhampiran serta-merta memandang pada arah yang kanak-kanak itu tunjukkan. Sebelum seluruh pandangan jatuh pada arah itu. Berkerut dahi melihat cahaya dari balik rimbunan pohon itu. Tubuh-tubuh yang tadinya lesu tersandar kini tegak berdiri.

Semakin lama semakin terang cahaya itu, membuatkan mata mereka silau dari terus menatap cahaya tersebut. Sehinggalah muncul beberapa susuk tubuh yang disinari cahaya terang. Semua seperti sangat terkejut dengan cahaya itu. Sehingga ada yang terpejam mata kerana silau.

"Mama!! Nenek!!" Satu suara kecil menjerit dari susuk-susuk tadi. Nurin tercelik mata mendengarkan panggilan itu, Mak Embun pun terkedu.

Apabila suasana mula seimbang dengan cahaya terang, barulah mereka dapat melihat kumpulan yang baru muncul itu.

Rupanya mereka ialah Falah, Henry dan Iman. Dan bersama mereka bertiga ada tiga orang lagi, yang mana dua di antaranya buatkan mereka semua tercengang. Apatah lagi apabila melihat Nuna berlari menerpa ibunya dan neneknya. Kanak-kanak kecil itu ketawa gembira. Diikuti Tok penghulu yang melangkah perlahan-lahan merapati keluarganya.

Semua terkedu dengan kemunculan mereka. Sehingga tiada patah kata yang mampu diungkapkan.

Mak Embun tidak mampu bercakap apa. Melihat cucunya yang sepatutnya sudah mati dan juga suaminya yang sudah hilang tanpa jejak, semuanya buat dia terkelu. Nurin dan Osman juga terkedu.

"Nuna belum mati, Mona mengaburi mata kita dengan menggunakan jelmaan." Tok Penghulu menjelaskan seraya menjatuhkan lutut di hadapan isterinya. Tubuh Nuna di dalam dakapan Mak Embun dia pegang, "Dan ini Nuna yang sebenar, Nuna kita." Ujarnya.

Nuna menjarakkan tubuhnya dari Mak Embun dan Nurin, dia kemudian meraba wajah neneknya. "Nenek dah tua." Komennya seraya ketawa.

Mak Embun terus ketawa lalu memeluk Nuna. Nurin turut sama memeluk Nuna. Tok Penghulu hanya tersenyum ketika merasakan tangannya digenggam isterinya. Kemudian Tok penghulu memandang Osman, berpandangan dua beranak itu dengan riak kosong. Sehinggalah Tok penghulu bangkit dan memeluk anaknya itu. Keluarga itu menangis hiba bersama-sama.

"Berita gembira untuk kalian semua," Tok penghulu bersuara selesai itu, memandang semua orang dengan nafas yang dihela panjang-panjang. "Sumpahan serunai maut sudah tiada. Mona sudah berjaya dibunuh."

Semua terkejut demi mendengar berita itu. Saling berpandangan dengan wajah tidak percaya.

"Jangan risau untuk memasang cahaya." Henry menyampuk. "Kalian selamat." Sambungnya lagi.

"Bagaimana kau yakin kita akan selamat?" Pak Sabri bertanya dengan tidak yakin.

"Api di atas bukit sana sangat besar." Henry membalas, merenung tajam Pak Sabri. "Kenapa serunai tidak berbunyi?" Soalan Henry tidak memerlukan jawapan, lebih kepada memberi kenyataan.

Pak Sabri terdiam. Penduduk lain pula saling berbisik. Mula menyedari sesuatu yang sangat besar.

"Percayalah kalian, sesungguhnya pulau ini sudah bebas." Falah bersuara kemudiannya.

Penduduk kampung masih tidak yakin.

Falah menarik nafas. "Cahaya ialah milik Tuhan, bukan milik serunai maut. Maka tenangkan hati kalian, pulanglah dalam keadaan bersyukur. Ini ialah anugerah dari Pemilik Alam untuk kalian semua. Tidurlah dengan lena malam ini. Cahaya bebas untuk malam ini dan selepasnya."

"Apa Pacik Falah cakap tu betullah!! Kenapa semua tak picaya!?" Nuna mula naik angin bila melihat semua ragu-ragu. Terkejut habis semua orang.

"Percayalah kalian, kami tidak akan berbohong." Tok penghulu mencelah.

Apabila Tok penghulu juga masuk campur, mereka pun terpaksa yakin. Mula berjalan pulang. Masih tidak sangka dengan keadaan ini. Tidak pernah walau sekali mereka terfikir yang situasi ini akan berlaku pada mereka. Diterangi cahaya api walau malam sudah melabuhkan tirai. Dan mereka selamat.

Sungguh, mereka tidak pernah sangka semua ini akan terjadi pada mereka.

"Apa sudah jadi?" Osman bertanya ketika semua mula beredar.

Falah tersenyum. Henry pula mencebik sahaja mendengar soalan lelaki itu.

"Anggap sahajalah ini hadiah dari kami sebagai pendatang ke sini." Falah berseloroh, mengundang tawa pada Henry, Iman, Linda mahupun Tok Penghulu.

Sedangkan Osman, Mak Embun dan Nurin terpinga-pinga.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro