| Falah | 24

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

DUA hari berlalu, Henry semakin sihat dengan sendirinya. Sudah dapat bangun dan berjalan dengan biasa. Cuma kadang-kadang lelaki itu akan terbatuk keras kerana masih berbekas air dalam peparunya. Falah berkali memaksa abang iparnya itu untuk menerima rawatan namun Henry berdegil tidak mahukannya. Katanya dia sudah sihat. Falah akhirnya terpaksa akur.

Lewat pagi hari ini, seperti biasa Falah pergi ke pekan untuk membantu mana-mana penduduk kampung. Sekaligus menjalankan usaha dakwahnya yang sudah pun dibuat secara perlahan-lahan apabila mendapati ada beberapa penduduk kampung yang sudah dapat menerimanya.

Ketika dia sampai di pekan, tiada lagi pandangan sinis seperti dahulu, kebanyakan mereka lebih suka membuat kerja sendiri daripada merenung Falah seakan penjajah.

"Falah!"

Dan kekadang ini yang terjadi, dirinya dipanggil oleh salah seorang peniaga di situ.

Dia menoleh, kelihatan seorang lelaki berumur menggamitnya ke mari. Sebelum ini dia sudah berkali-kali juga membantu lelaki itu, Pak Tamoi panggilannya.

"Ya Pak Tamoi?" Dia menapak menghampiri.

"Sini, tolong aku susun kacang-kacang ini." Pak Tamoi mengarah tanpa segan silu.

"Oh.. Baik." Falah pun dengan taat mematuhi sahaja arahan itu. Laju sahaja dia menyusun bungkusan kacang Pak Tamoi di atas rak. Pak Tamoi ialah satu-satunya penjual yang menjual berbagai jenis kacang di pekan ini. Sebab itu semua orang mengenali Pak Tamoi dengan gelaran Pak Tamoi Kacang.

"Kau ada hendak pergi mana-mana selepas ini?" Pak Tamoi bertanya ketika mereka sama-sama menyusun bungkusan itu.

Falah berfikir sejenak, "Tidak ada Pak Tamoi. Hanya mahu berjalan-jalan sekitar pekan ini." Jawabnya jujur.

"Ya baguslah.. Boleh kau bantu aku di kedai ini. Anak aku tidak sihat hari ini. Boleh kan?" Pak Tamoi membuka kotak seterusnya.

"Semestinya Pak Tamoi. Saya akan bantu." Falah tersenyum.

"Jangan risau.. Hari ini aku berikan kau upah. Kau jadi pekerja aku."

Falah berhenti daripada menyusun bungkusan itu. Memandang Pak Tamoi.

"Saya tak perlukan upah. Saya bantu ini ikhlas."

Pak Tamoi mengeluh keras, dia pun berhenti daripada kerjanya. Mencekak pinggang menghadap Falah.

"Sudah berkali-kali kau membantu aku.. Dan setiap kali itulah kau tidak mahukan upah! Aku tidak suka menggunakan orang yang baik seperti kau untuk meringankan kerja aku. Kali ini kau perlu terima upah daripada aku! Kalau tidak aku takkan bertegur sapa dengan kau lagi!" Pak Tamoi benar-benar marah. Terus mengugut Falah.

Falah terkedu sejenak. Matanya berkedip pantas.

"Baiklah Pak Tamoi.." Perlahan dia tersengih.

Pak Tamoi mendengus. Nasib baik Falah menyetujui, jika tidak dia pun sebenarnya tidak sanggup untuk tidak bertegur sapa dengan pemuda sebaik Falah ini. Sungguh, dia tidak percaya akan wujudnya pemuda ringan tulang seperti Falah ini.

Pemuda ini sangat luar biasa. Ketika kali pertama berjumpa, pemuda itu terlebih dahulu menyapanya dengan senyuman yang seakan-akan sudah lama berkenalan. Hati tuanya senang dengan sikap Falah. Sudah lama dia tidak berjumpa dengan pemuda baik hati begini.

Tidak hairanlah jika peniaga-peniaga di pekan ini hampir semuanya sudah sibuk bercakap tentang Falah. Semuanya tentang kebaikan. Ada segelintir yang masih berburuk sangka dengan Falah namun majoritinya menyukai susuk seorang Falah.

Kerana sikap Falah, perlahan-lahan penduduk kampung mulai sedar tidak semua pendatang asing itu jahat. Dan mereka mula sedikit demi sedikit menerima kedatangan Falah bersama dua lagi temannya itu di sini.

Dalam diam, Pak Tamoi kagum dengan kecekalan Falah dalam menghadapi penduduk kampung di sini.

"Pak Tamoi.. Ada lagi yang perlu saya buat?"

Soalan Falah menyedarkan Pak Tamoi daripada lamunan, terus lelaki berumur itu memandang Falah.

"Di luar sana ada kotak-kotak yang perlu dibuka, kamu pergi lah angkut semuanya ke dalam."

"Baik Pak Tamoi." Falah tidak berlengah untuk keluar dan mengangkut kotak-kotak itu ke dalam.

Ketika itu juga ada seorang wanita masuk ke dalam kedai Pak Tamoi untuk membeli kacang, kedai ini jadi riuh sedikit dengan kedatangan wanita yang juga daripada kalangan penduduk Pulau Jengka. Wanita itu memang pelanggan tetap kedai ini.

Falah pula sudah berada di luar, mengambil satu demi satu kotak dan mengangkatnya ke dalam. Berat juga.

"Anak kamu Santi di mana? Tidak aku nampak pula." Wanita riuh itu kedengaran bertanya.

"Santi tidak sihat, Ros. Dia sedang berehat di rumah. Kerana itu aku suruh Falah yang mengambil alih tugasnya." Pak Tamoi menjawab.

Falah dapat rasa dirinya dipandang ketika memasuki kedai ini. Namun dia fokus sahaja mengangkut kotak.

"Baguslah.. Memang sepatutnya lelaki yang bantu kamu di kedai ini. Kasihan pada Santi. Dia perempuan dan perlu membuat kerja lelaki."

"Aku tidak menyuruhnya membuat kerja lelaki.. Aku hanya menyuruhnya menjaga kaunter dan menyusun kacang. Lain kerja akulah yang lakukan. Jangan bersangka buruk dengan aku Ros." Pak Tamoi berbahas dengan wanita bernama Ros itu. Sedikit tidak senang bila dirinya dituduh begitu.

Ros ketawa. "Baiklah.. Maafkan aku.."

Suara perbualan antara Ros dan Pak Tamoi tinggal sipi apabila Falah melangkah keluar, hendak mengambil kotak terakhir.

Ketika itulah matanya menangkap kelibat seorang nenek tua yang berkerudung hitam sedang berjalan di tengah orang ramai. Langkahnya bertatih-tatih lemah. Namun tiada siapa mempedulikannya. Semua sibuk dengan kerja mereka.

Falah tidak jadi mengangkat kotak terakhir, perhatiannya terarah pada nenek tua itu lama.

Dia dapat lihat di tangan nenek itu ada sebungkus plastik buah-buahan. Namun buah-buahan itu semuanya sudah buruk dan busuk.

Spontan Falah berkerut tidak senang.

Pastinya ada yang memberi pada nenek yang tampak sangat miskin itu buah-buahan buruk tersebut.

Perlahan Falah menghela nafas. Ikutkan hatinya mahu sahaja dia menghentikan nenek itu di sini dan menggantikan dengan buah yang lebih elok, namun ketika ini dia sedang bekerja dan tidak elok untuk dia keluar dari tempat kerjanya tanpa keizinan majikannya.

Lebih baik dia meminta izin dahulu dengan Pak Tamoi.

Falah memusingkan tubuh untuk masuk ke dalam kedai. Namun baru setapak dia melangkah ke dalam, bunyi sesuatu bergolek kedengaran dari belakang. Falah spontan tunduk pada kakinya. Ada sebiji buah buruk melanggar belakang kakinya. Tahulah dia bahawa semua buah-buahan nenek itu sudah jatuh ke tanah.

Falah menoleh, memandang nenek yang menyedihkan itu. Kelihatan nenek tersebut sedang terbongkok-bongkok mengutip buah-buahan busuk yang jatuh.

Falah tidak dapat menahan dirinya dari membantu, terus dia melangkah merapati nenek tersebut.

"Nek.. Biar saya tolong." Falah menunduk mengutip buah yang jatuh. Nenek tersebut tampak terkejut sedikit dengan kedatangan Falah. Dia serta merta menjauh dari Falah. Wajahnya ditundukkan dari dilihat Falah.

"Buah-buahan ini semuanya sudah buruk, nenek. Biar Falah beli yang lebih elok untuk nenek." Falah lihat plastik yang berisi buah-buahan itu. Semuanya sudah berulat. Sangat menjijikkan. Ketika dia mengutip tadi pun dia sendiri tak sanggup memikirkan bagaimana buah seburuk ini akan dimakan.

Nenek itu diam sahaja. Menunduk. Seakan malu dengan dirinya sendiri.

Falah memandang sahaja nenek tua itu. Tampak sangat uzur.

"Nenek mari ikut Falah.. Falah bawa nenek ke kedai buah. Marilah." Falah mengajak. Plastik buah-buahan yang busuk di tangan nenek itu diambil perlahan. Hendak dibuang. Nenek pun tidak membantah. Hanya mengikut kata Falah.

"Sekejap nenek.. Falah minta izin dengan majikan Falah dahulu. Nenek tunggu di sini." Falah dengan sopan meminta diri untuk pergi berjumpa Pak Tamoi dahulu.

Apabila melihat nenek itu langsung tidak memberi reaksi dengan apa yang dia katakan, malah langsung tidak sudi memandangnya - Falah pun terus menoleh untuk masuk ke dalam kedai.

Namun sekali lagi langkahnya terbejat apabila terasa lengan bajunya ditarik seseorang dari belakang, serta merta ketika itu bulu romanya meremang. Dan apabila merasakan ada nafas di belakang tubuhnya, Falah mengepal tangan. Nafasnya tertahan di dada.

Allah..

"Kau sangat baik Falah."

Suara nenek itu sangat muda dan lembut.

Namun jelas kedengaran dalam suara pasar yang bersesak-sesak.

"Dan kebaikan kau sangat menganggu hati aku."

Terasa ada kepala jatuh pada belakang tubuhnya.

Falah menarik nafas dalam.

Gigi diketap. Liur ditelan. Menyedari sesuatu yang tidak enak.

Apatah lagi apabila terasa bagai seluruh manusia di pekan ini bagai membisu dan beku, dan telinga bagai berdesing dalam kesepian..

Falah sedar di belakangnya ini, bukan seorang nenek yang biasa.

"Selamat berkenalan Falah." Suara itu tajam.

"Jawapan untuk hari itu." bisiknya.

Falah tergamam. Angin berdesup masuk dalam pendengaran. Keriuhan pasar bagai memekak kembali. Suasana kembali normal. Tiada lagi bunyi berdesing di telinga.

"Falah? Kenapa muka pucat sangat tu?"

Suara milik Ros menyedarkan Falah. Terus matanya memandang wajah wanita itu. Nafasnya terasa sendat dalam dada.

"Dan kenapa tercegat dekat tengah jalan tu?" Ros bertanya hairan. Pelik apabila melihat susuk Falah berdiri di tengah jalan.

Falah mengerdip mata pantas, tersedar sesuatu. Spontan dia menoleh ke belakang. Mencari kelibat nenek tadi. Dan seperti yang dia jangka, kosong. Hanya ada pengunjung pekan yang lalu lalang.

Nenek tersebut tiada.

"Falah?"

Dan dia pasti, hanya dia yang dapat melihat nenek itu tadi.

MALAM. Pulau Jengka bergelap. Tiada walau sebiji cahaya dipasang. Semua mematuhi undang-undang.

Untuk kediaman Miftahul Iman ini pula, seperti biasa sebatang lilin menjadi penyeri malam. Selepas solat Isyak berjemaah tadi, Henry dan Iman mula memasuki bilik. Tinggal hanya Falah bersendiri di musolla. Masih menghadap kiblat dengan pelitanya menemani di sisi. Di situ dia membaca AlQuran. Menatap mushaf yang sangat dia sayangi. Hadiah dari abang angkatnya, Tengku Hairi.

Mengingati lelaki itu benar-benar buatkan Falah dirundung kesedihan. Cepat-cepat dia membaca Al-Fatihah untuk lelaki itu. Hatinya sebak. Mendoakan yang baik-baik sahaja untuk arwah.

Setahun mengenali lelaki itu memberi begitu banyak ilmu baru padanya, daripada ilmu asas sehingga ilmu furu'. Tengku Hairi begitu banyak mengajarnya tentang kehidupan.

Sejak itulah dia baru mengetahui tentang pentingnya solat berjemaah, bahawa pentingnya bacaan AlQuran setiap hari, besarnya kelebihan dalam berzikir. Hidupnya selama 25 tahun berlalu dengan sia-sia begitu sahaja. Dan pada usia 26 tahun barulah dia mengetahui semua perkara itu. Allah.

Kerana itulah, mengenali seorang Tengku Hairi ialah satu anugerah untuknya. Tanpa lelaki itu mungkin dia hari ini ialah Falah yang masih tahu berfoya-foya.

Falah terus membaca AlQuran. Menyedekahkan bacaan ini pada Tengku Hairi.

Ketika itulah dia terdengar bunyi pintu bilik dibuka, dari ekor matanya dia dapat lihat Iman baru sahaja keluar dari biliknya.

"Falah.. Akak nak guna pelita tu sekejap.. Nak masuk tandas."

Falah memandang Iman bersama anggukan, memahami kehendak kakaknya.

Iman tanpa berlengah, mengangkat pelita itu dan membawanya ke dapur. Serta merta musolla jadi gelap gelita. Falah meneruskan bacaan AlQuran daripada hafalannya.

Namun entah kenapa hatinya jadi tidak sedap secara tiba-tiba. Jantungnya berdegup pantas melebihi kadar normal.

Bacaannya perlahan-lahan dihentikan. Bibir diketap.

Dia termangu seketika. Memandang kegelapan di hadapan.

Dengan apa yang terjadi lewat pagi tadi, Falah jadi cepat bersangka buruk. Hatinya cepat sahaja gelisah.

Suara nenek itu bagai terngiang-ngiang dalam pendengarannya.

Falah meraup wajah. "Allah.."

IMAN selesai membuang air kecil. Membetulkan seluarnya ketika keluar dari tandas. Selesai hajatnya walaupun dalam gelap. Pelita yang dia letak di kabinet dapur hanya memberi sedikit cahaya untuknya ketika dalam tandas tadi. Namun kerana sudah biasa dengan keadaan begitu sejak menetap di sini, maka dia sudah tidak rasa kekok lagi.

Iman membasuh sedikit tangannya di singki dapur, sekadar membasahkan kawasan yang kering. Selesai semuanya, dia menoleh untuk mengambil pelita.

Namun entah kenapa tiba-tiba sahaja tubuhnya mengeras, nafasnya jadi tersekat-sekat. Iman cepat-cepat berdehem. Mahu menepis rasa aneh yang mendatang dalam dadanya.

Pelita itu diambil. Nafasnya makin sesak. Tekaknya rasa kering. Liur ditelan berkali-kali namun masih kering. Malah makin dia menelan liur makin perit pula jadinya.

Iman tidak selesa. Wajahnya jadi berkeringat. Nafasnya terasa sukar. Lilin dalam pegangannya dipandang lama.

Ada sesuatu yang merasuk dirinya. Menyuruh dia menelan api pada lilin itu. Mengatakan bahawa tekaknya akan jadi lega selepas dia menelan bara tersebut.

Tekaknya makin perit. Nafas makin sukar.

Api itu ubatnya.

Ya, api itu ubatnya.

Telan api itu.

Telan.

Kau hanya perlu telan dan tekak kau akan lega, Iman.

Iman dekatkan pelita itu pada mulutnya. Tekaknya terasa sangat-sangat kering. Bagai sudah luka. Menambah rasa inginnya untuk menelan api itu.

Bibirnya dibuka perlahan. Hendak menelan api itu hidup-hidup.

Hendak melegakan tekaknya yang makin perit. Tubuhnya mula berpeluh-peluh. Dia seperti terkhayal dengan dadah, dan dadah itu ialah api tersebut.

Perlahan bara itu dimasukkan ke dalam..

Zap!

Sedetak nafas bahang yang seakan membakar kulit pipinya dan bibirnya - hilang.

Wajah serius Falah muncul dalam ruangan pandangan. Iman tidak sedar apa-apa. Apa dia tahu sekarang Falah sedang menatapnya tajam dengan nafas tercungap-cungap dalam keadaan memegang kejap bekas pelita.

Dan dia tidak mengerti apa-apa. Tekaknya rasa normal. Jiwanya jadi tenang. Jantungnya berdegup sederhana.

"Falah? Falah buat apa dekat sini? Teman akak eh?" Iman mengusik nakal. Tidak sedar akan wajah pucat Falah dalam cahaya lilin. Sedang menatapnya dengan pandangan yang tidak mampu ditafsirkan.

"Akak okay je lah.. Akak naik atas dulu." Iman pun melangkah naik ke atas. Tiba-tiba dia rasa mengantuk amat. Bibirnya menyanyi kecil. Hatinya bahagia.

Falah pula pegun di tempatnya. Nafasnya yang tadinya seakan hendak tercabut- disedut dalam-dalam. Hanya Allah yang tahu betapa jantungnya hendak tertanggal ketika melihat situasi mengerikan tadi.

Jelas dia dapat melihat tadi Iman hendak menelan api.

Menelan api.

"Allah.. Allah."

Falah terduduk.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro