| Falah | 28

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

DARIPADA pagi, menginjak tengahari, memasuki waktu zohor dan berlanjutan terus ke waktu asar, dan saat matahari sudah pun terbenam - Falah tetap tidak sedarkan diri.

Tubuh itu kelihatan kaku di atas tilam nipisnya, bernafas perlahan dengan wajah yang sudah pun bersih. Iman yang membersihkannya pagi tadi sebaik sahaja pulang dari rumah Tok penghulu. Ketika itu hanya tuhan yang tahu betapa remuk hati Iman apabila mendapati begitu banyak lebam di muka Falah.

Hatinya berkali-kali mengulang soalan,

Kenapa Falah tidak melawan?

Padahal semua tahu, jika Falah mengeluarkan seni tempurnya melawan Osman- pasti bapa Nuna itu bakal menjadi lebih lunyai daripada tadi.

Iman mengeluh panjang. Memerhati sahaja wajah adiknya yang sedang lena itu. Tenang. Langsung tiada kerutan di wajah itu. Memang sedari pagi tadi wajah itu damai sahaja, langsung tidak tergugat dengan apa-apa.

Hanya sekali wajah itu berkerut; yaitu waktu tubuhnya dicucuk painkiller oleh Henry selepas zohor tadi. Namun tetap juga Falah tidak jaga dari tidur panjangnya itu. Entah apa yang dia mimpikan sehingga tidak mahu bangun.

Pintu bilik dibuka, muncul Henry di muka pintu. Iman menoleh, bertatapan dalam bahasa bisu di bawah samar cahaya pelita yang dipasang di bilik ini. Juga pelita yang dbawa Henry.

Sehinggalah Henry melabuhkan duduk bertentangan Iman, mengambil tempat di sisi Falah. Pelita yang dibawanya dipadamkan. Tidak mahu menghasilkan cahaya yang kuat.

"Dah solat?" Iman bertanya.

Henry mengangguk. Menyimpan pelita yang sudah tidak digunakan ke tepi dinding. Isyak baru sahaja masuk, dan dia telah pun menunaikan solat itu sebaiknya. Berseorangan tanpa Falah.

Iman menghela nafas. "Sampai bila kita kena tunggu?"

Henry mengemaskan duduk, menatap wajah Iman. "Kita tunggu Falah sedar." jawabnya.

"Sampai bila? Bila Falah akan sedar?"

"Bersabarlah." Henry memujuk. Dia sendiri pun sebenarnya tidak betah lagi untuk menetap dalam rumah ini. Ikutkan hatinya mahu sahaja dia membuat panggilan pada pasukannya di sana untuk mengambil mereka menggunakan helikopter, lantas dengan itu mereka dapat pulang sekaligus dapat membawa Falah ke hospital.

Hakikatnya itulah dalam fikirannya ketika ini, tapi entah kenapa..

Walaupun fikirannya mendesak untuk pulang sesegera mungkin ke Melaka, namun hatinya melarang. Hatinya kerap berpesan supaya bersabar menunggu sehingga Falah sedar - apabila Falah sudah sedar barulah ketika itu mereka akan membuat keputusan bersama-sama.

Henry meraup wajah dengan dua tangan, sedar tidak sedar dia sudah pun berbaring menelentang di sisi Falah. Meletakkan dua tangan di perutnya.

Sekejap dia meringis sakit bila kekura tangannya bersentuhan. Luka kerana menumbuk rahang Osman masih berbekas. Tadi dia sudah pun meletakkan ubat, tapi masih terasa berdenyut bila bersentuhan.

"Tangan you macamana?" tiba-tiba Iman bertanya. Matanya mengerling tangan Henry.

"Okay.. Sikit je." jawab Henry seraya mengurut tangan itu perlahan dengan berselang seli. Mahu mengurangkan denyutan.

Iman geleng kepala. Itulah, menumbuk orang macam nak membunuh.

"Falah tak pernah pengsan lama macam ni.." Iman bercerita selepas lama diam. Nafas dihela panjang. Matanya tidak lepas menatap wajah Falah.

Henry hanya mendengar. Jeda seketika. Hanya cengkerik malam kedengaran saling bersahutan. Bingit.

"Sebelum ini waktu dia pengsan sebab terkena dos tidur, tak sampai lima jam dia dah bangun." Iman risau.

"Itu sebab dia dapat rawatan yang bagus. Dekat sini apa je ada.. Nak cari ubat selsema pun tak ada. Nasib baik dah bawak peti kecemasan." Henry membalas. Matanya lama menatap siling. Mula rasa mengantuk. Gelap dan sejuk begini buat matanya mudah sahaja mengantuk.

Iman diam sahaja. Ada betulnya apa yang Henry cakap. Sememangnya tiada walau satu pun ubat moden yang terjual di Pulau Jengka. Di pekan pun hanya ada sebuah kedai menjual ubat, itu pun herba dan ubat tradisional. Tidak kena dengan tekak bandar mereka.

"Kita tunggu sahaja sehingga esok pagi, kalau esok Falah tetap tak bangun. Tak dapat tidak kita kena bawa dia pulang ke Melaka untuk dapatkan rawatan di hospital." Henry sudah pejamkan mata. Tangannya sempat merembat bantal miliknya yang tersadai di tepi dinding lalu dijadikan alas kepala. Hatinya malas untuk menghampar comforter gebunya seperti biasa. Biarlah dia tidur atas lantai, badannya terasa sangat penat.

Mungkin kesan membelasah orang.

Iman mengangguk tanpa sedar. Menyetujui cadangan Henry untuk menunggu sehingga esok pagi. Sekurang-kurangnya waktu itu mereka lebih bersedia untuk pulang ke tanah air.

"Lagipun Tok penghulu bagi kita guna rumah ini sehingga Falah sihat. Jadi tunggu jelah sehingga Falah betul-betul sihat." Henry bersuara lagi. Suaranya makin lama makin perlahan.

Jeda.

"Henry.." Sekali lagi Iman memanggil. Perlahan sahaja.

"Ermm.."

"You tahu.." Iman memandang Falah. "Sebelum Falah pengsan dekat rumah Tok penghulu tadi, dia ada cakap sesuatu.."

Mata Henry yang sudah tertutup terbuka balik. Terus menatap Iman serius.

"Dia cakap apa?"

"I tak pasti.. I cuma dengar dia sebut nama Nuna and lepas tu dia terus pengsan."

"Nuna?"

"Haah.. Dia macam nak bagitahu sesuatu tentang Nuna." Iman angkat bahu. "But I pun tak dengar betul-betul waktu tu sebab bising sangat orang tu membelasah." Dalam diam memerli Henry.

Henry yang sedar dirinya diperli mencebik, terus kembali memandang siling.

Nuna?

Apa yang Falah hendak beritahu tentang budak kecil itu?

Iman diam sahaja memandang Henry yang tampak berfikir panjang itu, perkara itu telah serabut dalam fkirannya sejak pagi tadi lagi. Memikirkan apa sebenarnya yang hendak diberitahu Falah berkenaan Nuna?

Iman mula rasa mengantuk. Terus mengangkat dua lututnya, lalu tubuhnya dibawa bersandar ke dinding. Matanya kuyu, padahal jam baru sahaja menunjukkan pukul sembilan malam.

Henry tidak semena menguap, jari naik menggosok mata. Bantal kecil diselesakan pada kepalanya.

Dalam kantuk begitu dia sempat menjeling ke arah Iman. Dilihatnya Iman sudah tersandar lesu ke dinding. Samar-samar kelihatan mata Iman terkebil-kebil mengantuk.

"You nak tidur dekat sini ke?" Soal Henry dengan mata pisat.

Iman memandang Henry, diam.

Tidur sini?

Iman tak tahu nak jawab apa. Dia cuma mahu tidur.

"Guna comforter I. I tak nak guna malam ni." Henry dengan segera menarik comforter miliknya yang terlipat di tepi dinding dan ditolak le arah Iman. Falah yang sedang lena di tengah sudah dirasakan tidak wujud.

Iman lambat-lambat menyambut. Pegun.

Henry sudah lelapkan matanya. Berbaring menelentang dengan lengan ditindih bantal tidurnya.

Iman mencengkam comforter milik Henry. Ditarik merapat ke dada.

Nafasnya dihela panjang-panjang.

CENGKERIK dan unggas membingit. Saling bersahutan seolah berzikir menyebut nama Rabb. Bunyi ombak sayup-sayup kedengaran memecah sepi.

Matanya dibuka kelat. Serta merta menatap kegelapan di hadapan. Dadanya berombak perlahan. Nafasnya tenang. Tubuhnya dibawa duduk lambat-lambat. Terasa lenguh satu badannya. Apatah lagi wajahnya, terasa bagai bengkak seluruh muka. Hendak buka mulut pun terasa payah.

'Allah..'

Falah menghela nafas. Hanya kepada Allah tempat mengadu.

Sejenak dia bertenang, membaca beberapa potong ayat dalam hati sekadar memohon agar kelapangan jiwa. Sebelum matanya kembali dibuka lantas mata hitamnya ligat mencari di mana pelita. Memandangkan pelita sudah padam dan bilik juga sudah gelap sepenuhnya, Falah terpaksa bergantung dengan deria rasanya dan pendengarannya.

Dia dapat rasa ada haba manusia berjantina lelaki di sebelah kirinya, dan haba wanita di sebelah kanan. Tahulah dia bahawa kini Henry sedang berbaring di sebelah kiri dan Iman berbaring di sebelah kanannya.

Dengan langkah cermat lagi berhati-hati, memerhati setiap langkah untuk mendapatkan pelita di tengah kegelapan ini - akhirnya tangannya dapat menyentuh bekas pelita itu. Jemarinya pantas meraba bekas tersebut lalu pemutar di tepi badan pelita itu dipulas ke kanan.

Sejenak api muncul dari pelita tersebut, menebarkan cahaya malap. ke serata bilik.

Lafaz hamdalah berbisik dalam hati. Dengan kaki yang sedikit goyah dia bangun, sebelah tangan menampung tubuh di dinding dan sebelah lagi memegang pelita. Sempat dia memandang pada Henry dan Iman yang begitu lena di tempat masing-masing. Henry hanya berbaring di atas lantai dengan bantal peluk di kepalanya manakala Iman sudah selamat berbungkus dengan comforter Henry.

Satu pemandangan yang aneh namun itu bukanlah satu perkara yang besar bagi Falah ketika ini, ada sesuatu yang lebih menghempap dadanya ketika ini sehingga membuatkan dia dengan gigih bangkit.

Solat fardhunya.

Zohor, asar, maghrib dan Isyak. Semuanya masih dalam tanggungjawabnya.

SAAT air mengena wajah, dia hanya mampu mengetap gigi menahan sakit yang berlari di serata wajahnya. Rasa ngilu, bengkak, lebam, luka dan segala macam jenis rasa bagai berperisa pada setiap sentuhan air wuduk itu.

Namun Falah tidak berputus asa, meraupkan sahaja air jernih itu ke wajahnya dengan semangat yang utuh. Berniatkan pahala. Mengikut sunnah. Berharap reda dariNya.

Sehinggalah wuduk itu berakhir pada basuhan kaki, dia tetap gigih membasuh kakinya sebaik mungkin. Biarpun tapaknya goyah, betisnya menggigil.. Biarlah, dia mahu usahanya ini dipandang oleh Rabb.

Kerana Rabb tidak memandang hasil namun memandang usaha.

Selesai mengambil wuduk, langkah dibawa ke musolla, menghadap kiblat seraya beristighfar tiga kali dan membaca la haula wala quwwata illa billah tiga kali. Itu memang amalannya setiap kali sebelum solat. Dan takbir diangkat.

Solat mutlak menjadi pembuka solatnya malam itu. Sebelum disusuli dengan semua solat yang telah dia tinggalkan sepanjang dia tidak sedarkan diri.

Hanya kesepian yang menemaninya sepanjang solat ini. Namun kesepian itulah menyembulkan keindahan dalam mencintai Tuhan.

Pantas masa berlalu, sedar tidak sedar Falah sudah selesai solat qadha'nya. Termangu sekejap di tikar sejadah. Duduk tahiyat akhir dengan rendah diri.

Di situ fikirannya mengelamun, mengingati sesuatu. Fokusnya untuk berdoa mahupun berzikir hilang seketika. Ingatannya lebih terarah untuk mengingati kejadian pagi tadi.

Hatinya sesak.

"Nuna." Bibirnya menyebut nama itu. Satu rasa sebak menjalar masuk dalam hati.

Nuna.. Insan pertama yang beriman dengan Allah di Pulau Jengka ini.

Falah memejam mata. Menghela nafas berat.

"ASH hadu alla ilaha illallah.." Bibir kecil itu pelat menyebut. Mengulang kembai perkataan Falah tadi.

"Wa ash hadu anna muhammadan Rasulullah."

Pelat. Namun indah di telinga Falah.

Sehingga Falah tanpa sedar tersenyum. Senyuman yang bercampur antara gembira dan sebak.

Nuna tersengih. "Macam tu ke pacik? Betul ke Nuna shebut?"

Falah tertawa kecil, ada nada sebak dalam suara itu.

"Betul.. Betul apa Nuna sebut." jawabnya.

Nuna tersenyum suka. "Jadi bila Nuna shebut ayat ini, Nuna boleh jumpa Allah?" Soal Nuna sekali lagi.

Falah menatap bening wajah tembam itu. Wajah seorang kanak-kanak yang sedang mengharapkan sesuatu yang sangat besar.

Ketika dia baru sahaja selesai berbincang dengan Tok penghulu di petang hari ini, tiba-tiba sahaja Nuna menariknya untuk duduk di pangkin di luar rumah. Dan di situlah Nuna bertanya satu soalan yang tidak pernah dia sangka akan keluar dari mulut seorang kanak-kanak berumur empat tahun seperti Nuna.

'Macamana Nuna nak jumpa Allah? Nuna nak jumpa dia!'

Itulah ayat yang diulang-ulang Nuna sehingga akhirnya Falah akur untuk mengajar kalimah syahadah pada Nuna. Dengan menyatakan jika Nuna mengucapkan kalimah itu, maka Nuna akan dapat berjumpa dengan Allah.

Kerana itulah ketika ucapan itu sudah lancar di lidah kecil itu, dengan tidak berputus asa kanak-kanak itu bertanya pada Falah.

Adakah dia dapat berjumpa dengan Allah?

Falah tersenyum."Ya, Nuna akan dapat jumpa Allah."

Nuna tersenyum girang mendengar ayat itu. Seolah ianya satu berita gembira untuk seorang Nuna.

FALAH meraup wajah.

Memori petang itu begitu segar. Saat seorang Nuna telah mengaku keislamannya tanpa pengetahuan sesiapa.

Nuna seorang muslimah. Kerana itulah Falah dengan bersungguh-sungguh ingin melihat sendiri keadaan Nuna apabila mendapat berita kematian kanak-kanak itu, sekaligus dia ingin memberitahu keluarga Nuna - bahawa Nuna sekarang beragama islam.

Dan sepatutnya untuk jenazah Nuna diuruskan dengan cara orang islam. Dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan di dalam liang lahad.

Itu hak Nuna.

Namun, sepastinya kini jasad kecil Nuna sudah pun berada di balik kambusan tanah. Dikebumikan tengahari tadi dalam upacara Pulau Jengka yang Falah sendiri tidak pasti bagaimana.

Dan itu jelas menujukkan bahawa Falah sudah terlambat menguruskan jenazah kanak-kanak itu dengan cara orang islam.

Spontan Falah menghela nafas.

Meraup wajah untuk kesekian kalinya.

"PACIK, lepas ni Nuna boleh jumpa Allah kan?"

Falah tersenyum sahaja untuk soalan yang entah ke berapa kali diulang itu.

"Allah mishti chantik kan? Dia kan buat benda chantik-chantik. Laut, pantai, lanyit.." Nuna senyum pandang langit. Matanya disepetkan kerana silau.

Falah hanya memerhati.

Allah Maha Cantik. Hati Falah dilanda sebak.

"Kan pacik?" Nuna turunkan pandangan. Mukanya bersinar bahagia.

Perlahan Falah angguk. Bibirnya tersenyum keruh.

"Allah sangat cantik Nuna. Kecantikannya tiada tandingan." Falah rasa matanya berkaca.

Nuna ketawa gembira. "Tashabarnya Nuna nak jumpa Allah!"

Dan saat itu mata Falah sudah kabur dengan air. Tangannya yang menggigil digenggam.

Nuna. Seorang kanak-kanak yang telah mengajarnya sesuatu yang sangat besar.

Dalam satu waktu singkat, Nuna telah menunjukkan sesuatu yang selama ini tidak disedari sesiapa yang beragama islam.

Rasa tidak sabar berjumpa Allah. Rindu pada Allah.

Berada dengan Nuna membuatkan Falah tidak mampu berkata apa-apa saat melihat betapa terujanya Nuna mahu berjumpa satu Zat Yang Telah Menciptakan Langit dan Bumi.

Wajah Nuna ikhlas. Wajah kecil itu tidak berbohong. Dia memang benar-benar teruja.

Falah tunduk. Tidak sedar bilakah air matanya bertakung di tubir mata.

"Nuna.." dia berbisik seraya memejam mata. Memanggil nama itu. Air matanya jatuh.

"Nuna dah jumpa Allah kan?" Dan air matanya jatuh lagi dan lagi. Dadanya sesak.

"Allah cantik kan?" Falah tidak dapat menahan tangisannya.

"Pacik pun nak jumpa Allah.." Dan Falah terus teresak-esak. Perasaan dalam dadanya bercampur baur. Tersumbat penuh sehingga menyesakkan.

"Pacik pun tak sabar nak jumpa Allah."

Dan dinihari hari ini, Falah menangis lagak anak kecil.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro