| Falah | 31

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng



"TAK sangka.." Iman mengeluh berat.

"Tok penghulu.." Henry tersengih kelat. "..itu Dr Razak? Pernah jadi hamba Si Mona?"

Tak logik. Seakan bohong.

Henry mengeluh keras.

"Jadi Falah nak kata di sini, serunai maut itu betul-betul wujud?" Henry kemudian pandang Falah.

Falah membalas pandangan Henry.

"Tiada apa yang mustahil dalam kuasa Allah. Jika tali tukang sihir di zaman Nabi Musa boleh menjadi ular pada pandangan kasar manusia, begitu juga yang berlaku pada serunai ini. Sihir, ilmu hitam, ilmu nujum dan seumpamanya, semuanya ialah ujian yang Allah berikan pada manusia di muka bumi ini." panjang Falah menjelaskan. Wajahnya tenang sahaja walaupun terbias lebam dan luka di beeberapa sudut.

Henry mengeluh panjang mendengarnya.

"Semuanya sangat mengejutkan." Iman bersuara selepas beberapa jeda. Matanya terangkat memandang Henry dan Falah bersilih ganti.

"Mula dengan kematian Nuna, kemudian kita baru tahu rupanya Nuna sudah islam, belum lagi cerita tentang Dr Razak yang masih hidup sebagai Tok penghulu. Lebih mengejutkan rupanya Tok penghulu pernah jadi hamba Mona selama setahun? Dia yang canang-canangkan cerita tentang serunai maut ini pada semua orang? Dan cara untuk lepaskan diri dari Mona hanya dengan pengorbanan? Ugh.. I rasa nak muntah." Iman terasa sangat pening dengan kejutan-kejutan ini sehingga terus buat muka hendak muntah. Sebu perutnya mendengar semua rahsia ini dibongkarkan.

Henry sudah menggaru kepala. Masing-masing sedang cuba memahami satu persatu kenyataan yang kedengaran mengarut itu. Haih.. Susah.

"Jadi apa kita nak buat sekarang?" akhirnya selepas beberapa lama diam, Henry membuka soalan tersebut. Sudah tidak sabar menungu keputusan yang akan diberikan Falah.

Falah tersenyum pada Henry dan Iman. Hanya senyuman nipis.

"Falah mahu tetap di sini. Jadi Falah akan berjumpa dengan Tok penghulu di belakang Jalan Pohon Kuning."

"Falah mahu perangi Mona?" Iman rasa nak tergelak bila menyebut perkataan 'perangi'. Tiba-tiba dia terbayangkan Falah menaiki kuda sambil menghunus pedang.

"Jika itu pilihan terakhir yang ada." Falah mengangkat bahu.

"Maksudnya? Falah tak nak bunuh dia ke?" Henry berkerut kening.

"Dakwah itu yang pertama, jika ditolak maka perang ialah pilihan kedua." Kaifiat dakwah Rasulullah itu disebut. Itulah yang dipegang Falah sebagai panduan hidupnya.

Henry dan Iman saling berpandangan.

Selepas berbincang sesama sendiri menggunakan bahasa isyarat dan telepati yang kononnya ada di antara mereka berdua, akhirnya Henry bersuara,

"Abang dengan akak ikut sekali."

Dan Falah terus tersenyum gembira.

JAM 0900, mereka bertiga bertungkus lumus mengemas kediaman ini. Sekurangnya biar rumah ini menjadi kemas dan kosong daripada barangan peribadi mereka. Barangan lain yang berupa makanan atau keperluan sengaja ditinggalkan di sini, Falah mengesyorkan untuk meminta Tok penghulu menyedekahkan pada penduduk kampung. Hanya beberapa sahaja yang dibawa mereka sebagai bekalan.

Sungguh, perjalanan yang akan mereka hadapi ini masih di luar jangkaan.

Adakah tempat itu jauh? Atau tempat itu dekat? Tempat itu berbahaya? Atau tempat itu sangat mudah untuk pergi?

Semuanya masih tidak diketahui.

Namun atas tawakal yang tinggi dari Falah, akhirnya mereka hanya membawa satu beg galas bagi masing-masing. Membayangkan seolah mereka kini hendak melakukan hiking di sebuah pergunungan.

Bayangkan sahaja..

Sedar tidak sedar, sudah tiga jam mereka berkemas di kediaman ini. Bermaksud lagi sejam sebelum matahari tergelincir.

Dan seperti yang Tok penghulu janjikan, dia akan menunggu di belakang Jalan Pohon Kuning sebelum matahari tergelincir. Maka mereka bertiga perlu segera menyelesaikan kerja sebelum keluar dari kediaman ini pada waktu tersebut.

"Falah,"

Ketika mereka sama-sama menggalas beg dengan pakaian yang sudah serba sempurna untuk 'mengembara', Henry memanggil perlahan.

Falah mengangkat wajah.

"Apa akan jadi dengan masjid ini?" Henry bertanya. Sedikit sedih.

Wajah Falah berubah. Turut sayu mendengar soalan tersebut.

Iman yang sedang mengemaskan begnya hanya mampu menunduk.

"Jika Allah kehendaki kebaikan untuk penduduk kampung ini, maka insyaallah.." Falah menyangkut beg di bahunya. Bibirnya tersenyum nipis. "..tanpa kita pun, masjid ini akan makmur." sambungnya.

Henry tersenyum kagum.

Benar.

"BETUL ke kita tak perlu laporkan pada pihak sana tentang apa yang kita buat ini?"

Mereka sudah pun memulakan perjalanan, menuju ke Jalan Pohon Kuning seperti yang dikatakan Tok penghulu. Jalan tersebut sedikit mengunjur ke dalam, sekitar dua batu dari pantai. Jadinya di sini keadaan jadi sangat sunyi kerana tiada penduduk kampung.

Dan di tengah perjalanan ini, Iman mengeluarkan soalan tersebut.

"Maksud you, tentang kita hendak pergi mencari Mona?" Henry menjongket kening.

"Ya.. Dan juga tentang semua yang sudah berlaku, seperti Dr Razak masih hidup, kematian beramai-ramai tiga puluh tahun lepas.. Semua itu penting kut untuk penyiasatan." Iman melajukan sedikit langkah sehingga berada di sebelah dua lelaki itu, tadi dia berjalan seorang diri sahaja di belakang.

Jalan di sini sedikit menyeramkan hakikatnya.

"You ingat diorang akan percaya?" Henry membuat muka.

Iman seakan baru tersedar.

"Lagi-lagi kalau singa laut tu tahu, you ingat dia akan percaya cakap kita? Entah-entah dituduhnya kita ini gila sebab bergaul dengan penduduk Pulau Jengka." Henry sudah dapat menjangka perkara itu.

Kerana jika dia berada di tempat Dato' Hussain, pasti dia juga akan merasakan begitu.

"Biar sahajalah.. Kita teruskan dengan penyiasatan kita, mereka teruskan dengan penyiasatan mereka." Henry malas hendak layan.

Iman senyap seketika.

"Kadang I terfikir jugak, macamana penyiasatan diorang agaknya? Apa yang diorang dah jumpa di sana? Ada apa-apa perkembangan ke?" Iman tiba-tiba teringatkan perkara itu.

Henry mengeluh. "Aiman bagitahu I.. Tak ada apa. Penyiasatan semua bertemu titik mati. Baru-baru ini Dato' Hussain ada buat sidang media tentang kes ini. Tapi Aiman kata kebanyakan jawapan yang Dato' Hussain beri tak jelas, macam mengelat. Lebih baik tak buat sidang media kalau begitulah jadinya." Henry tergelak sinis.

"Laa.. Kenapa you tak ada pun cerita dekat I? Ini I baru tahu tau!" Iman bengang sedikit kerana baru tahu.

"Now I sedang cerita dekat you kan? Lagipun bukan penting pun. You kan tak suka dengar cerita pasal singa laut tu."

"Yalah.. Memang I tak suka, tapi I berhak jugak tahu okay pasal penyiasatan kes ini!" Mata Iman terjegil.

"Jadi kalau macam tu, I kena cerita semuanya dekat you?"

"Eh mesti!"

"Kita dah sampai.. Jalan Pohon Kuning." Suara Falah yang sedari tadi diam memintas pergaduhan kecil mereka. Langkah mereka mati di tengah lorong tidak bertar yang dikelilingi pokok-pokok tinggi ini.

Serta merta mereka memandang Falah, terlihat Falah sedang memandang ke sana sini. Mencari sesuatu.

Henry turut berbuat sama, begitu juga Iman.

Mencari orang yang berjanji untuk berjumpa mereka ke sini.

"Kalau dia tak datang, I tak beragak nak cari dia dekat rumah." Henry sudah kedengaran bengang.

"Sabarlah. Nanti dia datanglah tu. You ni dari semalam nak marahkan dia. Dia banyak tolong kita kut dekat kampung ni." Iman menegur.

"Memanglah tapi tengok sekarang, dia halau kita dari rumah. Huh.. Nampak sangat selama ini dia berlakon sahaja."

"Dia bukan halau tapi dia cuma mahu kita keluar, lain maksudnya tu.. Jangan salah anggap boleh tak. You ni suka sangat sangka buruk."

"I bukan sangka buruk, I cuma terkilan.. Yalah, tiba-tiba nak halau kita--"

"Bukan halau, minta kita keluar. Minta kita keluar." Iman bertegas. Sepatah-sepatah dia sebut.

"Okay.. Minta kita keluar. Eh sama jelah."

"Tak sama okay.."

Batuk Falah kedengaran. Perlahan namun bersirat.

Mereka berdua yang bertekak itu saling mengerling Falah. Seakan baru menyedari kewujudan Falah di antara mereka berdua.

"Dia ni yang tiba-tiba nak marah." Henry menjeling Iman. Mengadu pada Falah.

Iman terjegil mata. "Eh.. Sorry. You tu yang marah-marah dekat Tok penghulu, apa salah dia pun I tak tahu."

"You tanya apa salah dia? Dia halau kita! You takkan tak nampak lagi?"

"Tak masalahnya sekarang ini, yang you nak marah sangat Tok penghulu tu kenapa? Dia nak tolong kita sekarang pun dah kira okay!"

"Yang you nak bela dia sangat dah kenapa? Apa masalah you ni? Ikut I lah nak marah ke apa. Atau you dah jatuh suka dengan lelaki tua tu? Heh. Tak ingat, dia kan doktor.." Henry tergelak sinis.

"Hei! What's wrong with you? Tiba-tiba je cakap macam tu!" Iman berkerut seribu.

Serius dia tak faham dengan sikap Henry yang pelik ini. Meremang bulu romanya.

Henry yang tadinya berwajah selamba jadi turut berkerut. Matanya membesar. Baru tersedar akan bicaranya tadi.

"Yeah.." Bibirnya disentuh.

"What's wrong with me?" Dia berbisik sendiri. Tak percaya.

Iman sudah menjauh dari Henry, berdiri di sebelah Falah.

"Falah.. Kenapa dengan Henry tu?" Iman berkerut ngeri. Menatap wajah Henry yang sudah pucat sendiri di tempat berdirinya.

Henry kelihatan gelisah. Berkali-kali meraup wajah. Entah kenapa fikirannya terasa berserabut secara tiba-tiba. Mulutnya pula langsung tidak bekerjasama dengan akal. Ikut hati sahaja hendak bercakap. Boleh jadi sahaja jika dia biarkan bibirnya bergerak, maka perkataan lebih pedas bakal keluar.

Dan yang lebih parah, entah kenapa hatinya jadi sangat membenci Tok penghulu. Seolah mahu sahaja dia merodok perut lelaki tua itu sekarang. Sehinggakan dia rasa sungguh jengkel pada Falah dan Iman kerana sangat mempercayai Tok penghulu.

Satu perasaan yang menakutkan.

Henry meraup rambut pula. Cuba membuang perasaan marah itu jauh-jauh. Cuba menahan mulutnya dari terus bercakap lancang.

Otaknya berselirat. Seakan ada bisikan yang menghasutnya untuk terus membenci Tok penghulu. Untuk terus bergaduh dengan Iman berkenaan Tok penghulu.

Apa kena dengan aku ini?

Henry dapat rasa nafasnya mula berat dan panas. Makin dia menahan dirinya dari bercakap benda yang bukan-bukan lagi teruk rasa panas ini membakar diri.

Ya Allah..

"Abang Henry,"

Panggilan Falah memintas tekanan perasaan Henry.

Henry mengangkat wajah dengan payah. Peluh jantan mengalir dari celah rambutnya jatuh ke wajah. Dia terasa kepanasan padahal cuaca tak adalah panas sangat.

"Istighfar abang. Istighfar." Falah bersuara dengan wajah serius.

Henry meraup wajah lagi. Sekaligus mengesat peluh.

"Astaghfirullahalazim. Astaghfirullahalazim. Allahuakbar." nafasnya dihembus berkali-kali.

Cuba melapangkan dada.

Iman yang bersembunyi di balik bahu Falah hanya mampu menatap ngeri keadaan itu. Tidak berani dia untuk berkata apa-apa kerana dia sendiri pun tidak faham.

Apa sebenarnya yang sudah berlaku?

Falah menghampiri Henry, menggosok-gosok belakang tubuh abang iparnya itu. Sambil itu dia membaca ayat-ayat al-quran penenang hati.

"Kenapa? Apa jadi Falah? Kenapa dengan abang ini?" Dengan nafas yang masih mengah bagai baru berlari seratus kilometer, Henry bertanya. Tertunduk dia dibuatnya 'melawan' rasa yang merakus dalam dirinya ini.

Matanya menatap lama wajah Falah di sebelahnya. Terima kasih pada Falah kerana dengan gosokan di belakang tubuh itu, hatinya beransur tenang.

"Syaitan. Biasalah tu abang. Dia tak suka perjalanan kita." Falah menepuk-nepuk belakang tubuh Henry tiga kali.

"Huh?" Henry berkerut.

Syaitan?

Falah tersenyum nipis. Tampak gembira.

"Alhamdulillah. Nampaknya perjalanan kita sedang menuju arah yang benar, kerana itu syaitan mengganggu. Dia tak suka kita berjumpa Tok penghulu, jadi dia hendak menimbulkan sangka buruk dalam hati salah seorang kita terhadap Tok penghulu." Falah menghela nafas lega.

Betapa sebelum ini dia ragu-ragu dengan pengembaraan ini samada membawa kebaikan atau terselit kejahatan, namun dengan apa yang terjadi pada Henry sudah cukup sebagai bukti gangguan dari syaitan yang sememangnya tidak suka dengan perjalanan ini.

Kerana tidak menyukai perjalanan ini, maka makhluk terkutuk itu telah pun mencucuk jarum kebencian dan amarah dalam hati Henry agar terus menimbulkan sangka buruk pada Tok penghulu sekaligus menghentikan perjalanan ini di sini sahaja.

Henry pula sudah menggaru dahi kebingungan. Mendengar kata-kata Falah tak ubah semacam mendengar orang bercakap dalam bahasa lain. Blur seketika otaknya.

"Maksud Falah? Dan kenapa Falah sebut Alhamdulillah?" serius dia tak dapat faham.

Apa kaitan syaitan kacau dengan perjalanan yang benar?

Dan kenapa Falah nak bersyukur pulak?

Aduh.. Sakit otaknya.

Iman di sebelah sana turut mengerutkan dahi, sampai ke hidungnya terkerut sama.

Turut tak dapat hadam!

"Tak apalah.. Sekarang ini Falah rasa kita kena masuk ke dalam jalan ini, barulah betul namanya Belakang Jalan Pohon Kuning. Ini bahagian depan. Marilah, kita sudah lambat." Falah tidak menjawab soalan Henry, malah dengan selamba pula dia melangkah memasuki kawasan deretan pokok dengan daun berwarna hijau pekat itu.

"Eh, Falah!" Henry berkerut. Memandang Iman sekejap dengan wajah keliru sebelum mereka sama-sama berjalan memasuki kawasan yang sama.

"Apa maksud Falah?" Henry melajukan langkah. Ingin menyaingi langkah Falah yang laju itu.

"Luaskan pemikiran untuk perjalanan ini, kalian!" Falah di hadapan sedikit melaung. Menyampaikan pesanan itu tanpa berkalih ke belakang.

Henry dan Iman yang berjalan seiring itu saling berpandangan.

"Lebih banyak kejutan yang akan kita hadapi nanti di hadapan sana. Maka bersedialah." Dan untuk kata-kata itu Falah menoleh bersama senyuman lebar.

Wajah itu teruja.



Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro