| Falah | 57

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Bab terakhir!




DARI jauh Linda ternampak sebatang tubuh sedang berdiri di depan rumahnya. Laju dia berlari mendekati tubuh itu. Perasaannya berdebar-debar. Seolah merasakan batang tubuh itu bukan orang biasa-biasa.

Semakin dia menghampiri susuk itu semakin jantungnya menjadi pantas. Sehinggalah saat kakinya berhenti lebih kurang dua depa dari susuk itu - dia tergamam. Seluruh tubuhnya mengeras.

"Abang Falah," Bibirnya menyebut nama itu bersama mata yang berkaca.

Susuk itu menoleh padanya. Masih dengan wajah yang sama. Redup lagi tenang. Tersenyum padanya dengan manis sekali.

"Linda?" Falah tidak sangka.

Linda tertawa kecil. Air matanya tumpah. Hatinya sangat gembira melihatkan lelaki ini. Seperti hendak sahaja dia memeluk erat tubuh itu.

"Abang Falah sihat?" Soal Linda terburu-buru. Waktu yang dia ada bersama Falah - dia ingin gunakan sebaiknya.

Falah tersenyum kecil. Raut wajah penuh ketenangan inilah yang Linda rindui saban hari. Seolah ingin sahaja dia menatap wajah itu siang dan malam.

"Walid!" Namun suara itu meretakkan segalanya. Perasaan berbunga dalam hati Linda berkecai begitu sahaja sebaik mendengar panggilan itu berbunyi.

Seorang kanak-kanak dalam usia empat tahun kelihatan berlari merapati Falah. Wajah itu mirip Falah.

Linda tergamam menatap pemandangan di hadapan.

"Walid, ummi cari walid." Kanak-kanak itu bersuara pelat. Tersenyum manis pada bapanya.

Falah menggosok kepala kanak-kanak itu dengan senyuman, lalu dia memandang Linda dengan senyuman yang sama. Sedang Linda masih terkedu dalam hati yang sudah separuh berkecai.

"Ini anak saya, Darwish namanya." Dia perkenalkan. Kemudian seorang wanita hamil kelihatan menghampiri Falah dari sisi. Turut tersenyum manis. Tangan pasangan suami isteri itu bertaut.

Tika ini pandangan Linda sudah kabur dibasahi air matanya sendiri. Hatinya sudah berkecai sepenuhnya. Seluruh jiwa raganya melemah.

"Dan ini isteri saya.."

Suara Falah hilang di balik fikiran Linda. Linda tidak mampu menelan hakikat ini. Nafasnya jadi sukar. Hatinya dan jiwanya rasa sakit amat.

Sakit amat.













LINDA terjaga dengan nafas yang laju. Ketika ini dia kebingungan tentang dirinya sendiri. Seluruh tubuhnya berpeluh dan menggigil hebat.

Walaupun dia tidur di dalam bilik yang nyaman dan kondusif, keadaannya tidak ubah seperti sedang tidur di sahara. Jantungnya sangat laju mengepam darah sehingga membuatkan dadanya jadi sakit.

Tangannya dengan menggeletar cuba memegang dada sendiri. Sangat kencang. Dia memandang serata bilik. Menyedari dirinya baru terjaga dari lena malam.

Bila dia memandang jam digital, jam tiga pagi tepat. Nafasnya beransur tenang selepas beberapa jeda. Ketika ini barulah dia sedar yang dia hanya bermimpi tentang Falah.

Namun perasaan remuk di hati terasa sangat realiti. Sehingga air matanya masih sahaja tumpah di pipi biarpun dia sudah jaga dari lena. Hidungnya tersumbat. Air matanya makin laju merembas. Seolah tidak mahu henti. Dia memaksa dirinya untuk berhenti menangis namun dia tidak mampu. Sehingga akhirnya dia teresak-esak di atas katil itu.

Hatinya benar-benar sakit biarpun apa yang dia alami tadi hanyalah sebuah mimpi. Perasaan mengetahui Falah sudah bernikah sangat membuatkan hatinya pedih dan terluka. Kerana itu tangannya makin kuat mencengkam dada sendiri – seolah menahan hati daripada hancur.

Lalu malam itu dia bergerak membersihkan diri, menghamparkan sejadah dan membalut dirinya dengan telekung bersih – menghambakan diriya sepenuh hanya pada cintanya yang sebenar.

Dia tidak mahu menjadi wanita yang lemah. Yang hancur hanya kerana lelaki. Dia ingin menjadi wanita yang kuat. Kuat kerana Tuhan. Seperti Rabiatul Adawiyah yang hidup hanya dengan cinta abadi lagi hakiki, Allah.

Jika dia diberi pilihan untuk terus bahagia, dia benar-benar akan memilih untuk membujang sehingga meninggal dunia. Kerana bercinta dengan Tuhan ialah perkara yang paling membahagiakan untuknya. Seluruh hidupnya hanya dengan mencintai Tuhan – dia redha dan dia bahagia.

Namun melalui mimpi tadi, Linda sedar sesuatu. Memang dia sangat bahagia dengan aturan hidupnya yang sekarang. Dia gembira hidup membujang. Dia gembira hidup bersendirian. Dia bahagia hidup dengan keluarga Pak Usu yang sering menjenguknya di rumah ini, juga dengan keluarga Datin Syahirah yang menyayanginya seperti anaknya sendiri.

Dia benar-benar bahagia.

Tapi hakikatnya, jika Falah pulang ke sini dalam keadaan sudah berumahtangga – hatinya akan remuk redam.

Hatinya yang selama ini menolak semua pinangan lelaki hanya kerana alasan tidak bersedia – akan remuk dan berkecai.

Lalu dia nampak, sungguh Allah ingin menunjukkan padanya sesuatu. Sesuatu yang sangat bernilai. Bahawa sebenarnya, hati ini masih terpaut pada lelaki itu.

Dia merindui Falah.

Itu hakikatnya.

Hanya kerana tidak mahu mengakui, dia menolak hakikat itu ketika Iman bertanya padanya beberapa hari lepas.

Malah ketika Pak Usu bertanya padanya sebab kenapa dia menolak lamaran Dato' Ghazi, jawapannya tetap sama – bahawa dia tidak bersedia untuk berumahtangga. Padahal sebenarnya dia cuma mahu Falah untuk menjadi imamnya, maka kerana itu dia menjadi sangat kecewa jika Falah sudah terlebih dahulu berumahtangga.

Akhirnya dia menghela nafas. Penat menangis. Tangannya yang menggeletar dibawa meraup wajah.

Tika ini begitu banyak doa yang dia mahu rayukan pada Yang Esa, namun akhirnya bibir ini hanya melafaz sebaris doa.

'Ya Allah, jika Falah ditakdirkan untuk aku – maka aku merayu permudahkan urusannya. Jika dia bukan untuk aku, maka jadikan hati aku redha. Redha dengan segala ketentuanMu.

HARI Jumaat seperti biasa, Linda akan berada di sini. Hendak melawat keluarganya yang terkorban dalam kejadian misteri dua tahun lalu.

Saat dia menapak masuk ke kawasan ini, dia dapat lihat ramai pengunjung lain yang juga datang untuk menziarahi keluarga masing-masing.

Apabila dia mengangkat pandangan sedikit ke atas, serta-merta pandangannya jatuh pada Feri Miranda Gold yang dibiarkan berlabuh di tepi jeti. Hanya kaku di situ tidak bergerak ke mana-mana.

Sejak dua tahun, feri tersebut memang hanya berada di situ untuk dijadikan tempat lawatan.

Disebabkan semua mayat sudah hilang menjadi abu, maka pihak berkuasa telah mengeluarkan perintah agar Feri Miranda Gold dijadikan tempat peninggalan untuk semua keluarga mangsa yang ingin melawat keluarga mereka.

Dalam dua tahun ini, kerja-kerja pembaikpulihan dibuat sehingga akhirnya feri ini menjadi tidak ubah seperti muzium peringatan. Setiap hari ada sahaja pelawat yang datang hendak melihat sendiri lokasi kejadian misteri dua tahun lalu.

"Tengok Mama, itu Cik Linda!"

Suara teruja milik seseorang menarik perhatian Linda dari terus merenung jasad kapal, dia menjatuhkan pandangan ke bawah dan mendapati seorang remaja perempuan bersama ibunya sedang merapatinya.

Linda pantas menanggalkan kaca mata apabila dua beranak itu meminta untuk berswafoto. Mereka nampak sangat meminati Linda. Linda hanya ketawa bila mendengar cerita dari remaja perempuan tersebut.

Apabila dua beranak itu berlalu pergi, Linda tersenyum seraya menghela nafas. Dia tidak ubah seperti selebriti. Dan itu sebenarnya sangat memenatkan. Kerana setiap tindak-tanduknya diperhatikan orang awam. Kaca mata hitam kembali disarung kemas ke wajah. Pantas sahaja kakinya mengorak langkah ke feri. Dia ingin membuat lawatan hari ini.

Berada di dalam badan feri samalah seperti mengulang kembali segala memori bersama semua penghuni kapal ini. Saat dia dan keluarga tirinya menyaksikan persembahan dari penyanyi terkenal di dewan besar. Saat dia dibuli keluarga tirinya di bilik hotel mereka. Saat dia pitam selepas ditegur seorang nenek tua yang menakutkan.

Linda menyimpan keluhan sebak itu dalam-dalam sewaktu melihat bilik hotel mereka. Sudah berkali dia memijak kaki di tempat ini, setiap kali itulah dadanya rasa sedih dengan semua kehilangan ini. Biarpun keluarga tirinya tidak pernah melayan dia dengan baik, tapi dia tahu – dalam mereka membuli tetap juga ada rasa sayang dalam diri mereka. Kerana jika mereka tidak sayang, pasti Linda sudah dicampak ke laut pada hari pertama dia mengikut percutian itu.

Dia tersenyum sendiri mengingati Kak Wafana. Mengingati ibu. Dan saat mengingati Abang Andika – senyumannya pudar. Wajahnya dia tunduk ke lantai. Dia kemudian bergerak ke lorong lain.

Perasaan kecewa terhadap Abang Andika masih terasa sehingga ke hari ini. Kenapa Abang Andika sanggup berbuat begitu? Setiap hari dia akan bertanya soalan itu. Dia mengharapkan satu hari nanti dia akan dapat jawapan itu.

Dia bergerak ke kubikel bawah, tempat dia dan semua pembantu rumah lain menetap. Di situ dia menyedekahkan Alfatihah pada semua yang islam. Mendoakan yang baik-baik pada mereka.

Lama juga dia berdiri di depan kubikel ini sehingga kakinya mula tersa lenguh. Aras bawah ini jarang dilawati orang, kerana ia bukanlah bilik orang ternama seperti bilik lain. Ia hanya bilik orang gaji. Dan atas permintaan Linda sendiri, kenyataan bahawa dia diletakkan di bilik ini juga disembunyikan dari pengetahuan umum. Kerana itu mengaibkan keluarga tirinya sendiri.

Ketika itu tidak semena Linda terasa dirinya diperhatikan. Bulu romanya meremang. Dia tidak suka keadaan ini. Ingatannya pada Nyai jadi makin kuat. Bibirnya pantas membaca ayat kursi.

"Linda tak patut duduk di sini seorang diri."

Satu suara menegurnya dari belakang. Membuatkan tubuhnya mengeras bersama nafas yang tersekat. Hujung jarinya membeku.

"Banyak mata-mata yang hendak memerhati Linda. Linda patut tahu itu."

Linda masih tidak berpaling. Dia masih tergamam. Telinganya dapat mendengar derapan kasut mula melangkah menghampirinya dari belakang.

Langkah itu cermat dan cekap. Tapak kasut pula diperbut dari kulit yang berkualiti tinggi. Linda dapat rasa susuk di belakang bukan calang-calang. Dan sebenarnya, dari suara itu dia sudah dapat mengagak siapakah gerangan di belakangnya.

Lalu dia perlahan menoleh. Jantungnya pantas mengepam darah. Sepertinya wajah dia ketika ini sudah hilang darah. Pucat lesi. Takut hendak melihat kenyataan di hadapan.

Dan benarlah seperti yang dia jangka. Di hadapannya kini ialah sesusuk tubuh yang sudah dua tahun tidak ketemu. Wajah yang sebelum ini tampak tenang dan redup sudah semakin maskulin dalam rahang kukuh yang mula ditumbuhi jambang kemas. Berpakaian formal dengan kemeja biru yang dilipat rapi ke bawah siku bersama seluar kelabu sebelum ditutup kaki jinjang itu dengan kasut yang memuncung di hadapan.

Penampilan Falah sangat berbeza. Sehingga Linda sendiri terkedu dengan penampilan Falah kali ini.

Falah yang menyedari pandangan Linda pada pakaiannya serta-merta memandang tubuhnya sendiri. "Ohh, maafkan saya. Saya baru balik dari pejabat wisma. Perbaharui kad pengenalan. Jadi pakaian agak formal." Jelas Falah dengan senyuman kekok. Dia pun tak selesa dengan pemakaian sebegini.

Linda baru mengerti, terus menjatuhkan pandangan ke lantai. Tidak betah memandang Falah lama-lama. Jantungnya bagai hendak pecah.

"Bila lagi Abang Falah balik?" Soal Linda ketika mereka sama-sama berjalan keluar dari dek bawah menuju ke pintu keluar.

"Baru dua tiga hari ini." Balas Falah sederhana. Dia berjalan sedikit hadapan dari Linda, tidak mahu berjalan beriringan dan tidak juga belakang dari Linda.

"Keluarga abang tahu?" Linda sedikit terkejut. Rupanya sudah lama Falah berada di sini.

"Tahu, saya sudah jumpa mereka." Kongsi Falah.

"Mama macamana?" Linda tidak mampu menahan rasa teruja untuk mendengar cerita itu. Dia sudah lama tidak menghubungi ibu angkatnya itu. Sejak dua menjak ini dia sangat sibuk dengan syarikat dan juga jemputan ke mana-mana majlis.

"Mama gembira. Semua gembira." Falah bercerita ringkas namun cukup buat Linda lega.

Manakala Falah tersenyum sendiri mengingati saat dia pulang ke rumah -memberi kejutan pada seluruh keluarganya. Sehingga teresak-esak mamanya sebaik mendapatinya di depan mata. Seharian juga dia perlu memujuk ibunya yang ternyata sangat terharu dengan kepulangannya.

Henry dan Iman tidak perlu diceritakan, sebaik berjumpa Henry terus memeluknya erat seperti tidak mahu lepas. Dan Iman pula menumbuk bahunya geram. Falah sangat gembira dengan anak saudara barunya, Hasya yang sangat tembam itu.

"Baguslah." Linda mengucap syukur.

Ketika ini mereka sampai di luar feri, bersama menuruni tangga sehingga berjaya turun ke darat.

"Abang buat apa dekat sini?" Tiba-tiba sahaja Linda terasa hendak bertanya soalan itu. Dia hairan sebenarnya apa tujuan Falah berada di feri ini, bertambah hairannya bila Falah boleh menjumpainya dalam banyak-banyak pengunjung lain.

Falah tidak menjawab, malah terus berjalan mendekati sebuah keluarga. Linda hanya mengikut tanpa banyak soal.

Saat itulah Linda baru menyedari kewujudan Datin Syahirah dan anak-anaknya di sebuah bangku di situ. Hasya terus menjerit riang sebaik melihatnya, sekaligus membuatkan seluruh keluarga itu menyedari kehadirannya bersama Falah. Linda terkebil-kebil sendiri.

"Amboi tengok Falah tu, hensemnya pakai kemeja!" Iman mengusik dengan senyuman nakal.

Falah hanya tersenyum dengan usikan kakaknya sebelum mengambil ruang di sebelah Henry yang sedang meriba Hasya, sekejap sahaja Hasya bertukar riba. Falah menyibukkan diri dengan Hasya di ribaan. Seolah mengelak dari sesuatu.

"Cik Linda tercegat dekat sana kenapa? Marilah sini, kita makan kebab sama-sama." Fitri mula riuh mengajak Linda.

Linda perlahan menghampiri keluarga itu, walaupun dia bingung tetap juga dia memaniskan muka saat bersalaman dengan Datin Syahirah dan Iman. Ketika bersalaman dengan Iman, wanita itu tersenyum nakal. Linda hanya tersenyum pelik.

"Mama sihat?" Dia bertanya khabar pada ibu angkatnya itu. Sambil itu duduk dilabuhkan di sisi Datin Syahirah.

"Sihat alhamdulillah. Makin sihat sejak Falah balik." Ayat belakang itu diucap seloroh.

Linda jadi turut ketawa. Menumpang gembira dengan keceriaan Datin Syahirah.

Ketika itu pandangan Datin Syahirah jatuh sepenuhnya pada Falah. Anak lelakinya yang dirindui saban hari, kini sudah ada di depan mata.

Tiada kata mampu diucapkan, melihat Falah dalam susuk berwajah baru dengan sikap yang menenangkan – dia benar-benar terharu. Sehingga saat menatap Falah untuk kali pertamanya temph hari, dia terus mendakap anak itu erat dengan esakan yang tidak disimpan. Menghamburkan sahaja sepenuh hati.

Linda yang menyedari pandangan ibu angkatnya itu turut memandang Falah. Dia dapat lihat Falah sedang seronok bermain dengan Hasya. Mengagah anak kecil itu sehingga Hasya ketawa riang. Sesekali Falah menggomol Hasya, tawa kanak-kanak itu pecah. Linda tidak dapat menahan senyum memerhati keadaan itu.

"Falah dah banyak berubah. Mama hampir tak kenal dia." Datin Syahirah berkongsi perasaan. Mendengarkan suara sebak itu Linda serta-merta memegang tangan wanita itu.

"Mama gembira sangat, Linda." Datin Syahirah kemudian memandang Linda, membalas genggaman Linda erat.

"Mama bersyukur dengan hadiah Allah ini. Allah pinjam sekejap Falah dari mama, kemudian Allah didik Falah sehingga menjadi Falah seperti yang kita lihat hari ini. Mama tak tahu nak cakap apa lagi." Datin Syahirah menitis air mata, terlampau terharu.

"Mama," Linda susah hati, lekas-lekas mengelap air mata ibu angkatnya itu. Tidak sanggup dia melihat air mata di pipi wanita kesayangannya ini.

Datin Syahirah tertawa. Tangannya naik mengelus pipi Linda. Linda hanya tersenyum.

"Linda sangat baik, sayang." Ikhlas Datin Syahirah mengucap ayat itu.

"Mama sangat baik dengan Linda, kenapa Linda perlu jadi jahat?" Linda memberi soalan yang buat Datin Syahirah tertawa kecil.

"Linda," Datin Syahirah menarik nafas.

"Ya mama." Linda tersenyum manis.

"Jadi anak mama boleh?"

Ketika itu senyuman Linda memudar. Wajahnya berubah. Dia baru sedar yang kini semua sedang memandangnya. Bila dia menatap Iman, wanita itu tersenyum padanya. Henry juga begitu. Malah ketika dia melihat Fitri, lelaki itu mengangkat kening dua kali padanya.

Hanya Falah. Hanya Falah tidak memandang ke sini, malah dia tampak menyibukkan diri dengan Hasya.

"Apa maskud mama? Bukan Linda memang anak mama ke?" Linda cuba menutup debar. Mungkin dia yang salah faham.

Datin Syahirah menggeleng.

"Jadi menantu mama, isteri Falah." Jelas kenyataan Datin Syahirah tika ini. Sehingga membuatkan Linda terkedu sendiri. Hatinya terasa bagai hendak meletup mendengarkannya. Bukan meletup kegembiraan, tapi meletup kerana terlampau terkejut.

Dia kemudian tertawa bingung. "Mama bergurau ke? Linda tak mimpi kan?"

"Ya Allah, dia boleh pulak ingatkan orang bergurau?!" Iman riuh mencelah. Spontan tangannya mencubit pipi Linda sehingga Linda mengaduh.

"Kakak tahulah Linda banyak kali mimpi kahwin dengan Falah, tapi kali ini real okay?" Iman mencubit lebih kuat.

"Kakak!" Linda mengaduh kesakitan. Terus menggosok pipinya yang kemerahan. Yang lain hanya ketawa.

"Mama serius, sayang." Datin Syahirah bersuara kemudiannya.

Linda tergamam.

"Falah sendiri yang minta."

Dan kali ini Linda tidak tahu hendak berkata apa. Jantungnya berdegup pantas dari paras normal. Nafasnya mula sesak. Tidak percaya dengan semua yang berlaku.

Falah sendiri yang minta.

Sungguh, kenyataan itu seolah menembak seluruh raganya. Sehingga akhirnya dia menangis dengan susunan takdir ini.

Susunan yang sangat indah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro