Senja di Pulau Jengka

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng


Saya perasan makin ramai orang kenal Serunai Maut di TikTok. Terima kasih sebab kenal karya saya yang penuh kecacatan ini. Saya selalu rasa malu kalau ada yang review buku ini bagus-bagus padahal saya rasa banyaknya cacat dalam buku ini.

Sebagai hadiah, nah saya tulis satu babak di Pulau Jengka. Waktu diorang balik ke Kampung Hamparan dan orang ramai peluk Islam.

Ini kisah Linda.

.
.
.


Linda melambai semua orang di dalam kilang. Tersenyum-senyum gembira. Semua juga membalas lambaian Linda.

"Esok datang lagi, Linda! Banyak kami nak belajar dari Linda." Ada seorang wanita bercakap di situ. Yang lain terangguk-angguk. Bersungguh bersetuju.

Linda mengangguk laju. Senyum lebar. "Mestilah, kak. Esok saya datang lagi!"

Linda betul-betul tak sabar nak datang esok. Setiap hari sejak mereka pulang ke Kampung Hamparan, dan semua perlahan-lahan memeluk Islam... Inilah kerja Linda.

Linda diberi tugas untuk membantu para wanita menjahit tudung dan telekung di kilang pakaian. Kilang ini dimiliki keluarga tok penghulu. Diuruskan oleh anak lelaki tok penghulu bernama Osman dan isterinya Nurin.

Sejak semua penduduk Kampung Hamparan memeluk Islam, ramai wanita memerlukan tudung dan telekung. Ketika itulah Linda memberi cadangan agar mereka menjahit pakaian-pakaian muslimah itu sekali gus mengajar para wanita kampung ini cara menjahitnya. Disebabkan Linda yang memberi cadangan itu, maka Falah telah memberikan tugas tersebut pada Linda.

Linda dengan senang hati mahu membantu para wanita kampung ini. Jadi, tiga hari berada di kampung ini, dia sangat sibuk di kilang ini. Belum sarapan lagi, dia sudah lesap dari kediaman mereka di masjid. Dia berada sepanjang hari di kilang membantu para wanita membuat pakaian muslimah. Dia kemudian pulang ketika hampir senja.

Sebenarnya Linda pun sengaja berlama-lama di kilang. Dia tidak begitu selesa berada di kediaman yang sebenarnya masjid itu. Bukan sebab dia tidak sukakan masjid. Tapi sebab Abang Falah ada di situ. Abang Falah pula menjadi imam pada setiap lima waktu. Linda takut sedikit kalau melihat Abang Falah jadi imam. Linda takut dia berdebar-debar lepas itu perasaannya jadi lebih besar. Itu berbahaya untuknya. Bukan Abang Falah jadi imam sahaja, boleh dikatakan sepanjang hari Abang Falah akan dilihat mengajar penduduk yang baru memeluk Islam. Hari pertama Linda melihat Abang Falah yang tekun mengajar penduduk yang baru memeluk Islam, Linda rasa tidak boleh lagi berada di situ. Nanti jantung Linda berdegup kencang.

Jadi, cara yang selamat ialah Linda berada di kilang ini. Di kilang ini, Linda tempatkan satu surau untuk para wanita solat. Di sanalah dia mengimami semua pekerja kilang yang wanita. Dia pun ajar mereka bacaan Al-Fatihah kalau ada masa. Semua pekerja kilang sudah memeluk Islam secara keseluruhannya dua hari lepas. Linda rasa sangat gembira.

Sekarang, Linda sedang berjalan kaki pulang ke kediamannya. Linda menghirup udara segar dengan riang sekali. Sesekali dia mengintai pau gebu yang diberikan pekerja kilang dalam plastik yang dipegangnya. Nampak sedap. Linda tidak sabar mahu memakannya, tapi Linda berazam mahu berkongsi dengan Iman. Tidak elok dia makan sendirian.

Hampir dengan masjid, tiba-tiba Linda terpegun dengan pemandangan dari arah pantai. Dia kaku di tepi jalan. Dengan dramatik, dia menekup mulut.

"Subhanallah, cantiknya!!" Linda hampir menjerit. Dia tidak pernah melihat pemandangan matahari terbenam secantik itu. Sangat memukau. Dengan lautan luas yang menambah kecantikan tersebut.

Suasana senja di Pulau Jengka memang sangat memukau. Tapi hari ini, ia lebih memukau. Linda rasa mahu menangis melihat keindahan matahari terbenam itu. Dengan pantas dia meraba poketnya mahu mengambil telefon. Mestilah dia harus ambil gambar. Tapi sejenak dia tersedar. Wajahnya jadi muram. Dia mana ada telefon. Aduhai.

Linda kemudian teringat yang Iman ada telefon. Dia mengangguk mengiyakan fikirannya. Dengan pantas, dia berpusing dan menuju masjid. Ketika ini masjid pasti masih lengang sebab belum maghrib. Lagi 20 minit sebelum maghrib. Linda bergegas ke sana untuk meminjam telefon Iman.

Sesampai di pintu masjid, Linda serta-merta melihat Iman sedang berdiri di pintu berhampiran dapur. Betul tanggapan Linda, tiada orang lagi di masjid waktu ini. Melihatkan Iman, Linda tersenyum-senyum. Sempat dia letak plastik pau di tepi pintu.

Dengan senyap-senyap, Linda tanggalkan selipar dan meluru ke arah Iman.

"Kakak!" Dia menyergah Iman yang nampak sedang bercakap-cakap.

"Allahuakbar!" Iman terkejut, mengurut dada. Dia sudah solehah sekarang. Melatah pun sebut nama Allah.

Linda ketawa seronok bila berjaya buat Iman melatah.

"Kakakk..." Linda menggenggam tangan Iman, teruja nak berkongsi.

"Seronok sangat kenapa?" Iman ketawa hairan.

"Linda nak kongsi dua berita gembira." Linda tunjuk dua jari.

"Ha, apa dia?" Iman senyum sengat. Sempat dia mengerling bawah.

"Satu, hari ni Linda berjaya tolong pekerja kilang jahit 20 tudung dan 15 telekung!" Linda berkongsi berita pertama penuh gembira.

Iman terkejut mendengarnya, "Iya? Alhamdulillah. Banyak tu."

"Iyaa. Semua seronok sangat hari ni, kak. Sebab semua dah mula pandai jahit tanpa Linda ajar. Linda dah bagi pola lengkap dekat diorang." Linda senyum bercerita.

"Hebatlah Linda. Mantap." Iman angkat ibu jari.

"Apa berita gembira kedua?" Iman mahu tahu berita kedua.

"Berita kedua, sunset kat luar cantik sangat, kak. Linda nak pinjam phone. Nak ambil gambar." Linda tersengih kali ini. Tapak tangan ditadah.

Iman buat muka. Berita gembira apa macam tu?

"Tak bolehlah. Phone akak dah mati. Akak belum cas lagi. Susah nak cas telefon dekat sini. Pinjam dengan Mika atau Falahlah." Iman angkat dagu isyaratkan pada mereka di dapur.

Linda sedikit bingung dengan isyarat itu, dia langsung memandang ke dapur bawah. Sebaik dia melihat dapur bawah, wajahnya serta-merta pucat lesi. Badannya terus bertukar sejuk.

Di dapur, ada Abang Mika sedang senyum kecil di tangga. Dan Abang Falah yang sedang bersandar di kabinet.

Linda rasa mahu berlari ketika ini juga. Pasti tingkah keanak-anakan yang biasa dia tunjukkan pada Iman telah dilihat Abang Mika dan Abang Falah. Allahu akbar. Linda mahu patah balik ke masa lalu.

"Mesti tak nampak Falah dengan Mika tadi kan? Tulah, seronok sangat bercerita. Akak tengah bincang dengan diorang pun terganggu tahu tak." Iman baru nak beritahu. Patutnya sejak tadi lagi Iman beritahu Linda. Linda rasa sangat malu sekarang. Dia tak tahu pula Iman sedang berbincang sesuatu dengan Falah dan Henry tadi. Ya Allah, selamatkan Linda.

"Phone saya pun dah mati. Saya belum cas." Henry senyum balas permintaan Linda tadi.

"Falah punya?" Henry memandang Falah di kabinet.

Falah senyum kecil. "Ada. Dekat beg Falah."

Linda hanya diam. Linda rasa mahu jadi halimunan. Linda sebenarnya tidak wujud di sini. Linda sebenarnya masih di kilang.

"Bolehlah Linda pinjam. Cantik sangat ke sunset tu? Sampai meroyan tadi nak ambil gambar." Iman sengaja memalukan Linda lagi. Tersengih bila Linda bermuka pucat.

"Cantik, kak." Linda jawab sambil tunduk. Macam buat salah pun ada.

Iman tahan ketawa melihatnya.

"Jom, akak nak tengok jugak. Falah, pinjam phone kau." Iman sempat bersuara pada Falah di bawah.

Falah cuma mengangguk dengan senyum kecil.

Linda beredar sambil setia memegang tangan Iman. Dia masih menyesali perbuatannya tadi. Iman pula sengih melihat muka Linda. Mereka kini berdiri di depan pintu bilik Falah dan Henry.

Linda kaku menunggu Iman mengambil telefon Falah. Seketika kemudian Iman muncul memegang telefon pintar. Linda merenung lama telefon itu. Dia tak tahu pula Abang Falah pun ada telefon. Dia tak pernah tengok Abang Falah pegang telefon selama berada di pulau ini. Mungkin sebab itulah telefon Abang Falah masih berbaki bateri.

"Tengok telefon dia. Bateri tak bergerak langsung." Iman tunjukkan telefon di tangannya. Linda juga dapat lihat. Memang bateri telefon itu kekal 100.

"Linda tak tahu pun Abang Falah ada telefon." Linda bersuara ketika mereka sama-sama memakai selipar.

"Memang. Dia mana pakai. Ini pun Mika bagi dekat dia masa kita orang buat siasatan atas feri. Kalau tak, memang taklah dia nak guna." Iman mengumpat Falah. Linda membulatkan mulut. Ohhh.

Mereka sudah berjalan menuju pantai. Menghampiri pantai, Iman hampir menjerit sebab pemandangan betul-betul cantik. Memang patut Linda meroyan sampai macam tu.

"Cantik kan, kak? Cantik kan?" Linda lupa masalah tadi, dia dah kembali meroyan.

"Cantik gila! Ya Allah!!"

Mereka laju-laju berlari ke arah pantai. Iman dengan segera keluarkan telefon dan mengambil gambar pemandangan menggunakan telefon Falah.

Linda sebak melihat pemandangan indah itu. Dia yakin kalau dia balik ke Kuala Lumpur nanti, memang taklah dia akan lihat pemandangan sunset cantik macam ini.

"Subhanallah, memang cantiklah." Suara Henry kedengaran di belakang. Linda laju menoleh. Langsung dia dapat lihat Henry dan Falah turut menghampiri kawasan pantai. Mereka juga kagum dengan keindahan yang terpampang.

Linda kembali memandang hadapan. Tersenyum suka melihatkan pemandangan matahari terbenam. Dia mahu rakam keindahan ini kemas-kemas dalam memorinya.

Iman di sebelah pantas merakam video. Dia tersengih mendekati Linda dengan video yang dirakam.

Linda agak panik bila Iman mendekatinya dengan posisi seperti merakam.

"Okey, akak nak tanya soalan. Ini sebagai kenangan Pulau Jengka ya!" Iman tersengih-sengih, bersungguh dia merakam. Macam wartawan Melodi pun ada.

Linda terkebil-kebil. Tiba-tiba dia rasa tak sedap hati.

"Linda jawab, apa yang paling paling paling paling Linda suka dekat Pulau Jengka ni? Ha, jawab!" Iman tersengih-sengih. Bersungguh dia ulang perkataan 'paling'.

Linda terus pucat dengar soalan itu. Bertambah pucat bila Abang Mika dan Abang Falah turut memerhati temu ramah panas yang dibuat Iman. Mereka pun menunggu jawapannya.

Dalam otak Linda dah hampir-hampir karang satu jawapan! Linda tak boleh keluarkannya!

"Ha, jawablah. Kenapa diam?" Iman mengasak Linda. Rakaman video masih berjalan.

"Err..." Linda harus mencari jawapan.

"Linda paling suka..." Linda ligat mencari jawapan.

"Ha apa? Apa?"

"Linda paling suka kilang kain!" Linda menjawab laju. Matanya bersinar-sinar. Seronoklah sebut kilang kain kegemarannya itu.

Iman mengecilkan mata. "Iye ke kilang kain? Iye ke?"

"Iyalah, kak. Linda seronok sangat sangat sangat duduk dekat kilang kain. Linda boleh belajar menjahit dengan mak cik-mak cik, Linda boleh ajar diorang solat. Linda seronok!" Linda tersenyum menceritakannya.

Iman masih kecilkan mata curiga. Belum percaya.

"Akak tanya orang lain pulak!" Linda perlu alihkan perhatian Iman secepat mungkin. Dia tolak Iman ke arah Henry dan Falah.

Iman menghampiri Falah dahulu memandangkan Falah lebih dekat.

"Ha, kau... Kau paling suka apa dekat pulau ni?" Iman menjongket kening bertanya. Sempat dia menjeling Linda yang nampak terdongak-dongak ke arah lain. Ceh budak tu!

"Falah paling suka masjid." Falah jawab mudah, senyum lebar untuk jawapannya itu.

"Jawapan klise!" Iman tak menerima jawapan itu.

"Jawapan lain?" Iman mahu jawapan yang lebih sensasi.

"Jawapan lain? Hmm, Falah tak tahu. Falah paling sukakan masjid." Falah betul-betul jujur. Itu sahaja jawapan yang terlintas dalam kepalanya.

Iman terangguk-angguk. Faham itulah perkara yang paling disukai Falah. Falah berkata jujur. Bukan seperti Linda yang tidak jujur.

"You pulak? Apa paling you suka dekat pulau ni?" Giliran Henry pula ditanya.

"Apa paling I suka ya?" Henry mengusap dagu.

"I paling suka pantai. Dengan matahari cantik macam ni." Henry senyum kemudiannya pada kamera.

Iman terangguk-angguk berpuas hati. Ini jawapan yang bagus. Sekarang dia perlu dapatkan jawapan jujur daripada Linda kembali.

Dia berpusing pada Linda. Linda panik bila Iman kembali merakamnya.

"Betul ke kilang kain? Haaa, betul ke?" Iman mendekati Linda.

Linda ketakutan. Dia menjauhi Iman. Iman mendekatinya bersungguh-sungguh.

"Akak tahulah kau tak jujur!" Iman menjerit bila Linda sudah melarikan diri. Dia pun berlari sambil merakam Linda.

"Akak!" Linda rasa macam dikejar hantu paparazi. Sangat menakutkan.

"Jawab jujur cepat!"

"Linda dah jawab jujurlah, kakak!"

"Itu tak jujur!"

Henry yang melihat menggeleng kepala. Astaghfirullahalazim. Isteri siapalah tu...

Falah pula hanya tersenyum, mengerling Henry kemudian pada Iman yang bersungguh-sungguh mengejar Linda. Mereka berdua ketawa letih di hujung sana. Itulah, bekejaran lagi.

"Akak, dahlah. Saya dah jawab jujur." Linda termengah menjelaskan. Mereka sudah berhenti berkejaran. Letih melarikan diri, letih juga ketawa.

Iman tak lagi merakam. Dia mencekak pinggang. "Ingat akak percaya? Kalau betul, kenapa teragak-agak tadi? Akak penyiasat tau. Akak boleh tahu orang menipu ke tidak."

"Linda tak tipuu." Linda bersungguh-sungguh.

Iman kecilkan mata. Dia kemudian mengeluh kuat.

"Suka sangatlah bertepuk sebelah tangan. Nanti melepas akak tak tahu." Iman menjeling Linda, kembali merakam pemandangan di pantai.

"Akak!" Linda jadi malu bila Iman kata begitu.

Iman berhenti merakam kembali. Dia kemudian memandang Linda.

"Lepas ni, janganlah keluar awal sangat ke kilang, lepas tu jangan balik lewat sangat. Risau kami tahu tak. Akak tahulah awak tu nak mengelak Falah, tapi janganlah sampai mengelak akak dan Mika jugak." Iman membebel panjang.

Linda tercengang dengan bebelan itu. Nasib baik Abang Falah dan Abang Mika duduk agak jauh.

"Akak, Linda tak mengelak dari sesiapa!" Linda laju menafikan. Bulat matanya.

"Ingat akak percaya? Akak dengan Mika perasanlah. Susah betul nak jumpa Linda sejak sampai kampung ni."

Linda ketap bibir. Isy, macam mana dia nak cakap? Dia bukan mengelak. Dia cuma jaga hatinya.

"Lepas ni, kita akan pindah ke rumah tok penghulu. Diorang tumpangkan kita. Tak sopan kita stay dekat masjid lagi. Orang Islam makin ramai," beritahu Iman kemudiannya.

"Ye ke, kak? Alhamdulillah." Linda lega sangat dengar. Dia pun segan nak duduk di kediaman yang merupakan masjid itu.

"Jadi, tak perlu dah Linda nak lari-lari. Falah mesti dekat masjid 24 jam."

"Akak, Linda tak lari dari sesiapa pun!" Linda letih nak nafikan.

Iman buat muka, macamlah dia percaya.

"Lagi tiga hari kita balik." Iman beritahu kemudiannya.

Linda berubah wajah mendengarkan itu. Sugul. Dah sampai masa untuk pulang rupa-rupanya.

"Janganlah sedih. Ada rezeki, kita boleh datang lagi sini." Iman memujuk kemudiannya.

Linda mengangguk perlahan, tersenyum kecil.

Mereka kemudian memandang ke arah pemandangan di hadapan. Senja yang sangat memukau. Pasti mereka akan merindui Pulau Jengka. Daripada satu pulau yang menakutkan, apabila iman tersebar, ia menjadi pulau yang sangat indah.

.
.
.


Untuk yang bertanya, bila nak update Falah Cinta Agung? Maaf, bukan tak nak update tapi sebenarnya sekarang saya sedang edit Serunai Maut untuk diterbitkan sebagai fizikal. Jadi saya fokus dengan cerita Serunai Maut. Bab ini pun saya tulis secara spontan.

Saya harap awak enjoy baca!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro