Serunai Maut | Falah | 18

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

MALAM terasa sangat sunyi. Iman tidak dapat lena. Berbolak-balik di atas tilam nipisnya. Ada keresahan yang mengganggunya sedari tadi.

Kekadang angin terasa sejuk membeku, kekadang angin terasa panas membahang. Seakan berpusar-pusar di dalam bilik ini walaupun tiada kipas langsung. Hanya kerana rumah ini dibina dari kayu buat udara malam dapat menembusi liang-liang kecil di sebalik kekayu itu.

Iman hela nafas panjang-panjang.

Di tengah malam begini, dia mulai teringatkan kenangan lama. Sememangnya itu tabiat manusia. Di kala malam, pasti sibuk memikirkan tentang hal lama.

Teringat bagaimana Falah boleh berubah menjadi seorang yang dia tidak kenali lagi.

Seakan segar di ingatannya, air mata Falah ketika memasukkan sesusuk tubuh yang dikasihinya ke dalam liang kubur. Wajah yang sentiasa ceria dan gembira dengan senyuman yang tidak pernah lekang, hari itu menjadi sangat suram dan hilang warna.

Ayah.

Kehilangan seorang insan yang sangat disanjungi dalam hidupnya buat Falah menjadi rapuh.

Hanya sedetik sahaja, hidup seorang Falah bertukar.

Daripada seorang yang ceria, menjadi seorang pendiam.

Daripada seorang yang sentiasa berfoya-foya, berubah menjadi seorang yang hanya tahu bersendiri memikirkan tentang hidup.

Dan dalam waktu itulah datang seseorang dalam hidup Falah, menjadi seorang teman padanya.

Malah Iman rasa, dia bukan sekadar teman untuk Falah.

Dialah abang. Dialah penasihat. Dialah sahabat.

Tengku Hairi. Lelaki yang tiba-tiba sahaja muncul dan tiba-tiba sahaja juga pergi. Namun kehadirannya mengubah seratus peratus diri Falah.

Kadang Iman jadi terfikir, apa ada pada Hairi sehingga Falah berubah sebegitu. Baginya lelaki bergelar peguam itu biasa-biasa sahaja.

Dia masih ingat sewaktu kali pertama berjumpa lelaki itu di pasaraya, ketika itu Falah juga ada bersama lelaki tersebut.

Itu ialah kali pertama dia bersemuka.

Dan juga saat pertama dia mengetahui hijrah Falah.

"Eh, Falah?" Iman menegur adiknya yang kelihatan sedang memilih barang di Watson. Tadi dia lalu sahaja di hadapan kedai ini, tidak sangka pula terjumpa adiknya.

"Kak.." Falah tampak terkejut. Memandang Iman dengan mata membesar.

Jeda seketika.

"Falah.. Abang dah siap."

Suara lain menyampuk. Iman menoleh. Terpampang di matanya seorang lelaki berbaju raihan putih dipadankan dengan seluar slack hitam dan sepastinya kopiah putih di kepalanya, wajah itu tenang. Dan Iman terpaksa akui lelaki di hadapannya ini punya wajah yang tampan.

"Falah?" Lelaki itu menjongket kening. Hairan mungkin apabila melihat Falah ditegur perempuan berambut karat.

Falah sudah menggaru kepala.

"Hai, I kakak Falah. Iman Nadrah. You can call me Iman." Iman memperkenalkan diri dahulu. Tersenyum manis.

Lelaki itu turut tersenyum. Hanya sederhana.

"Saya Hairi. Kawan Falah. Falah tak pernah cerita pula dekat saya yang dia ada kakak." Hairi ramah bercerita.

Iman menjeling sahaja Falah.

"Dia memang macam tu.. Kenapa tahu tak suka cerita pasal I." Iman mengawal keadaan.

Falah mengeluh tiba-tiba.

"Jom abang, dah lambat ni." Dia mendekati Hairi.

Iman berubah muka. Adiknya seakan mengelak darinya.

"Ohh.. Okay." Hairi mengangguk kecil.

"Kau nak pergi mana?" Iman bertanya. Memang sejak dua menjak ini dia dapati Falah selalu keluar awal dari pejabat bila tengahari. Entah adiknya itu ke mana.

Falah langsung tidak memandangnya.

"Solat zohor di masjid." Jawabnya mendatar kemudian melangkah pergi.

Hairi terpinga-pinga namun dengan segera mengikuti langkah Falah.

Manakala Iman tergamam.

Sejak bila adiknya solat?

Di masjid?

Iman mengeluh.

Sejak hari itulah, dia dapati Falah sangat lain. Falah bukan adiknya yang sengal lagi. Apabila ada kes, Falah lebih banyak mengelamun daripada berfikir.

Dan semuanya bertambah aneh apabila...

Iman memejam mata. Nafas dihela. Sudah tidak mahu berfikir apa-apa. Dia mahu tidur. Bukannya mengimbau cerita lama.

Dan dia sendiri tidak tahu berapa lama sudah dia tidak dapat tidur. Terasa malam begitu cepat berlalu.

Tangannya meraba telefon dalam kegelapan. Apabila sahaja tangan berjaya mencapai gadjet kecil yang berada di sebelah bantalnya itu, ibu jarinya dibawa menekan punat on. Hendak melihat jam berapa.

Namun tanpa disangka, seraut wajah kedut milik seorang perempuan tua dengan kudis yang melatari hampir seluruh mukanya - muncul mendadak apabila telefon bercahaya.

Wanita itu sedang merenungnya kosong. Berada betul-betul di sebelah Iman yang berbaring mengiring.

Mata Iman terbeliak.

"Arghhhhhhh!!!"

Dan sebagai seorang perempuan yang juga punya perasaan takut, terus sahaja tekaknya mengeluarkan jeritan itu. Dia terlompat bangun dari baringnya dengan jantung yang bagai hendak melompat sama. Belakang tubuhnya terlanggar kotak-kotak yang tersusun di sebelah kiri bilik, ada beberapa kotak yang Henry turut letak di bilik ini siang tadi. Dan Iman yang sememangnya sedang ketakutan itu terjerit kecil dek terkejut dengan kotak di belakangnya.

Nafasnya turun naik. Matanya seakan melekat pada telefonnya yang masih bercahaya. Namun wajah nenek tua itu sudah tiada.

"Ya Allah.." dan saat itu barulah ingatan pada Allah jadi segar.

"Ya Allah.." Iman memegang dada. Memenangkan dirinya sendiri.

Ketika itulah pintu biliknya dibuka dari luar, muncul Falah dengan pelita tertutup di tangannya. Cahaya serta merta menerangi bilik gelap ini.

Iman terus merapati Falah. Tangannya yang menggeletar disorokkan.

"Apa jadi kak?" Falah bertanya sedangkan Iman sudah berdiri di belakangnya, bersembunyi di situ dengan tubuh yang menggigil.

Iman telan liur dari balik bahu Falah. Merenung lama pada telefonnya yang sudah pun gelap. Seakan masih jelas wajah nenek tua berkudis tadi. Malah tadi dia sempat nampak nanah dan darah yang mengalir dari kudis itu.

Jijik.

"Aa.. Akak tak tahu. Ada nenek mun..muncul tiba-tiba." Iman memberitahu tergagap-gagap. Tangannya digenggam untuk mengelak dari terus menggeletar.

Falah spontan menghela nafas berat.

Dia sudah mengagak.

"Kenapa ni?" Henry muncul kemudiannya, wajahnya cemas. Dia yang sedang lena di bilik sebelah terkejut apabila mendengar jeritan Iman.

Falah bernafas perlahan. Merenung pada tempat tidur Iman.

"Akak buat adab tidur tak tadi?" soalnya serius.

Iman tidak terkata. Kelu lidahnya.

Adab tidur?

Sejak bila adanya adab tidur?

Iman ketap bibir.

Falah hela nafas. "Syaitan memang suka pada orang yang tidur tanpa mengingati Allah. Sebab itu penting untuk lena dalam keadaan mengingati Allah. Nescaya malaikat yang akan jaga kita dan syaitan takut untuk mendekati kita." Falah berdakwah di tengah-tengah itu.

Henry mahupun Iman sama-sama kelu mendengar teguran itu. Seakan menyentap kalbu mereka.

"Kakak tunggu dekat luar dengan abang. Falah nak 'bersihkan' bilik ini." Falah menyerahkan pelita di tangannya pada Henry.

Henry menyambut pelita itu seraya mengangguk kecil. Dia sudah dapat meneka yang Iman pasti ada nampak 'sesuatu'. Kerana itu Falah hendak 'bersihkan' bilik ini.

Iman pula segera mengikuti langkah Henry yang sudah pun menuju ruang musolla.

Di situ mereka berdua melabuhkan duduk. Menunggu sahaja Falah berbuat apa.

Manakala Falah sudah pun menapak ke tengah-tengah bilik itu, membelakangi tilam nipis Iman. Di situ dia melabuhkan duduk menghadap kiblat, nafas dihela panjang-panjang. Dengan lafaz basmalah dia mula membaca manzil.

Suaranya melantun ke seluruh rumah. Mengocak sepi di tengah dinihari.

Henry dan Iman di luar diam sahaja mendengar. Merdu suara Falah di telinga mereka.

Tidak tahu kenapa, mendengarkan bacaan Falah hati mereka jadi tenang.

SEBAIK sahaja fajar sadiq menyingsing langit, barulah Falah bangkit dari duduknya. 'Pembersihan' untuk bilik ini sudah selesai.

Dia melangkah keluar mendekati Iman dan Henry yang sudah pun tertidur. Iman tertidur dalam keadaan menyandar manakala Henry tertidur dalam keadaan berbaring di sisi pelita yang sudah pun padam.

Lena benar mereka berdua. Falah tersenyum sendiri.

Dia kemudian bergerak ke dapur, hendak membersihkan diri sebelum melaungkan azan subuh. Selesai qadha hajat dan berwudhuk di bilik air, dia naik ke atas - untuk bersolat subuh. Kali ini dilihatnya Henry sudah jaga, terduduk di sisi pelita yang kembali menyala.

"Falah.." Henry memanggilnya pantas. Mungkin dari tadi lagi dia menunggu Falah selesai.

Falah yang sedang ligat menurunkan lengan baju tersenyum pada abang iparnya.

"Macamana tadi? Apa yang berlaku?" Henry bertanya cemas.

Falah menghela nafas seraya meraup wajahnya yang basah. Dipandang sekilas pada kakaknya Iman yang masih tidur dalam keadaan bersandar itu.

"Ada yang tidak suka dengan kedatangan kita di sini.."

Henry yang mendengar meriding bulu romanya.

"Dia tahu yang dia tak dapat ganggu Falah, jadi dia cuba untuk ganggu orang lain." Falah memandang Iman. "Dan Kak Nadrah yang jadi mangsa."

Henry turut memandang Iman. Lena betul wanita itu tidur.

Falah menghela nafas, kembali memandang Henry.

"Syaitan sangat gemar pada orang yang tidak solat, abang." Bukan bermaksud sindiran, tapi hanyalah sekadar nasihat.

"Sebab itu kita kena perbanyakkan solat."

Falah tersenyum nipis dalam samar cahaya lilin.

Henry terkelu sendiri.

Falah kemudian meminta diri untuk melaungkan azan subuh. Belum pun dua langkah dia menapak, Henry memanggil.

"Falah.."

Falah berhenti melangkah, memusingkan tubuh pada abang iparnya.

"Kalau abang join Falah sekali boleh tak?" Henry tersenyum kelat.

Manakala Falah tersenyum lebar. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro