♛ Bab 33

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"PETANG ni saya ada meeting dekat luar. Mungkin habis lewat sikit. Kalau awak nak keluar dengan Hawa, pergilah. Saya izinkan."

Disebabkan tiga patah ayat yang keluar dari bibir Edirul Fahmi semasa makan tengah hari tadi, pulang saja dari pejabat terus Adreanne dan Hawa mencemar duli di sebuah pusat beli-belah.

"Nasib baik abang ikan kau ada meeting harini, bolehlah kita ber-ladies' day out. Kalau tak, mati kebosanan aku dekat rumah sewa tu tau," ujar Hawa.

Adreanne yang sedang mencuba kasut di kaki sekadar mengiyakan.

"Hawa, kasut ni ke kasut tu yang cantik?" Dua pasang kasut tumit tinggi berwarna khaki dan beige Adreanne tunjuk kepada Hawa.

Berselang-seli kasut yang ditunjukkan oleh Adreanne dipandang. Hawa ketuk bawah dagu sambil berfikir.

"Aku rasa yang warna khaki ni sesuai dengan kaki kau. Design dia pun nampak lebih elegant," putus Hawa.

"Okey." Senang kerja Adreanne. Tak perlulah dia bertapa lama-lama dalam kedai kasut ni.

Keluar saja dari kedai kasut, terus Hawa menarik tangan Adreanne. Terkocoh-kocoh dia mengikut langkah seribu Hawa.

"Ad, kita beli pyjamas nak tak?" ajak Hawa.

Cis, Hawa ni! Dia dah tarik tangan aku baru nak tanya. Adreanne tayang muka pasrah.

"Kau beli untuk kau dahlah. Aku ada banyak lagi baju tidur dalam almari tu," tolak Adreanne sopan.

"Hesy, takkan kau nak pakai baju kartun-kartun kau tu?" soal Hawa, tak berpuas hati bila Adreanne tolak mentah-mentah ajakan dia.

Setahu Hawa, baju tidur Adreanne semuanya gambar kartun. Kalau tak Doraemon, mesti Hello Kitty. Oh, ya! Ada juga baju tidur gambar Winnie the Pooh dan Boboiboy. Naik pusing Hawa tengok baju-baju tidur Adreanne zaman belajar dulu.

"Okeylah tu, aku pakai juga baju. Kang tak pakai baju kang, ada pula yang jadi 'ikan' untuk abang ikan kau tu," perli Adreanne.

Hawa tayang sengih. "Hesy, tak dapat aku nak bayangkan kalau abang ikan bertukar jadi kucing jantan yang tengah on heat."

Laju jari Adreanne mencubit lengan Hawa. "Kau ni memang gatal! Kalau bab-bab tu, laju je kau, kan?"

"Lah, aku pula yang salah," cebik Hawa.

Bila kaki Hawa terpasak di muka Bumi, Adreanne turut berhenti melangkah. Dipandang Hawa dengan kedutan di dahi.

"Kau dah kenapa berhenti tengah-tengah alam ni?"

Hawa masih membatu. Rasa macam tak percaya dengan apa yang dilihat dengan mata kepala dia. Terus Hawa berpusing.

"Kita beli lain kalilah, Ad. Kaki aku rasa lenguh pula tiba-tiba," tutur Hawa perlahan.

Wajah Hawa yang berubah kelat Adreanne tilik. Puas dicari apa yang menyebabkan angin Hawa berubah sebelum mata Adreanne menangkap kelibat seseorang.

"Tak. Kita masuk kedai tu sekarang juga," keras Adreanne bersuara. Hawa yang dah berpaling direntap kuat menyebabkan Hawa terpaksa mengikut langkah Adreanne.

Hawa mengetap bibir kuat bila dia dan Iqbal berselisih.

"Jantan tak guna," gumam Hawa perlahan, cukup untuk dia dan Iqbal mendengar.

Dia nampak betapa cerianya wajah Iqbal di sisi seorang wanita yang sarat mengandung. Sejak kejadian sebulan yang lepas, tak ada langsung kata maaf yang keluar dari mulut Iqbal buat dia.

"Tahniah! Dah nak jadi bapa dah kau kan tak lama lagi," tegur Adreanne. Hawa yang tunduk menekur lantai digenggam tangannya kuat.

Terkulat-kulat Iqbal bila Adreanne menegur. Kelu lidah dia untuk bersuara tatkala ternampak Hawa di sebelah Adreanne.

"Err... Terima kasih," ucap Iqbal gagap.

Wanita yang sedari tadi dipeluk pinggang oleh Iqbal memandang mereka bertiga hairan. Dia cam wajah Hawa walaupun Hawa cuma tunduk sejak tadi. Tapi dia sendiri tak tahu apa yang terjadi antara Iqbal dan Hawa.

"Pergi mampus dengan terima kasih kaulah! Kau ni memang tak ada rasa bersalah walau sekelumit pun ke? Dah ada bini buatlah cara dah berbini," hambur Adreanne.

Mati kutu Iqbal. Dia tahu Adreanne sangat protective akan segala hal yang melibatkan Hawa. Tiga tahun mereka menuntut ijazah sarjana muda bersama, dia kenal benar dengan sikap Adreanne.

"Apasal kau diam? Dah keras ke lidah kau tu nak bercakap? Kau ni kan... Eyy! Kalau aku sepak karang kesian pula dekat anak kau yang bakal lahir tu. Tapi aku pantang betul dengan jantan yang main kayu tiga macam kau ni."

Adreanne tak dapat menahan amarah. Dah lama dia tunggu saat-saat untuk beradu dua mata dengan Iqbal. Baru hari ini Tuhan makbulkan hasrat dia yang satu itu.

"Biy... Kenapa ni? Kenapa perempuan gila ni mengamuk dekat biy?"

Nak bernanah telinga Adreanne tatkala mendengar soalan isteri Iqbal. Suka hati je panggil dia perempuan gila. Dia tak gila, Iqbal ni yang gila sebenarnya.

Adreanne berdehem sekali sekaligus membuatkan Iqbal dan isterinya memakukan pandangan pada Adreanne.

"Puan... kalau Puan yang entah-apa-nama ni nak tahu, suami Puan ni dah mainkan perasaan kawan baik saya. Suami Puan ni masa kitorang belajar dulu yang mengurat kawan saya ni. Bujang katanya. Heh, bujang kepala hotak dialah!"

Wanita di sebelah Iqbal menoleh ke arah Iqbal. "Betul ke apa dia ni cakap biy?"

Iqbal ketap bibir sekali. Tak betah bila pandangan pengunjung mula terpasak mereka. Atau lebih tepat lagi, pada dia.

"Sayang tunggu sini kejap ya," pesan Iqbal perlahan. Terus ditolak bahu Adreanne dan Hawa keluar dari butik tersebut.

-----

"HESY, sakitlah jebon kau tolak-tolak macam ni! Apasal? Kau malu ke?" ejek Adreanne.

Seperti ada jongkong emas dalam mulut, Hawa langsung tak bersuara. Kalau dikut hati Hawa yang sakit, mahu saja ditampar kuat pipi Iqbal. Biar terteleng kepala Iqbal tu. Tapi Hawa malas nak panjangkan isu.

"Dah? Puas hati kau malukan aku depan bini aku tadi?!" Jerkah Iqbal apabila mereka berada agak tersorok dari khalayak umum.

Adreanne senyum sinis. "Heh, tahu pula kau malu! Masa kau main kayu tiga dulu ada kau fikir kau malu? Takda, kan? So, apasal nak malu pula? Wat lek wat peace ah brader."

Perlian Adreanne buatkan amarah Iqbal mula memuncak. Pada dia, Adreanne lebih sudu daripada kuah.

"Kau sibuk apasal? Ada kaitan dengan kau ke?" marah Iqbal.

Adreanne talakan jari ke arah dirinya. Muka Adreanne tak usah dicakap, memang menyinis dari tadi.

"Aku? Aku memang takda kaitan dengan kau. Tapi kau dah cari pasal dengan Hawa. Secara tak langsung, kau dah cari pasal dengan aku juga."

Iqbal berdecit. "Kau ni melebih pula, kan? Hawa tu relaks je jumpa aku. Kau pula yang over macam kau kena curang."

"Kau dah kahwin kan, Ad? Apa kata kau jaga je laki kau elok-elok. Bukan apalah, aku risau nanti si Hawa ni menjalang dengan laki kau macam mana dia menjalang dengan aku dulu," sambung Iqbal lagi.

Pang! Terteleng kepala Iqbal ke kiri. Berbekas juga lima jari Hawa di pipi kanan Iqbal.

"Kau cakap aku menjalang dengan kau? Woi, jebon! Kau sedarlah sikit muka kau tu. Muka pun macam jamban tak siap, ada hati nak fikir kempunan sangat nak bercinta dengan dia. Kalau kau tak mula dulu, aku pun tak jatuh cintalah dengan kau," amuk Hawa. Tangan yang mula berdenyut Hawa abaikan.

Adreanne cuma diam, memberi laluan supaya Hawa meluahkan apa yang terbuku di hati. Dia tahu, Hawa terkesan dengan apa yang jadi. Kalau tak, mana mungkin Hawa nak larikan diri dari bertemu Iqbal walaupun pertemuan kali ini tak dirancang.

"Heh." Iqbal tarik senyum sinis. Muka yang terteleng Iqbal palingkan untuk menatap Hawa.

"Berani nampak?" sinis Iqbal.

"Apasal? Kau nak buat apa pula kali ni? Kau nak tampar aku macam yang kau pernah buat dulu ke? Buatlah kalau kau berani," cabar Hawa.

Tipulah kalau Hawa cakap Hawa tak takut. Iqbal lelaki, dia dan Adreanne pula perempuan. Macam-macam hal yang boleh Iqbal lakukan.

Tapi memikirkan yang mereka berada di tempat awam dan ditambah pula dengan CCTV di hujung sudut, Hawa cuba beranikan diri.

"Dia tampar kau, Hawa? Kenapa kau tak pernah cerita pun dekat aku?" soal Adreanne kesal.

"Haah, aku pernah tampar dia. Tapi aku bukan tampar dia saja-saja. Dia yang biadap dengan aku." Iqbal tolong jawab.

Hawa mula menyingsing lengan baju kurung. Hilang terus keayuan dia bila dia mara ke arah Iqbal dengan langkah yang besar.

Baru saja tangan Hawa naik untuk melempang Iqbal buat kali kedua, Iqbal dah pun menangkap kemas pergelangan tangan dia. Berdesis Hawa menahan sakit.

"Macam ni nak lawan aku? Lembik!" Iqbal mengejek.

Setapak demi setapak Iqbal mula menghimpit Hawa ke sudut dinding. Jeritan Adreanne di tepi dibuat tak dengar. Bila Adreanne mara ke arahnya, Iqbal tolak tubuh Adreanne kuat.

"Lepaskan Hawalah, Iqbal! Kau gila ke?!" tempik Adreanne.

Iqbal buat tak dengar. Dia mara lagi setapak ke arah Hawa.

"Kau tahu kenapa aku kahwin dengan perempuan tadi?"

Hawa geleng berkali-kali. Sumpah, dia takut dengan Iqbal. Rasa menyesal mula bertapak dalam hati Hawa.

"Sebab kau. Kalau kau bagi badan kau dekat aku dulu, mesti aku tak terlanjur dengan dia. Mak aku pun takkan paksa aku kahwin dengan dialah!"

Bila Iqbal lepaskan tangan Hawa, melorot Hawa jatuh ke lantai. Teresak-esak dia menangis bila kejadian di mana kesucian dia hampir diragut oleh Iqbal berulang tayang di fikiran.

-----

"HUMAIRA!"

Adreanne berpaling. Kelihatan Edirul Fahmi dah tiba di rumah sewa Hawa.

Kalau diikut hati Adreanne, mahu saja dia bawa Hawa untuk tinggal dengan dia. Tapi Hawa menolak. Kata Hawa, biarlah dia merawat rawan di hati terlebih dahulu.

Disebabkan Hawa yang tak henti-henti menangis jugalah, Adreanne sukarela tawarkan diri untuk memandu pulang. Bila tangisan Hawa mula reda, Hawa ceritakan kejadian hitam antara Hawa dan Iqbal.

Betapa Adreanne kesal kerana dia langsung tak tahu-menahu soal tragedi yang menimpa Hawa. Sangkanya, Hawa baik-baik saja sepanjang study week mereka dua bulan yang lepas.

Rupa-rupanya, kejadian hitam itu berlaku dua hari sebelum hari dia dihantar pulang oleh Edirul Fahmi.

Mengikut cerita Hawa, dia dan Iqbal keluar makan malam bersama dan Iqbal memang ada mengajak dia untuk 'bersama' tapi dia menolak.

Entah macam mana, Hawa boleh terlelap di dalam kereta Iqbal. Sedar-sedar saja dia dah berada di atas katil hotel.

Sewaktu Hawa sedar, Iqbal masih berada di dalam bilik air. Disebabkan terlampau takut, Hawa terus membuat keputusan untuk pulang terlebih dahulu tanpa memberitahu Iqbal.

Kata Hawa lagi, bukan sekali dua Iqbal meminta 'hal' yang satu itu, malah hampir setiap kali mereka berjumpa pasti Iqbal suarakan hasrat lelaki itu.

Cuma beberapa hari sebelum tu, Iqbal langsung tak meminta bila mereka keluar. Itu yang Hawa beranggapan Iqbal cuma main-main saja sewaktu makan malam mereka. Tapi tak sangka pula, akhirnya Hawa dah berada di atas katil hotel.

"Dah lama ke sampai rumah?" Teguran Edirul Fahmi serta-merta mematikan lamunan Adreanne.

Seperti kebiasaan, Adreanne tunduk mencium belakang tangan Edirul Fahmi dan Edirul Fahmi juga akan melabuhkan ciuman di dahi Adreanne. Mereka cuma berada di muka pintu.

"Dalam sejam jugalah," jawab Adreanne sambil mengerling jam dinding. Sekarang dah pukul lapan malam. Boleh tahan lewat juga Edirul Fahmi habis meeting.

"Awak dah makan?" tanya Edirul Fahmi.

"Dah, saya makan dengan Hawa tadi. Awak dah makan?" soal Adreanne pula.

Edirul Fahmi angguk dua kali. "Saya makan dengan client tadi. Hawa mana?"

Adreanne turut menoleh ke belakang. "Hawa solat Maghrib tadi. Kejap ya, saya beritahu dia yang saya dah nak balik."

Masuk saja Adreanne ke dalam rumah, Edirul Fahmi terus berlalu ke sisi kereta. Badan dibawa bersandar pada kereta dalam keadaan dia berpeluk tubuh.

Tak lama menunggu, mata Edirul Fahmi menangkap kelibat Adreanne. Kening dijongket sekali bertanya kenapa.

Adreanne geleng kepala. "Jom, kita balik. Awak pun mesti dah penat, kan?"

Edirul Fahmi sekadar mengangguk. Dibuka pintu untuk Adreanne dan dia turut memboloskan diri ke dalam kereta.

-----

"SAYANGKU Humaira..."

Angkat saja muka, Adreanne nampak Edirul Fahmi sedang merenung dia dalam-dalam. Dia sedar, dia banyak mendiamkan diri sejak pulang dari rumah sewa Hawa.

"Awak okey tak ni, Humaira? Saya tengok awak banyak termenung sejak saya ambil awak," tegur Edirul Fahmi. Dikuak rambut Adreanne ke belakang telinga.

"Okey..."

Adreanne terpaksa menipu walhal sebenarnya dia terlampau risau akan Hawa. Waktu Edirul Fahmi menjemput dia pulang tadi, Hawa kelihatan seperti okey. Tapi, dia tetap risau. Lebih-lebih lagi Hawa dah pandai sorokkan sesuatu daripada dia.

"No... You're not okay."

Bila Edirul Fahmi tolak dagu dia guna jari, Adreanne tahu dia tak dapat larikan diri dari soalan Edirul Fahmi. Tambah-tambah lagi dalam keadaan pinggang dia yang dipeluk dari tepi.

"Dulu masa kita buat sesi deep talk yang ketiga dulu, Humaira ada cakap Humaira tak suka saya menipu Humaira. Humaira ingat tak?" soal Edirul Fahmi, bermukadimah.

Adreanne angguk. Tak sangka Edirul Fahmi masih ingat dengan kata-kata dia sewaktu mereka dalam perjalanan ke butik pengantin dulu.

"Ingat," perlahan Adreanne menjawab.

"Saya pun macam Humaira juga, saya tak suka Humaira tipu saya. Now, tell me, apa yang buatkan Humaira kesayangan saya ni diam je dari tadi?"

Dua ulas bibir Adreanne masih terkatup rapat. Kalau dia ceritakan soal Hawa, dikira macam dia buka pekung Hawa ke? Itu yang dia serba-salah nak bercerita.

"Saya risaukan Hawa," jawab Adreanne.

Edirul Fahmi pandang Adreanne pelik. Pelbagai hal mula bermain di fikiran dia sekarang ini.

"Kenapa dengan Hawa? Ada apa-apa jadi ke masa korang keluar tadi?"

Adreanne angguk lambat-lambat. Baru saja dia bercadang untuk merahsiakan tentang pertemuan tak dirancang antara mereka berdua dan Iqbal.

"Humaira ceritalah... Cerita sampai habis. Ingat Humaira, no lies. No skip parts," tegas Edirul Fahmi.

Tubuh Adreanne yang berbaring di sebelah ditarik rapat ke dalam pelukan. Sambil dia mengusap belakang Adreanne, Adreanne bercerita setiap rentetan peristiwa petang tadi. Langsung Edirul Fahmi tak menyampuk sehinggalah Adreanne habis bercerita.

"Iqbal tu ex boyfriend Hawa ke?"

"Haah, diorang bercinta dari first year degree lagi," jawab Adreanne serba ringkas.

"Diorang putus sebab Iqbal dah berkahwin?"

Sekali lagi Edirul Fahmi bertanya. Bukanlah dia mahu menyibuk hal percintaan Hawa dan Iqbal, dia cuma mahukan kepastian bagi setiap persoalan.

Adreanne angguk dengan kepala yang bersandar di dada Edirul Fahmi.

"Awak ingat tak hari yang kita terjumpa Hawa dengan angah dekat McDonald's dulu?"

Bila Edirul Fahmi mengiyakan, Adreanne terua menyambung.

"Masa tulah diorang putus. Hawa terjumpa Iqbal dengan isteri dia tengah beli maternity dress."

Kini barulah Edirul Fahmi tahu kisah sebenar di sebalik amukan Adreanne sebulan yang lepas. Gerun juga dia bila teringatkan kata-kata Adreanne di McDonald's dulu.

"Humaira risau Iqbal cari Hawa ke?"

"Saya tak takut soal tu sebab saya yakin Iqbal memang takkan cari Hawa lagi dah. Saya cuma risau kalau Hawa berlakon okey je depan saya," balas Adreanne. Itulah yang dia risaukan. Dia yakin Hawa memang terkesan dengan pertemuan tadi.

"Tak apalah, sekarang ni kita doa yang baik-baik untuk Hawa. InsyaAllah satu hari nanti, ada lelaki yang lebih baik Allah takdirkan untuk Hawa," pesan Edirul Fahmi.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro