Bab 12

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

PINTU suite 003 dibuka luas sebelum dia membenarkan Black masuk dengan barang-barang yang dibelinya tadi.

Sengaja dia biarkan Black bawa semuanya biar Black tahu kedudukan dia hanyalah pekerja Firdaus. Bukannya siapa-siapa yang boleh arahkan dia itu dan ini.

Sebaik saja meletakkan barang-barang tadi ke atas sofa, Black terus melangkah keluar dari situ.

"Kalau ada apa-apa, call I." Suara Black bagaikan angin lalu di telinganya.

Dia tak menjawab. Perlahan-lahan dia menutup pintu tanpa menghiraukan Black yang masih berdiri di situ.

Baru saja dia melangkah setapak, loceng berbunyi nyaring. Spontan dia mengeluh panjang.

"Nak apa lagi?" Pintu dibuka separuh.

"Cik tak ada charger phone, kan?"

Bila dengar soalan Black, barulah dia teringatkan tentang bateri telefon pintar yang dah tinggal nyawa-nyawa ikan dari tadi.

"Lagi sejam I datang sini balik," kata Black tanpa menunggu jawapan Fatiya.

"Tak payah pun tak apa. I boleh minta dengan hotel ni." Dia berpeluk tubuh kemas sambil bersandar pada pintu.

"I datang bawa makanan sekali," sambung Black lagi. Langsung tak hiraukan jawapannya tadi.

Fatiya terdiam. Dah tak boleh nak tipu yang dia tak lapar sebab dia memang tengah lapar.

"Hmmm..." Pendek dia menjawab, masih dengan ego meninggi.

"Maaf pasal tadi." Kali ini, suara Black kedengaran ikhlas. Lama dia meneliti wajah gadis di hadapannya.

Dia tahu apa yang jadi hari ni memang langsung tak boleh diterima akal Fatiya.

"Hmmm..."

"I cuma risaukan keselamatan cik."

"Tinggalkan I sorang-sorang kat situ, tak risau pula?"

"Sebab I tak nak Tan Sri nampak cik." Terluah juga kebimbangan dia. Fatiya masih tak tahu apa rahsia yang kedua-dua keluarga itu pegang.

Cepat saja dahi Fatiya berkerut bila dengar penjelasan Black.

"Kenapa? Takkanlah selain you dengan abang, I tak boleh cakap dengan siapa-siapa?"

"Ya."

Fatiya mencebik.

"Dah tu, you macam dah kenal rapat dengan Tan Sri, tak apa pula? Abang tahu ke yang kau orang kenal rapat?" Tajam anak matanya menikam Black di depan.

Lelaki itu terdiam seketika. Bibirnya bergerak, cuba menyusun kata. Tapi dia langsung tak tahu macam mana nak mula.

"You cerita semua rahsia abang pada Tan Sri, eh?"

Belum sempat Black menjawab, telefon di dalam saku jean Fatiya bergetar kuat.

Cepat saja dia keluarkan dan membaca nama pemanggil sekilas. Black turut menjatuhkan pandangan pada skrin iPhone yang dipegang.

Kamal.

"Jangan beritahu dia, yang cik ada dekat sini."

Fatiya tayang muka bosan.

"Cik tak payah jawab pun lagi bagus."

"You cakap sejam lagi nak datang balik, kan? Pergilah." Sebelah tangan terus menutup pintu bilik kemas sebelum jarinya menyambut panggilan daripada Kamal.

Daripada bosan bersendirian dalam suite ni, baiklah dia bersembang dengan Kamal.

"Cik!"

Black menjerit dari luar tapi langsung dia tak hiraukan.

"Hai, Tiya. Kat mana tu? Jom keluar."

Baru saja dia melangkah ke katil, tiba-tiba pintu suite dikuak dari luar.

Terjengul wajah Black di muka pintu.

"Black?!" Spontan dia menjerit kuat.

Terkejut.

Macam mana Black boleh masuk dalam ni? Jangan cakap yang Black ada kunci pendua?

Oh my!

"Don't tell him..." Perlahan Black bersuara.

"Jangan jumpa dia."

Fatiya mengeluh keras. Black ni ada pakai alat curi dengar ke apa dekat phone ni? Macam mana dia tahu yang Kamal nak ajak dia keluar?

"Tiya?" Suara Kamal di hujung talian membuatkan dia kembali ke realiti.

"Are you okay? Kenapa tu? Black ada dengan you?"

"Tak ada apa-apa." Cepat dia menjawab. Pada Black, dia sekadar membuat isyarat 'okey' dan 'tolong keluar'.

Ada ke patut terjah masuk bilik perempuan macam tu aje?

Ada juga dia tukar bilik karang...

Black mengangguk sekali sebelum keluar dan menutup pintu rapat. Cepat-cepat dia kunci dari dalam, bimbang kalau-kalau Black tiba-tiba terjah masuk lagi.

Pintu dikunci, Kamal masih cuba memujuk dia untuk keluar. Dia tarik nafas dalam-dalam dan membawa kaki ke bilik utama. Tubuh dihempas ke atas katil empuk sambil tangannya masih memegang iPhone di telinga kiri.

"I ada kat rumah. Tak boleh keluar la hari ni. I penat sikit." Nak tak nak, dia terpaksa menipu juga.

Takut pula kalau Firdaus belasah Black lagi kalau dia tak dengar arahan.

"AKU tak sangka kau masih jumpa orang tua tu."

Black pegun di tempatnya. Langsung tak berganjak walaupun badannya menjadi mangsa kemarahan Firdaus.

"Patutlah kau liat sangat bila aku suruh jaga adik aku. Kau sengaja nak bocorkan rahsia aku pada dia, kan?"

"Bukan macam tu, bos."

Pang!

Sekali lagi mukanya dilempang kuat.

"Habis tu apa! Apa lagi yang tak cukup, Black?" Suaranya meninggi. Marah dan kecewa bercampur menjadi satu.

Black kembali diam membisu. Perit di pipinya langsung tak diendahkan. Dia masih tunduk memandang kaki sendiri. Langsung tak berani nak bertentang mata.

"Kau jangan ingat aku tak tahu yang kau selalu jumpa orang tua tu. Aku ada mata-mata yang memerhati, Black..."

"Saya tahu ada orang kita ikut saya, bos."

Jawapan Black mengejutkan Firdaus.

"Kau tahu? Jadi kau memang nak aku tahu yang kau talam dua muka?!"

Dia sendiri terkejut bila salah seorang pengawal peribadinya beritahu tentang pertemuan Black dan Tan Sri Razak. Bukan sekali dua, hampir setiap minggu. Dengan kehadiran Fatiya di pejabat tadi, dia yakin yang Black memang sengaja nak jatuhkan dia perlahan-lahan.

"Maafkan saya, bos."

Firdaus menjeling tajam. Naik turun nafasnya menahan marah. Kalau diikutkan hati, dekat situ juga dia tamatkan riwayat Black, tapi entah kenapa hati dia kuat menghalang.

"Sebenarnya bos..." Black tarik nafas dalam-dalam. Kali ini dia cuba memberanikan diri untuk membalas pandangan Firdaus.

Dan petang itu, rahsia yang dipegangnya dibongkar satu per satu.

PUKUL 8 malam. Fatiya hampir terlena depan televisyen sewaktu loceng berbunyi nyaring. Sempat dia menguap beberapa kali sebelum menuju ke lubang kecil pada pintu.

Kelibat Black yang sedang tunduk ke bawah menyapa mata. Sempat matanya menangkap bungkusan sederhana besar di tangan Black.

Makanan!

Cepat saja dia buka kunci dan membuka pintu luas-luas. Perut dari tadi menjerit minta makanan sebenarnya. Hampir-hampir saja dia nak buat room delivery, tapi memikirkan janji Black, dia tahankan saja.

Black dah janji nak bawa makanan dan charger.

Dan sudahnya, hampir tiga jam juga dia melangut sendiri selepas habis bersembang dengan Kamal tadi.

"You cakap sejam aje. Dah nak habis maghrib baru sampai!" Spontan dia merungut bila Black dah berdiri tegak di depan pintu.

Sebaik saja lelaki tu mengangkat wajah, Fatiya tergamam.

Bukan sahaja lebam di bibir, di pipi Black juga calar-balar dan lebam. Walaupun muka Black dah bersih dari darah, namun lebam dan calar tetap jelas kelihatan.

"Black! Apa dah jadi ni?" Serius, selama ni dia hanya tengok dalam filem atau drama. Tak pernah sekali pun dia tengok secara realiti macam ni.

Black tak menjawab. Dia hanya tersenyum nipis sambil melangkah masuk ke dalam. Cepat-cepat Fatiya tutup dan kunci sebelum mendapatkan Black yang sudah berhenti di meja makan kecil di suatu sudut.

"You boleh senyum lagi? Kenapa muka you ni? Abang pukul lagi? Kenapa?"

"Cik kunci pintu tu kenapa? Tak takut ke I satu bilik dengan cik?"

Isy, dia ni kan... Sempat lagi!

"You juga yang cakap suite ni ada dua bilik." Fatiya gigit bibir, cuba hilangkan rasa segan sendiri. Dia sendiri pun tak tahu kenapa tangannya cepat saja kunci bilik dari dalam.

Mungkin tak nak Black kena belasah lagi teruk?

Tapi dekat hotel ni, siapa aje yang berani buat hal datang belasah orang?

Dia bergegas ke telefon hotel yang terletak di sebelah sofa sambil memandang Black yang dah mengambil tempat di meja makan.

"I perlukan kotak first aid sekarang."

Black menoleh ke arahnya sekilas. Tak sangka yang Fatiya akan minta peti pertolongan cemas daripada pihak hotel.

Selesai buat panggilan, dia melangkah menghampiri Black. Berkerut-kerut dahinya menahan ngilu bila pandang wajah lelaki itu yang penuh dengan luka.

Black senyum segaris.

"Yang cik kalut sangat ni kenapa? I yang kena pukul, bukan cik pun yang rasa sakit." Spontan dia menggeleng.

Ini la dia anak orang kaya. Tak pernah rasa luka sikit agaknya.

"Susah cakap dengan you ni. Orang risaukan pasal luka pun, dia boleh perli-perli lagi."

"Risau? Cik risaukan I?" Black hampir tak percaya. Wajah Fatiya yang serba salah di depannya dipandang tak berkedip.

Spontan Fatiya ketap bibir.

Dia salah ayat ke? Hesy... Kenapa dia cakap risau tadi?

"Kalau cik buat semua ni semata-semata nak menang game tu, I rasa cik dah hampir berjaya." Black menampal senyum tanpa rasa.

Fatiya terdiam. Wajah tenang Black dipandang lama.

Tak, ini bukan sebab nak menang permainan bodoh yang dia cipta tu. Ini juga bukan saja-saja risau sebab dia tak pernah rasa luka macam tu sekali.

Apa yang dia rasa sekarang ni langsung dia tak dapat tafsir. Rasa bersalah? Atau betul-betul risau keadaan Black?

"Abang pukul you lagi? Kali ni kenapa pula? Sebab I pergi ofis tadi ke?" Perlahan suara yang terkeluar. Cuba menutup gugup yang mula bersarang dalam hati.

"Jom kita makan dulu, cik. I pun dah lapar, dari tadi tak makan." Black dah buka salah satu bungkusan makanan yang dibawa tanpa menghiraukan soalannya.

Dia mengeluh panjang. Susah betul nak dengar lelaki ini bercerita panjang. Akhirnya dia duduk juga di atas kerusi kosong yang bertentangan.

"Kejaplah. I dah minta first aid tu. You sapu ubat dulu, baru kita makan."

Sempat dia menjenguk bungkusan yang dibuka.

Nasi Goreng Kampung dan telur mata.

Lama betul dia tak jumpa nasi goreng macam ni. Rindu pula nak rasa.

"You beli kat mamak ke ni?"

"Sejak bila mamak pandai buat Nasi Goreng Kampung?" soal Black.

"Mana la I tahu..."

"Memang beli kat kedai mamak. Dia orang ada tukang masak masakan panas." Black bersuara beberapa saat kemudian. Bibirnya ditarik tipis, cuba mengawal senyum.

Dengar saja jawapan Black, Fatiya terus mencebik. Tadi macam yakin sangat bukan dari kedai mamak!

Dia mencapai sebungkus lagi nasi yang dibawa. Bila difikirkan balik, tak matching langsung bila makan Nasi Goreng Kampung telur mata di suite hotel mewah ni.

Tapi siapa peduli? Kadang-kadang, bila dah mengidam, Nasi Goreng Kampung telur mata macam ni pun boleh lawan rasa makanan mahal dua tiga ratus ringgit tu.

Dan ya, dia memang mengidam makanan di Malaysia bila dah bertahun-tahun tak balik sini.

Perbualan mereka terganggu bila loceng bilik berbunyi nyaring. Automatik Fatiya berdiri dan menjenguk dari lubang pintu.

Seorang staf hotel membimbit peti pertolongan cemas tersenyum di depan pintu. Macam tahu-tahu saja dia mengintai dari situ.

"Thanks," ucap dia perlahan sebaik saja pintu dibuka.

"Cik perlukan doktor? Kami juga ada sediakan khidmat doktor kalau cik nak."

"No thanks. Ini saja yang I nak." Senyum dilemparkan kepada staf hotel itu.

"Baik, cik. Take care."

Fatiya mengangguk sekali dan terus menutup pintu rapat. Peti pertolongan cemas dibimbit kemas sehingga ke meja makan.

Bila nampak Black yang berselera makan, dia batalkan saja niat untuk merawat luka Black.

Bungkusan nasi goreng yang dibukanya tadi kembali dicapai. Sambil menyuap nasi ke mulut, matanya sesekali mencuri pandang pada lelaki di depan.

Tak sakit ke dia? Berselera betul makan.

"Pandai you teka selera I." Dia cuba cari topik perbualan. Kekok pula kalau masing-masing diam. Nak pula, dia hanya berdua dengan Black dalam suite ni.

"I cuma beli apa yang I nak makan. Mana la I tahu selera cik macam mana."

Merah padam muka dia bila dengar jawapan Black. Black ni pun, tak boleh ke jaga hati sikit?

Huh!

"Tapi I boleh agak yang cik nak makan makanan Malaysia. Tengoklah cara cik makan nasi lemak tu... Jadi I rasa, nasi goreng ni pilihan tepat?" sambung Black lagi.

Dia sekadar angguk sekali. Malas dah nak puji Black lebih-lebih.

"Boleh la. Sedap."

Buat seketika, masing-masing diam menikmati makanan di depan mata. Pandangan Fatiya kembali hanyut pada wajah calar-balar Black. Tepi mata, rahang, tepi bibir... Semua tak terlepas dari lebam.

Dan Black pula masih seperti biasa. Tenang bagaikan tak ada apa yang jadi.

Ini ke hidup yang Black lalui selama ni?

Dan kalau inilah hidup sebenar dia, bila pula dia ada masa untuk sibukkan diri dalam laman chatting tu?

"Black," panggil dia perlahan.

Black angkat kepala sesaat sebelum kembali menyuap nasi goreng ke mulut.

Pandangan Fatiya masih tak lepas dari lelaki di depannya.

"You pernah dengar tak laman chatting sembangsantai.my?"

Suapan Black terhenti seketika. Dia terbatuk kecil tiba-tiba namun sempat dikawal. Sebotol air mineral yang dibawanya dicapai dengan tangan kanan sebelum diteguknya perlahan.

"Pernah dengar tak? I selalu dengar kawan-kawan Malaysia chatting kat situ." Fatiya simpan senyum. Jelas perubahan riak Black sekarang ni.

Got you!

"I tak ada masa nak chat." Mendatar jawapan Black. Suapan yang terhenti tadi disambung bagai tak ada apa yang jadi.

Spontan Fatiya mencebik. Tak ada masa, tapi nampak sangat dia tahu laman chatting tu.

Okey Hany, aku rasa kita dapat orang yang betul!

"I tak faham kenapa ada orang sanggup menghadap handphone dan komputer lama-lama semata-mata nak bersembang dengan orang yang kita tak kenal." Fatiya masih cuba mengorek sesuatu.

Sedaya upaya dia cuba memancing Black masuk ke topik laman chatting tadi.

Black diam tak menjawab. Fokus betul dia habiskan nasi goreng yang dibeli.

Bila nampak saja riak wajah Black yang seakan-akan langsung tak berminat, Fatiya ketap bibir kuat.

"Ada juga yang percaya dengan ayat dan kata-kata manis aje sampaikan sanggup keluar duit, percaya bulat-bulat, jumpa di tempat sunyi..."

"Cik nak cakap apa sebenarnya ni? Nak I membanteras jenayah siber? Nak I tolong kerajaan block semua laman chatting?" Black bersandar pada kerusi sebaik saja dia menghabiskan ayat.

"Tak adalah macam tu..."

"I dah habis makan. Cik rehat la dulu." Black bangun dari kerusi.

"La... Nak balik dah? I baru buka sikit aje pasal laman chatting, you nak rasa panas hati kenapa?"

Black mengeluh perlahan.

"Sebab apa yang bakal jadi lepas ni lebih berat dari masalah tipu-menipu dekat laman chatting, cik."

Fatiya meletakkan sudu dan garpu lalu membawa pandangan ke arah Black yang dah berdiri di sebelah pintu.

"Tell me, Black. Apa yang berlaku sekarang? Abang tak nak beritahu, you pun tak nak beritahu I..."

"Sebab tu I minta sangat cik balik UK sebelum benda ni jadi lebih teruk."

"Asyik-asyik balik UK... I dah bosan dengar, tahu tak? I nak tahu apa yang jadi, bukannya I nak lari dari semua ni." Suara dia naik senada.

Dia tahu masalah tak akan selesai kalau dia lari balik UK sekalipun. Entah-entah, bila dia dah balik sana nanti, makin teruk keadaannya.

"Black, apa yang jadi pada keluarga I sebenarnya? Kenapa payah sangat nak terus terang pada I?"

Sungguh, dia dah penat berada dalam tanda tanya. Kepalanya dah mula tepu dengan pelbagai soalan.

"Dan jangan suruh I tanya abang sebab I tahu yang abang takkan beritahu," sambung dia lagi.

"Dan I pun tak boleh beritahu cik. Sorry..." Black buka pintu.

"Cik jaga diri. Dengar cakap bos. Jangan buat benda ikut hati." Sempat dia menitip pesan sebelum pintu ditutup rapat.

Fatiya tergamam. Dia terpaksa akur juga dengan keputusan Black. Nak tak nak, dia kena berhadapan dengan Firdaus juga.

Lama dia merenung pintu yang dah melenyapkan kelibat Black tadi. Bila kepala mula teringatkan sesuatu, cepat-cepat dia berlari ke pintu dengan sesuatu di tangan. Daun pintu dikuak luas sebelum nama Black dipanggil kuat.

"Black, wait!"

Spontan Black menoleh ke belakang.

"You tertinggal ni..."

Peti pertolongan cemas diangkat tinggi. Dia nampak Black mengeluh perlahan dan kembali melangkah ke arahnya.

Peti pertolongan cemas itu dicapai dan Black terus berlalu dari situ tanpa suara.

Fatiya melepas nafas panjang.

Apa yang bakal jadi lepas ni?

Urgh! Kenapa semua benda makin complicated ni? 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro