SYT 5

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

          Aku campak beg tanganku di atas lantai. Tidak kukira lagi kemungkinan handphone kesayanganku akan rosak kerana hentakan kuat yang jelas kudengar. Pipiku sudah basah lencun dengan air mata. Aku hamburkan lagi tangisanku sekuat hatiku. Kakiku semakin lemah longlai saat ini sehingga aku terduduk lesu. Aku memeluk lutut sekemas-kemasnya dan aku membenamkan wajahku di situ, aku menangis lagi teresak-esak. Tangisan tidak dapat lagi kubendung. Dan aku tidak lagi mahu menahan, biarlah aku melempiaskan semua kesakitan yang aku rasa.

Peristiwa di restoran tadi menghentam aku satu persatu. Suara Ayyan, suara Ainura dan segala perilaku manja pasangan bahagia itu menghantuiku silih berganti sehingga membuatku benar-benar terseksa.

"Ayyan, sampai hati kau buat aku macam ni!"

"Aku sayangkan kau, kenapa kau tak sayangkan aku Ayyan!"

"Kenapa kau cintakan perempuan lain Ayyan!"

"Aku pun berhak dapatkan cinta kau, aku pun berhak Ayyan!"

Terketar-ketar bibirku menjerit, meluahkan perasaan yang mendongkol kecewa iaitu kecewa yang teramat sangat. Tidak dapat aku gambarkan lagi bagaimana perasaan yang sedang menikam jiwaku kala ini. Mengapa mencintai seseorang bisa mencengkam luka bertubi-tubi sehinggakan aku tidak berkesempatan untuk merawatnya? Mengapa kejam sekali hatiku tersayat pedih begini? Ya Allah, mengapa aku yang terpilih untuk menghadapi barah luka yang tidak berkesudahan ini? Adakah tiada lagi ruang untuk aku bahagia bersama dia? Ya Allah, tolong aku Ya Allah!

..........................................................................

"Tok, tok, tok, tok."

Ketukan pintu yang bertalu-talu sungguh mengejutkan aku. Mata melilau memandang sekeliling, baru kusedar sekarang aku di dalam bilikku sendiri. Aku cuba mengingat kembali apa yang terjadi tadi, namun kepalaku sakit mencengkam. Kepalaku juga turut memberat. Aku cuba bangun walaupun terasa amat payah sekali.

"Adik! Bangun! Kenapa kunci bilik ni? Kau buat apa dari tadi tak keluar-keluar hah?"

Suara Kak Mina yang lantang itu tidak dapat kubalas. Aku bersandar pada pintu, cuba redakan kesakitan yang mencucuk. Kini, baruku teringat kembali penyebab aku terlena di atas lantai. Hal ini kerana aku menangis seperti orang gila kehilangan anak sehingga aku terlena tanpa aku sedari. Patutlah mata aku terlalu pedih, dan kepalaku sangat berat seperti dihempap batu.

"Woi dek! Kau dengar ke tidak ni? Kau jangan buat-buat pekak boleh tak? Bukaklah pintu ni?"

Sekali lagi suara Kak Mina mengganggu aku. Nafasku hembus kasar. Tak gemar betul diganggu dengan suara Kak Mina yang macam nak cari gaduh itu.

"Sabarlah, aku tertidur. Kejap, aku nak bukalah ni pintu," jawabku untuk mengelak dari mendengar jeritan Kak Mina. Boleh menambah tekanan jiwa apabila dengar secara terus-terusan.

Sedaya upaya aku membangunkan diri, aku berpegang pada pintu bilikku. Hampir sahaja aku terjelopok, mujur aku dapat kawal kepalaku yang tiba-tiba mahu melayang.

Aku pulas tombol pintu, lemah sekali namun aku kuatkan sahaja pulasan itu.

Terpacak Kak Mina di hadapan pintu. Aku hanya pandang kosong wajahnya. Berkerut dahinya menunjukkan dia terkejut melihat keadaanku yang tidak terurus dengan rambut serabai dan bajunya yang tak tertukar.

"Kau ni kenapa dik? Asal tak mandi lagi? Ya Allah, dengan jubah ni tak ganti. Kau ni pekak ke tak dengar? Akukan suruh kau basuh baju aku!?"

Jerkahan Kak Mina aku pandang sepi sahaja. Tak berdaya untuk membalas serangan kata-katanya. Tiba-tiba Kak Mina menyentuh daguku, dia membawa wajahku dekat dengannya.

"Ya Allah, kenapa merah sangat mata kau ni dik? Kau menangis pasal apa ni?"

Kak Mina bertanya dengan nada suaranya jelas kebimbangan.

Aku bisukan diri, tangannya kutolak. Malas mahu menjelaskan keadaanku yang teruk begini.

"Ada apa kau panggil aku jerit-jerit tadi?"

Soalan pula aku tebarkan buat dia. Sempat aku gosok mata yang mula terasa kepedihan. Pedih betul, tak terhingga seperti seperti ada percikan hirisan bawang menyentuh mataku.

"Mak panggil makan, hmm... Kau okay tak ni?"

Suara Kak Mina mengendur sedikit, mungkin kasihan kut dengan aku.

"Aku nak mandi dulu, kejap lagi aku basuh baju kau."

Tanganku masih sibuk menggosok mata, namun semakin digosok semakin pedih pula. Aduh, tak boleh jadi ni.

"Dah kau tak payah gosok mata tu kuat-kuat. Kang jadi hantu kak limah aku tak tahu. Baju tu esok ajelah kau basuh..."

Lembut pula suara Kak Mina menyentuh pendengaranku. Aku hanya angguk kepala, segera aku tutup pintu setelah Kak Mina beredar dari situ.

.........................................................

"Dik, aku masuk boleh?"

Kedengaran suara Kak Mina dari luar. Aku biarkan seketika tanpa balasan, kemudian aku menyidai tuala pada penyangkut baju. Aku baru selesai menguruskan diri. Badanku terasa cukup letih.

"Hmm, masuk ajelah," balasku lalu aku menapak ke arah katil.

Aku henyak tubuhku disitu dan bersandar pada kepala katil. Bahu aku picit untuk menghilangkan beban kesakitan yang singgah.

"Sakit bahu ke dik?" tanya Kak Mina setelah dia mengambil tempat di sisiku. Mata Kak Mina ralit melihat gerak geriku.

"Dah aku picit, mestilah sakit," jawabku malas. Mataku pejam rapat, kemudian aku buka semula. Nampak gayanya kantukku tidak akan menjelma kerana aku sudah terlanjur tidur tadi.

"Cuba kau cerita kat aku... Apa masalah kau dik? Asal menangis macam tu sekali?"

Sekali lagi Kak Mina menyoal aku, seolah-olah mengesyaki ada sesuatu yang sedang menggangguku.

Aku hembus nafas kasar, mataku jatuh pada wajahnya. Aku lemparkan pandangan kosong buatnya. Jika tidak dibalas bicaranya, pasti Kak Mina akan menyoal soalan yang sama bertalu-talu.

"Tak ada apa... Kau tak perlu tahulah kak."

Aku balas ala kadar sahaja, tidak mahu Kak Mina mengetahui tentang isi hatiku yang bergolak hebat. Tidak sesekali aku membongkar perasaan yang terpendam ini, biar ia terperangkap jauh di dasar hati tanpa sesiapapun mampu menggalinya.

"Aku tahu ni mesti pasal Ayyan, adik angkat kesayangan kau tu?"

Tersentak aku dengan tembakan Kak Mina tepat mengena hingga ke ulu hati. Aku tak menyangka dia mampu meneka apa yang berselirat dalam fikiranku. Sedaya upaya aku cuba kawal riak wajahku yang sedikit berubah tadi, aku akan pastikan Kak Mina tidak akan tahu apa yang terjadi.

"Mana ada, adik ada masalah lain. Kak tak payah sibuk hal orang."

Aku menafikan sekerasnya, mataku berlari ke arah lain. Bimbang juga andai Kak Mina dapat membaca fikiranku.

"Aku yakin Ayyan yang buat kau menangis macam nak gila kan? Aku dapat agak dia tolak cinta kau, atau dia ada kekasih kan? Kau mengaku ajelah dik"

Nafasku hampir tersekat. Aku kelu untuk membalas apa-apa. Kata-kata Kak Mina benar-benar memerangkapku, dan aku sendiri tidak mampu menipu lagi. Hatiku sebak menahan rasa tiba-tiba. Kelukaan mula terintai-intai di halaman kepiluan di setiap penjuru hatiku.

"Kau ni degil sangat dik. Dulu aku dah kata tak payah nak beradik angkat sangat dengan budak tu. Kau degil juga melayan dia sampai kau balik pun dihantar dia. Hish, aku tak faham betullah motif korang beradik angkat ni. Apa yang kau dapat hah? Kau tak dapat apa langsung! Tengoklah sekarang, apa yang jadi? Kau juga yang sengsara, cinta bertepuk sebelah tangan!"

Tersayat hatiku mendengar bait kata dari bibir Kak Mina. Air mukaku terang-terangan terlukis kepedihan. Aku tak sanggup memendam perasaan, namun tidak pula aku sanggup menghuraikan apa yang terbelenggu dalam jiwa. Aku dalam dilema!

"Aku tak nak kau bersedih lagi pasal Ayyan. Mulai hari ni kau putus aje hubungan merepek kau dengan dia!"

Wajahku berderau, telingaku jadi panas. Pandangan tajam aku lontarkan pada Kak Mina. Rasa sedihku diganti dengan kemarahan akibat terkesan dengan bicara ikut sedap mulut Kak Mina.

"Apa hak kau kak? Kau blahlah! Tak payah nak sibuk-sibuk dengan hal aku boleh tak? Buat menyemak ajelah kau ni?"

Aku membidas kata-katanya dengan kasar. Emosiku benar-benar tercabar saat ini. Hatiku meluap-luap marah kerana Kak Mina sibuk ikut campur urusan peribadiku.

"Ikut ajelah degil kau tu? Aku nasihat langsung kau tak nak dengar kan? Keras kepala!"

Sekali lagi Kak Mina membakar jiwaku. Aku ketap gigi menahan amarah daripada keluar memberontak.

"Tolonglah jangan cari gaduh dengan aku! Aku penat tau tak! Aku nak rehat!"

Jeritku lantang tetapi aku cuba kawal supaya tak terdengar dek Mak. Walaupun sedang dirasuk amarah, aku masih peduli lagi dan tidak mahu ada perbalahan berlaku antara kami.

Kak Mina menggeleng kepalanya. Mungkin letih dengan sikapku yang masih lagi mahu berselindung walaupun dia sudah cuba korek sehabis mungkin. Dia menyentuh bahuku tiba-tiba. Akibat marah masih bersisa, aku tolak tangannya kasar.

"Aku tahu emosi kau masih tak stabil. Aku cuma nak kau share masalah kau, tapi kalau kau tak nak aku tak boleh paksa."

Kata-kata Kak Mina tidak terkesan langsung di jiwaku. Aku pejam mata rapat-rapat, ingin mempamerkan aku tidak berminat untuk berkongsi apa-apa. Dan aku ingin dia faham, aku tidak mahu dia ada di sini. Aku perlukan rehat!

"Aku tahu kau penat kan. Nah, ni roti untuk kau alas perut. Aku tahu kau memang tak berselera nak makan, tapi jamahlah jangan biarkan gastrik kau datang lagi."

Lembut sahaja suara Kak Mina menunjukkan keprihatinannya. Aku dapat dengar, ada unsur berjauh hati dari suaranya. Aku diterpa sedikit rasa bersalah. Perasaanku juga turut tersentuh dengan sikap ambil berat yang jarang sekali Kak Mina pertontonkan buatku.

Sedetik berlalu, aku buka mata setelah kudengar pintu ditutup rapat. Air mata jatuh berderai perlahan. Aku tatap sahaja roti ditepi meja kecil. Hatiku meruntun hiba. 'Maafkan aku kak, aku terlalu lelah untuk menyingkap luka berdarah ini. Mungkin bila hatiku telah bersedia, akan aku ceritakan semuanya pada kau.' Bisikku perlahan bersama hati yang luluh mengenang sakit yang meracun jiwaku dalam setiap detik nafasku.





...

"Kak?"

Ada suara memanggilku dari belakang, aku pantas palingkan wajah untuk melihat gerangan suara itu.

Ayyan! Nama itu terdetik dalam hatiku. Aku keliru, bagaimana dia bisa memunculkan diri ketika aku sedang sendirian melayan perasaan.

"Macam mana adik boleh ada kat situ?" tanyaku meminta kepastian tentang keberadaan dia di sini. Aku terpandang di tangannya ada satu sampul surat berwarna putih.

"Adik ada sesuatu nak beritahu akak ni..." kata Ayyan dengan nada riang. Pertanyaan aku ditinggal sepi seolah-olah suara aku tidak terdengar pada telingannya.

Aku diam memerhatikan senyumannya yang sangat bahagia itu. Apa maksud senyuman itu? Mungkin ada berita gembira buat diriku?

"Akak jangan terkejut pula..." sambung Ayyan lagi. Dia semakin mara menghampiri aku yang sedang kaku berdiri di bawah pokok rendang.

Wajah dia sedekat ini seakan mengamit aku agar terus menatapnya seperti aku sudah terlalu lama tidak berjumpa dengannya. Kenapa agaknya aku rasa seperti ini? Getus hatiku sendirian.

"Adik nak kahwin..." ujarnya sambil dia hulurkan sampul surat itu kepadaku.

Aku terkelu lidah tanpa dapat mengeluarkan sebarang suara. Sungguh, aku sangat terkejut bukan kepalang dengan berita yang telah dia sampaikan. Aku menggeleng lemah, tidak percaya dan sudah tentu aku tidak mahu percaya walau sedikitpun. Kakiku melangkah ingin menjauh dari dia, jika boleh aku mahu hilang daripada pandangannya.

"Kak, tunggu! Adik belum habis cakap ni!"

Lantang suara Ayyan memanggilku, dia sempat menarik tanganku sehingga langkahku terpaku di hadapannya.

Aku cuba menarik tanganku sekuat yang mungkin tetapi tidak berjaya.

"Lepaskan akak, Ayyan!" jeritku kuat agar dia melepaskan tanganku.

Aku tidak mahu mendengar bait kata daripada bibirnya yang bakal membuat seluruh jiwa ragaku hancur luluh.

"Kakak ni kenapa? Ayyan cuma nak bagi kad jemputan kahwin Ayyan je. Kenapa akak nak lari ni?"

Air mataku luruh jatuh satu persatu. Tidak lagi aku dapat tahan sebak yang sedang melanda hebat dalam dada.

"Ayyan kahwin dengan Ainura kan?"

Aku tanya dengan bibir terketar-ketar. Mata kami bertatapan. Aku dapat merasai ada sinar bahagia tersembunyi dalam bening matanya itu.

"Ye, Ayyan kahwin dengan Ainura kak, tapi kenapa akak menangis ni?"

Mendengarkan jawapan dia menjadikan aku lemah seluruh tubuhku. Kekecewaan yang aku rasai sekarang bukan sedikit, malah sudah merebak parah dalam hatiku.

"Ayyan jangan kahwin dengan dia!"

Entah bagaimana, terlepas perkataan yang aku simpan setelah sekian lama aku pendam rapat-rapat.

"Kenapa? Ayyan cintakan Ainura, kenapa akak nak halang pula!"

Tiba-tiba Ayyan melenting sehingga menaikkan nada suaranya tinggi.

Aku tersentak, air mata semakin deras menuruni lekuk pipiku. Hatiku hancur bagai kaca terhempas dengan herdikan Ayyan. Hal ini kerana Ayyan tidak pernah sesekali berkasar denganku seperti ini. Ya Allah, kenapa mudah sekali Ayyan berubah?

"Sebab hubungan Ayyan dan Ainura masih baru lagi! Akak risau kalau dia bukan seperti yang Ayyan fikirkan."

Walaupun agak susah untuk aku mengungkapkan kata, aku cuba juga melawan tangisanku yang sedikit mengganggu bibirku untuk bersuara.

Ayyan melepaskan tanganku, matanya mencerlung menikam anak mataku. Ada benci mengalir pada matanya kini.

"Ayyan tak kesah, biarlah hubungan ni baru atau lama. Yang penting, hati Ayyan dah cintakan dia!"

Kata-kata Ayyan bagai mata pedang menghunus dalam hatiku. Aku pantas memegang tangannya secara tiba-tiba. Aku terasa ingin berterus terang tentang segalanya sebelum terlambat. Aku tak mahu Ayyan menjadi milik mutlak Ayyan!

"Akak sayangkan Ayyan! Akak cintakan Ayyan! Please, tolong jangan kahwin dengan Ainura!"

Terbuntang luas mata Ayyan memandangku. Berkerut dahinya berlapis-lapis menandakan dia tidak menyangka kata cinta terlahir dalam bibirku.

"Apa akak merepek ni?"

Aku terkulat-kulat lagi sekali kerana terkejut dengan tengkingan Ayyan. Pegangan pada tangannya aku kejapkan lagi, tidak mahu melepaskan langsung.

"Akak tak merepek! Sumpah akak cintakan Ayyan! Tolong jangan kahwin dengan dia, kahwin dengan akak! Sebab perasaan cinta akak lagi mendalam daripada Ainura, akak janji akan setia dengan Ayyan seorang sahaja. Akak akan jaga Ayyan sehingga hujung nyawa akak... Akak akan jadi isteri yang solehah untuk Ayyan!"

Ayyan merentap tanganku kasar. Dia menarik ambutnya berkali-kali. Dengusan kasar aku dapat tangkap.

Aku tahu kepalanya sedang berserabut dengan luahan perasaan daripadaku. Sudah aku duga ini balasan yang aku dapat. Perasaan menyesal mencengkam disetiap penjuru hatiku.

"Ayyan hanya anggap akak sebagai akak kandung! Kenapa akak cintakan Ayyan! Please kak, Ayyan tak boleh anggap akak lebih daripada seorang kakak. Tolong buang perasaan tu kalau akak masih sayangkan lagi perhubungan ni!" luah Ayyan kepadaku.

"Sampai hati Ayyan kan buat akak macam ni? Tak boleh Ayyan cuba terima akak, lepas kahwin kita boleh pupuk perasaan tu. Please, Ayyan."

Aku merayu semahuku, tangannya capai lagi. Tak tahu mengapa perasaan malu seakan sirna daripada diriku buat masa ini.

"Stop it, kak! Ayyan tak boleh! Akak hanya layak jadi kakak Ayyan je! Sampai bila-bila pun tak akan berubah! Ayyan tak boleh cintakan akak...!"

Ayyan membentak dan menolak rayuannya tanpa belas kasihan.

Aku terkedu, hatiku semakin remuk redam. Tetapi aku kuatkan lagi perasaan, aku tidak boleh mengalah. Aku perlu berjuang lagi untuk memenangis hatinya.

"Ayyan... Please... Akak merayu sangat-sangat... Please terima akak... Akak tak boleh hidup tanpa Ayyan!" rayuku lagi dengan penuh pengharapan. Aku mahu menanam benih simpati pada hatinya agar dapat terima aku. Aku yang selalu rindukannya di setiap detik waktu, dan aku yang sentiasa cintakan dia sepenuh jiwa ragaku.

"Akak jangan paksa Ayyan. Ayyan tak suka, kalau akak masih berdegil, kita putus! Putus!"

Ayyan merentap tanganku lagi. Dia berlari meninggalkanku seorang diri. Aku terjatuh longlai menangisi nasib malangku. Orang yang paling aku sayang meninggalkan aku. Apakah aku tidak layak untuk bahagia? Terasa dunia ini tidak bermakna lagi. Aku menyesal dipertemukan dengan Ayyan! Aku bencikan dia! Aku benci!

Tetapi, entah apa yang merasuki aku kini. Aku bangun, mataku melilau mencari bayang Ayyan yang sudah tiada. Namun, aku tekadkan hati dan tanpa aku peduli, aku berlari tanpa arah tuju untuk mengejar bayang-bayangnya yang menghilang. Tanpa aku duga, lori menghala pada jalan raya. Aku tidak sempat mengelak, badanku terlambung tinggi. Yang aku rasai sekarang, tubuhku terlalu sakit, badanku terhempas kasar di atas jalan raya. Terasa hangat darah mengalir di kepalaku. Kepalaku berdenyut-denyut maha hebat, seperti mahu pecah. Dalam sekelip mata, duniaku gelap. Tiada lagi suara yang dapat menerobos masuk ke dalam deria pendengaranku. Namun, aku terdengar sipi-sipi seseorang memanggil aku.

"Kakak!" 

...

Writer's comment : What happen?



Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro