bab 5

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Mama Putera, Puan Fuziah bangun dari kerusi mendapatkan doktor lelaki yang baru sahaja melangkah keluar dari wad pembedahan.

"Doktor, macam mana dengan keadaan anak saya? Tiada apa-apa yang serius, kan doktor?" soal Puan Fuziah. Kerisauan seorang ibu jelas terpancar di wajah.

Doktor Raj menunduk seketika sebelum kembali mengangkat kepala.

"Seriously, I'm so impressed with him. He's so strong. Walaupun mengikut logik, nyawa anak puan sepatutnya dah melayang disebabkan hentakan yang kuat di bahagian kepala. Dia okey dan tidaklah kritikal cuma keadaannya masih belum stabil sepenuhnya," terang Doktor Raj.

Masing-masing yang mendengar penjelasan doktor berbangsa India itu menarik nafas lega. Bagaikan terlepas sebuah beban di dada. Saffiyyah juga turut merasakan perkara yang sama.

Menurut keluarga Putera, ketika dalam perjalanan menuju ke hospital Putera tiba-tiba tidak sedarkan diri akibat kehilangan darah yang banyak. Doktor pun memutuskan yang lelaki itu perlu menjalani pembedahan segera. Sepanjang malam juga keluarga Putera dan keluarga Saffiyyah sanggup berjaga. Menjelang pagi, barulah pembedahan itu selesai.

"Jadi doktor, boleh saya melawat anak saya?" soal Puan Fuziah lagi.

"Saya minta maaf tetapi buat masa sekarang, bukan masa yang sesuai. Tambahan pula, dia baru selepas menjalani pembedahan dan masih belum sedar sepenuhnya disebabkan kesan bius tadi. Saya cadangkan untuk tuan dan puan balik dulu, lakukan pengurusan diri," cadang doktor itu lagi.

Kemudian, Doktor Raj meminta izin untuk berlalu pergi. Tuan Saiful memaut erat bahu isterinya tanda memujuk. Puan Fuziah tertunduk akur.

Saffiyyah memandang suami isteri itu dengan pandangan simpati. Kasihan mama dan papa. Sudahlah hari ini sepatutnya menjadi hari bahagia buat mereka, namun sebaliknya yang berlaku.

Dia pun masih teragak-agak untuk meneruskan rancangan yang disusun rapi setelah mengetahui keadaan Putera. Patutkah dia meninggalkan Putera pada saat-saat begini?

Selepas pulang ke rumah menguruskan diri, Saffiyyah meminta izin kepada mama dan papa Putera untuk menziarahi lelaki itu terlebih dahulu. Masa yang diambil pun tidak lama, cukuplah untuk menyampaikan sesuatu sebelum dia pergi.

Akhirnya, dia tetap memilih untuk pergi jauh daripada hidup Putera. Itu keputusannya. Dia tak akan berganjak lagi.

Tubuh yang terbujur kaku di hadapannya dipandang kosong. Jujur, Saffiyyah tidak tahu apa yang patut dirasakannya kini. Menyesal? Sedih? Gembira? Apa yang pasti, pipinya terasa basah tanpa dia sendiri sedar.

Salah satu rancangannya kini telah berjaya. Putera telah terlibat dalam kemalangan langgar lari yang Saffiyyah sendiri rancang bersama Rai. Rancangan itu diatur dengan kemas dan rapi tanpa diketahui sesiapa pun.

Air matanya menitik lagi. Kejamkah dia? Melakukan Putera seperti itu? Namun Saffiyyah terpaksa! Semuanya dilakukan untuk mengelakkan dia disatukan dengan Putera.

Tangan Saffiyyah pantas mengeluarkan sesuatu dari celah poket bajunya. Keychain berbentuk hati yang terukir namanya beserta nama Putera diletakkan di atas meja kecil sebelah katil.

Keychain itu ialah hadiah pemberian lelaki itu kepadanya setahun yang lalu. Dulu, sewaktu mereka masih bersahabat mungkin keychain itu miliknya tetapi kini tidak lagi. Semuanya telah berubah. Persahabatan mereka telah berakhir.

Kedua belah tangan kembali dimasukkan ke dalam poket blaus labuh yang tersarung di badan. Sepasang mata jernih itu merenung Putera tanpa sebarang riak bersama titisan mutiara jatuh di pipi.

Wajah Putera yang pucat dipandang lama. Saffiyyah tidak tahu, tetapi dia mengaku yang Putera memiliki rupa paras yang kacak. Sayangnya... dia sahaja yang tidak mampu menyerahkan hatinya buat lelaki itu.

Nafas dihela sedalam-dalamnya. Saffiyyah perlu mencari ketenangan untuk meneruskan semua ini.

"Putera Solehin..." Dia menelan liur. Sudah lama nama penuh lelaki itu tidak meniti di bibirnya.

"Aku nak ucapkan terima kasih atas segala yang kau dah buat untuk aku. Gembirakan aku, sayangkan aku, bahagiakan aku..."

Saffiyyah terhenti sejenak dari meneruskan kata. Dia tergelak kecil sambil menyeka air mata dengan ibu jari.

"Sayangnya, semua itu dulu. Dah berlalu. Sekarang, aku nak ucapkan terima kasih juga sebab dah sedihkan aku, buatkan aku membenci kau, deritakan hidup aku..."

"Paling penting, memutuskan persahabatan kita."

Luka di dalam hati Saffiyyah semakin parah tatkala menyedari hakikat itu. Buat ke sekian kalinya, pelupuk matanya basah lagi dengan air mata. Pandangannya berubah kabur. Pipi putihnya dicemari lagi dengan tangisan.

Keychain di atas meja dilihat.

"Aku tak boleh terima hadiah ini, Put. Kau dan aku... persahabatan antara kita dah berakhir dan aku tak nak ada apa-apa kaitan lagi dengan kenangan yang pernah tercipta antara kita."

Penumbuknya dikepal kuat dari dalam poket baju. Saffiyyah memejamkan mata seketika.

"Sebab kau dah mati dalam hidup aku, Put."

Tiba-tiba, telefon Saffiyyah berbunyi minta diangkat. Panggilan daripada Rai.

"Kau dah settle belum tu? Cepatlah weh. Kita kena lari sekarang," gesa Rai.

"Sekejap. Lagi lima minit," pinta Saffiyyah.

"Yalah, aku tunggu. Cepat sedikit." Rai memberi kata putus.

Saffiyyah merenung wajah Putera yang masih pucat buat kali terakhir. Dadanya serta-merta terasa sebak. Namun, tiada apa yang dapat diundur kembali. Keputusannya sudah nekad. Masanya telah tiba untuk dia melangkah pergi.

" Putera, aku kena pergi. Jangan salahkan aku sebab semua ini berpunca daripada kau. Ingat lagi janji kita dulu? Kita hanya boleh bergelar sahabat. Kalau tak, aku atau kau perlu meninggalkan salah seorang dan kita putus kawan. Aku manusia yang berpegang pada janji, Put. Apa yang aku cakap, aku akan buat. Walaupun aku sendiri yang terpaksa menderita dan menanggung risikonya."

Titisan air mata yang jatuh di pipi diseka dengan belakang tangan. Saffiyyah akan pastikan yang air mata itu adalah yang terakhir untuk Putera. Cukuplah... dia tidak tega lagi melepaskan mutiara jernihnya untuk lelaki yang dibenci.

"Aku pergi dulu."

Saffiyyah bergerak mendapatkan pintu lalu tombolnya dipulas. Ketika gadis itu menapak keluar, tanpa Saffiyyah sedar setitis air mata jatuh mengalir menuruni pipi lelaki itu.




Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro