I - Warna Dalam Bunga

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Semua yang ada dalam minda tapi tak termampu nak buat dalam satu cerita panjang dan bab yang banyak. So I compress.

Semua cerpen di dalam ini adalah persembahan khas untuk kalian dari hati-hati rapuh yang selalu mengharapkan pengertian,petunjuk.

Karya-karya baru akan ditambah secara berkala tanpa penghujung, tanpa bernoktah.

Tulus, si amatur Hfil.

-------------------------------------

"JADI, kau suka bunga?" Soal aku.

Dia menoleh pada aku sambil tersenyum.

"Sangat." Katanya sambil bermain dengan sekuntum bunga di tangannya itu.

"Kenapa perempuan suka bunga?" Soal aku.

Buat kanak-kanak lelaki macam aku, bunga itu adalah perkara paling memalukan. Sebut sahaja tentang satu perkataan itu, pasti kau diketawakan dalam kalangan kawan sepermainan kau, menuduh kau pondan dan lembut.

Dan semestinya aku, tak mahu mereka menghentam aku begitu.

"Bunga baunya harum." Kata perempuan di sebelah aku ini.

"Masih ada bunga yang busuk."

Dia memandang aku dengan senyumannya.

"Saya sukakan warnanya."

"Warna?"

Dia mengangguk. "Bunga berwarna-warni, bukan?"

"Kau masih boleh suka benda lain."

Begitu banyak benda berwarna dalam dunia ni– maksud aku, semua benda adalah berwarna– tapi mengapa masih bunga?

Dia merenung aku lembut dalam masih tersenyum.

"Warna bunga adalah semulajadi, dan tidak luntur. Meskipun dalam terik dan hujan, warnanya akan kekal begitu."

"Jadi kau sukakannya kerana warna yang kekal tu?"

"Ya. Supaya saya tidak akan pernah merindukan warna asalnya."

Dahi aku berkerut.

"Rindukan warna asal?"

"Warna yang luntur akan buat awak merindukannya warna asalnya. Sebab dia tidak secantik sebelum itu. Sudah tidak asli. Macam baju yang luntur."

Aku hanya mengukir senyum, agak sinis. Mendengar kata-kata itu sepintas lalu.

Terlalu berpuisi—jiwang. Itu fikir aku.

Dan, sebagai kanak-kanak lelaki yang masih berumur 10 tahun seperti aku, tetap aku terasa betapa buruknya bunga-bunga tersebut di mata aku.

Perempuan memang pelik. Itu apa yang aku teringat akan kata-kata abangku yang bertahun-tahun jauh lebih tua daripada aku suatu masa dahulu.

Dan, dalam diam, aku bersetuju.

Sememangnya perempuan pelik. Tengok saja perempuan di sebelahnya sekarang ini.

Aku menghela nafas aku.

Terasa jelik pula dengan ayatnya. Dan perangainya yang bagi aku sungguh mengada-ada. Tahulah dia perempuan.

Aku masih tak dapat terima bahawa aku terpaksa berkawan dengannya di atas desakan ibu bapa aku. Hanya kerana dia masih baru dalam kawasan perumahan ini dan dia sejenis sukar mencari kawan, menurut ibunya.

Hanya disebabkan dia, niat aku untuk bermain-main dengan kawan-kawan aku yang lain terbantut. Sehinggakan aku pernah dimarah ibu dengan teruk kerana membiarkan dia bermain bersendirian di taman permainan sedang aku asyik berlari ke sana ke mari dengan rakanku yang lain.

Ah, perempuan memang menjelikkan!

---------------------

"Kalau teringatkan saya, ingatlah pada bunga."

"Sudahlah dengan istilah warna luntur tu. Merepek."

Masih aku sangkal pendapatnya tentang bunga sehingga saat terakhir kami berpecah arah dan saling meninggalkan satu sama lain.

Terpisahnya kami dek ruang dan masa batuan jauhnya atas mengejar cita-cita. Dia dengan minatnya, dan aku dengan minat aku.

Bertahun-tahun lamanya dia menjadi satu-satunya kawan perempuan aku yang sentiasa berdampingan dengan aku walaupun aku selalu tidak mengendahkannya, mustahil aku tidak langsung terasa dengan perpisahan ini. Walaupun hakikatnya aku yang meninggalkan dia. Dia malah hanya kekal berada di tanah air.

"Boleh kirimkan bunga dari sana tak?"

"Mana boleh. Layu la nanti. Fikir la dulu kut ya pun."

"Oh, kalau macam tu, saya kena pergi sanalah, kan?"

"Tak payah. Semak je nak tengokkan kau. Asyik mengikut je."

Begitu kasar jawapan aku apabila ditanya. Memang jawapan aku selalunya kasar padanya.

Sehinggakan dia pernah bertanyakan sesuatu ketika kami masih bersama dulu.

"Awak bencikan sayakah?"

Dan jawapan itu aku balas dengan wajah yang selamba sebelum membalas.

"Haah. Kau cengeng. Malas aku layan kau."

Walau hakikatnya aku tak memaksudkan apa-apa pun. Cuma kerana satu hal yang ada dalam diri aku– egoistik.

Yang peliknya, dalam mengetahui aku yang sangat dingin padanya, masih dia tak lekang untuk sentiasa bersama aku. Berjalan bersamaku dan berbual dengan aku.

Mungkin sebab dia menganggap aku seseorang yang mampu menjamin keselamatannya sepanjang masa. Atau mungkin dia terbiasa bergantung kepadaku. Aku tak tahu.

Berbicara tentangnya, tak aku sedar hari semakin berganti hari.

Jauh di sudut hati, siapa sangka, rakan perempuan yang sungguh teruja dengan bunga-bungaan itu berjaya memaut hati aku.

Dalam aku jelik apabila dia berceritakan bunganya, separuh hati aku mula menabur kasih pada empunya.

Namun, apabila bercerita tentang ego, aku akui, takkan sekelumit pun aku luahkan padanya. Layanan aku padanya hanya keras membatu -kerek kata orang zaman sekarang- kerana aku sememangnya ego.

Aku sedar yang aku mula jatuh hati padanya pun adalah pada tahun terakhir aku berada di luar negara. Tatkala dia langsung tak membalas lagi emel aku berbulan-bulan lamanya di samping memadam semua akaun media sosialnya, membuatkan aku mula terasa satu kekosongan.

Jenuh aku bertanyakan keluarga aku kalau-kalau dia baik-baik saja di rumah, dan betapa gusarnya aku apabila diberitahu dia sebenarnya sudah lama berpindah bersama keluarganya di tempat lain tanpa diketahui lokasinya.

Aku mula berfikir yang bukan-bukan. Dia bencikan aku ke? Dia terasa hati sebab aku selalu tak layan dia ke? Dia marah sebab aku selalu bersikap tegang dalam melayan dia?

Dalam fikiran aku yang sebegitu, datangnya kekeliruan dalam jiwa aku tentang perasaan aku padanya. Dan apabila diimbas perkara-perkara lepas, ada sesuatu yang menjentik jiwa ragaku tentangnya. Tentang sebenarnya perasaan ambil berat yang selama ini aku langsung tak tersedar kewujudannya.

Begitu banyak kuntuman bunga dalam dunia ini yang disukainya, namun dia sendiri sebenarnya adalah bunga aku. Yang mewarnai hidup aku.

Aku sebenarnya sukakan dia.

Lalu, aku ambil keputusan untuk terus mencarinya seusainya aku menamatkan pengajian. Aku mahu mengkhabarkan padanya tentang perasaan aku. Supaya dia dengar, dan dia tahu.

Paling tidak, dia sebenarnya tahu akan perasaan aku.

Kini, sejak berbulan lalunya apabila menamatkan pendidikan di luar negara, aku tak pernah lupa melintasi dan singgah di kedai bunga di deret jalan itu.

Dari satu jenis bunga yang aku hanya pilih secara rawak, meneka dengan pelbagai nama dalam minda, kini aku mula mengenali satu persatu bunga tersebut.

Sedikit sebanyak, aku tahu tentang jenis-jenis bunga yang dulunya bagi aku sama sahaja.

Aku kenal bunga kekwa. Bunga lili. Bunga teluki. Bunga sakura. Dan bunga-bunga lain yang kebanyakannya dijual di kedai bunga.

Malah, aku juga tahu beberapa fakta mengenai bunga yang semuanya aku tahu melalui pekerja kedai bunga itu sendiri.

Aku mula tahu bahawa beratus tahun dahulu di Holland, bunga adalah lebih bernilai berbanding emas. Orkid mendapatkan nutriennya melalui udara dan bukan tanah. Bunga matahari menghasilkan bahan toksik yang membunuh pokok-pokok di sekelilingnya. Brokoli juga sebenarnya adalah sejenis bunga.

Sedang berbulan lalu juga, aku gandakan satu bunga selepas seminggu dalam balutan jambangan aku. Sengaja untuk melihat warna-warni bunga itu.

Seminggu, satu kuntum. Dan kini, dalam jambangan aku sudah menjadi 26 kuntum. Bermakna sudah lapan bulan aku belajar mendekatkan diri dengan kuntuman-kuntuman ini.

Aku tersenyum sendiri melihat warna-warna yang sungguh menarik dalam jambangan itu. Lebih teruja apabila dalam fikiran aku sudah bijak mengenali jenis-jenis bunga itu tanpa ragu.

"Bunga apa yang paling menarik bagi awak?"

"Bunga api."

Itu balas aku tatkala dahulu dia bersoal sebelum kedengaran tawanya kemudian.

Aku tersenyum sendiri.

Langkah aku lajukan sehinggalah akhirnya aku tiba di tempatnya.

Pintu biliknya aku tolak perlahan-lahan, sebelum aku menghampirinya.

Aku berhenti di sisi katilnya. Memandang wajah itu dengan senyuman yang aku ukir, menutup perasaanku.

"Ini bunga untuk hari ni. Segar lagi. Pekerja tu kata baru sampai pagi tadi."

Bunga itu aku letakkan di sisinya.

Kepala aku angkat, memandang ke atas meja.

Jambangan-jambangan bunga yang layu itu aku ambil lalu aku buang. Seperti hari-hari sebelumnya.

Kelihatan dia memandang aku dengan senyumannya yang dulu acapkali diukirkan untuk aku. Seolahnya hanya berilusi buatku.

Dan, itu sememangnya hanya ilusi.

Aku kembali merapatinya, melihat empunya wajah yang langsung tak berkutik itu.

Tubuh yang berselirat wayar dengan matanya yang terpejam itu hanya memperlihatkan nafasnya yang turun dan naik. Sebagai tanda masih ada nadi yang berdenyut lemah di sebalik tubuh yang kaku itu.

Wajahnya tenang. Namun terlalu pudar.

Tersangat pudar.

Akibat penyakit yang dialami, dia hanya mampu terlantar begitu. Sejak berbulan-bulan lalu, yang hanya dikhabarkan pada aku oleh keluarganya apabila aku pulang ke tanah air.

Berbulan-bulan lamanya, dia sudah terlantar koma. Bahkan, tak pernah lagi aku dengar suaranya semenjak pertama kali aku bertemu dengannya di sini.

Melihat wajahnya begitu, aku mula terasa sesuatu. Tentang asalan warna yang pernah diceritakannya.

Kalau dulu, aku membenci akan teori warna-warnanya— yang luntur, cantik, kekal— kerana semuanya bagi aku sama.

Namun kali ini, seolahnya aku mengertikan apakah maknanya kehilangan warna itu.

Kerana kini, satu perasaan sayu mula berputik dalam hati aku.

Rindu.

Aku rindukan pipi kemerahannya tatkala panas mula menggigit kulitnya. Aku rindukan warna kuning langsat pada wajahnya yang akan kemerahan apabila dia mula ketawa.

Dia sukakan warna-warni. Namun kini, dia tak mampu menjadi sebahagian warna yang pelbagai itu.

Dia kini adalah pucat lesi– tanpa warna.

Bunga aku, yang dahulunya berseri dengan warnanya, kini hanyalah terkaku pucat begitu.

Hati aku bagai dicarik-carik apabila melihat keadaannya.

Petang ini, tiub pernafasannya akan dicabut. Kata doktor, dia takkan selamanya bergantung kepada mesin.

Gugur jantungku mendengarkan kemungkinan pesakit bertahan lama selepas wayar ditanggalkan tersangat tipis.

Berkali-kali aku cuba memujuk doktor untuk bertahan dalam seminggu dua lagi, hanya kerana aku harapkan dia akan tersedar, namun ahli keluarganya juga sudah berputus asa.

Aku harus terima takdir. Itu kata mereka.

Sekeping hati aku, terasa rabak. Kerana aku tahu, tidak akan ada peluang untuk aku ungkapkan kata-kata yang begitu aku mahu ucapkan buatnya. Luahan hati aku sendiri.

Malah, dia akan selamanya menganggap aku membencinya tanpa sebab. Dia akan menganggap dirinya menyusahkan aku, dan selalu jua dia menganggap aku hanya terpaksa melayani dirinya.

Mungkin dia menganggap pemergiannya akan lebih menyenangkan aku. Walau hakikatnya, itu bukan maksud sebenar aku.

Dan aku tak mampu memperbaiki semuanya.

Wajahnya aku tenung agak lama, dengan sejuta perasaan yang mula bermain-main dalam jiwa aku.

Begitu banyaknya yang ingin aku kongsikan buatnya. Aku mahu menceritakan padanya tentang kuntuman-kuntuman bunga yang aku jumpa ketika berada di luar negara. Aku ingin dia tahu bahawa kini, aku juga peduli dengan bunga dan seluruh warnanya, persis dirinya.

Tapi, aku takkan sempat melakukan itu untuknya.Kerana hari ini, hari terakhir aku melihatnya begini.

Pandangan aku alihkan ke wajah pucat lesi tak berdarah itu.

Perlahan-lahan, air mata aku menitis setitis.

Aku rindukan dia.

Aku tersangat rindukan warna pada wajahnya.

It's irony when someone who loved colours
Turned out to be so ashen —paler than pale.

.

Kampung Gajah, Perak.
–Home For Imperceptible Love [1] Tamat–

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro