XIII - Peluang Kedua

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Peluang kedua.

Pernahkah wujud peluang kedua? Aku selalu tertanya-tanya diri sendiri akan itu sejak bertahun-tahun lalunya.

Kalau bertaubat, adakah akan dikira sebagai satu peluang untuk berubah?

Tidak. Semuanya tipu belaka.

Kalau tidak, masakan semuanya tak mampu kembali kepada keadaan normal. Keadaan yang sepatutnya aku dan semua masyarakat dapatkan- bahagia dan sentosa.

"Kau buat dia separuh mati. Kau tak sepatutnya hidup dalam dunia ni!"

Terus aku tersentak daripada mimpi itu. Spontan, aku tadinya yang terlelap seketika dalam kelas menegakkan tubuh.

Aku lihat sekeliling. Melihat suasana kelas yang masih tak berubah.

Nafas dihela. Tanda lega, mungkin. Aku sendiri tak tahu mengapa aku perlu sedemikian.

Wajah aku diraup. Dengan langkah perlahan, aku terus keluar dari kelas tersebut. Meninggalkan kelas yang sedari tadi bising dan riuh namun masih mampu mencipta sunyi buatku.

Ketika aku melangkah keluar, aku melihat sekumpulan pelajar lelaki yang sedang rancak berbual di koridor. Bergelak tawa, macam tak ada apa-apa masalah antara mereka.

Aku tak tahu wajah-wajah itu. Sejak masuk sekolah ini dalam tingkatan empat, aku tidak lagi belajar mengecam muka-muka orang sekelilingku. Aku tidak lagi belajar membaca riak muka. Yang aku lakukan, hanya berjalan menunduk atau terus mengalihkan pandangan.

Paranoid, mungkin.

Kalau berada dalam keriuhan orang, aku akan berasa sesak nafas. Aku rasa lemas. Pernah aku hampir pitam tatkala perhimpunan diadakan. Akhirnya, aku menyembunyikan diri di dalam tandas setiap kali waktu berkumpul itu tiba.

Diri aku, umpama asing. Aku sendiri yang menjauhkan diri dari dunia. Di luar permintaan aku sendiri.

-----------------

KEHIDUPAN aku berubah ketika aku berada dalam tingkatan satu. Ketika itu, aku sangat dikenali oleh warga sekolah sebagai seorang yang nakal, suka menyakat. Duduk diam? Itu jelas bukan aku.

Tanyalah sesiapa saja yang mengenali aku. Siapa saja yang tak diganggu aku? Semuanya pernah.

Meskipun berperangai demikian, aku tetap didampingi ramai kawan. Ada tiga kawan baik yang berada di sisi aku, selain kawan sekelas yang paling selalu menjadi saksi kenakalan aku.

Bagi aku, itu hanyalah perkara biasa, hal budak-budak yang semakin menginjak remaja.

Ketika ada seorang pelajar perempuan yang baru mendaftarkan diri di kelas kami cuba menegur aku, itu juga adalah perkara biasa.

Hanya apabila perangai nakal aku mula berubah menjadi "hantu", itulah detik yang mengubah semuanya.

Daripada penolakan aku terhadap sapaannya, semakin lama semakin berubah kepada usikan. Yang pada mulanya biasa namun lama kelamaan menjadi kasar.

Tidak. Sememangnya hal usikan aku dengannya bukan atas dasar aku suka apatah lagi menaruh hati padanya, persis kisah tipikal novel Melayu. Aku lakukan semuanya kerana aku jelik akan kehadiran dia. Sungguh benci.

Semuanya gara-gara aku seringkali mendengar daripada para guru, juga kawan-kawan yang lain bahawa pelajar perempuan tersebut mengalami masalah peribadi yang agak serius.

Dia separuh buta. Punca genetik. Sedari lahir, secara mudahnya. Namun, tak pula dia disekolahkan di sekolah khas. Entah mengapa. Bagi aku ketika itu, kalau dah namanya cacat, memang tak patut diberi ruang yang sama dengan pelajar normal.

Kehadiran dia dalam kelas itu adalah menjengkelkan sebab dia menyusahkan aku dan kawan-kawan lain. Meskipun dia ditempatkan di meja paling hadapan, tapi itu jelas tidak membantu untuk dia belajar seperti biasa, seperti kami semua.

Paling aku menyampah adalah apabila dia mula menangis di dalam kelas setelah dirasakan guru subjek hari itu terlalu laju menulis pada papan putih. Maka, guru-guru tersebut kemudiannya bersepakat untuk memperlambatkan pengajaran, khusus untuk kelas kami.

Dan itu membuatkan mereka terpaksa mengadakan kelas tambahan bagi memastikan silibus kami selari dengan kelas lain. Menyusahkan betul.

Aku tak peduli pun maaf yang dia ucap disebabkan itu, bahkan aku semakin menjadi-jadi memperlekehkannya.

"Kita tak boleh jadi kawankah?" Soalnya.

"Aku tak kawan dengan orang buta." Balas aku, beku.

Aku lihat dia tidaklah mempamerkan muka kecewa, tapi dia ni pun satu. Dah berkali-kali aku kata aku taknak dia dekat dengan aku, tapi dia masih lagi menegur. Pekak juga ke?

Tapi bukan aku sahaja yang berlaku kasar padanya. Rakan sekelas aku, yang perempuannya, hanya seorang dua yang benar-benar sudi membantunya. Yang lain sekadar manis di depan, mengutuk di belakang. Bukan main-main mengutuknya. Sampai ahli keluarga si separa buta itu pun dipetiknya.

Insiden tersebut mula berubah teruk apabila dia dikhabarkan mula dibuli secara fizikal disebabkan kecacatan itu. Semuanya gara-gara luka di tangan serta lututnya yang jelas kelihatan. Tapi pada asalnya dia menafikan itu di hadapan para guru. Aku pun asalnya hanya memandang enteng soal itu. Logik saja kalau dia selalu terjatuh.

Namun, hari itu, ketika aku bersendirian di koridor sekolah usai kelas, dari jauh aku terlihat dia yang tiba-tiba terjelepok di lantai.

Melihat dia yang sedaya upaya cuba bangun, aku terus berpaling pergi. Memang betul-betul menyusahkan. Siapalah yang sanggup berjalan dengan dia kalau dah asyik macam tu, bisik hati aku.

Namun, ketika terdengar suara sekumpulan pelajar perempuan yang ketawa, aku terus menoleh.

"Maaflah, terbuat kau tersadung! Tak nampak jalan, macam kau!"

Aku melihat satu-satu wajah ketika itu. Mereka ialah rakan sekelas aku. Dan mereka..... yang sebenarnya membuli?

Ketika itu, aku terlihat cermin mata perempuan itu dirampas lalu dibawa pergi dalam ejekan. Perempuan tersebut pula sudah tidak tentu arah, tidak langsung dapat melihat tatkala itu. Tangannya meraba-raba apa sahaja yang ada di sekelilingnya, cuba mencapai kembali kaca mata itu.

Aku pada mulanya malas mahu ambil kisah, tapi melihatkan tiba-tiba bunyi sesuatu, aku terpaku sejenak.

Mereka menghempaskan cermin mata itu ke lantai. Habis berderai segala isinya.

"Tengok dia boleh jalan ke tak! Hahahaha!"

Ketika aku lihat dia sudah seperti hilang arah, bahkan telahpun tersadung buat kesekian kalinya, aku memandang yang lainnya.

Mereka sudahpun menyedari kehadiran aku.

"Kau buat apa lalu sini?" Soal salah seorang antara mereka.

Aku tak menjawab, hanya melihat wajah perempuan separa buta itu yang mula mendung, berkaca-kaca matanya.

Ketika aku mahu terus berpaling dan berlalu, aku terdengar mereka berkata kepada aku.

"Kau jangan nak beritahu sesiapa, eh? Jangan berani cakap apa-apa!"

Aku memandang mereka dengan gelengan kecil. Bukan tanda tidak akan berbuat demikian, namun sebagai tanda bahawa aku tak akan ambil peduli.

Dan aku terus berlalu, meninggalkan mereka. Tanpa sedikitpun belas aku terhadap si mangsa.

Sebelum kemudian, aku terdengar jeritan kecil antara mereka.

"Hei, tak guna betullah! Nak paut-paut apanya! Bangunlah sendiri!"

"Perempuan tak guna! Menyusahkan semua orang je tahunya!"

Disusuli dengan bunyi kuat yang entah aku tak tahu apa dia.

Aku memang tidak kisahkan hal itu. Bagi aku, buli seperti itu masih biasa.

Apabila terdengar kecoh kisah perempuan itu dibuli esoknya, itu masih biasa buat aku.

Sedangkan apabila aku mengetahui bahawa dia terjatuh tangga akibat ditolak, dan bunyi kuat semalam itu adalah bunyi dari dia sendiri, bagi aku itu masih biasa.

Hanya apabila nama aku tiba-tiba dipetik esok harinya, itulah alamat bahawa kehidupan aku akan berubah sepenuhnya.

Aku dituduh sebagai pembuli pada hari kejadian. Yang menyebabkan perempuan itu terlantar koma tidak sedarkan diri selama beberapa hari.

"Kata saksi, kamu menolak Firzana jatuh tangga, bahkan kamu juga sebelum itu merampas cermin mata miliknya dan pecahkannya." Kata guru disiplin.

"Saksi? Siapa saksi?" Soal aku.

"Mia dan kawan-kawannya."

Itu adalah mereka, pembuli sebenar di tempat kejadian, menjadi "saksi" untuk menutup salah sendiri.

Ketika aku membara marahkan mereka atas tindakan bodoh mereka menuduh aku, boleh pula mereka tanpa rasa bersalah berpura-pura bersedih di hadapan kelas.

"Kau masih nak menyalahkan kami? Atas kesalahan kau sendiri? Kenapa tak nak bertanggungjawab?" Soal Mia.

"Kau jangan nak menipu! Yang buat semua benda tu bukan aku!" Tegas aku.

"Hei, fikirlah logik sikit! Semua orang tahulah yang kau tu memang berdendam dengan Firzana! Kau memang selalu ganggu dia!" Ujar yang lain, dalam kalangan kawan Mia sendiri.

"Apa aku buat? Aku tak pernah sekalipun cuit badan dia, kau tahu tak! Kalau setakat kata-kata aku selama ni dikira membawa sampai tolak dia jatuh tangga, habis korang semua apa? Yang kutuk belakang dia, gelakkan dia sebab cacat dia tanpa dia tahu, itu apa dia?!"

Tapi aku tahu, itu sia-sia. Pandangan mereka semakin serong kepada aku. Kata-kata aku semakin tidak dipercayai. Masing-masing percaya bahawa akulah punca Firzana demikian, hanya kerana aku yang paling jelas mengekspresikan ketidakpuasan hati aku kepadanya.

Hari itu, mengubah semuanya buat aku. Disebabkan hal yang aku "lakukan", keluarga aku terkena tempiasnya.

Ibu aku menebalkan wajahnya, berjumpa dengan keluarga Firzana. Hanya untuk memohon maaf disebabkan "salah" aku. Langsung ibu aku tak marahkan aku, namun aku tahu, jauh di sudut hati, dia hampa.

Hampa kerana "perbuatan bodoh" aku, dan hampa kerana ucapan maaf itu tidak bermakna buat keluarga tersebut.

Ibu tak mengulas apa-apa tentang hal itu, tapi aku tahu kemaafannya ditolak mentah-mentah. Kerana lebam pada bahagian pipi ibu itu tersangat jelas pada pandangan aku.

Ibu ditampar teruk oleh ahli keluarga Firzana, mungkin ibunya.

Aku juga tidak tahu bagaimana lagi untuk memulihkan keadaan. Hanya aku ujar kepada ibu, bahawa aku juga gagal mendapatkan kepercayaan dari semua orang, persis dirinya. Aku harap ibu mengerti maksudku. Sebab aku tidak mahu menangis di hadapan ibu, meski aku sendiri terasa hancur dan luluh ketika itu.

Kes itu tidak berlanjutan lama. Hanya ibu yang acapkali ulang alik bertemu dengan pihak sekolah dan keluarga Firzana. Dia langsung tak mahu aku ikut atau masuk campur. Hanya beberapa hari kemudian, aku diberitahu oleh pihak sekolah bahawa Firzana akan ditukarkan sekolah, dan aku pula dikenakan hukuman gantung sekolah selama dua minggu.

Bermula dari kes itu, semua menjauhkan diri daripada aku, memulaukan aku. Semua masih berkata-kata buruk tentang "kesilapan" aku, dan aku dipinggirkan teruk ketika itu.

Semuanya berlagak suci bagai tiada apa-apa buruk yang mereka lakukan ke atas Firzana. Termasuklah pembuli sebenar.

Bermula hari itu, aku kehilangan semuanya. Rakan, guru, kebahagiaan, keseronokan, semuanya telah diragut sekelip mata.

Kerana hal itu, aku mula mengasingkan diri. Mendiamkan diri sekian lamanya. Langsung tak menyerlah, bahkan tak pernah lagi bersuara.

Dan perkara ini berlanjutan sehinggalah aku berpindah sekolah pada tingkatan empat. Lagi teruk, aku rasa. Sebab aku sepenuhnya berubah.

Pasif, pengecut, takut, semuanya adalah aku kini. Yang jelas, aku tak mahukannya.

Namun aku hanyalah terpaksa, dan sedang dipaksa situasi. Yang bukan aku cipta sendiri.

-------------------

HARI itu, aku berjalan sendirian lagi di kawasan koridor sekolah. Macam biasa, hanya menolak tubuh ke dinding, umpama melekat.

Dalam menuju ke tandas itu, aku terdengar suara seseorang yang umpama sedang berpuisikan sesuatu.

"Bukan mudah mencipta spekulasi.. Siapa rektor? Siapa kurator? Dan siapa pula porter di tanah sendiri...?"

Sekilas didengar, aku mengangkat wajahku.

Siapa pula yang semangat bersajak dalam bilik air?

Seketika menjenguk ke dalam ruang itu, aku terlihat seseorang yang asyik memegang buku kecil di hadapannya.

Ketika dia memandang aku, serta merta dia gelabah kemudiannya.

"Oh! Oh!" Hampir terlepas buku yang dipegangnya. Sibuk dia menatang-natang buku tersebut.

Cuak betul agaknya melihat aku tiba-tiba masuk di situ.

Aku dengan rasa tak aman juga terus berpusing tubuh dan beredar dengan lajunya, meninggalkan tandas itu.

Ah, tak guna betul. Macam mana aku boleh terserempak dengan perangai tersembunyi orang saat-saat begini.

Namun, secepat itu aku terasa bahu aku ditarik. Membuatkan aku terpaksa menghadap tubuhnya.

Seperti diancam dan umpama dibuli, aku terus memejamkan mata. Dalam menunduk, tangan aku menghalang kepala aku sendiri.

"Hei, kau kenapa?" Terdengar suara pelajar lelaki tersebut berkata kepada aku.

Aku, dalam keadaan agak cuak juga demikian, terus menurunkan tangan aku sendiri. Terfikir jua aku akan tindakan aku tadi tapi, ah, lantaklah.

Langkah kaki terus dibuka sebelum aku mengundur perlahan.

"Hei, kenapa ni? Takut-takut pulak. Kita kan kawan sekelas. Kau tak kenal aku ke?" Soalnya, terselit tawa di situ.

Aku terkaku sejenak. Dia? Kawan? Sejak bila dia kawan sekelas aku? Sumpah aku tak tahu.

Ketika aku cuba mengangkat wajah dan memandangnya, apabila terlihat hampir-hampir bahagian wajah itu, terus aku berpaling.

Aku tak tahu kenapa aku takut sangat. Serius aku sendiri tak faham mengapa begitu sukar aku untuk memandang setiap rupa "orang asing" dalam hidup aku.

Tapi, aku lagi tak faham kenapa dia ni masih tak nak berganjak. Lebih baik rasanya kalau dia tak pedulikan aku dan terus pergi jauh.

Aku segera mengambil langkah pergi, langsung tak bersuara. Hanya kemudian aku terasa tangannya mula menghayun ke arah aku.

Refleks, aku menurunkan tubuh sambil kedua-dua tangan aku bawa ke kepala, menahan dari "dipukul". Yang walhal sebenarnya dia mahu memeluk bahu aku.

"Eh, dah kenapa kau ni?" Soalnya.

Aku yang baru tersedar akan tindakan spontan aku tadi lantas bangun dan terus melarikan diri.

Gila. Gila. Aku panik. Aku tak boleh disentuh. Aku tak mampu disentuh!

Nafas aku kencang berhembus. Tanda aku tersangat takut. Aku lalu berlari tanpa arah, hinggalah aku terasa jauh dari semua orang.

Aku takut. Aku tersangat takut. Aku tak mampu hadapi manusia. Langsung.

-------------------

"SEKALIPUN kau tak buat, kau tak sepatutnya tinggalkan dia waktu tu! Kau patut tolong dia! Tapi kau tinggalkan dia!Itu subahat namanya!"

Aku tersentak. Entah dari mana asalnya suara itu berkata-kata pada aku.

Apabila aku yang tadinya meletakkan kepala ke atas meja mula membuka mata, aku melihat seluruh isi kelas yang sudahpun kosong. Hanya seseorang yang mula menutup langsir mula kelihatan.

Mungkin dia tak terperasan aku, atau mungkin juga dia sengaja membiarkan aku. Aku tidak kisah akan itu. Tapi kelakuannya tatkala itu sungguh menarik perhatian aku.

Meja disusun rapi. Papan putih itu dibersihkannya. Meja guru dilapnya dengan kemas. Bulu ayam kemas dalam genggamannya.

Inikah rutinnya setiap hari?

Tapi salah satu benda yang paling buat aku tertarik adalah kata-kata yang meniti di bibirnya.

"Melankoli jiwa menitis setiap buluh perindu..."

Puisi. Lagi.

Dia ni memang minat sangat puisi ke apa?

Aku menahan tawa dalam hati. Entah kenapa. Terasa kelakar di sudut hati.

"Hoi, tak guna. Gelakkan aku ke? Bila masa kau bangun ni?"

Sapaan lantang itu membuatkan aku terus tersedar lalu menegakkan tubuh. Kepala aku tunduk, tanda aku berasa sangat cuak ketika itu.

"Ha, tahu takut. Dah, jomlah balik. Nak senja ni. Nanti pontianak culik kau dalam baju dia." Katanya.

Aku tak tahu itu dikira gurauan ke apa, sebab nadanya macam bukan main-main macam sebelum ini. Tapi, aku tetap juga bangun dan berlalu keluar.

Yang aku tak pasti, kenapa tiba-tiba dia pun berjalan seiring di sebelah aku.

Tak ada benda yang dibualkan. Nak pandang muka dia pun aku takut, usahkan nak berborak panjang.

Kedengaran dia bersiul-siul kecil. Langsung tak kisah apabila tiada langsung perbualan hadir antara kami ketika itu.

"Kau jangan beritahu orang yang aku buat benda-benda macam ni. Malu aku. Kau pun tahu aku macam mana dalam kelas. Ah, walaupun kau tak cam aku, tapi takkan kau tak kenal langsung aku, kan!"

Aku tak tahu apa maksudnya dengan "benda-benda macam ni" dia tu. Suka berpuisi atau kemas kelas, aku tak pasti. Cuma aku rasa berdasarkan perwatakan dia, aku agak dia inilah Raffi yang disebut-sebut orang. Antara pelajar yang paling nakal dan suka berloyar buruk, selain terkenal dalam kalangan pelajar perempuan.

Apabila dia terus menapak, aku memperlahankan langkah. Tak mahu berjalan selari. Tapi, ketika itu, lain pula yang aku lihat pada dia.

Terus aku berjalan seiring, dan entah mengapa, perasaan geli hati mula menerjah kembali.

Aneh. Aku tak pernah rasa perasaan ini sekian lamanya. Tak pernah ada sesuatu pun yang membuatkan aku terasa nak ketawa sejak beberapa tahun lepas.

Dia melihat aku demikian. Baru saja ingin membuka mulut bertanya, tiba-tiba kedengaran sesuatu yang jatuh di atas lantai kemudiannya.

Kami berdua menoleh. Penyapu bulu ayam yang terjatuh dari poket belakang seluar Raffi itu menjadi tatapan kami seketika.

Sebelum aku terasa bahu aku ditumbuk.

"Walaweh! Kau gelak sebab benda ni ke tadi? Malu la aku macam ni! Takkan aku nak bawak balik penyapu bulu ayam ni balik rumah! Hadoiii!"

Tanpa segan silu, dia membebel di situ. Tak mempedulikan suasana sepi. Tanpa jua mempedulikan aku yang hanyalah asing di situ.

Yang aku tersedar, tatkala aku mendengar bebelannya, aku memandang wajahnya yang turut menatap aku.

Aku berani memandang wajahnya tatkala itu. Selama bertahun-tahun, ini kali pertama aku mampu menatap wajah seseorang di hadapan aku.

"Jangan pandang macam tulah! Aku bukan homoseksual!"

Yang membuatkan aku terus tertawa lagi di situ, buat kesekian kali.

---------------------

ADAKAH ini petanda baik? Aku tak pasti.

Tapi, sejak insiden itu, Raffi semakin galak bersama aku. Secara tiba-tiba. Malah, dia sekarang dengan selambanya memperkenalkan aku dengan kawan-kawan sekepalanya. Kawan-kawannya pula macam tak terasa aneh pun apabila kami begitu rapat. Bahkan, mereka turut melayan aku.

Makan, aku tidak lagi bersendiri. Selalu diajak Raffi. Kadang-kadang, makanan aku pun kawan-kawannya yang belikan.

Tapi aku masih begitu. Tak memandang wajah mereka. Sekadar mendengar apa yang dibualkan, aku tidak menyampuk. Cuma apabila aku berdua dengan Raffi, barulah aku berani membuka mulut, bertanyakan sedikit sebanyak soalan yang rawak bermain dalam minda.

Raffi pun tak banyak tanya. Dia melayan aku saja. Mungkin faham dengan sikap seorang yang "pendiam" macam aku. Tapi, dia sebenarnya lebih kepada perangai suka main-main dia. Sebab itulah dia tak ambil pusing banyak benda.

"Kau memang tak kenal pelajar kat sini ke?" Soal Raffi suatu hari.

Aku hanya menggeleng.

"Kawan satu kelas?" Soalnya.

Aku menggeleng.

"Jadi, kau tak tahulah ada perempuan yang satu sekolah dengan kau masa menengah rendah dulu?"

Aku memandangnya, terpana.

"S..siapa?" Soal aku. Jelas, suara aku gagap ketika itu.

"Hmm, namanya Haifa tak silap. Dia memang kata yang dia tahu kau sekolah sini. Tapi dia kelas sebelahlah. Baru masuk bulan lepas."

Haifa. Aku kenal dia. Dia adalah antara kawan dalam kelas aku dulu, yang paling gemar mengadu domba antara aku dan Firzana. Selalu mengapi-apikan aku untuk membenci Firzana. Selalu juga, hari-hari dia mengutuk Firzana tanpa lelah.

"Macam mana dia boleh sebut pasal aku?" Soal aku, perlahan.

"Oh, sebab dia nak jumpa kawan dia kat kelas hari tu. Aku pulak kebetulan kat depan pintu, jadi sempatlah berborak sekejap. Tiba-tiba ternampak kau kat tempat kau pulak."

Aku memandang Raffi. "Dia...ada cakap apa-apa?" Soal aku.

"Hmm, tak ada. Kenapa?" Soalnya pula.

Aku menggeleng-geleng. Dalam hati, aku sudah mula khuatirkan sesuatu.

Dan, apa yang aku khuatirkan akhirnya menjadi kenyataan.

Satu saat yang mempertembungkan aku dan Haifa, adalah saat yang membawa dunia lama aku ke alam kini kembali.

Semuanya bukan aku yang mulakan. Tapi dia. Dia sendiri yang mula mengungkit hal lama itu di hadapan aku.

"Kau kena siapkan kerja sekolah aku semua kalau taknak aku hebahkan apa yang kau buat dulu." Ugutnya.

Asalnya, aku turutkan. Memang berminggu-minggu, aku yang sudahkan semua tugasannya. Hinggalah tahap kesabaran aku hilang adalah ketika dia menyalahkan aku setelah aku gagal menjawab soalan Matematik Tambahan miliknya dengan betul.

"Habis aku kena marah, kau tahu tak! Semua ni sebab kau! Sejarah pun, kau buat semuanya sambil lewa! Kau memang seronok nak aku canang balik kisah lama kau, kan!"

Walhal, dulu, Haifa ialah antara yang terlalu gemar bercerita buruk Firzana pada semua orang. Terlalu dan teramat, bahkan dia pernah mengusik Firzana dalam diam. Menyembunyikan barang-barang Firzana, membuang alat tulis miliknya tanpa disedari. Tapi sekarang, dia sama seperti kebanyakan yang lain, hanya berlagak sebagai tidak berdosa.

Akibat tidak tahan disebut sedemikian, aku mula melawannya kembali.

"Apa hak kau untuk buat ungkit balik semua yang aku buat dulu? Benda sekolah lama dulu, dah lama lepas." Balas aku.

"Sebab memang perangai kau tak pernah elok sejak dulu! Kat sini, nak berlagak naif pulak! Kau ingat, kalau Raffi tahu semua benda yang kau buat pada Firzana dulu, kau boleh berlindung dengan dia lagi ke hah?" Herdiknya.

"Aku tak berlindung dengan sesiapa! Dia kawan aku! Kau jangan nak berlagak macam kau tak buat buat apa-apa dulu sedangkan kau banyak burukkan Firzana! Kau keji kekurangan dia lebih teruk dari aku! Kau yang berpura-pura naif dengan semua orang! Apa beza buli fizikal dengan mental? Semua masih dikira buli!" Balas aku.

"Oh, so kau nak kata aku salahlah? Hei, kau dengar sini, eh! Aku kutuk belakang pun, sekurang-kurangnya aku tak bodoh macam kau, nak bunuh anak orang! Dasar pembunuh! Memang patut aku sebarkan pada semua orang yang kau sengaja tolak kawan sekelas kau yang separuh buta jatuh tangga dulu sampai dia koma!"

Haifa terus berlalu dengan bengangnya, meninggalkan aku sendirian di belakang blok bangunan kosong itu.

Aku menahan getar tubuh aku. Menahan luap amarah aku. Menahan rasa sakit hati aku dituduh demikian.

Yang ketika aku menoleh, aku terlihat beberapa kawan Raffi sudah berdiri di belakang aku, menjadi saksi pertenglikahan kami tadi. Malah, tanpa menunggu, mereka terus meninggalkan aku tanpa sebarang kata. Walhal, mereka awalnya aku pasti, sedang mencari aku sedari tadi untuk rehat tengahari bersama.

Dan mereka tahu semuanya kini. Tentang masa silam aku.

Semuanya jadi begitu pantas. Begitu pantas aku mendapatkan kawan, begitu pantas juga aku kehilangan kawan. Kes lama aku diungkit kembali, tersebar begitu luasnya.

"Tak sangka perangai dia macam tu. Nampak pendiam je."

"Seriuslah? Dah kes cubaan bunuh kut. Sepatutnya masuk juvana."

Raffi yang ada di samping aku, entah mengapa terus menghilang. Kawan-kawannya juga tak tahu ke mana.

Aku faham, dia takkan mahu berada dengan aku. Mesti dia memandang jelik dengan aku.

Sekali lagi, aku dipulaukan oleh warga sekolah. Kali ini, lebih teruk. Atas sebab ada tokok tambah dan 'perisa' yang membuatkan kisah lama itu semakin berlanjutan.

"Bendanya, kalau dia tak buat pun, sepatutnya dia kena tolong mangsa buli. Sebab dia tak tolong, itu sebab cerita sebenar diputarbelitkan."

Tiba-tiba aku terdengar ada pendapat sebegitu tentang kes aku dahulunya, ketika aku bersendiri di kantin sekolah.

Memikirkan itu, aku menundukkan kepala aku. Semakin takut memandang sekeliling. Semakin takut mengenangkan hal itu.

Mata aku pejam. Tubuh aku yang mula bergetar aku tahan.

Jangan menangis. Ini semua yang kau patut telan.

Jangan menangis. Itu yang hanya aku acapkali paksa untuk aku sendiri.

----------------

ENTAH berapa hari aku berada di rumah, aku tak pasti. Tak terhitung. Mungkin seminggu. Puas juga aku dipujuk ibuku, tapi aku hanya mengatakan aku tidak sihat, dan akan mengemukakan surat doktor nanti.

Sejak kes lama itu ditimbulkan kembali- "terima kasih" buat Haifa atas sebab ini, aku terus menerus menjadi isu hangat di sekolah.

Aku tahu, aku takkan selamanya mampu berbuat begini. Tapi, aku betul-betul tak mampu bersemuka dengan semua orang di sekolah. Perasaan aku bercampur baur. Aku malu, sedih, kecewa, marah, bengang, semuanya ada.

Adakah memang peluang kedua itu tidak wujud buat aku? Sebagai pembuli yang juga menjadi mangsa keadaan, aku tidak layakkah mempunyai peluang untuk menjernihkan keadaan? Aku kan masih menjadi mangsa dalam masa yang sama. Adilkah?

Ketika aku duduk memeluk lutut di penjuru katil sekian lamanya hari itu, ibu mula mendapatkan aku.

"Ada orang datang, nak." Tegur ibu.

Aku memandang ibu. Melihat seraut wajah yang tersenyum lembut memandang aku, aku terus bertanya.

"Siapa?"

Belum sempat ibu menjawab, aku terlihat susuk bayang itu di muka pintu. Yang membuatkan aku terus berubah air muka ketika itu.

Raffi kini, setelah sekian lamanya meninggalkan aku sendiri, berdiri di hadapan aku.

----------------------

TIADA suara kedengaran. Aku juga tak mampu bertanya apa-apa. Hanya tadi aku turutkan apabila dia bertanyakan ibuku kalau-kalau dia dibenarkan membawa aku berjalan-jalan keluar.

Tapi, adakah perlu semua ini sekiranya melihat raut wajahnya, dia kelihatan tak sukakan aku?

Ah, apalah gunanya. Semua menganggap aku keji dan hina sejak kes itu tersebar.

Namun, perjalanan yang dia aturkan hari ini, bukan macam biasa bagi aku. Apabila teksi itu dipanggil dan dia mula menunjukkan arah kepada pemandu teksi itu, aku mula berasa tidak senang.

Ke mana? Bisik hati aku.

Seketika menyepikan diri, akhirnya semuanya terjawab apabila teksi itu berhenti di suatu tempat.

Tapi kenapa? Kenapa rumah agam tiga tingkat ini menjadi destinasi?

Raffi memandang aku sekilas sebelum dia mula keluar dari perut teksi sebelum aku ikutkan langkahnya.

Di hadapan pintu pagar utama, kami disambut oleh orang gaji di situ. Aku memandang Raffi seketika. Ini rumahnyakah? Bisik aku sendiri.

Ketika Raffi masih berjalan di samping aku dan menuju ke sebuah bilik, tiba-tiba dia berhenti.

Lalu, suasana tercipta sepi sesaat dua di situ.

"Kau taknak terangkan pada aku apa-apa tentang benda yang jadi?" Soalnya, tiba-tiba.

Aku memandang Raffi perlahan-lahan sebelum terus menunduk. Tak tahu apa yang harus aku katakan.

Raffi menghela nafasnya. Terus dia berjalan menuju ke sebuah bilik lalu dibuka pintunya perlahan.

Di situ, aku yang masih berdiri di sampingnya tatkala itu terpempan. Terkelu apabila melihat sesuatu di dalam bilik itu.

Perlahan-lahan, dalam minda aku segalanya berputar kembali. Satu persatu. Sejak mula, dari awal. Semuanya.

Reaksi setiap kawan aku, para guru. Bayang ibu aku sendiri bermain-main dalam layar minda.

Tubuh aku spontan, menggeletar hebat.

"Dia tengah rehat. Baru makan ubat doktor." Ujar Raffi.

Aku menatap Raffi perlahan-lahan. Ada desah yang lahir dari bibir aku, dan aku tahu Raffi sedar akan itu.

Aku entah kenapa, ketika itu, terus berundur beberapa tapak sebelum berlari ke pintu utama. Bagai tanpa arah, aku dah tak tahu nak ke mana. Umpama tersesat dalam rumah hantu.

Ketika Raffi yang sepantas mungkin mengejar aku dan menyambar bahu aku, aku terus jatuh terduduk.

"Jangan! Jangan!" Jerit aku sekuat hati.

Lutut aku tarik ke dada, aku peluk sekuatnya. Wajah aku sembunyikan. Nada aku terus bergetar.

"Bukan aku.....aku minta maaf.... Maafkan aku...."

Tanpa sedar, tak mampu dikawal, aku ungkapkan itu berkali-kali.

"Jangan... bukan salah aku... Maafkan aku..."

"Bawa aku balik sekarang... Aku nak balik...."

Aku terus hilang kawalan di situ. Langsung aku tak ingat sesiapa pun ketika berkata-kata itu. Yang aku cuma tahu, terasa ampuh bahu aku dipaut sebelum Raffi lantang bersuara.

"Bik! Panggilkan teksi!"

---------------------

AKU tak tahu seberapa besarnya ukuran lilitan bumi, tapi dunia ni sungguh terasa kecilnya.

Raffi saudara Firzana. Sedarah sedaging dengan Firzana. Dan, dia sudah lebih lama mengetahui tentang kes Firzana, hanya "pembulinya" saja yang masih Raffi tidak jelas akan wajahnya. Hanya apabila Haifa mula membuka cerita kemudian barulah dia tahu tentang aku. Sekarang, Firzana menghabiskan masa di rumah bersama keluarga Raffi disebabkan ibu dan bapa Firzana terpaksa berurusan kerja di luar negeri.

Firzana juga disebut Raffi terpaksa mengambil ubat-ubatan, tapi aku tak bertanya lanjut kenapa.

Tapi, itu apa yang Raffi jelaskan beberapa hari selepas peristiwa aku dibawa ke rumah itu.

Aku masih tak mampu berkata apa-apa. Masih tak mampu menghadam situasi dengan baik. Masih juga tak mampu bertanyakan Raffi akan sebab dia membawa aku ke sana, dan asbab dia masih lagi mendekati aku kini meskipun telah mengenali aku sebagai 'pembunuh' saudaranya.

Bahkan, sekarang, lebih anehnya, Raffi malah terlebih rajin mengunjungi aku di rumah. Aku pula, sejak insiden 'trauma' di rumah agam itu, telah diberi kebenaran oleh pihak sekolah untuk bercuti sebagai sebagai 'terapi'.

Malah, menurut Raffi, pihak sekolah sendiri menyarankan ibu bapa aku untuk membawa aku berjumpa pakar psikologi, mungkin kerana melihat perlakuan aku di sekolah dan ditambah dengan kes baru-baru ini.

Tapi, semua itu aku tak berapa ambil pusing. Sehinggalah ada satu perkara yang membuatkan aku seolahnya tersedar ke alam sebenar.

"Firzana sebenarnya cari kau. Dah lama dah."

Dan aku terus terkaku di situ.

-------------------

KATA Raffi, Firzana memang tak banyak bercakap, malah lebih berdiam diri sehingga sekarang. Menurut doktor, dia mengalami tekanan. Kemungkinan besar disebabkan kecacatannya.

Namun, perkataan yang gemar Firzana ungkapkan ketika dia mengigau sendiri adalah tentang satu hal itu.

Dia menyebut nama aku berkali-kali.

Mungkinkah Firzana tahu kisah pemulauan aku? Aku tak pasti. Tapi, seandainya benar, adalah layak aku memarahinya atas sebab dia sendiri gagal membantu aku dahulunya, bahkan terus melarikan diri?

Tapi, jujur. Mengenangkan hal ini, aku menjadi terlalu takut. Hal ini memakan sepenuhnya saat aku membesar, mengubah setiap inci kehidupan aku. Mengubah bayangan kehidupan sebagai remaja yang begitu aku impikan sebelum ini.

Hari itu, atas pujukan Raffi, aku dibawa sekali lagi ke rumah agam itu. Untuk melihat keadaan Firzana sebelum dia dibawa pergi oleh keluarganya yang akan kembali beberapa hari lagi. Kata Raffi, mungkin Firzana tidak akan kembali lagi ke sini.

Aku, dalam keadaan gusar dan gementar, berjalan sekali lagi ke dalam rumah agam itu. Kali ini, Raffi sendiri memberi peluang aku melangkah sendiri ke bilik di tingkat atas itu, manakala dia hanya menunggu di ruang bawah. Umpama memberikan kepercayaan dari situ.

Langkah aku lalukan perlahan-lahan ke pintu bilik itu. Ada rasa gementar yang hebat, tapi aku juga mahu tahu mengapa Firzana mencari aku. Meskipun aku akan menjerit trauma seperti hari sebelum ini, aku masih juga mahu mencuba.

Tombol pintu aku pulas. Tatkala itu, aku menolak daun pintu perlahan sebelum aku masuk ke bilik Firzana dengan berhati-hati.

Dari sudut itu, aku terlihat pintu kaca koridor yang dibuka luas manakala ruang dalam bilik itu hanya sepi, menandakan Firzana mungkin mengambil angin di luar.

Namun, ketika aku melangkah, ada sesuatu yang membuatkan aku terus statik di situ.

Firzana sedang berdiri di luar balkoni, dengan tangannya yang mula didepangkan. Badannya pula, semakin condong ke hadapan.

Dia cuba terjun dari tingkat tiga rumah agam itu. Membunuh diri.

Hal ini, tiba-tiba mengingatkan aku kepada masa lalu aku dengannya. Saat aku tak langsung mencapai tangannya ketika dia memerlukan bantuan, bahkan langsung tak mengendahkan teriakannya.

Itu peluang pertama aku yang gagal menyelamatkannya, gagal menyelamatkan situasi selepas itu.

Dan ini adalah.....

"Firzana!"

Belakang bajunya sempat aku tarik sekuat hati, sebelum lengannya aku paut kemudian.

Jangan jatuh, Firzana. Jangan jatuh. Hanya itu yang aku doa dalam hati.

Firzana menoleh. Dalam keadaan dia samar-samar melihat aku, dia jelas cuba mengagak siapa aku dalam reaksinya yang jelas terkejut itu.

Aku terus memeluk dan menarik Firzana sehabis daya aku. Tak langsung memikirkan perkara lain. Aku hanya mahu menyelamatkan dia, hanya itu yang bermain dalam minda aku.

Tubuhnya aku tarik semahu aku. Apabila dia berjaya diselamatkan pun, lengan aku masih berpaut kukuh padanya.

Sebelum aku sendiri tersalah langkah.

Tubuhku tiba-tiba bagai ditarik ke bawah, membuatkan aku terus terjatuh dari beranda itu. Lengan yang tadi aku paut tiba-tiba terlepas.

Cepat. Semuanya tersangat pantas berlaku.

Ada hentakan kuat di seluruh tubuh aku setelah aku terbaring di kawasan lapang itu. Dan rasanya cukup berbisa, aku tak mampu nafikan.

Tapi, aku tak pedulikan semua itu.

Aku hanya mahu Firzana selamat. Untuk kali ini.

Adakah dia benar-benar selamat kali ini?

Mata aku terpejam. Semakin lemah, aku tak berdaya lagi.

Hanya kemudian, aku terdengar suara Firzana menjerit sekuat hati.

"Adam.....!"

Dan jiwa aku, jasad aku, umpama terpisah duanya di situ.

--------------

PERISTIWA lama berlayar kembali. Saat aku mula-mula mendaftarkan diri sebagai pelajar, dengan wajah yang mencebik sebab tak mahu bersekolah sambil telingaku kemudian ditarik ibu. Ketika aku mula mendapatkan kawan-kawan aku, dan ketika aku mula dengan perangai nakal aku.

Tapi, ketika itu aku tersangat gembira. Tawa aku meletus sepanjang hari, meskipun hanya berbual dengan rakan meja sebelah. Semua mengelilingi aku, seronok berkawan denganku.

Ketika dikhabarkan tentang kemasukan pelajar baharu bernama Firzana, tatkala itu, akulah yang paling teruja.

"Wah! Pelajar baharu?"

"Ya, tapi dia mengalami sedikit masalah. Harap kalian sudi berkawan dengannya."

Tatkala diberitahu kemudian, apabila aku melihat dia mengambil tempat, pandangan aku tertancap kepadanya.

Apabila dia memandang aku dengan senyuman, aku mula membalas dengan senyuman manis kepadanya.

Suasana begitu aman dan tenang. Sedangkan apabila dia cuba mendekati aku pun, aku begitu ramah menegurnya.

Ketika aku lihat dia terkial-kial mahu mengejar tulisan di papan putih sebelum dipadam, aku tak lokek pula menolak buku aku kepadanya, memberi kebenaran dia untuk menyalin nota daripada aku.

Apabila dia hampir dibuli, akulah yang menjadi penyelamatnya. Segera aku menariknya untuk terus pergi, sebagai melindunginya.

Tentang tragedi buli yang hebat itu, tidak pernah berlaku. Semuanya kerana masing-masing takutkan aku yang bertungkus lumus melindungi dia. Aku tak suka meski mereka berkata buruk tentangnya cuma.

Sifat aku demikian, secara tak langsung telah membuatkan aku dipuji para guru. Ketika aku, aku lihat mereka tersenyum bangga memandang aku, malah aku semakin ramai didekati kawan-kawanku.

Selepas itu, yang aku lihat, Firzana akan membawa ibunya untuk berjumpa ibuku, berborak bersama.

Di situ, aku lihat tawa ibu aku. Dan senyuman lebar ibu Firzana. Sedang apabila aku menghampiri, mereka berdua begitu girang memanggil aku kepada mereka.

Semuanya, semuanya yang aku lihat adalah berbeza ketika itu.

Mimpi? Adakah aku mimpi?

"Terima kasih, Adam."

Terngiang-ngiang ucapan itu di telinga aku. Suara yang aku jelas tahu siapa.

Ketika itu, suasana sekeliling menjadi malap. Sebelum tiba-tiba aku membuka mata aku luas.

"Adam? Adam!"

Aku terdengar nama aku dipanggil.

"Doktor! Adam dah sedar!"

Aku.....sedar? Aku komakah?

Ketika aku cuba melihat sekeliling, aku terdengar nama aku dipanggil oleh suara lainnya.

"Adam?"

Itu suara Raffi yang mendekati katilku. Dengan nafasnya yang tercungap, menandakan dia berlari mendapatkan aku. Mungkin kerana riuhnya ibuku memanggil doktor di luar tadi.

Aku terus diperiksa di situ. Seharian aku tak bersuara, terlalu lemah. Kata doktor, aku masih dalam keadaan stabil.

"Dah hampir sebulan kau tak sedarkan diri." Ujar Raffi pada sebelah petangnya apabila dia masih menemani aku.

Aku memandangnya, terkejut. Sebulan?

Seketika kemudian, aku memejamkan mata. Sebelum aku tiba-tiba teringatkan sesuatu.

Firzana.

Segera aku gagahkan diri, cuba untuk bangun. Disaksikan Raffi yang masih di sisi, aku terus duduk dan bergegas mahu turun dari katil.

"Adam, kenapa ni? Rehat dulu!" Cemas Raffi mendapatkan aku.

"Firzana...."

"Adam, tulang belakang kau masih tak sembuh! Kau kena baring!"

Namun, tangan Raffi aku tepis. Terus aku dengan bisa sakit yang masih berbirat, berjalan menuju ke luar bilik.

Raffi segera mengejar aku. Aku pula berjalan pantas, umpama tahu akan arah yang aku harus lalui selepas ini.

"Adam, jangan macam ni. Jom balik bilik." Pujuk Raffi yang memapah aku yang masih berdegil, berjalan dengan sakitnya di situ.

Sehinggalah di laluan kaki lima itu, aku terlihat dari jauh, ada bayang yang berlari mendapatkan aku. Dan terus berdiri di hadapan aku.

"A.. Adam..."

Aku terus berhenti. Wajahnya aku beranikan untuk dipandang.

Ketika aku melihat wajahnya, terus tubuh aku longlai, melutut di hadapannya.

Nafas yang mendesah tadi berubah lega. Cukup lega.

"Kau....kau selamat..." Ucap aku dalam desah itu.

Kerana itulah sebenar-benar penyesalan yang aku pendam sebenarnya. Bahawa aku cukup rasa bersalah sebab gagal menyelamatkan dia dahulunya.

"Kau selamat... Syukurlah...." Ucap aku, sebak.

Itulah sebenarnya perihal yang membuatkan aku terlalu hidup dalam kegusaran sendiri. Kata hati aku yang terngiang-ngiang di minda sejak dahulunya jelas memberitahu aku itu- aku berasa bersalah kepadanya.

Tatkala itu, aku terasa Firzana merendahkan tubuhnya, sebelum kemudian terdengar kata-kata yang kedengaran dari Firzana sendiri.

"Adam... Fir minta maaf...."

Bahawa dia juga menyimpan sama banyak bebannya seperti aku, menyimpan sejuta penyesalan dalam hidupnya, persis aku.

Ketika aku mengangkat wajah, aku terlihat dia yang menekup tangannya pada mulut lalu terus menangis di situ.

"Fir musnahkan hidup Adam... Fir tak tolong Adam...." Dia menggeleng-gelengkan kepalanya kemudian.

Firzana semakin galak menangis di situ.

"Adam, Fir susahkan Adam sebab sakit Fir... Fir tahu, Adam terseksa sebab Fir..."

Tanpa aku sedari, air mata aku sendiri tumpah di situ.

"Kita tak boleh jadi kawankah?"

Andai saja aku berikan dia satu peluang itu untuk berkawan. Andai saja aku faham betapa dia hanya mahu menjalani kehidupan yang normal seperti yang lainnya.

Aku terus menitikkan air mata aku di situ.

"Maaf...maafkan aku..."

------------------------

KALAU bukan disebabkan peperiksaan besar yang akan aku hadapi tahun ini, sejujurnya aku masih mahu merehatkan diri di rumah. Masih tak mahu berjumpa sesiapa.

Tipu saja kalau aku katakan aku tidak lagi takut dengan kejadian aku dipulaukan. Sememangnya aku sangat cuak sekarang.

Sedangkan apabila aku berjalan sendirian di kaki lima itupun, hanya yang mampu aku lakukan adalah menunduk memandang lantai. Sambil tangan aku erat menggenggam tali beg yang dijinjing, meminta kekuatan dari situ.

Raffi ketika itu tak pula kelihatan di mana-mana. Aku tak tahu sama ada aku yang terlepas pandang atau dia yang sengaja tak mahu menegurku. Tapi apa pun, yang lain, hanya biasa.

Aku masih tak mengangkat wajah, dan meskipun aku terlantar sebegitu lamanya di hospital sebelum ini, tiada sesiapa pun yang melawat aku. Bahkan sekarang, semuanya langsung tak menegurku. Seolahnya insiden aku kemalangan tempoh hari hanyalah penipuan.

Tapi, aku takkan mampu salahkan mereka. Bukan salah mereka sejak awalnya. Tak patut juga aku salahkan Raffi kerana tidak memberitahu hal sebenar kepada mereka semua.

Peluang kedua tak akan wujud pada setiap kes, bukan? Aku tahu itu.

Sepanjang sesi kelas berlangsung, hanya Raffi seorang yang menyapa aku. Itupun cuma sempat menyebut 'hai' kerana dia lewat hadir ke kelas. Waktu rehat pula, dia tak kelihatan. Yang aku jangka, pastinya dia sedaya upaya membuat aku tak wujud, mungkin kerana jauh di sudut hatinya masih rasa khuatir sekiranya dia dijauhi rakan-rakan yang lain andai dia berada dengan aku.

Kepala aku letakkan ke atas meja. Nak mengangkat bahu pun rasanya tak terdaya.

Rasa macam nak tercabut nyawa bila fikir sejauh mana aku akan jadi begini.

Sehingga kelas habis, yang aku lihat masing-masing terus bersegera keluar dari kelas. Aku sendiri masih terkial-kial menyimpan alat tulis. Biasalah, tulang aku dah bermasalah. Fisioterapi bulan pertama bukannya sepenuhnya menunjukkan hasil yang baik.

Aku terus berjalan sendiri sambil menjingjing beg sekolah menuju ke tangga sebelum aku terdengar suara Raffi memanggil aku.

"Nak balik sekarang ke?" Soal Raffi.

Aku hanya mengangguk.

"Oh." Terus sahaja beg aku ditarik lalu dijinjing olehnya.

Aku memandangnya dengan tertanya-tanya, namun tak pula aku mengeluarkan suara. Hanya aku masih diam membisu sepanjang perjalanan.

"Kau macam mana?" Soalnya, sekadar bertanya.

"Okay." Tipu.

"Okay? Tak nampak macam ya." Balasnya, bersahaja.

"Entah." Balas aku, perlahan.

"Masih fikirkan hal lama?" Soalnya.

Aku diam, agak lama. "Kau tak rasa peluang kedua sebenarnya tak wujud?" Soal aku, tiba-tiba.

Raffi kelihatan terus memandang aku.

Aku sepi sejenak sebelum menyambung. "Tak kira kebenaran terbukti atau tak, peluang masih hanya sekali."

"Kalau kau bercerita tentang masa lalu kau, tentang kes kau dan Firzana...."

"Ini semua karma. Mesti kau fikir macam tu. Sebab apa yang aku buat dulu pada Firzana."

Suasa sepi seketika sebelum aku terdengar dia bersuara.

"Kita tak main karma. Karma cuma wujud dalam kepercayaan masyarakat Hindu. Kita percaya qada' dan qadar." Katanya, membuatkan langkah aku terhenti di situ.

Beberapa tapak dia melangkah, dia juga berhenti.

"Kita percaya ada benda yang boleh diubah selari dengan usaha, dan kita percaya ada benda yang memang tertulis takkan berubah di Luh Mahfuz- mati, jodoh. Kita percaya buat baik dibalas baik, tapi kita kena tahu juga yang buat jahat tak semestinya dibalas jahat. Orang ramai suka menganiaya, tapi kenapa Tuhan masih berjanji nak maafkan? Kenapa dalam Quran masih Tuhan janjikan ampun untuk orang yang buat dosa?" Katanya, panjang lebar.

Raffi menoleh ke arah aku.

"Kau memang rasa dalam kes kalian berdua dulu, kau yang bersalah? Betul-betul bersalah?" Soal Raffi.

Aku hanya diam. Raffi kemudian terus memberi isyarat aku untuk terus sama-sama berjalan menuju ke kaki lima.

"Kau hanya mangsa dari dosa-dosa orang munafik, yang cuma tahu menipu untuk selamatkan diri."

Wajah Raffi yang cukup tenang berkata itu membuatkan aku terpempan seketika.

Apa maksudnya?

"Tapi, atas usaha kau cuba menjernihkan keadaan, disebabkan kau selamatkan Firzana daripada kau biarkan dia bunuh diri haritu, atas sebab "baik" kau di atas "buruk" dia menutup mulut bertahun-tahun lamanya, kau dapat apa yang kau nak."

Raffi tiba-tiba berhenti. Membuatkan aku yang sungguh gagal menghadam kata-katanya tadi berubah bingung.

Aku pandang Raffi. Tak lama kemudian, aku terdengar pula suara bising dari satu arah.

"Sini! Pandang sini!"

Aku menoleh. Mencari punca suara itu. Sebelum kedengaran begitu ramai orang bersorak, memanggil aku.

"Hei, Adam!"

Ya. Mereka yang berkumpul itu memanggil aku.

"Kalau kau cari mana peluang kedua kau, mungkin kau tak sedar peluang tersebut wujud bilamana kau selamatkan Firzana, dan kau sempat ambil peluang tersebut."

Ketika aku menoleh memandang Raffi, aku lihat dia sudahpun meninggalkan aku. Menapak mengundur sambil mendepangkan tangannya, mengajak aku menyertainya.

Senyuman Raffi mula berubah lebar ketika itu.

Aku menghampiri kerumunan mereka perlahan-lahan. Sebelum kemudian barulah aku melihat jelas semua yang ada di hadapan aku.

Perkataan sepanduk sebesarnya dilukis itu aku pandang.

'Welcome Back, Adam!'

Begitu ramai pelajar di situ, dengan belon-belon hiasan yang bergantungan, umpama menyambut sesuatu di kawasan lapang itu.

Aku lihat kemudian, yang paling hadapan antara mereka yang berpakaian seragam itu adalah Firzana dan ibu aku.

Juga ibunya.

Mereka tersenyum lebar melihat aku. Malah, yang aku lihat, begitu mesra tangan ibu Firzana memaut bahu ibu aku.

Aku lihat, Raffi sudah ditemani kawan-kawannya, yang kemudian berjalan ke arah aku.

Mereka semua saling melemparkan senyuman kepada aku, sebelum aku dipeluknya serentak.

"Lama tak jumpa, bro!" Ucap mereka.

Aku terpana, terkesima.

Ini semua, memang bukan mimpi? Seriuskah?

Aku melihat mereka. Wajah satu persatu yang aku kenal menjadi tatapan. Sebelum tiba-tiba, mata aku tertancap kepada tiga orang pelajar yang jelas berbeza pakaian seragamnya daripada kami yang lain.

Mereka menghampiri aku perlahan-lahan.
Tanpa suara, tanpa bunyi.

Mereka ialah tiga sekawan yang meninggalkan aku dahulunya. Yang turut sama-sama memulaukan aku ketika peristiwa pahit dahulu.

Yang apabila aku lihat, ada genang pada mata mereka. Yang entahkan aku tahu hadirnya dari mana, dan apakah sebabnya.

Tapi, yang aku tahu selepas aku, aku didakap. Erat. Oleh mereka bertiga. Dan serius, aku terpana di situ.

"Maaf, atas semua salah faham kami dulu."

"Kami minta maaf, tak cari kau balik lepas kau pindah sekolah dulu."

"Maafkan kami, Adam."

Mata aku terpejam seketika di situ. Erat juga. Sehinggalah pelukan itu dilepaskan.

Kemudian, hadir pula kawan-kawan Raffi yang lain, dengan bahu aku yang mula ditepuk dan utuh digenggam. Berserta senyuman mereka yang sungguh lebar.

Hati aku, begitu sukar tertafsir. Apakah yang sebenar-benarnya bermain dalam minda, aku tak tahu tafsirkan ia. Aku hanya reti membisu dan terkaku.

Aku melihat ibu aku sedari jauh, dengan senyumannya yang terukir lebar. Terlalu tenang wajah itu, lebih tenang seperti biasa.

Dan, apabila aku melihat sekeliling, aku seolahnya diserbu sejuta perasaan.

Wajah kawan-kawan sekelasku dan yang lainnya- yang dulu begitu aku takutkan, yang bahkan langsung aku tak kenal, sedikit demi sedikit umpama terbayang di hadapan aku. Lantas, satu persatu wajah mereka terpapar jelas di hadapan aku.

Paranoid aku, ketakutan aku untuk memandang wajah-wajah mereka, kini umpama langsung tiada.

Aku mencelikkan mata aku, tak percaya. Dengan langkah perlahan-lahan, aku menghampiri mereka, untuk memastikan apa yang aku lihat kini adalah benar.

Ketika aku menoleh ke arah Raffi dan kawan-kawannya, tatkala itu jualah wajah mereka satu-satunya aku tatap dengan baik.

Aku kini mampu melihat riak wajah mereka. Melihat senyuman mereka, gerak bibir mereka, aku mampu lihat semuanya.

Sekeliling itu aku lihat lagi sekali. Sebelum aku sendiri tertawa kecil di hujung bibir. Meski pada saat itu, mata aku jelas terasa pedihnya. Meski jua berkali-kali aku tenyeh, tak mahu kelihatan begitu jelas akan keadaan aku saat itu.

Namun, setitis air mata sudahpun merembes di pipi. Dari setitis, kini mula mencurah-curah. Segera aku sapu namun semakin banyak pula yang menitis.

Aku meraup-raup wajahku. Lalu akhirnya tanpa tertahan, aku mula merendahkan tubuh.

Di situ, aku meluahkan segala perasaan. Teresak-esak aku menangis di hadapan mereka yang kemudian mendapatkan aku dan memeluk aku.

'Maaf, Adam, maaf.' Berulang-ulang kali, itu yang aku dengar dari mereka semua.

Hampir lima tahun, hidup remaja aku dilitupi oleh 'penipuan', sebagai pemangsa yang dimakan pemangsa yang lain.

Sebagai pembuli yang dibuli orang lain.

Hampir lima tahun aku memulaukan diri. Dan hampir lima tahun juga aku dipulaukan. Hampir lima tahun aku menanti andai benar-benar hidup aku ada yang mengadili.

Hampir lima tahun, soalan itu acapkali bermain di minda.

Adakah peluang kedua itu akan hadir?

Adakah peluang kedua itu benar-benar wujud?

Dan kini, aku telah yakin, telah pasti jawapannya terbukti pada diri aku sendiri.

Peluang kedua itu sentiasa wujud. Mungkin dalam kisah yang lain dan situasi yang berbeza.
Namun masih, dalam tujuan yang sama- memberi nafas baharu dan ketenangan yang kekal lama.


Johor Bahru, Johor.
—Home For Imperceptible Love [13]
Tamat—

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro