XVI - Memori Atas Memoir

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

PINTU bilik aku buka perlahan sebelum langkah aku atur, menghampirinya yang berada di meja itu yang juga sedang memerhatikan aku dalam senyuman lembutnya.

Senyuman itu nampak penat, aku rasa. Atau mungkin itu hanyalah senyuman palsu. Aku tak tahu. Aku tak tahu mentafsirkan ia.

Tapi, yang aku pasti, malam ini, dia nampak cantik.

Rambutnya yang ikal berombak lembut melepasi bahunya. Wajahnya bagai diserikan dengan mekap tipis namun aku tahu, memang natural wajahnya begitu.

Baju yang dipakainya juga kelihatan sangat kemas, cantik dan sangat sesuai dengan tubuh badannya. Berbeza dengan dahulunya, dan hari-hari sebelumnya.

"Buat apa? Duduklah." Katanya. Sangat lembut suaranya menerjah pendengaran aku.

Aku hanya menurut dalam bisu aku. Seketika itu, aku terlihat terdapat dua batang pen dan dua helai kertas di atas meja itu.

"Hari ni, kita nak menulis." Katanya.

"Menulis?" Terkeluar suara aku bertanya kepadanya.

Dia mengangguk sebelum menolak helaian kertas dan sebatang pen itu kepada aku.

"Tulislah apa-apa yang awak mahu. Tentang apa yang awak rasa atau pernah alami sepanjang perkenalan kita. Atau dalam rumah tangga kita."

Kening aku berkerut.

"Kenapa?"

Dia tak menjawab. Hanya senyuman lembut diukirkan untuk aku sebelum dia mencapai pen itu.

"Untuk apa semua ni?" Aku menyoalnya lagi.

"Saya cuma nak tahu. Dan, mungkin awak pun nak tahu tentang perasaan saya sepanjang perkenalan kita." Balasnya.

Aku diam.

Aku betul-betul mahu tahukah? Bisik aku sendiri.

Pen itu perlahan-lahan aku capai. Tatkala aku mencuri pandang ke arah dia, dia sudahpun mengarang kata-kata yang tak aku tahu apa dia.

Apa yang aku rasa sepanjang perkenalan aku dengan dia? Aku tak tahu nak cakap macam mana.

Yang aku ingat, selalunya bila aku pulang dari kerja aku, wajahnya cuma dalam kekusaman. Tak terurus dan selebet, itu yang aku fikir. Dia hanya sempat mengukirkan senyuman sekilas sebelum dia terus menyambung tugasnya yang tergendala.

Itu menyakitkan hati aku, memikirkan apalah yang banyak sangatnya kerja rumah yang dia buat sampai nampak sangat celarunya. Aku juga pernah mengemaskan rumah beberapa kali, tapi tak pernah pun sampai macam tu.

Aku tak suka disambut pulang dalam saat dia berbau busuk di kala hanyir ikan masih melekat di bajunya. Rambutnya yang kadang-kadang tak diikat rapi hanya dibiarkan kusut masai begitu.

Tangan kirinya menepuk-nepuk bahu anak lelaki aku yang berusia empat tahun yang menangis entah kenapa. Anak perempuanku yang berusia sembilan tahun entah ke mana. Tangan kanan memegang penyapu. Serabut aku melihatnya.

Aku tak suka disambut pulang dalam sesaat dia terbersin kuat sebab alah habuk selepas mengemas rumah. Itu menggelikan aku.

Aku rimas dengan dia. Penampilan comot dia. Selekeh benar. Sangat berbeza dengan ketika pertama kali aku mengenali dia. Pada saat aku pertama kali tertarik dan jatuh cinta dengan dia, aku tak nampak pun sisi dia yang menjengkelkan itu. Sebelum aku kahwin, aku terlalu dikaburi dengan senyuman dan manjanya dalam pada aku sedar akan kesederhanaannya.

Aku bencikan dia yang selalu memandang aku dengan pandangan lemahnya. Aku tahu dia tak sakit, cuma mungkin dia nakkan perhatian aku untuk bertanyakan sama ada dia baik-baik saja atau sebaliknya.

Sebab tu, aku berhasrat untuk meninggalkannya. Dan aku telahpun menyuarakan hasrat aku untuk berpisah, kerana aku telah menemui seseorang yang aku rasakan jauh lebih baik dan bagus daripadanya.

"Saya dah ada pilihan lain. Saya harap awak terima keputusan saya."

Aku berhasrat untuk melamar wanita itu dan mahu hidup bahagia dengannya.

Dan hasrat itu dibalas dengan tempoh yang dia mahukan daripada aku. Untuk melayaninya sebagai sepasang suami isteri dalam masa yang berbaki. Tak lama, hanya beberapa ketika. Dan aku bersetuju.

Maka, kini terjadilah hubungan 'palsu' antara kami. Aku melayaninya sebagai pasangan yang baru bercinta. Seolah-olah memaksa aku memadamkan rasa benci dan meluat dalam diri aku untuknya.

Apa yang kami lakukan sejak mula-mula berkenalan semuanya diputarkan kembali. Sejak mula-mula bernikah dan bulan-bulan pertama kami sebagai pengantin baharu, semuanya dilakukan sekali lagi. Sebagai permintaannya.

Seolahnya juga, kami berjaya mengaburi mata anak-anak kami daripada segala pergaduhan yang didengari dari dalam bilik sepanjang hari-hari sebelumnya. Berjaya mengubah riak wajah anak-anak yang terkejut dan berubah kelat apabila pandangan sinis aku lemparkan kepada ibu mereka.

Anak-anak aku yang tidak tahu apa-apa dengan perancangan ini, sangat gembira melihat hubungan kami yang bagi mereka sudahpun pulih. Sepulangnya aku dari pejabat, perkara pertama yang mereka sorakkan adalah apabila aku mendukung ibu mereka sebelum melepaskan kucupan di pipi wanita itu.

Anak perempuanku yang bagaikan mengerti dengan dunia dewasa mula meminta aku memberikan bunga buat ibunya, kerana baginya itu simbolik cinta yang manis.

Sungguh, anak-anakku menganggap aku hero utama dalam kisah cinta ibunya.

Aku kembali memandang sehelai kertas itu. Dia aku lihat masih menari-narikan pen itu di atas kertas tersebut, masih menulis dengan tenangnya.

Aku tak tahu apa yang aku mahu tuliskan di sini.

Tinggal beberapa hari sebelum kami berpisah, apa yang sebenarnya aku sedar tentangnya?

Lalu yang hanya aku coretkan adalah:

'Awak nampak cantik hari ini. Dan sejak belakangan ini.'

Satu pujian ikhlas dari aku, yang entah kenapa aku mahu suarakan kepadanya.

Mungkin kerana masa-masa yang berbaki itu aku fikir, patut juga diselangi dengan kata-kata yang baik. Atau mungkin juga kerana kata-kata yang baik lebih mudah dan cepat ditulis berbanding komen-komen negatif terhadapnya yang terlalu banyak.

Apabila noktah terakhir itu aku sudahkan, dia aku lihat sudahpun mengangkat kepalanya. Memandang aku dengan kuntum senyumannya.

"Dah?" Soalnya. Aku mengangguk.

"Boleh tengok?" Pintanya. Aku mengangguk lagi sekali.

Lantas kertas itu bertukar tangan.

Apabila dia usai membaca ayat yang ringkas itu, aku lihat pandangannya terarah kepada kertas itu, agak lama. Tak berganjak.

Sebelum aku lihat air matanya yang mula bergenang. Terharu, aku rasa.

Apabila dia mengangkat wajahnya, aku melihat dia tersenyum memandang aku. Pandangannya semakin berkaca-kaca.

"Terima kasih." Ucapnya.

Aku hanya mengangguk. Entah kenapa, melihat riak wajahnya dan mendengar ucapan itu, hati aku bagaikan tak terarah.

Adakah pujian aku terlalu ikhlas sehinggakan aku sendiri terasa gelabah melihat wajahnya?

Dia aku lihat bangun perlahan-lahan, mula meninggalkan aku sendirian bersama helaian kertas itu.

"Kertas awak?" Soal aku. Tiba-tiba terasa ingin tahu apa yang dituliskannya. Persepsinya terhadap rumah tangga kami dan hubungan yang terjalin selama ini.

Dia memandang aku dengan senyumannya. "Nanti saya berikan pada awak." Katanya sebelum berlalu.

Aku tak mengekorinya. Malah, terus berada di situ dan memikirkan tentang perasaan aku.

Hati aku, terasa bolak-baliknya. Entah kenapa.

Beberapa hari berlalu, dan kali ini kami menghabiskan masa bersama keluarga di laman rumah. Aku ingin membawa mereka bersiar-siar jauh namun si dia menolak. Katanya, dia hanya mahu merasai nikmat pemandangan di sekeliling rumah.

Aku lihat dia yang begitu girang bermain-main dengan anak-anak kami. Tawanya yang meletus bersama jeritan kegembiraan si anak-anak singgah di pendengaran aku.

Tak pernah pun, aku lihat dia begini sejak perkelahian kami. Dia dulunya cukup runsing, aku apatah lagi.

Terdetik juga dalam hati aku, adakah kegembiraan dia ini kerana layanan aku kepadanya yang tidak setegang selalu? Adakah dia sebenar-benarnya berasa bahagia dengan aku?

Jika aku terus melayaninya begini, adakah konflik rumah tangga kami akan berakhir?

Sedang aku mengelamun di kerusi batu itu, aku terasa badan aku basah dek pancutan air dari getah yang secara tak sengaja disua kepada aku.

"Opss!" Terdengar suara anak perempuan aku yang berdiri tegak, memandang aku sambil tangannya tak lekang dengan getah paip itu.

"Oh-oh!" Anak lelaki aku pula berkata itu.

Aku pandang isteri aku yang menyeringai sebelum menutup mulutnya dengan kedua-dua tangannya.

"Nak main-main dengan papa, eh!"

Lantas mereka aku kejar. Bercicitan mereka berlari jauh daripada aku yang mula mengejar dengan getah paip yang sudahpun berada di tangan aku.

Habis lenjun kami semua hari itu. Yang pada asalnya anak-anakku hanya mahu membantu ibunya membersihkan laman tapi lain pula yang jadi.

Aku pantas menarik ibu mereka dari belakang yang tak sedarpun aku di belakangnya.

"Mama dah kena tangkap!"

Tatkala itu, aku terdengar tawa isteriku yang menerjah pendengaranku. Sedaya upaya dia cuba melepaskan pelukan aku namun gagal.

Tawa itu, entah kenapa, mula mendatangkan bahagia aku. Bagaikan perasaan meluat itu sudah terbang entah ke mana. Aku tak tahu mengapa begitu.

Sedang begitu, tiba-tiba aku terasa anak lelaki aku datang memeluk aku.

"Nak peluk jugak!"

Sebelum kemudian, anak perempuan kami pula mendapatkan kami dan memeluk kami bertiga dalam tawa gembiranya.

Aku lihat, isteri aku memandang aku dengan senyumannya sebelum dia menoleh dan terus memeluk pinggang aku, meletakkan kepalanya ke dada aku.

Kami berempat saling berpelukan di situ. Dan yang aku dapat lihat, isteri aku lembut mengusap kepala anak-anak kami sedang pinggang aku erat dipeluk.

Aku tak pasti akan perasaan aku ketika ini. Seperti ada sesuatu yang hebat mula menjentik hati aku sendiri.

Dan tanpa sedar juga, tiba-tiba jauh di sudut aku, aku mengakui sesuatu.

Aku mahukan keluarga ini. Aku mahu membina semuanya bersama-sama mereka.

Aku mahukan mereka di samping aku.

----------------------------

HARI ini, aku memasang tekad aku. Berjalan menemui wanita yang aku pernah bilang untuk menjadikan dia isteri baruku.

Untuk berbicara tentangnya akan perkahwinan yang mahu aku batalkan.

Setelah kata-kata itu aku ungkapkan, seperti yang diduga, dia kelihatan sungguh tak berpuas hati. Kekecewaan yang diselangi air mata itu begitu tak terluah. Dia menuduh aku memperalatkan kehidupannya. Mempermainkan cintanya. Pelbagai kata-kata nista dia ludahkan ke wajahku, namun sikitpun aku tak terasa hati.

Ini semua salahku, aku tahu. Aku terlalu mengharapkan kesempurnaan dalam rumah tangga aku sendiri. Aku gapah dalam segala-galanya.

Dalam perjalanan pulang, aku sempat membelikan sejambak bunga yang tersangat besar buat isteri aku. Sengaja aku minta agar lima puluh kuntuman bunga mawar merah itu dibalut satu, khas buat isteriku.

Aku mahu memperbaiki semuanya. Aku mahu membina kembali apa yang dimusnahkan oleh aku sendiri.

Pintu aku ketuk perlahan setelah loceng dibunyikan. Apabila tidak bersambut, terus aku menyeluk poket aku untuk mengambil kunci dan membuka pintu tersebut.

Pastinya isteri aku takkan menyambut aku, kerana dia tak mengjangkakan kehadiran aku kala begini. Sengaja aku memberitahunya bahawa aku bekerja pada hari ini seperti kebiasaannya padahal sudahpun aku mengambil cuti awal-awal lagi.

Aku ingin habiskan masa berdua dengannya di dalam rumah kami, memandangkan anak-anak kami masih lagi berada di sekolah masing-masing. Sengaja.

Aku melangkah perlahan-lahan ke dalam rumah yang sunyi itu. Dapat mengagak dia pasti sedang tidur di dalam bilik. Ataupun mendengar lagu-lagu kegemarannya. Atau ralit membaca novel-novel yang selalu dikumpulkannya setiap bulan.

Bersama sejambak bunga mawar yang kembang mekar itu, aku menolak daun pintu perlahan.

Seperti yang dijangka, dia sedang terbaring di atas katil tatkala aku menghampirinya.

Punggung aku labuhkan ke sisinya. Wajah itu aku tatap agak lama, sebelum aku tersenyum sendiri.

Dia langsung tak berkutik apabila aku mencuit-cuit hidungnya. Penat sungguh nampaknya.

Dalam pada melihat wajah tenangnya, aku terlihat sekeping kertas yang masih berada dalam genggaman dia lalu aku tarik perlahan.

Kertas yang pernah aku tuliskan buatnya itu aku baca sekilas. Namun, itu tak menarik perhatian aku. Aku lebih tertancap kepada kesan-kesan basah di atas kertas itu.

Kesan basah, sepertinya dia menangisi coretan yang aku tuliskan buatnya.

Entah berapa kali dia menangiskan itu, aku tak pasti. Sebab kesan air mata itu sangat banyak dan mencipta renyukan dan kedutan setelah kering. Tulisan aku juga sudah comot dan kembang dek titisan-titisan basah itu.

Adakah itu yang dia lakukan sejak berbulan-bulan lamanya? Menangisi aku yang akan meninggalkannya sebentar lagi? Menangis di belakang aku di sebalik senyumannya yang langsung tak aku sedari?

Bunga aku letakkan di atas meja seketika. Sebelum aku tersedar ada pula kepingan kertas yang lainnya di atas meja.

Kertas itu, merupakan kertas yang persis dipegangnya pada malam tempoh hari. Itu adalah kertas yang dia berjanji akan menyerahkan pada aku untuk menyatakan isinya suatu hari nanti.

Aku lantas membacanya. Seusainya membaca itu, entah kenapa, aku terasa gigil pada badan aku. Aku getar, terkaku.

Dan perasaan yang bercampur baur itu berubah luluh setelah membaca sekeping lagi kertas yang membongkarkan lebih dari sejuta rahsia yang terulung. Yang telah disembunyikan sekian lamanya.

Mata aku berkaca-kaca, membuatkan aku kabur. Buat kesekian kali aku terasa begitu sebak dan sadis sepanjang perkahwinan aku.

Aku memandangnya perlahan-lahan. Wajah yang masih tertidur itu begitu mengusik hati aku.

Dengan lembut, aku mengucupnya. Lama, bagaikan meluahkan perasaan aku sekian lamanya.

Sebelum aku terasa bahuku disentuh lembut.

"Papa..."

Aku menoleh, melihat anak perempuan aku memandang aku agak lama sebelum dia memandang sekilas anak lelaki aku yang berdiri di sisinya.

Aku lihat sisi aku. Bayangan isteri aku, telahpun hilang dari pandangan. Yang tadi aku kucup, hanyalah bantal miliknya. Yang selalu aku hidu untuk merasai haruman rambutnya yang jelas, sudah lama pudar.

Mata aku terarah ke atas meja. Sejambak bunga yang aku beli pagi tadi, masih ada di situ. Dan, di sisinya terdapat sejambak lagi bunga mawar yang sudahpun mati dan keras seperti daun kering.

Surat-surat yang masih berada dalam tangan aku, aku lihat perlahan-lahan.

Surat nukilan aku.

Surat nukilannya.

Dan surat pengesahan doktor akan penyakit jangkitan kuman pada paru-paru yang sudah merebak ke segenap tubuh badannya.

Aku memandang anak-anakku dengan segunung perasaan sebak yang lama aku pendam sepanjang hari itu.

"Papa rindu mama..."

Air mata aku merembes di depan anak-anakku tanpa aku sendiri tahan.

Anak-anakku terus memeluk aku, menenangkan aku apa adanya.

"Tak apa, papa. Sekurang-kurangnya, mama dulu bahagia. Mama sekarang pun dah bahagia di syurga." Pujuk anak perempuanku.

Aku menangis di dalam pelukan itu. Mengenangkan saat akhir aku berjumpanya terbaring di atas katil, seolahnya sedang tidur yang tersangat lena. Walhal, tatkala itu, dia sudahpun dijemput Illahi atas penyakitnya yang merebak pantas itu.

Penyakit itulah yang membuatkan dirinya menjadi tak terurus. Dalam keadaan lemahnya, dia terpaksa menjaga anak-anak yang masih kecil dan menguruskan rumah sendirian tanpa aku. Tanpa mengharapkan aku membantunya sedikitpun.

Wanita yang sedang tersenyum itu, sebenarnya menyembunyikan sejuta kepahitan dan kesakitan dalam jiwanya yang langsung tak mahu aku ketahui. Hanya kerana dia bimbang aku akan susahkannya kemudian hari.

"Mama sayang papa." Kata anak lelakiku.

Yang mereka takkan tahu bahawa semua yang dulunya aku lakukan, hanyalah sandiwara di hadapan mereka. Yang dipinta ibu mereka hanya kerana tidak mahu anak-anaknya menganggap aku sampah kerana berlaku jahat di hadapan ibu mereka.

Hanya kerana ibu mereka mahu mereka tahu bahawa mereka ada tempat bergantung tatkala ditinggalkan kemudian hari.

Begitu pintarnya ibu mereka menyembunyikan segalanya, menutup kesalahan seorang suami untuk dilihat sebagai perwira buat anak-anak.

Dua bulan dia sudah berlalu, dan surat yang ditulis olehnya aku genggam erat, bersama pelukan anak-anak yang semakin didekatkan.

'Apa lagi yang mampu buatkan saya bahagia?

Bila tengok awak bangun dengan rambut serabai awak, sambil awak kesat-kesat bibir awak sebab selalunya ada air liur basi di situ.

Bila awak tercari-cari tali leher awak, padahal awak dah siap sangkutkan pada kolar baju awak.

Bila awak sarungkan stokin awak tapi dua-dua bukan pasangan yang betul.

Bila awak mula belajar gosok baju kerja sebab tak nak susahkan saya, tapi akhirnya tetap saya yang kena gosokkan sampai sekarang sebab berlubang baju kemeja awak buat.

Bila awak terbelikan lampin saiz XL untuk anak kita masa umur dia cuma sebulan.

Bila awak nak buatkan kek untuk hari jadi saya, tapi akhirnya terpaksa beli kek Secret Recipe kat luar sebab hangus kek tu awak buat.

Bila awak balik rumah dengan bau busuk, tapi masih nak peluk saya walaupun saya baru habis mandi.

Bila awak suka hembuskan nafas busuk awak masa kat muka saya setiap kali baru bangun tidur.

Bila awak selalu terlupa nak bawa kunci kereta bila nak pergi kerja.

Bila awak sakit, dan awak merengek tak nak berenggang.

Bila saya yang mengandung, tapi awak yang banyak mengidam.

Bahagianya saya, adalah bila saya boleh lihat kelakuan awak yang pelbagai kerenah. Awak yang kelam kabut tapi mudah ketawa. Awak yang selalu stress tapi mudah terhibur. Awak yang selalu marah tapi penyayang. Bahagia saya adalah bilamana saya boleh lihat awak depan mata saya. Sepanjang masa.

Dan, semoga bahagia ini, adalah bahagia yang sama awak kecapi bila bersama dengan yang lain.

Maafkan saya. Saya gagal menjadi penglipur lara awak.

Maafkan saya sebab saya terlupa menghias diri saya macam dulu.

Maafkan saya sebab perangai kusut saya.

Saya hargai lima minggu bersama awak, dan pastinya tempoh ini cukup untuk buat anak-anak kita lihat betapa realistiknya cinta seorang ayah kepada isterinya tatkala dahulu.

Anak-anak awak tak akan marah awak. Maka janganlah risau akan penerimaan mereka suatu saat nanti.

Saya minta maaf terpaksa lepaskan anak-anak kita untuk bersama awak. Saya bersungguh-sungguh untuk kekal bersama mereka supaya tak susahkan awak tapi saya tak tahu sampai bila saya mampu bertahan.

Saya dah selalu berpesan dengan mereka untuk patuh arahan awak dan tak sesekali susahkan awak. Saya doakan mereka mendengar nasihat saya sebaiknya.

Anggaplah mereka hadiah untuk lima minggu ini.

Jagakan mereka untuk saya.
Jaga dirimu untuk pilihan hatimu.'

Air mata itu berlinang lagi, lebih lebat.

Sambil tak putus-putus ucapan itu aku tujukan buatnya yang sudahpun bersemadi di sana.

Saya minta maaf. Saya betul-betul minta maaf.

.
.
.
.

Petaling Jaya, Selangor.
—Home For Imperceptible Love [16]
Tamat—

-----------------------

Trivia : Cerita dalam bab kali ini adalah plot asal karya lama, 'Satu Bulan Untuk Suamiku'. (:

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro