: ̗̀➛ Bab 43

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"ABANG!"

"Ya Allah, Ara! Okay ke tak ni? Terkejut ibu." Puan Irma mengundur setapak ke belakang apabila Inara yang tadinya tidur, bangun mengejut.

Inara terkebil-kebil apabila mendengar suara ibunya. Ibu? Pantas dia menoleh ke hadapan.

Aideen?

Disentuh tangan suaminya yang masih tidak sedarkan diri. Badan terasa suam. Mesin ventilator juga dilihat. Kelihatan normal. Pandangan dihalakan pula ke arah sekeliling. Semua nampak normal.

"Kamu okay ke tak ni Ara? Ibu nak buat kejutan sebab datang sini jumpa kamu, tapi ibu pula yang terkejut. Kenapa? Mengigau?" Terkejut dia dengan tindakan Inara yang bangun lalu terus menjerit memanggil Aideen apabila dia menyentuh lembut bahu anaknya.

"Ni bukan mimpi kan?" Dicubit tangannya.

"Aduh." Sakit. Ditampar pula pipinya dengan kuat.

"Ya Allah, Ara. Kenapa ni?" Puan Irma pantas memegang lengan tangan anak perempuannya itu. Tidak faham dengan tindakan Inara.

Sentuhan daripada Puan Irma membuatkan bening mata Inara menjadi panas. Setitik demi setitik air mata jatuh membuatkan ibunya yang melihat menjadi risau.

"Ya Allah Ara, kenapa ni? Cuba cakap dengan ibu? Ara ada sakit mana-mana ke?" Kedua-dua tangan Inara diraih pula lalu digenggam lembut. Wajah si anak dipandang tak lepas. Tangan kanan kemudian naik mengelap air mata anaknya yang deras mengalir itu. 

Tidak membalas, tubuh Puan Irma terus dipeluk oleh Inara lalu wanita itu mula mengongoi di bahu si ibu. Dibiarkan sahaja anaknya itu menangis buat sementara waktu meskipun dia sendiri bingung. Digosok perlahan belakang Inara.

"A..Ara ingatkan suami Ara dah tak ada dekat dunia ni. Ara tak sanggup nak hilang suami Ara, ibu..." Tersekat-sekat suara Inara apabila menuturkan ayat tersebut.

"Shh, suami Ara ada aje ni. Itu semua mainan syaitan. Sudah, jangan menangis ye? Ara sekarang kena banyakkan berdoa supaya Aideen cepat bangun. Ara pun mesti rindu nak dengar suara suami Ara kan?" Pelukan dileraikan oleh Puan Irma sendiri. Mutiara jernih yang masih lagi mengalir dilap olehnya.

"Macam mana kalau Aideen betul-betul tinggalkan Ara, bu?" Fikirannya sudah tidak dapat lari dari pemikiran negatif tersebut. Apa yang dia lalui sebentar tadi terasa seperti realiti sekali. Tak nampak macam mimpi. Masih terasa lagi rasa sesak di dada itu.

"Jangan fikir negatif sangat. Ara kena banyakkan berdoa. Bukannya fikir benda-benda macam tu. Ara tak percayakan suami Ara sendiri ke yang dia boleh bangun?" Pertanyaan yang Puan Irma lontarkan membuatkan lidah Inara tidak bergerak. Kelu.

Dipandang sekilas suaminya yang terlantar di atas katil, yang sedang bernafas dengan bantuan alat pernafasan. Keluhan kecil dilepaskan. Sudah masuk dua minggu Aideen tidak sedarkan diri. Sepatutnya esok mereka sudah terbang ke Sabah kerana Aideen perlu masuk semula ke tempat kerja, tetapi kalau dah jadi begini, memang tidak menjadi perancangan mereka.

"Isteri jenis apakah Ara kalau Ara tak percayakan suami Ara sendiri? Cuma..." Siapa saja yang dah tak mula fikir macam-macam kalau dah mimpi benda-benda macam itu tadi? Silap-silap, perkara yang dia alami dalam mimpinya itu boleh menganggu lenanya bahkan kehidupannya sehingga Aideen sendiri bangun dari lena yang panjang.

"Banyakkan istighfar. Itu semua fikiran negatif Ara aje. Ibu tahu, Ara kuat. Ara jadi macam ni sebab terganggu dengan mimpi Ara. Ara ikut ibu baca doa tenang hati ni. Allahumma inni.."

"Allahuhmma inni.." Gerak bibir Puan Irma cuba diikuti.

"As aluka nafsaan, Bika muthma innah tu, Minu biliqooika watardho, Biqodoika wataqna'u bi'athoika."

Bibir Puan Irma mengulum senyuman tipis. Pipi Inara diusap lembut. "Pandai anak ibu. Amalkan doa ini setiap kali Ara rasa susah hati. Maksud doa ni, Ya Allah, aku memohon kepada-Mu jiwa yang merasa tenang kepada-Mu, yang yakin akan bertemu dengan-Mu, yang redho dengan ketetapan-Mu, dan yang merasa cukup dengan pemberian-Mu. Dah, sekarang kita pergi makan ya?" Dari fizikal Inara, dia tahu, pasti sudah jarang anak perempuannya itu mengisi perut.

"Tapi Aideen..." Bagaimana ketika dia turun makan, ada apa-apa yang jadi kepada suaminya? Dia takut. Sungguh dia takut.

"Inara anak ibu, ibu yakin, pasti Aideen pun tak sanggup nak tengok isteri dia tak makan semata-mata nak jaga dia. Inara nak ke Aideen sedih sebab tengok isteri dia tak makan? Tak nak kan?" Puan Irma cuba memujuk. Perlahan-lahan Inara angguk.

"Jom kita turun makan ye sayang. Ayah dengan Irfan dah ada dekat bawah." Lengan Inara kini pula dipegang lalu ditarik menjauhi katil Aideen. Semakin mereka menjauh, dan pandangan Inara masih lagi tidak lepas dari memandang katil suaminya. Sungguh dia rasa berat hati.

***

"INARA Amanda." Sekali panggilan daripada Irfan berjaya membuatkan Inara mengangkat kepala. Seraut wajah abangnya dipandang.

"Kenapa tak makan? Kenapa asyik kuis aje nasi tu?" tegur Irfan apabila nasi di pinggan Inara masih lagi dalam kuantiti yang banyak. Hanya sedikit sahaja terusik.

"A-"

"Nak kata Ara tak ada selera, macam tu?" cantas Irfan membuatkan Inara terus diam. Keluhan terbit dari celah bibir abangnya itu.

"Dik, janganlah macam ni dik. Takkan Ara tak nak makan langsung? Nak tunggu sakit baru nak makan? Ara nak jaga Aideen macam mana kalau diri sendiri tidak terjaga?" Dia bukannya nak marah tetapi dia hanya nak lemparkan kenyataan. Adiknya ini sudah nampak benar tidak makan. Nampak lesu sekali.

Encik Ghazi dan Puan Irma hanya membiarkan sahaja perbualan yang berlangsung di antara dua beradik itu. Biarlah mereka berdua berborak. Biar Irfan sendiri yang memujuk adiknya itu.

Nasi di atas pinggan itu ditenung lalu sudu yang diletakkan di atas pinggan itu diangkat semula.

Makan Inara. Kau kata kau tak suka nak susahkan orang tetapi kenapa kau susahkan juga orang lain dengan biarkan diorang risaukan kau? Ayat tersebut berlegar di dalam kepala. Sebaik sahaja satu suapan dibawa masuk, tekak Inara seperti tidak menerima. Dia rasa lain, menyebabkan dia bergegas ke luar kedai. Terkejut mereka sekeluarga jadinya.

"Ibu dengan ayah duduk sini. Biar Irfan pergi tengokkan Ara." Tanpa membuang masa, dia berlari ke arah luar kedai. Kelihatan adiknya itu sedang memuntahkan semula segala isi sambil duduk bercangkung di tepi longkang. Irfan menapak mendekati adiknya lalu menggosok lembut belakang lembut.

"Adik, kau kenapa ni dik? Tak sihat ke?" Pantas belakang tapak tangan diletakkan di atas bahu Inara. Tak panas.

Inara geleng tanda dia sendiri tidak tahu kenapa. Semenjak dua menjak ini, dia memang selalu rasa loya. Puncanya? Dia pun tidak tahu.

"Kita pergi klinik." Encik Ghazi muncul. Irfan mendongakkan kepalanya memandang lelaki tersebut. Dia angguk lalu dia membantu Inara untuk bangun. Dipeluk bahu si adik untuk membantu Inara berjalan.

"Kunci kereta mana Irfan?"

Irfan mengeluarkan kunci kereta dari poket seluar lalu dihulurkan kepada Encik Ghazi kerana tadi, dia yang memandu. Perlahan-lahan dia memapah Inara menuju ke kereta. Dia dan Inara duduk di belakang. Diletakkan kepala Inara di atas riba. Risau. Tambah-tambah apabila melihat muka pucat Inara itu.

***

INARA memandang tampang wajah Aideen yang matanya masih lagi terkatup itu sebelum pandangan jatuh pada perutnya lalu tangan diletakkan di situ. Di dalam perutnya kini ada nyawa yang perlu dijaga. Bukti kecintaan mereka berdua.

"Tahniah, puan. Puan disahkan mengandung sepuluh minggu. Jadi, di usia awal kandungan puan ni, puan kena banyakkan berehat ye? Tambah-tambah usia kandungan puan masih lagi baru."

Masih lagi terngiang kata-kata doktor tersebut ketika dia ke klinik bersama keluarganya semalam. Automatik senyuman tipis terlakar di bibir. Tangan Aideen pula kini dicapai lalu dicium sebelum diletakkan di pipi kanan untuk merasakan kehangatan tubuh lelaki yang dicintainya itu.

"Abang, abang nak tahu tak?" Inara bangun dari kerusi, sebaik itu, tapak tangan Aideen diletakkan di atas perut.

"Anak kita. Anak kita ada dalam ni. Abang tak nak bangun ke? Abang tak nak celebrate sama-sama dengan Ara ke? Kalau abang dah bangun, mesti abang peluk Ara kan? Lepastu picit pipi Ara macam yang abang selalu buat." Sebak cuba ditahan. Dia tak nak menangis. Dia sudah banyak menangis. Dia perlu kuat. Demi dia, Aideen, dan anak di dalam kandungannya.

"Ara rindu sangat-sangat dekat abang." Sakitnya dada tatkala meluahkan ayat tersebut. Sungguh dia rindu kepada Aideen. Rindu akan suaranya. Rindu akan usikan suaminya itu.

"Inara."

  Kepala laju menoleh apabila mendengar namanya dipanggil. Mata sedikit membulat apabila melihat gerangan yang muncul itu.

"Tia, Maira, Jasmin?" Satu-persatu nama mereka yang kini sedang berdiri tegak di hadapannya itu disebut. Tidak menyangka dengan kehadiran mereka.

"Suprise I guess?" Jasmin bersuara dan lantas dengan itu, Inara berjalan pantas, memeluk ketiga-tiga tubuh rakannya itu.

"Kitorang tahu kau kuat Ara. Allah uji tanda sayang. InsyaAllah, lambat laun, suami kau akan bangun jugak Ara..." Tia menitipkan semangat. Sebenarnya, mereka dengar perbualan Inara dengan suaminya itu. Mereka sudah tiba awal lagi. Tapi membiarkan sahaja Inara meluahkan rasa.

Hampir menitis air mata mereka tatkala mendengar sayunya suara Inara itu. Sebelum masuk, masing-masing memastikan mata tidak lagi merah. Tidak mahu tertangkap oleh Inara bahawa mereka tengah tahan sebak di luar tadi.

"Kita nak teruk borak dekat sini ke apa? Ke..." Tia tahu, pasti Inara berat nak tinggalkan Aideen, sebab itu dia berhati-hati tanya.

"Dekat luar boleh?" balas Inara dan mereka hanya akur. Langkah dibuka melangkah keluar lalu dilabuhkan duduk di deretan kerusi yang terdapat di ruangan hospital itu.

"Untuk kau. Jangan lupa makan. Aku tahu, mesti kau tak makan lagi kan harini." Plastik yang berisi sebungkus nasi berserta lauk dihulurkan. Terdapat juga beberapa keping roti dan dua air mineral.

Bibir mengulum senyum tipis lalu huluran disambut. Dipegang kemas plastik makanan tersebut. Dia sepatutnya makan. Lupakah dia yang dia sedang membawa satu nyawa dalam perutnya ini? Dia tak patut menyeksa diri dengan tidak makan kerana ia ibarat dia turut menyeksa anaknya.

Jasmin memerhati tingkah laku Inara yang tidak berhenti memandang perut sendiri. "Ara kau..."

Inara panggung kepala. Jari Jasmin yang mengunjuk kepada perutnya itu membuatkan Inara angguk perlahan. Nampaknya, tak perlu dia beritahu, Jasmin lebih cekap menangkap. Automatik Jasmin menekup mulut, tidak percaya. Umairah pula turut melakukan perkara yang sama apabila faham akan maksud mereka itu.

"Apa-apa? Kenapa? Kenapa dengan Ara?" Tia bingung sendiri. Kenapa dia seorang saja tak faham dengan apa yang jadi?

"Oh my god Ara! Tahniah! Berapa minggu dah?" Tidak dihiraukan soalan Tia itu, Jasmin melemparkan soalan kepada Inara.

"Ara mengandung? Seriously?" Kali ini, apabila mendengar pertanyaan Jasmin itu, baru lah Tia faham. Dia memandang Inara dan wanita itu angguk sebagai jawapan.

"Ten weeks."

"Aww, cute. Jadi, lepas ni dah tak ada alasan untuk kau tak makan! Ingat, dalam perut kau tu ada siapa. Kalau kau tak makan, kesian anak kau. Jangan skip makan lepas ni!" Pesan Umairah. Ingat dia tak tahu ke Inara pasti selalu skip makan? Kalau dah suami macam tu, tahu sangat perangai Inara macam mana.

Inara ketawa kecil. Bersyukur dia jadinya dapat kawan seperti mereka. Memang dia tak menyangka langsung yang mereka bertiga akan datang kerana masing-masing duduk di negeri yang berlainan. Habis sahaja belajar, mereka hanya berhubung melalui telefon. Kali terakhir berjumpa di hari pernikahannya. Selepas itu, memang dah tak ada.

"Korang dah start kerja ke?" Soalan itu yang keluar dari mulut Inara.

"Belum, baru hantar resume," jawab Umairah.

"Aku dengan Jasmin masuk minggu depan."

"Wah, dekat mana?"

"Tempat kitorang chambering dulu." Jasmin pula balas.

"Kenapa ramai dapat tempat diorang chambering dulu? Tempat aku chambering dulu tak nak ambil aku ke? Teruk sangat ke aku buat kerja dulu? Sudahlah dulu kena marah dengan hakim padahal bukan salah aku." Umairah mencebik. Kalau tak diikutkan dia masih lagi di bawah latihan, dan yang cakap itu adalah seorang hakim, rasanya mulut memang dah jadi laser. Nasib ketika itu dia dikurniakan stok kesabaran yang tinggi.

Mereka bertiga yang mendengar ketawa. Faham dengan apa yang Umairah sampaikan kerana malam gadis itu pulang dari kerja, terus diceritanya dalam group WhatsApp. Panjang berjela-jela membebel kerana tak puas hati.

"Mungkin rezeki kau dekat tempat lain. Mana tahu tempat yang kau nak kerja ni lagi bawa tuah dekat kau," beritahu Inara.

"Harapnya macam itulah. Kau pulak Ara?"

"Aku dapat juga offer dari tempat aku chambering dulu."

"Wah, bila masuk?" tanya Jasmin.

"Minggu lepas."

"Oh, minggu lepas.."

Sesaat baru Jasmin sedar. Minggu lepas?

"Hah?! Minggu lepas? Kau dah start kerja ke?" tanya Jasmin lagi, inginkan kepastian dan gelengan daripada Inara itu menimbulkan kekerutan di dahi mereka bertiga.

"Asal?" Kini, Tia pula membuka mulut.

"Sebab aku tak nak. Aku dah buat solat istikharah macam yang suami aku suruh dan inilah jawapan yang aku dapat. Agak sedih tapi bila difikirkan balik, ada hikmahnya. Kalau aku dah mula kerja, aku tak dapat nak teman Aideen dekat hospital. Lagipun, kalau aku memang mula kerja dekat sini, kalau Aideen dah sedar dan dia tak dapat tawaran untuk kerja dekat-dekat sini, kami kena PJJ. Walaupun suami aku okay saja tapi aku tetap tak nak. Aku bahagia dengan keputusan aku. At least, sekarang aku dapat jaga Aideen. Rezeki tu di mana-mana ada. Mungkin bukan rezeki aku kerja peguam walaupun aku belajar macam nak gila semua subjek undang-undang tu." Dia tahu, kalau orang lain pasti akan marah dengan keputusannya.

Pasti akan kata dia gila kerana sanggup melepaskan peluang. Pasti orang kata, 'Penat-penat belajar undang-undang, siap pakej ambil Asasi Undang-undang tetapi tak sambung pekerjaan dalam jurusan yang sama.'

Biarlah orang nak pandang dia macam mana pun tapi ini kehidupan dia. Hidup dia. Cara dia. Dia buat keputusan ini setelah berkali-kali dia melakukan solat sunat Istikharah dan dia telah pun dapat jawapannya. Awal-awal memang perit untuk dia lepaskan tetapi dia tahu, pasti Allah sudah siapkan perancangan yang lain kepadanya kerana Allah sebaik-baik perancang.

Inara merasakan getaran dari dalam beg tangannya. Dia buka, ternyata telefon Aideen berbunyi menandakan ada panggilan masuk. Tertera nama 'Mama.' Terus diangkat panggilan tersebut.

"Assalamualaikum, ya ma?" Inara terlebih dahulu memberikan salam.

"Maaf, tapi ini bukan ke nombor telefon milik Encik Aideen ke?" Suara asing itu bertanya membuatkan kening Inara bertaut.

"Ini isteri Aideen. Kenapa ya?" Kenapa suara orang lain yang sambut panggilan?

"Keluarga Encik Aideen terlibat dalam kemalangan jalan raya."

Jatuh terus telefon pintar Aideen, menghempap bumi. Kenyataan yang sekali lagi membuatkan dadanya pecah. Mereka bertiga yang melihat terkejut.

"Ara? Kenapa ni Ara? Siapa telefon?" Mereka mula menggerumuni wanita tersebut. Pandangan Inara kosong. Kolam mata sudah mula terbentuk.

Ya Allah, ujian apa lagi yang kau berikan kepadaku ini, Ya Allah?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro