Bab 4

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

PUAN Marissa melangkah masuk ke dalam banglo mewahnya. Tubuhnya terasa lenguh dan memerlukan rehat. Apatah lagi bila sebentar tadi, dia baru ditimpa kemalangan yang tidak terjangka. Sejak pagi lagi, dia sibuk menguruskan urusan di butik. Jadi kepenatan itu kian terasa. Saat kakinya menapak memasuki rumah, terlihat seorang budak perempuan sedang bermain di satu sudut ruang tamu.

"Erissa?" panggil Puan Marissa. Gerangan yang dipanggil itu lantas memusingkan kepala.

"Nenek!" Tanpa menunggu lama, budak perempuan bernama Erissa itu terus mendapatkan Puan Marissa lalu dipeluknya erat.

"Bila sampai ni?" Pipi Erissa yang gebu itu dielus lembut oleh Puan Marissa.

"Baru aje, ma. Kita orang datang, nak jenguk mama lah." Muncul satu lagi suara yang menyampuk perbualan mereka berdua. Kelihatan menantunya, Syazlina sedang berjalan menghampiri mereka berdua. Dihulur tangan untuk bersalam dengan ibu mertuanya itu.

"Mama dari mana ni? Lambatnya balik. Eh, kenapa dengan tangan mama ni?" Tegur Syazlina saat terlihat tangan ibu mertuanya itu yang terbalut.

"Tadi mama hampir kena ragut. Tapi mujur ada sorang hamba Allah ni yang tolong mama. Nasib baiklah mama tak apa-apa." Puan Marissa melabuhkan duduk di atas sofa diikuti dengan Syazlina. Wajah menantunya sedikit terkejut mendengar kenyataan itu.

"Syukurlah mama tak apa-apa. Yang tolong mama tu lelaki ke perempuan?"

"Perempuan. Nama dia Alya Batrisya." Puan Marissa mengukir senyuman. Fikiran kembali teringat pada wajah polos gadis yang menolongnya tadi.

"Cantiknya nama. Mesti tuannya pun cantik kan?" Syazlina masih ingin memanjangkan perbualan. Maklumlah, jarang berjumpa.

"Memang cantik. Baik. Sopan santun. Sampai mama tak puas pandang muka dia tadi. Kalaulah mama ada seorang lagi anak teruna, mama dah booking terus dia jadi menantu mama," balas Puan Marissa lagi.

"Amboi mama. Nak booking-booking anak dara orang. Tapi kan mama, kita tak boleh nak percaya sangat orang zaman sekarang ni. Nampak kat luar baik, tapi dalam hati tak ada siapa yang tahu kan. Kadang-kadang tu pula suka ambil kesempatan."

"Memang betul. Tapi mama tak rasa dia macam tu. Apa yang mama boleh cakap, dia nampak baik di mata mama. Kalaulah mama jumpa dia awal-awal..."

"Mesti mama akan pinangkan untuk Adhwa kan?" Syazlina laju memintas percakapan Puan Marissa. Ibu mertuanya terus tersenyum.

"Pandai kamu. Dah nak buat macam mana, yang pakaian tak cukup kain itulah yang jadi pilihan hati. Suka tayang aurat sana sini. Apa yang special sangat dengan budak tu pun mama tak tahu. Dahlah, mama tak nak masuk campur lah urusan dia. Kamu ni datang berdua aje ke? Mana suami kamu?"

"Hm, biasalah ma. Kerja aje memanjang. Hari ni kan dia outstation kat Singapura. Tu yang kami berdua datang sini. Bosan asyik duduk rumah."

Puan Marissa tidak membalas lagi. Syed Azham, sememangnya rajin bekerja. Maklumlah anak sulung dalam keluarga. Setelah arwah suaminya, Syed Kamal meninggal, urusan syarikat hotel diserahkan seratus peratus kepada Syed Azham. Selepas Syed Azham berkahwin dengan Syazlina, mereka berpindah rumah. Dan sekarang, hanya tinggal dia dan Syed Adhwa sahaja.

Tidak lama lagi, Syed Adhwa pula yang akan menggantikan tempat abangnya itu. Anak bongsu Puan Marissa, Sharifah Ariana pula sedang melanjutkan pelajaran ke luar negara.

"Adhwa belum balik lagi ke?"

"Dah. Baru aje balik tadi. Dia ada kat dalam bilik rasanya," jawab Syazlina.

Tak apa lah kalau macam tu. Mama nak naik atas dulu. Nanti mama turun masak." Puan Marissa mulai bangun. Perbualan mereka berdua beransur tamat.

             KERETA Isya berhenti betul-betul di hadapan perkarangan sebuah banglo mewah. Isya berkira-kira hendak turun dari kereta. Hari ini, Isya harus menghantar tempahan kek ke rumah pelanggannya. Kertas yang diberi oleh Izzah sebentar tadi di bakeri, dilihatnya sekali lagi.

"Betul lah alamat ni. Tapi, segan pula aku nak masuk rumah orang kaya ni." Isya mengomel seorang diri. Tanpa membuang masa, dia mematikan enjin lalu keluar dari kereta. Langkah diatur menghampiri gate yang terkunci dari dalam.

"Assalamualaikum!"

Setelah berkali-kali Isya memberi salam diiringi picitan loceng, muncul seorang wanita menghampirinya di pintu pagar.

"Waalaikumsalam. Ya, cari siapa?" Wanita itu menyoal Isya.

"Ni rumah Puan Marissa kan? Dia ada?"

"Oh, mama. Kejap eh!"

Wanita tadi mula meninggalkannya dan tidak lama kemudian gate mula terbuka. Memahami isyarat itu, Alya Batrisya terus melangkah semula ke arah kereta lalu dia mengeluarkan sekotak kek dan menunggu seketika. Tidak lama kemudian, wanita tadi keluar semula bersama dengan seorang lagi wanita separuh abad yang mengekori dari belakang. Isya merenung ke arah wanita yang baru muncul itu. Macam kenal...

"Isya?" Belum sempat Isya menegur, wanita separuh abad itu terlebih dahulu menegurnya.

"Auntie? Err... sekejap! Auntie ke Puan Marissa?" soal Isya, inginkan kepastian.

"Ya. Tu nama auntie. Ya Allah, kecilnya dunia!" balas Puan Marissa teruja. Tidak menyangka akan dipertemukan semula dengan gadis ini setelah beberapa hari kejadian tersebut berlalu.

"Tak sangka jumpa auntie lagi!" Isya turut sama teruja. Mereka bersalaman seketika.

"Tu lah. Kenapa Isya datang sini?"

"Saya datang nak hantar kek ni. Auntie ada tempah kek dari Sweetcake bakery kan? Saya kerja dekat bakeri tu," balas Isya.

"Oh, iya ke? Kebetulan betul. Kalau macam tu, jom masuk dulu. Petang ni, ada sambutan hari jadi cucu auntie. Syaz, kamu tolong bawakan kek tu. Mari Isya..." ajak Puan Marissa. Tangan Isya diraih agar membuntutinya. Nak tak nak, Isya terpaksa mengekori sahaja.

             ADHWA bergegas pulang ke rumah lebih awal dari kebiasaan. Itupun kerana sambutan majlis hari jadi anak saudaranya pada hari ini. Kalau tak, dia mungkin akan pulang lewat sedikit ke rumah seperti biasa.

Sesampainya di rumah, sudah ada beberapa buah kereta terparkir di halaman rumah. Mujur sahaja kawasan rumahnya itu luas, jadi masih ada ruang untuknya memarkir kereta. Usai memarkir kereta, Adhwa terus menuju ke dalam rumah. Dia bertembung dengan kakak iparnya.

"Adhwa. Mama tu dari tadi tunggu Adhwa. Ni Jasmine tak datang sekali ke?" soal Syazlina bila melihat kelibat adik iparnya. Dialihkan pandangan ke luar rumah, seakan mencari kelibat seseorang.

"Dia sibuk, kak long. Mama mana?" balas Adhwa sekaligus menghentikan tindakan kakak iparnya yang masih sibuk memerhati sekeliling.

"Tu tengah borak dengan kawan dia."

Adhwa mengerling ke arah mamanya yang tengah sibuk bersembang dengan seorang gadis asing yang bertudung. Namun, gadis itu duduk membelakanginya.

"Pak Ngah!" Jeritan Erissa seraya tubuh kecil itu yang sedang berlari ke arahnya, menarik anak mata Adhwa ke bawah.

"Erissa. Jangan jerit-jerit sayang," tegur Syazlina. Tegas.

"Pak Ngah, jom pergi jumpa kawan-kawan Erissa. Diorang tengah makan kek. Jomlah makan sekali. Kek tu sedap sangat." Erissa menarik-narik tangan bapa saudaranya itu.

"Pak Ngah belum mandi lagi ni, Erissa. Pak Ngah nak naik atas dulu tukar baju. Nanti Pak Ngah datang balik okey?" Pipi Erissa dicubit lembut.

Anak kecil itu mengangguk kepalanya tanda mengerti. Sejurus itu, Adhwa segera melangkah menjauhi ibu dan anak itu lalu mengatur langkah menuju ke biliknya di tingkat atas.

Sekitar lima belas minit kemudian, barulah Adhwa turun semula ke tingkat bawah. Sambil berjalan menuruni tangga, tangannya lincah berbalas mesej dengan seseorang. Siapa lagi, kalau bukan Jasmine. Tersenyum-senyum bibirnya, ralit membaca mesej dengan gadis itu. Sewaktu kakinya menapak pada anak tangga terakhir, tanpa sedar tubuhnya terlanggar sesuatu.

Gedebuk!

"Adoi!"

Jeritan yang nyaring dan agak sumbang itu mengejutkan Adhwa. Telefon yang berada di genggaman turut jatuh ke lantai dan skrinnya pecah. Terkejut dengan apa yang terjadi secara tiba-tiba itu.

"Sorry so..." Terhenti kata-kata Adhwa tatkala melihat seorang gadis yang sudah terduduk di lantai. Wajah gadis itu menunduk ke lantai sambil menggosok-gosok punggungnya.

Adhwa merendahkan tubuhnya untuk membantu gadis itu. Saat gadis itu mengangkat kepala, mereka bertatapan sesaat dan...

"Kau?!"

Terkejut Isya dengan suara garau milik lelaki itu. Macam kenal aje suara. Diamati wajah lelaki itu seketika.

"Eh... kau?!"

Baru ingat! Rupanya, inilah lelaki yang berebut bunga dengannya tempoh hari. Macam mana boleh terserempak dekat sini pula!

"Kau perempuan yang menjerit dekat kedai bunga haritu kan? Kau buat apa kat sini? Macam mana kau boleh ada kat dalam rumah aku?" Penuh kasar, Adhwa bertanya.

"Brader, tak payah kot cakap kuat-kuat. Saya tak pekak lagi. Dah lah langgar orang, tak nak minta maaf!" balas Isya sambil cuba untuk bangun dari tempat jatuhnya tadi. Memandangkan mungkin lelaki itu adalah penghuni rumah, jadi ada baiknya untuk dia menukar panggilan yang lebih lembut.

"Excuse me! Kau yang langgar aku dulu tadi." Adhwa masih ingin mempertahankan dirinya.

"Eh eh, nak salahkan kita pula! Awak tu yang jalan sambil main fon!" Dan Isya juga enggan mengalah.

"Habistu kau jalan tak nampak ke aku tengah turun tangga?"

"Jadi nak salahkan saya lah?"

"Memang salah kau! Kau yang..."

"Angah! Isya! Kenapa ni?" Puan Marissa yang tiba-tiba muncul menghentikan pertelingkahan mereka berdua.

"Dia ni, mama. Tiba-tiba aje langgar angah. Tengok telefon angah ni dah rosak. Huh! Siapa dia ni mama?" Adhwa tidak puas hati. Dikutip semula telefonnya yang jatuh tadi.

"Angah, mama tak ajar cakap dengan tetamu macam tu. Tolong hormat sikit, ni kawan mama. Dia cuma nak tumpang solat kat sini tadi." Puan Marissa bersuara membela Isya.

"Isya, jom kita pergi depan dulu. Abaikan aje si Adhwa ni." Tambahnya lagi.

"Tapi, ma..." Adhwa mahu membantah.

"Dah lah, angah. Tak payah nak kecoh-kecoh. Kat luar tu kan ada tetamu. Telefon tu nanti pergi ajelah baiki kat kedai. Benda kecik aje. Dah, jom sayang." Tangan Isya ditarik agar mengikutinya.

Dan Isya hanya mengekori sahaja langkah Puan Marissa. Sempat kepalanya menoleh ke arah Adhwa di belakang.

"Satu sama!" ujar Isya dalam nada perlahan. Dan yang pasti hanya dia dan lelaki itu saja dapat mendengarnya. Pandangan tajam lelaki itu langsung tidak dihiraukan.

Adhwa pula hanya mampu mengecilkan mata tatkala melihat Isya tersenyum kemenangan. Dasar perempuan gila!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro