Bab 2

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Latifah...

"SENANGNYA dalam hati, kalau beristeri dua..."

"Abang!"

Aku dengar bapak ketawa. Semakin kuat bunyinya bila mak mula membebel. Deras saja aku menggeleng kepala. Bapak, bapak... Tak habis-habis menyakat mak.

"Awalnya kau pergi kerja?" tegur mak bila wajah aku terpacul di ruang tengah.

"Ada kerja sikit," jawab aku ringkas.

"Oi, Ramlee! Nak cari kerja ke nak jual minyak?"

Ya Allah! Terkejut aku apabila bapak menyergah dari tepi. Aku mengetap bibir dengan geram sambil mengurut dada. Bapak yang berkumis nipis persis Allahyarham Tan Sri P. Ramlee itu cuma tersengih.

"Minyak apa?" sambung bapak lagi.

"Minyak petrol!" Aku menjawab dengan geram.

Bapak ketawa berdekah manakala mak menggelengkan kepala melihat telatah suaminya itu. Sebelum bapak menyambung dialog-dialog filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee itu, baiklah aku cabut dulu. Makin dilayan, makin menjadi pula bapak ni.

Bunyi kokokan ayam kedengaran begitu kuat tatkala aku menyarung kasut. Rumput-rumput masih basah dihujani embun pagi. Lampu-lampu kalimantang terang benderang di pekarangan rumah-rumah jiran.

Sejuk dan damai. Sepi menyelubungi kampung apabila menjelang hujung minggu. Biasanya waktu ni sudah ramai orang keluar pergi kerja dan sekolah.

Aku menuntun motosikal bapak keluar dari bangsal. Dalam fikiran sudah terbayang untuk menyambung kerja-kerja pembersihan stor yang tak sempat aku siapkan semalam.

"Eh... Kenapa ni?"

Motosikal bapak kaku. Puas aku memulas pendikit minyak tapi tak ada apa-apa yang berlaku. Damai hati aku tadi terus bertukar panas. Alah, motor ni buat hal pula!

Tanpa berfikir panjang, aku buat keputusan untuk berjalan kaki saja ke jalan besar. Tahan ajelah bas atau teksi nanti. Aku menuntun kembali motosikal ke dalam bangsal.

Tak pasal-pasal terus berpeluh pada pagi yang sejuk ini. Ah, nak buat macam mana? Manusia hanya mampu merancang. Aku menyedapkan hati walaupun terus membebel sendirian.

"Ha, Tipah! Kau nak ke mana?!"

Ya Allah! Aku mengurut dada untuk kali kedua. Kenapalah mudah sangat aku terkejut ni? Aku berpaling ke arah kiri dengan cepat. Mak Cik Leha dengan serkup hitam di kepalanya sedang tersenyum manis.

"Nak pergi kerja."

"Jalan kaki? Mana motor kamu?" soalnya.

"Rosak." Aku menjawab seraya menjeling ke arah Jamil yang baru membuka pintu kereta.

Mak Cik Leha terdiam seketika. Aku termangu. Nak sambung borak ke atau aku dah boleh bergerak sekarang? Confused!

"Kamu naiklah dengan Jamil. Dia boleh hantarkan."

Bulat biji mata aku terbuntang. What?! Dengan Jamil?! Good bye, mak cik! Saya rela jalan kaki! Aku terus senyum kelat bila terasa pandangan tajam Jamil.

"Eh, tak apa! Saya nak exercise pagi-pagi ni," tingkah aku dengan alasan yang dirasakan logik.

"Hesy, tak payah nak exercise..."

"Tak apa, bukan jauh pun stesen minyak tu," potong aku dengan pantas.

Mak Cik Leha menggeleng kepala. "Kamu tak takut ke Tipah? Kan banyak kes culik sekarang ni? Kamu tak takut ke kalau kena tangkap?"

Eh, seram pula aku dengan kata-kata Mak Cik Leha. Berpusing fikiran aku cuba mencari alasan lain.

"Jamil, pergi hantar Tipah."

"Tapi..."

Aku memandang anak lelakinya itu. Sah, wajahnya mencuka. Aku mengerling tajam sebelum mengalih pandangan ke arah ibunya. Ah, tak boleh jadi ni.

"Mak cik, Tipah dah lambat. Tipah pergi dulu..."

"Nanti Tipah!"

Mak oi! Satu kampung boleh dengar suaranya. Jamil sudah menghidupkan enjin kereta. Aku tergamam bila Mak Cik Leha datang dan menarik aku untuk masuk ke dalam kereta.

"Hantar Tipah, kalau kamu tak nak... Mak tak nak masak jualan untuk tengah hari ni."

Erk! Sampai macam tu sekali ugutannya? Aku cepat-cepat menghenyakkan tubuh. Merah padam bila bunyi kereta lama itu berkeriut kuat.

Jamil diam, tidak berkata apa-apa. Mak Cik Leha tersenyum lebar sambil melambaikan tangan bila Jamil mengundurkan kereta. Aku cuma membalas seketika sambil menghimpitkan diri ke pintu.

"Kenapa akak tak bagi alasan ada kawan tunggu dekat depan tu?" soal Jamil tiba-tiba.

Terkebil-kebil aku dibuatnya. Huh, memang dasar tak ikhlas nak menolong rupanya! Aku menyumpah dalam hati. Anak mata aku liar memerhati pemandangan luar.

"Akak, akak duduk betul-betul boleh tak? Kereta ni senget ke tepi, saya nak lalu jalan berselut ni, kak. Nanti kereta tenggelam, habis kita..."

"Eh, kau berhenti sekarang!" Aku jerkah dengan geram.

Aku memandang Jamil yang muda cuma tiga tahun daripada aku itu. Budak ni kadangkala boleh tahan mulutnya. Tak macam dulu, sentiasa tersenyum dan menyenangkan hati.

"Kenapa nak berhenti? Saya kan nak kena hantar akak pergi kerja," jawabnya lirih.

"Kau nak suruh aku turun sekarang ni sebab aku buat kereta kau berat, kan?" Aku menyoal geram.

Jamil diam. Aku bertambah sakit hati. Tatkala keretanya membelok perlahan, aku membuka pintu dengan cepat.

"Eh, kak!" Jamil membrek tiba-tiba.

"Sudahlah! Aku nak jalan kaki!

TERKEBIL-kebil Jamil melihat langkah laju Latifah. Dia menampar bibirnya berkali-kali. Ikutkan hati, dia teringin untuk kembali berbual dengan Latifah, tetapi entah kenapa Latifah menjadi dingin sejak peristiwa itu berlaku.

Fikiran Jamil yang melayang terus hilang bila bunyi hon motosikal kedengaran. Oh, Imam Hafiz rupanya! Dia segera menurunkan tingkap kereta.

"Assalamualaikum Jamil. Kenapa kereta berhenti di tengah jalan ni? Ada masalah ke?" soal lelaki yang sudah hampir dua tahun menjadi imam di kampungnya.

"Oh, tak... Saya ingat ada barang tertinggal dekat rumah. Berhenti sebab nak check." Jamil memberikan alasan.

Imam Hafiz tersenyum kecil, menampakkan lesung pipitnya di sebelah kanan. Dia mengangguk sebelum meminta izin untuk kembali bertolak ke rumahnya. Jamil menarik nafas dengan lega.

Dia menoleh ke arah tempat duduk belakang dan mengira jumlah bakul yang ada. Bekas nasi lemak, lauk rendang ayam, dendeng daging, sambal telur dengan sambal paru.

Jamil mengangguk sendiri sebelum berpuas hati. Semua masakan emaknya telah diambil. Dia menjeling jam di dashboard. Sekejap lagi akan sampai pula jualan kuih-muih di gerai yang diletakkan oleh penjual lain di gerainya.

Lelaki itu kembali teringat Latifah apabila memandang semula ke hadapan. Dia mengeluh kecil sebelum meneruskan perjalanan. Latifah tidak kelihatan di mana-mana.

"Monyok aje kau pagi ni?" soal Ghaus sejurus saja Jamil keluar dari kereta.

Jamil mendengus perlahan. Susah betul dia nak sembunyikan riak wajahnya yang mudah berubah itu daripada Ghaus. Geram juga dia kadangkala tetapi dalam masa yang sama, bersyukur kerana mempunyai sahabat yang begitu mengambil berat tentangnya.

"Pulut panggang tak sampai lagi?" soal Jamil, tidak menghiraukan soalan Ghaus sebentar tadi.

"Hari ni tak ada. Bini dia migrain dari semalam."

"Alamak! Aku cakap dengan Mak Cik Jijah, pulut panggang ada hari ni," balas Jamil dengan perasaan serba salah.

Ghaus melopong. "Habislah kau..."

Jamil mengetap bibir. "Doalah dia tak muncul hari ni."

Ghaus ketawa. "Siaplah nanti dicanangnya nama kau satu kampung. Jamil pendusta!"

Kedua-dua lelaki itu ketawa bila teringat gelagat Mak Cik Jijah yang dipanggil 'mak cik bawang' oleh orang kampung berdekatan. Pantang ada isu semasa, pasti dia yang tahu dahulu.

"Nasi lemak sambal paru nak dua. Satu tu, tak nak kacang."

Ghaus menoleh pantas lalu mempamerkan senyuman paling menawan. Sue membuat muka. Hatinya menggerutu apabila disuruh Latifah. Menyampah mahu melihat aksi Ghaus yang tidak habis-habis mahu menguratnya.

"Semalam abang tak nampak pun Sue, tak kerja ke?" Ghaus mengajaknya berbual.

Sue mencebik sebelum menjawab dengan malas, "Cuti."

"Oh... Nasi lemak ni untuk Sue dengan Kak Tipah ke?"

Sue menjeling geram. Namun, dia tetap mengangguk. Ghaus tersenyum kelat. Sukar benar untuk mencuri hati si manis itu. Macamlah dia tidak tahu, anak mata Sue yang sentiasa memandang ke arah Jamil selama ini.

"Abang, yang ni nak sambal lebih."

Berbulu telinga Ghaus mendengar suara Sue yang lunak. Dia menjeling ke arah Jamil yang mengangguk dan kemudian dia mengeluh. Sukar benar perempuan mahu mendekatinya. Apakah kerana wajahnya yang kurang kacak?

"Helo, ya Kak Tipah..." Sue menjawab deringan telefonnya.

Ghaus perasan tangan Jamil yang sedang meletakkan ikan bilis itu terhenti. Dia mengerling Sue pula. Gadis itu mengangguk berulang kali.

"Abang, tambah satu lagi nasi lemak. Yang ni nak lauk rendang ayam dan telur mata."

"Siapa yang nak? Mesti Kak Tipah, kan? Mana cukup dia makan sebungkus," kata Ghaus sambil ketawa kecil.

Namun, gurauannya dipandang sepi. Jamil buat-buat tak dengar. Ghaus mengetap bibir bila melihat Sue memandangnya dengan tajam.

"Tak baiklah cakap macam tu. Memang Kak Tipah yang nak tapi dia simpan untuk lunch. Kerja banyak, tak ada masa dia nak pergi beli makanan," kata Sue tiba-tiba.

Tebal terus wajah Ghaus bila ditegur Sue. Dia diam seribu bahasa, hanya tangannya yang membuat kerja. Usai pemergian Sue, Jamil berkalih menghadap Ghaus.

"Sedap mulut aje kau mengata dia." Jamil berkata laju.

"Siapa?" Ghaus buat muka selamba.

Jamil mendengus lagi. "Tipah."

Ghaus membulatkan biji mata. "Kenapa dengan kau ni? Aku usik aje pun, bukan mengata dia. Kenapa kau tak boleh terima pula?"

"Eh, kau jangan banyak tanya boleh tak?" Jamil mulai panas.

Hampir setiap hari ada saja yang diusik Ghaus tentang Latifah sehingga membuatkan Jamil bertambah geram. Ya, dia mengakui jauh di sudut hatinya dia memang sayangkan Latifah tetapi biarlah ia hanya terkubur di situ sahaja.

"Yalah... Aku diam." Lirih saja suara Ghaus kedengaran.

Sesaat kemudian Jamil mula rasa menyesal kerana dia seakan-akan membuka pekung di dada. Benar, Ghaus ialah antara sahabat yang rapat dengannya tetapi ada perkara-perkara yang dirasakan tidak perlu dikongsi dengan sahabatnya itu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro