K.THANA

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Komander Eizlan mundar-mandir dianjungan sementara kalangan staf dan pegawainya masih berusaha menghidupkan semua sistem kapal mereka yang lumpuh akibat letusan denyar elektromagnetik.

Kalangan jurutera kapal pula cuba menyalakan reaktor yang terpadam. Cubaan kali ketiga yang harapnya akan berjaya.

Lima buah kapal penjajap terapung kaku dalam hampagas angkasa lepas seperti batuan asteroid. Masa semakin suntuk. Jika semua kapal masih belum dapat menjana semula reaktor dan menghidupkan sistem pendorongan, maka kesemua kapal perang gergasi itu akan menjadi satelit Zuhal dan jika mereka bernasib baik akan mengorbit Zuhal dan kekal dalam sumur gravitasnya. Jika tidak, Zuhal akan menelan mereka semua seperti mana perayau saintifik Galileo yang mana ia hangus menjadi debu bila bergeser dengan atmosfera Zuhal satu masa dulu.

Selajur salah sebuah dari kapal penjajap telah kembali aktif. Pegawai anjungan melaporkan yang kapal tersebut adalah K. Thanabalasingham tetapi kalangan pegawai dan staf Armada Persekutuan menggelarkan ia sebagai K. Thana, sebuah kapal penjajap era pasca kolonial yang sama besar dengan Seri Pahang tetapi lebih pantas dan mempunyai lebih banyak persenjataan. Gedung senjatanya mampu meratakan sebuah planet menjadi padang jarak padang tekukur.

Komander Eizlan dengan pantas mengarahkan stafnya mempersiapkan sebuah lancang. Dia akan bertukar kapal perintah. Sementara Seri Pahang dan kapal-kapal penjajap lain menunggu masa untuk kembali berfungsi, dia mahu memburu KASTURI, atau KELANA atau apa sahaja namanya selepas ini dan mendapatkan kontena kargo 4929. Dia mahu Fazrul dan anak-anak kapalnya ditahan, diseksa dan dipasung kerana bersubahat dengan pemberontak yang mencetuskan kekacauan dan huru-hara dalam Sistem Suria. Dia sangat pantang dengan pemberontak.

"Bawa sekali Syahbandar Ceres." Komander Eizlan mengarahkan Sabik diangkut sekali bersamanya ke K.Thana.

Dahulu sewaktu Stesen Alekseyev memberontak, Komander Eizlan adalah antara komander yang pertama melepaskan tembakan dan memusnahkan stesen tersebut.

Sedang Fazrul ragu-ragu dan teragak-agak untuk melaksanakan arahan yang diberikan, Eizlan dengan penuh ketaatan dan kesetiaan kepada Presiden Mahindra, melaksanakan arahan tanpa banyak soal.

Dia dijulang sebagai wira Persekutuan hingga hari ini.

Langkah Komander Eizlan tidak ubah seperti lipas kudung. Kehadirannya membawa aura yang menggerunkan. Siapa sahaja yang sedang bekerja bilamana sang komander berlalu, akan berhenti dan memberi tabik hormat. Tiada siapa berani melawan Komander Eizlan. Padah jika membidas kata-katanya, kadangkala boleh membawa maut. Dia terkenal dengan sifat panas baran yang tidak tentu hala dan semberono khusus ketika dalam pertempuran.

Dia melangkah masuk kedalam lancang, dan sepantas kilat lancang itu berlepas dari geladak penerbangan Seri Pahang dan menuju kearah K.Thana, kapal penjajap yang menjadi ayam tambatan Armada Persekutuan.

Sejarah Komander Eizlan dengan K.Thana juga bukan baru. Sepertimana Seri Pahang digelar"Penyembelih", K.Thana pula adalah "Pisau Sembelihan" yang digeruni penduduk koloni-koloni lingkaran luar dan dalam Sistem Suria.

Jika ada Seri Pahang, K.Thana juga pasti ada dan Komander Eizlan takkan memisahkan kedua kapal penjajap ini walau apa pun yang terjadi.

Sebaik lancang mendarat digeladak penerbangan K.Thana, Komander Eizlan tidak berlengah. Dari tanjakan lancang tersebut dia sudah memberi arahan kepada nakhoda kapal.

"Kelajuan maksimum, tetapkan galas haluan ke Titan. Maklumkan semua angkatan korvet dan geliung yang ada di Titan untuk jejak KELANA dan bawa balik kontena 4929 dengan cara apa sekalipun!"

K.Thana perlahan-lahan mengubah kedudukan. Kapal penjajap bersaiz mega itu melintasi deretan kapal penjajap lain yang masih belum dapat menyalakan reaktor masing-masing. Komander Eizlan memandang kapal-kapal tersebut dengan perasaan jelek. Bagaimana kapal Armada Persekutuan yang lebih besar, lebih canggih dan lebih berkali ganda keupayaan kuasa tembak boleh ditewaskan dengan cara memalukan oleh sebuah kapal saudagar dan lebih teruk, kapal saudagar itu milik Fazrul.

Maruahnya sebagai komander tercalar dan kerana itu, dengan apacara sekalipun dia mesti mendapatkan KELANA.

Semboyan berbunyi. Pelaung suara memberi amaran kepada semua anak kapal bersiap-sedia untuk lipatan tachyon ke Titan. Roket pendorongan FTL menyala dan sekelip mata K.Thana hilang dari ruang angkasa Stesen Ricardo dan muncul semula betul-betul di orbit rendah Titan.

Komander Eizlan berdiri tegak didepan jendela gadang anjungan. Diluar kapal penjajap tersebut, puluhan korvet dan geliung Armada Persekutuan berlepas dari permukaan Titan dan berpecah ke segenap penjuru Zuhal untuk menjejak KELANA yang menyamar sebagai KASTURI.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro