SABIK

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Komander Eizlan membuka sarung tangan lalu meletakkannya diatas meja. Berkeletak bunyi keluar bila dia menekan penumbuk pada meja tersebut.

Dua orang Komisar sedang membantai Sabik yang duduk melutut dan dirantai pasung dari leher hingga ke pergelangan kaki. Wajah Sabik penuh luka, kedua belah matanya lebam, dan cuping telinga kirinya habis dipotong. Tubuhnya longlai. Dia tidak kelihatan seperti manusia, diperlakukan bagai binatang dalam kurungan.

"Tahu tak yang sekarang Komisar ada kuasa untuk tembak pengkhianat Persekutuan pada bila-bila masa?" Komander Eizlan menyandar pada mejanya. Kakinya menunjal-nunjal kepala Sabik.

Hampir saja Sabik hendak tersungkur ke lantai tetapi serta-merta direntap kasar rantai pasungan oleh Komisar. Dia cuba bercakap tetapi tidak keluar butir perkataan. Tubuhnya terlalu lemah. Entah berapa hari dia diseksa dan direjam oleh para Komisar.

"Pandang muka Komander bila bercakap!" sergah sang Komisar.

Mata Sabik berpinar. Komander Eizlan senyum sinis. Dahulu Sabik dipandang olehnya sebagai seorang pegawai Armada Persekutuan yang tinggi prestij dan bermaruah. Taat dan setianya kepada Persekutuan tidak berbelah bahagi.

Sehinggalah insiden Stesen Alekseyev. Sabik dan Fazrul cuci tangan selepas insiden itu. Kononnya tidak lagi mahu menjadi alat Persekutuan. Eizlan tidak mengerti kenapa dua idolanya itu menggantung seragam mereka dek kerana beberapa orang penduduk koloni yang tidak siapa pun kisah samada mereka hidup atai mati.  

Dia anggap Sabik dan Fazrul bukan sahaja sebagai pecundang malah pengkhianat.

Padanya penduduk stesen angkasa dan koloni-koloni lingkaran luar perlu diajar dengan tegas. Fazrul dan Sabik terlalu berlembut.

Dia masih teringat teriakan Fazrul semasa insiden Alekseyev.

"Nak mengajar bukan dengan cara bunuh orang awam!"

Tapi orang awam itu memberontak. Mereka membantah tentang segala macam benda. Selalu tidak puas hati, selalu buat tuntutan yang bukan-bukan. Pada Komander Eizlan, mereka naik lemak.

"Jadi dah sedia untuk beri aku jawapan," seraya tangan Komander Eizlan pantas mencengkam leher Sabik.

Matanya merenung tajam, wajahnya semakin rapat hingga dahi bertemu dahi.

Sabik tidak semena-mena meludah ke wajah Komander Eizlan. Serentak dia memulangkan buah penumbuk tepat ke muka Sabik.

"Bangsat kau ni kan!" lantaran satu sepakan singgah di pipi Sabik hingga dia jatuh terseret. Dua Komisar tadi turut sama membelasah Sabik.

"Susah sangat ke nak beritahu, aku tanya soalan yang mudah. Nak aku susun ayat bagi cantik, biar senang faham?" lantas Komander Eizlan meluru dan mencengkam rambut Sabik.

"Dengar baik-baik aku sebut satu-satu. Mana. Destinasi. Kontena. Empat. Sembilan. Dua. Sembilan!"

Sabik tiba-tiba ketawa terbahak-bahak gaya seperti orang gila. Tubuhnya mengejai seolah ulat berengga, sesekali kakinya seakan mengejang dan dia menggerogot jari-jemarinya sambil berkata sesuatu.

Suaranya lemah, tetapi dia sememangnya sedang mengatakan sesuatu.

Komander Eizlan memandang dua orang Komisar yang kehairanan dengan lagak Sabik. Salah seorang dari mereka merapat ke wajah Sabik, mahu menangkap apa yang cuba lelaki itu perkatakan. Tapi nasibnya malang.

Seperti seekor buaya lapar, Sabik membaham leher sang Komisar. Entah dari mana dia dapat tenaga upaya, leher Komisar itu dirobek dengan rakus sampaikan darah pekat menyembur. Sabik ketawa terbahak-bahak dan kali ini lebih kuat. Mulutnya penuh darah.

Komisar tadi menggelupur minta nyawa. Darah tak berhenti keluar dari luka pada leher, membuak-buak sampailah Komisar itu tidak lagi bernyawa. Komander Eizlan kaku tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Sebegitu juga halnya Komisar seorang lagi yang tak menjangka rakannya mati katak didepan matanya.

"Kau takut. Kau ingat kau saja yang boleh tunjuk gila. Ramai yang sanggup mati, sanggup jadi umpan peluru. Ramai yang nak Presiden Mahindra mati!"

Lalu satu das tembakan dilepaskan. Sabik tersembam ke lantai dan tidak lagi bernyawa. Komander Eizlan menyisip kembali pistol. Satu-satunya punca maklumatnya kini menjadi mayat.

Dia berjalan pantas meninggalkan kamarnya dan menuju ke anjungan, dengan harapan ada berita baik. Jika tidak, akan ada yang mati ditangannya lagi hari ini. Kesabarannya sudah hilang.

Di anjungan, kapal penjajap yang sebelum ini dilumpuhkan oleh senjata elektromagnetik sudah siaga dan turut sama  mengiringi kapal penjajap Komander Eizlan. Puluhan geliung dan korvet dari Titan juga turut serta, membentuk kumpulan gugus tugas.

Paparan digital pada meja panduarah menunjukkan tiap satu kapal Armada Persekutuan.

Salah seorang pegawai awasan anjungan menghampiri Komander Eizlan dan membisikkan berita.

Dia mengangguk dan tersenyum.

"Bangkai lanun yang geliung kita lawan sebelum ni dah jumpa?"

Pegawai itu menunjukkan tanda leher dikerat.

Senyumannya semakin lebar.

Ketua lanun Norska yang paling dikehendaki sudah ditewaskan, dan kapal kargo angkasa yang membawa kontena kargo 4929 dan sangat dikehendaki Persekutuan juga ada di Farbauti.

Seluk pekasam biar sampai lengan. Cencang dua segeragai.

"Ubah haluan, tuju ke Koloni Farbauti. Siapkan semua senjata, kita akan hancur lumatkan sarang lanun hari ini!"

Seraya semua kapal-kapal penjajap, segala geliung dan korvet memacu jentera pendorongan masing-masing. Tenggekkan senjata mahalela dan rentaka keluar satu demi satu dari dalam geladak pertempuran kapal-kapal penjajap.

Magazin-magazin senjata pun sibuklah dengan segala macam pekerjaan oleh awak-awak kapal. Ada yang mengisi pelancar peluru berpandu. Ada yang menyiapkan kekotak-kekotak peluru tungsten karbida untuk tenggekkan senjata AKR. Bergentayangan para awak-awak didalam geladak kapal penjajap bersiap siaga untuk bertempur.

Sementara itu, kalangan anggot Marinir juga turut bersiap-siaga. Lancang-lancang perang mereka diperiksa dan diuji satu demi satu lalu dipasangkan senjata yang sepatutnya.

Perlahan-lahan, kumpulan gugus tugas itu melintasi ruang angkasa Lingkaran F sambil mengelak jujukan asteroid dan batuan angkasa yang jika dari jauh membentuk cincin lingkaran yang mengelilingi Zuhal.

Komander Eizlan berdiri sedia ditengah-tengah hiruk-pikuk anjungan. Dia memejamkan mata. Dalam serabut dan ribut dia mencari ketenangan.

Dia cuba melupakan kata-kata Fazrul. Dia cuba melupakan wajah Sabik yang kaku tidak bernyawa. Hatinya sedikit goyah.

Persoalan yang menerjah lubuk pemikiran dipendamkan. Dia tidak berada di pihak yang salah.

Fazrul dan Sabik yang salah. Mereka pentingkan diri sendiri. Dia adalah Komander Eizlan. Dia berkhidmat sepenuh hati kepada Armada Persekutuan. Arahan yang dilaksanakannya adalah untuk kebaikan seluruh penduduk Sistem Suria.

Matanya dibuka.

Sedikit masa Farbauti akan berada dihadapannya.

Sedikit masa dia akan dijulang sebagai wira Persekutuan.

Sedikit masa, Armada Persekutuan akan menikmati kemenangan dan kegemilangan.

Sedikit masa lagi.

Dia perlu teguh dengan pendiriannya.

Tetapi wajah Sabik masih muncul, masih menghantui pemikirannya. Suara Sabik melaungkan arahan gencatan senjata semasa insiden Alekseyev menjadi semakin jelas.

Suara Sabik dan Fazrul silih berganti membisikkan keraguan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro