SEKATAN WARUNA

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Sepantas kilat, puluhan kapal perang Armada Zuhal dan Armada Musytari yang diterajui oleh Komander Arjun muncul diruangan angkasa Waruna.

Presiden Mahindra bingkas bangun dan berjalan menuju kearah tingkap gadang anjungan dihadapannya.

"Mereka takkan dapat lari dan bersembunyi lagi," getusnya perlahan.

Sejurus, beberapa buah kapal penjajap dan kapal pembinasa diarahkan Komander Arjun untuk mengepung gerbang tachyon Waruna dan menutup laluan perkapalan utama dengan serta-merta, sementara beberapa buah lagi kapal penjajap dan korvet diarah menutup laluan keluar masuk koloni Miranda dan Titania.

Puluhan lancang perang berlepas dari ruangan hangar kapalnya dan bergerak menuju ke dermaga kedua koloni utama Waruna, mendaratkan battalion Marinir Armada dan menguasai pejabat syahbandar dan menghentikan semua aktiviti pelabuhan.

Beratus buah kapal kargo dan lancang-lancang pelombong diarah untuk berpatah-balik. Gerbang ditutup serta-merta dan Armada Persekutuan mengawal sepenuhnya segala bentuk pergerakan trafik perkapalan di Waruna.

Sejurus itu, siaran komunikasi disetiap stesen angkasa dan koloni yang mengorbit Waruna kecoh. Desas-desus yang mengatakan Armada Persekutuan sedang melaksana sekatan keatas Waruna mulai tular. Tetapi berita itu tidak sempat tersiar ke wilayah lain dalam Sistem Suria bilamana semua rangkaian komunikasi disekat sepenuhnya oleh Armada Persekutuan.

Ramai yang tidak senang hati. Waruna bukanlah planet dan koloni yang kaya raya seperti Luna mahupun Marikh. Hampir semua penduduknya hidup dibawah paras miskin. Dinafikan hak untuk berdagang atau keluar bekerja melombong ais yang memerlukan mereka merentas gerbang Tachyon seumpama menjatuhkan hukuman mati keatas mereka.

Tetapi Presiden Mahindra tidak pedulikan semua itu. Waruna bukanlah keutamaannya. Bumi dan Persekutuan mestilah didahulukan. Kargo kontena 4929 masih menjadi objektif utama pemburuan.

Komander Arjun merapati Presiden Mahindra.

"Kenapa kontena yang kita cari ini sangat penting?"

Presiden Mahindra tidak menjawab. Pandangan matanya terlontar jauh hingga menembusi planet Waruna yang membiru. Fikirannya ligat mengatur langkah demi langkah yang perlu diambil. Komander Arjun terus mendesak.

"Saya perlu tahu peri penting kontena yang Tuan Presiden mahukan itu sampai kita mengatur gerak semua angkatan perang kita di Musytari ke sini, merisikokan semua koloni pegangan kita jatuh ke tangan Republik Marikh."

Seakaannya Presiden Mahindra silap percaturan. Dia tidak sepatutnya meletakkan Arjun sebagai teraju. Fikirannya cuba menangkis lebih banyak soalan yang akan dilontarkan sang komander.

"Tak perlu banyak soal. Laksana saja arahan yang diberikan."

Komander Arjun tidak berpuas hati.

Tangannya digenggam erat, lantas dia menghampiri telinga sang Presiden.

"Saya berhak tahu. Musytari adalah tanggungjawab saya dan mengatur gerak seluruh armada kita di Musytari kerana satu kontena keluli adalah tidak munasabah sama sekali, Tuan Presiden."

Presiden Mahindra berkalih. Dia memandang tepat pada mata Komander Arjun.

"Kontena yang kita cari ini bakal menentukan nasib Persekutuan. Jatuh ditangan salah, Persekutuan akan berpecah. Kita akan hilang hegemoni keatas koloni-koloni lingkaran luar."

Mata saling bertentang. Komander Arjun dan Presiden Mahindra bertegang urat. Suasana anjungan yang tadi sibuk tiba-tiba sunyi. Kalangan pegawai dan anggota yang ada terpaku, melihat dua sosok pemimpin besar dihadapan mereka yang tidak sependapat. Beberapa orang pengawal presiden datang merapat, siap dengan senjata diacukan pada Komander Arjun sementara pegawai keselamatan anjungan masih tidak tahu apa yang perlu mereka buat.

"Saya boleh laksanakan arahan yang diberi, tapi saya dan semua pegawai dan anak kapal perlu tahu apa yang kita sedang hadapi sebenarnya. Mereka berhak tahu."

Presiden Mahindra berundur, berlindung disebalik salah seorang pengawalnya. Dia menggelengkan kepala. Sedikit kesal dengan Komander Arjun. Sepatutnya Komander Eizlan yang patut menerajui Armada Musytari dan bukan Komander Arjun. Eizlan lebih mudah dikawal. Taatnya membuta tuli sedangkan Arjun lebih rasional dan banyak soal. Dia akur yang dia sendiri salah percaturan.

Dia sedang mengatur gerakan yang seterusnya. Macam-macam boleh berlaku di koloni terluar Sistem Suria. Kemalangan seringkali saja berlaku, dan tidak ramai yang ambil pusing tentang apa-apa inkuiri berkenaan kemalangan atau kecelakaan di angkasa lepas.

Tetapi Armada Musytari tidak sama seperti angkatan Armada Persekutuan di Zuhal, Luna mahupun Bumi. Mereka ada semangat setiakawan yang sangat utuh. Jarang sekali seseorang pegawai kanan diambil alih tampuk pentadbirannya secara dahagi, berbeza dengan kebiasaan yang berlaku dalam angkatan Persekutuan yang lain. Jadi Presiden Mahindra perlu lebih berhati-hati.

"Kamu akan tahu kelak. Sekarang ini, aturkan angkatan kita yang lainnya untuk mengepung Bianca sementara pasukan Marinir mengawal koloni-koloni dan stesen disini."

Komander Arjun hanya mengangguk, lalu arahan tadi dilaksana oleh pegawai-pegawainya yang kemudian mengatur segala kapal penjajap yang ada untuk menuju ke Bianca.

AFRICANUS mendahului angkatan armada diikuti kapal-kapal penjajap yang lain. Semuanya melipat ruang angkasa menerobos tachyon. Semuanya meluru kearah Bianca dengan kelajuan maksimum.

Sementara itu, penduduk koloni Titania mula mengatur langkah untuk memberontak. Mereka nekad. Kali ini Persekutuan mesti diajar. Cukuplah rasanya  hidup ditekan dan ditindas oleh penguasa-penguasa sistem selama berdekad-dekad.

Dermaga Titania ditutup oleh Marinir Persekutuan sebaik saja mereka mendarat. Mereka datang dengan lancang perang serta geliung, menghentikan pergerakan lalulintas perkapalan keluar masuk melalui Titania. Satu kompeni Marinir diarah untuk mengawal pejabat Syahbandar sementara pasukan lain berkawal menjaga keselamatan dermaga dan pelabuhan. Kenderaan tempur diatur gerak, menelusuri persiaran utama yang menghubungkan dermaga dengan pusat perniagaan koloni.

Pelaung-pelaung menyiarkan arahan perintah berkurung kepada semua penduduk, tetapi langsung tidak diendahkan. Beberapa orang anggota Marinir cuba mengasari beberapa peniaga jalanan, menggunakan kekerasan agar yang lain patuh.

Tetapi ia tidak berkesan.

Beratus-ratus orang penduduk mula mengerumuni pejabat Syahbandar. Berbondong-bondong mereka keluar dari perumahan dan pusat niaga masing-masing sambil tidak mengendahkan para Marinir yang cuba menakutkan mereka.

Kebanyakan mereka pekerja lombong dan dermaga yang terkesan dek sekatan dagang yang dilancarkan oleh Armada Persekutuan secara unilateral.

Kumpulan orang awam tadi bertembung pula dengan Marinir yang sedang mengepung pejabat Syahbandar. Suasana menjadi lebih tegang. Perkarangan pejabat Syahbandar bakal menjadi saksi sejarah.

Dendam kesumat terbuku lama dalam hati dan jiwa penduduk-penduduk koloni Titania menanti waktu dan ketika untuk meletus. Hanya perlu satu lagi sebab, satu lagi percikan bara untuk memulakan satu letusan dan ledakkan api kemarahan yang takkan dapat dibendung lagi.

Penduduk Titania melaungkan kalimat merdeka berkali-kali. Kompeni Marinir yang beratur dalam satu barisan panjang diperkarangan mengacukan senjata mereka pada kumpulan penunjuk perasaan. Laungan merdeka semakin lantang.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro