Kari

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Sampai menjilat jari Idris menikmati masakan kari kepala ikan yang dibelikan isterinya dari kedai Cik Som, di seberang jalan itu. Asalkan kari, kalau air tangan Cik Som, sememangnya sedap! Simah perhati saja gelagat suaminya. Kalau makan masakan Simah, ada saja yang tak kena. Masinlah, kurang gula, kurang asam dan macam - macam kekurangan lagilah. Puas Simah berusaha memperbaiki kelemahan setiap resipi yang dicuba tapi Idris tak pernah memuji walau sekali. Mereka sudah berkahwin 8 tahun lamanya dan lebih separuh dari tempoh itu, mereka tinggal dengan orang tua Idris. Selama itu jugalah emak Idris yang memasak dan Simah belajar darinya. Meski pun masak dengan cara yang diajar mertuanya, Idris tetap mengatakan masakan Simah kurang menyelerakan tekaknya. Sampailah sekarang. Sampailah Cik Som itu berniaga di depan rumahnya yang tidak jauh dari rumah mereka.

"Sedap nampaknya abang makan. Selera sungguh." Tegur Simah, lembut sambil mengawal perasaan sebak memikirkan suaminya tak pernah begitu berselera makan masakannya.

Idris angkat pinggan, letak dalam sinki dan cuci tangan. Pinggan tidak dibasuhnya. Kemudian dia duduk semula, menghabiskan minuman yang berbaki.

"Memang sedap pun... Cukup rasa, cukup lemaknya." Jawab Idris. Gelas yang sudah kosong diletak saja atas meja. Raut wajah kecewa Simah, langsung tak dipandangnya.

Sejenak membiarkan air yang ditelan masuk ke perut, Idris berdiri.

"Abang nak ke mana?"

"Keluarlah. Jumpa kawan - kawan."

"Tak isyak dulu? Tadi dah azan."

Idris terkebil - kebil sejenak. Kemudian terus ke bilik air. Kedengaran air mencucur. Simah mengagak suaminya berwuduk. Tak lama kemudian sosok tegap Idris keluar dari bilik air dan terus hilang kelibatnya sebaik menaiki tangga menuju ke atas.

Simah menghela nafas. Nasi dalam pinggan, dihabiskan tanpa selera. Sekadar sayang andai rezeki terbuang. Usai makan, dia menghabiskan sedikit masa didapur untuk berkemas dan membersihkan apa yang patut.

Derap kaki menhenyak papan lantai, menarik perhatiannya. Idris berdiri di lawang pintu atas yang memisahkan ruang atas dengan dapur. Bau kolon yang semerbak, tercium di hidung mancung Simah.

"Nak keluar dah?"

"Hmm... Abang gerak dulu."

"Esok masih kerja. Jangan balik lewat."

"Hmm..."

Simah perhati saja Idris membelakangi lalu pergi. Kerja - kerjanya didapur pun hampir beres. Dia bercadang mahu mandi dan kemudian berehat saja di atas. Menonton mungkin seronok juga, menghibur hati sendiri. Gerak kerjanya di percepat.

****

"Terima kasih, Simah, selalu beli jualan akak. Bolehlah tolong kakak ni nak hidupkan anak - anak." Ujar Cik Som. Umurnya sekitar lewat 40an.

Anaknya masih ada yang bersekolah. Sejak hidup digantung tidak bertali, dia buat macam - macam kerja untuk menampung kehidupan mereka anak - beranak sebab suaminya, Saleh, suka mengelakkan diri dari membayar nafkah. Sejak kali akhir dia muncul didepan Cik Som dan 'hadiahkan' perempuan itu lebam satu badan, pecah bibir dan hilang deria dengar sebelah telinganya sebab tidak diberikan geran tanah, dia langsung hilang jejak. Entah ke mana perginya lelaki 'biar papa asal bergaya' yang tak berguna itu. Ada juga bagusnya Saleh itu pergi dari hidupnya. Kalau tidak, habis lebam seluruh badan disepak terajang tiap kali mahu melepaskan amarah atau tidak puas hatinya. Sebab itu jugalah Cik Som galakkan anak - anaknya masuk asrama, supaya mereka terhindar dari melihat keganasan si bapa dan dari menjadi mangsa seterusnya.

Selepas beberapa lama hilang jejak si suami, Cik Som memulakan perniagaan kedai makannya. Permulaannya cuma sebuah meja dan sebuah payung saja. Menu pun terhad. Sekarang ini, sudah mampu menambah meja dan payung serta lebih banyak pilihan lauk - pauk.

"Air tangan akak sedap. Lagi - lagi kari daging tu. Suami saya, Idris tu, suka sangat."

"Oh, ye ke? Terima kasihlah..." Senyum lebar Cik Som mendengar pujian itu. Memang kari air tangannya, selalu mandapat pujian. "Ini je ke yang Simah nak beli?"

"Tu je la, kak. Banyak dah tu."

"Kalau dah penat, memang leceh nak masak, kan?" Simah senyum mengiyakan. Sambil itu, ligat jari Cik Som mengikat lauk - pauk yang dibeli lalu disumbat ke dalam plastik warna merah. Sebuah kalkulator dicapai. Jarinya menekan - nekan perut kalkulator.

"Berapa, kak?" Simah siap - siap dengan dompetnya.

"RM35 je." Duit kertas bertukar tangan dan kemudian bertukar tangan sekali lagi, memulangkan baki.

"Simah beli ya..." Sopan Simah menuturkan kata.

"Ya, akak jual."

"Kalau akak tak keberatan, nak belajar masak dengan akaklah satu hari nanti."

"Insyaallah, boleh."

Senyum saling berbalas sebelum Simah melangkah pergi. Cik Som pula menadah kesyukuran kerana hari ini, semua lauknya laris. Tak perlu tunggu sampai lewat petang, dia sudah boleh berkemas dan pulang.

Mengingat pujian Simah tentang masakan karinya tadi, membuat senyum Cik Som meleret. Sebaik Simah berlalu, muncul Wan Bedah. Dari jauh sudah menyimpul senyum.

"Som..." Sapanya dengan senyuman terukir.

Cik Som angguk sebagai menjawab sapaan mesra itu. "Nak lauk apa hari ni, Bedah? Tak banyak dah yang tinggal ni."

"Kari daging, sayur brokoli campur dan ikan goreng berlada." Ujar Wan Bedah selepas melihat - lihat menu yang tinggal.

Mendengarkan pesanan Wan Bedah, cepat saja tangannya mengisikan dalam plastik.

"Tak balik - balik laki kau tu ya, Som. Kalau tak tu, tiba - tiba aje muncul buat hal."

"Eloklah juga dia tak balik. Aman tenang hidup aku anak - beranak bila dia tak ada, Bedah."

"Entah hidup, entah mati, kan? Tapi dia masih bapa anak - anak engkau juga. Kau tak nak cari?"

Cik Som senyum hambar sambil menggelengkan kepala. Malas mahu memikirkan lagi. Lebih baik hidupkan dirinya dan anak - anak. Biawak hidup pun masih lebih bagus dari lelaki yang hanya pandai menabur benih macam Saleh.

****

Cik Som, macam biasa, waktu malamnya digunakan untuk menyediakan jualan esok hari. Anak - anaknya yang seramai tiga orang yang masih bersekolah, semua di asrama. Seorang lagi, yang sulung, di universiti, jauh di selatan tanah air. Jadi terpaksalah dia bersendirian membuat semua kerja tapi dia tidak kisah. Asalkan anak - anaknya mendapat yang terbaik, dia sudah cukup gembira dan bersyukur.

Daging, ayam dan ikan, semua bersusun dalam bekas masing - masing di atas meja. Bahan - bahan masakan dan segala rempah - ratus sedang disediakan. Harum bau rempah dan daun - daun herba, memenuhi ruang dapur. Lincah Cik Som menguruskan dapur, memang cekap betul.

"Hmm... Hari - hari kena ada kari daging. Kalau tak buat, nanti orang cari." Bebel Cik Som. Bukanlah dia penat atau bosan memasak benda sama tapi sebaliknya dia gembira masakan karinya begitu popular!

Cik Som pergi pula ke tempat dia menyimpan stok. Sebuah bilik yang penuh dengan rak dan laci tempat menyimpan rempah dan bahan kering serta peti sejuk untuk menyimpan stok barang basah dan sejuk beku. Dia nampak berpuas hati dengan stoknya, masih mencukupi. Bagus menyimpan begini, tak perlu selang sekejap, kena ke kedai. Tambahan pula dia seorang diri, kadang letih berkejar kesana kemari. Dia menolak sebuah laci dan rak di atas kepalanya ke tepi, lalu menjadi laluan ke sebelah belakang. Sebuah tong kayu, juga berpenutup kayu dibuka. Menggunakan pencedok, Cik Som menyukat bahan itu dan diisikan ke dalam mangkuk yang dibawanya.

Kemudian dia beralih ke peti beku. Dia membukanya lalu menjengah ke dalam untuk memastikan daging yang disimpan masih ada lagi. Dia mencongak - congak, kemudian terangguk - angguk sendiri. Kekerapan membuat kari daging menyebabkan bahan tersebut cepat habis dan memang itu yang dia mahu. Nampaknya lebih cepat habis dari yang dijangkakan. Bagus juga lekas habis. Aku pun tak suka nak simpan lama - lama, getus hati Cik Som. Sebatang daging beku berupa potongan bahagian kaki, ditarik keluar. Matanya memandang tajam ke arah daging itu dan jelas pada air mukanya kebencian yang tidak terungkap. Padan muka kau, jantan celaka. Laki tak guna! Rasakan!

Didalam peti beku, entah berapa lama Saleh sudah menjadi mayat yang pucat dan membatu diselaputi ais serta dipotong - potong. Matanya yang terbelalak, seolah menceritakan derita dan azabnya dia sebelum disumbat ke dalam peti itu seterusnya menjadi menu kari daging istimewa Cik Som...

ceritera oleh: ReD_aWan🍓
Selasa. 04062024, 22:55.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro