Bab 5

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Langit masih menyembunyi mentari. Renyai hujan yang turun dari pagi menyejukkan tengah hari.

Raja Kasim melewati pasar. Tidak ramai orang berniaga. Tiada kelibat rakan nelayan yang menyapa hari ini. Perjalanan diteruskan menyusuri kampung-kampung. Hajatnya mahu ke kediaman Tun Ali. Ada sesuatu yang dia ingin tanya. Tentang ghali yang berlabuh di pelabuhan.

Langkah Raja Kasim tertahan. Seorang gadis kecil berdiri di tepi jalan. Dia menunggu Raja Kasim.

"Tiada ikan hari ini. Abang tidak turun ke laut."
Senyuman Raja Kasim dibalas sengihan. Budak perempuan itu menuruti Raja Kasim. Dia memegang hujung baju Raja Kasim.

"Abang mahu dengar nyanyian saya?"

"Mayang pandai menyanyi?" Seraya menyoal, Raja Kasim memandang budak perempuan itu. Mayang mengangguk.

"Mayang mahu nyanyi lagu apa?"

Sebuah lagu diperdengarkan kepada Raja Kasim.

"Mana Sultan Abu Syahid.
Budak-budak bermain benteh.
Tuan juga dipandang baik.
Bagai cincin dengan permata"

Raja Kasim menghadiahkan senyuman. "Sedap suara Mayang. Siapa ajar?"

"Nenek," jawab Mayang. Mukanya manis mendengar pujian Raja Kasim.

"Pergi balik, ya. Jangan berhujan. Sampaikan salam abang buat nenek."

Mayang menghentikan langkah, membiarkan Raja Kasim terus berjalan. Entah kenapa Raja Kasim berasa tidak sedap hati. Terasa bagai dia terlepas sesuatu yang penting.

"Mana Sultan Abu Syahid.
Budak-budak bermain benteh.
Tuan juga dipandang baik.
Bagai cincin dengan permata."

Langkah Raja Kasim terhenti. Dia berpusing mencari empunya suara. Seorang lelaki sedang memangkas pohon di halaman rumah. Lelaki itu juga menyanyikan lagu nyanyian Mayang.

Dua rangkap awal menangkap perhatian Raja Kasim.
Sultan Abu Syahid
Budak bermain benteh

Hati Raja Kasim terus gementar. Badannya sedikit menggigil. Dia tahu apa maksud lagu itu. Lagu tersebut menyindir adindanya, Raja Ibrahim yang masih belum matang untuk memikul amanah sebagai Sultan. Lagu itu tidak seharusnya didendangkan. Bait-baitnya menjurus derhaka kepada Sultan. Manakala kesannya...

Tiba-tiba suara pekik dan lolong berkumandang. Bingkas Raja Kasim menoleh ke belakang. Sekumpulan hulubalang tiba dan memeriksa rumah ke rumah. Mereka membuat tangkapan. Keadaan huru-hara dengan tangis rayu dan tarik-menarik. Wajah-wajah bengis hulubalang mengenyahkan simpati. Anak, ibu, suami, isteri, adik, kakak, dipisahkan tanpa belas. Mereka diheret keluar dari rumah sendiri. Orang-orang yang diberkas, diikat tangan dan badan lalu dihimpun sekelompok.

Raja Kasim terpinga menyaksikan kejadian tersebut. Ketika mindanya cuba mencerna keadaan, matanya mengecam susuk yang dikenali. Nenek Mayang dan lelaki yang memangkas pokok tadi. Tangan mereka diikat tali. Setelah itu dia tercari-cari Mayang. Budak perempuan itu sedang teresak-esak memeluk tiang rumah.

Raja Kasim berlari mendapatkan Mayang. Mayang terus memeluk kaki Raja Kasim. Dia merayu dalam linangan air mata.
"Nenek... tolong selamatkan nenek."

Raja Kasim menepuk-nepuk belakang Mayang cuba menenangkannya.

"Apa salah suami saya?" Seorang isteri diragut tangan supaya bercerai genggaman suami.

"Apa salah suamimu? Kami dititah menangkap penderhaka. Lagu yang kalian sebarkan mencela baginda Sultan!"

"Ampunkan suami saya, tuan. Dia hanya penyampai cerita. Penglipur di pasar. Dia menyangka lagu itu hiburan semata-mata. Tiadalah dia berniat buruk. Apatah lagi mahu menderhaka."

Badan wanita itu ditendang. Hulubalang memengkis, "Ah, itu kami tidak peduli. Barang siapa yang mendendang, menyebarkan lagu tersebut, semua kami bawa ke Balai Pasung untuk disoal siasat."

Kata-kata hulubalang membuatkan tangisan Mayang pecah. Kaki Raja Kasim semakin kuat dirangkul. Raja Kasim membawa Mayang ke rumah jiran. Wanita separuh abad itu terkejut mendengar berita yang tidak disangka.

"Nenek Tandan juga ditangkap. Kasihan. Dia sudah tua. Lagi pula dia tidak mengerti apa-apa. Sekadar mengajuk cakap orang."

Raja Kasim bertenggul. Matanya menatap mata Mayang. Kedua tangannya memegang bahu Mayang. "Mayang tenang-tenang sahaja. Abang berjanji akan tengokkan nenek."

Setelah itu Raja Kasim berbicara dengan jiran Mayang.
"Maafkan saya, kakak. Jikalau tidak menyusahkan kakak, saya mahu menitip anak ini kepada kakak buat sementara waktu."

Usai berpesan, Raja Kasim beredar. Melewati perkampungan demi perkampungan, hatinya kian memberat. Wajah-wajah sugul dan putus asa boleh dijumpai di mana-mana. Tika ini sepertimana orang lain, Raja Kasim juga terfikirkan satu tempat. Maka tanpa berlengah dia berkejaran ke Balai Raya. Berita sebesar itu sudah tentu telah tiba ke pendengaran penghulu. Maka Balai Rayalah tempat terbaik bagi orang-orang kampung mengusul aduan mencari keadilan.

Balai raya telah dibanjiri penduduk kampung semasa Raja Kasim tiba di sana. Orang ramai sedang menanti kedatangan penghulu. Segala sembang tertumpu perihal ahli keluarga dan jiran sekampung yang ditangkap tanpa bukti. Raja Kasim sekadar menjadi pendengar. Dia mahu memungut cerita. Dia perlukan maklumat untuk melihat gambaran masalah dalam skala yang lebih besar.

Ada angin ada pokoknya. Benang yang kusut ada puncanya. Ibarat wabak, lagu tersebut senyap menyusup masuk ke dalam masyarakat. Dalam masa yang singkat lagu tersebar luas dinyanyi orang. Raja Kasim yakin senario tersebut bukan mendadak muncul bahkan disengajakan. Jadi dia harus mencari akar masalah. Lagu ini datang dari mana. Penyebarnya siapa. Apa maksud perbuatan dalang membuat kekecohan sebegini.

Namun gerak hati Raja Kasim galak berbisik. Bahawa masalah terlihat bukan masalah utama. Ada muslihat terkandung di sebalik masalah. Perkara menyangkut istana dan sultan bukan sembarang perkara. Tiada rakyat jelata yang berani bermain dengan perkara sebegini. Melainkan mereka yang turut mempunyai kuasa. Atau lebih tepat lagi tangan-tangan ghaib yang mempunyai kuasa pengubah.

Raja Kasim membuang pandang pada lopak air. Tanah merah yang menakung air menjadikan titis jernih hujan keruh. Sepertimana lagu yang dinyanyi rakyat. Irama suci tercemar kerana lirik derhaka.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro