BAB 14

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

DERINGAN telefon mematikan aktiviti Zen. Sebungkus perencah nasi goreng kampung diletakkan di dalam bakul. Telefon dibawa keluar lalu panggilan daripada Armel dijawab laju. Akibat terlalu banyak memikirkan mengenai Luna dan mimpi-mimpinya, jadi lapar Zen dibuatnya. Sudahlah dapurnya kosong. Terpaksalah lelaki itu keluar membeli barangan dapur.

          "Aku kat luar. Kunci aku letak bawah pasu. Kejap lagi aku balik."

          Kebetulan pula pada malam ini, Damien bercadang untuk mendengarkan rakaman suara Frida semasa di temu duga. Rumah sewa Zen yang menjadi pilihan mereka berdua.

          Selesai melakukan pembayaran, Zen terus bergerak pulang. Malas berlama-lama di luar dengan keadaan yang agak menyeramkan itu. Entah kenapa tidak ramai pula orang keluar pada malam ini. Selalunya, selagi jarum jam tidak menunjukkan pukul 12:00 tengah malam, selagi itu orang ramai berkampung di luar rumah.

         Jalan menuju ke rumah sewanya, Zen perlu melalui lorong deretan kedai-kedai lama. Tidak ramai peniaga yang berkeinginan untuk berniaga di situ oleh kerana tempatnya yang tidak strategik. Membelok ke kanan, semerta langkah lelaki itu termati. Jika manusia yang berdiri di hadapannya, Zen akan meneruskan perjalanan. Tapi, masalahnya figura yang berdiri di hadapannya kini bukanlah seorang manusia. Melainkan...

         "Jiwa kau. Bagi aku jiwa kau." Rayu makhluk hitam berbulu itu. Badannya sedikit membongkok, namun kepalanya terdongak habis memandang Zen.

        Kedua biji mata itu bagai mahu tersembul keluar. Senyuman yang dilemparkan oleh makhluk itu pula terlalu lebar dan terlalu menyeramkan. Senyuman sampai ke telinga, ya itulah dia tapi dalam keadaan seram.

       "Jiwa kau. Aku mahu jiwa kau!"

       Belum sempat makhluk itu tadi melompat mendapatkan Zen, satu kelibat dengan pantas menghalang. Si makhluk jauh terpelanting di hadapan sana. Zen dikejutkan dengan gerangan yang menyelamatkan dia itu.

       "Frida?" Frida menoleh sekilas dan tersenyum.
       "Luna?" bukan itu sahaja, Luna turut berada di sisinya. Sejak bila?

       GRRR... GRRR... GRRR

       Bunyi makhluk itu berjaya membuatkan Zen ketakutan semula. Apa yang lebih mengejutkan, Frida kini memegang sebuah senjata yang agak berbeza dengan senjata manusia biasa.

       "Jiwa kau! Aku mahu jiwa kau!"

       Makhluk itu melompat ke dinding dan mula berlari mendapatkan Zen. Frida juga tanpa teragak-agak turut berlari ke arah lembaga itu.

       "Lari!" bisik Luna dan dengan tiba-tiba Zen berlari pergi daripada situ. Zen tahu Luna pasti sedang mengawalnya.

        Frida jatuh terduduk apabila si lembaga memberikan tendangan. Tepi bibir dilap. Darah. Tersenyum sinis gadis itu melihat darahnya sendiri.

        "Aku arahkan kau untuk duduk." Sekelip mata sahaja, makhluk tadi duduk seperti seekor anjing.

        "Senyum." Ujar Luna dan itu telah menimbulkan kekeliruan si makhluk. Selang beberapa ketika, makhluk itu menyumbatkan tangannya ke dalam mulutnya sendiri.

        Sebelah tangannya sedang memegang mulut bahagian atas, manakala sebelah lagi memegang mulut bahagian bawah. Si makhluk terbeliak saat menyedari tangannya mulai membuka mulutnya perlahan-lahan. Makin lama semakin luas. Jika ini berterusan, mulutnya pasti akan terkoyak.

       "Kau nak apa? Jiwa dia?" Luna melepaskan tawa jahat. Langsung tidak dihiraukan pandangan si makhluk yang penuh dengan mesej tersirat.

        "Jiwa dia hanya untuk aku!" jerit Luna.

         Frida yang memerhati, tersedar sesuatu yang agak pelik pada Luna. Dia pernah nampak renungan mata itu. Dia masih ingat pemilik renungan mata itu.

        "Seira?"

         Tak mungkin!

         Frida terkaku melihat apa yang sedang berlaku di hadapan mata. Dia melihat Seira, dan bukannya Luna. Tidak diendahkan percikan darah si makhluk akibat mengoyakkan mulutnya sendiri. Apa yang Frida kisahkan adalah Luna. Luna yang sudah dikawal sepenuhnya oleh Seira.








TUSUKAN cahaya matahari membangkitkan gadis itu daripada tidurnya. Luna bingkas bangun daripada pembaringan, sambil tangannya cuba mengunci laluan sinaran matahari daripada terkena retina mata. Sekeliling biliknya dipandang dengan pandangan kehairanan. Bukankah semalam dia berada di luar?

          "Lady Luna?" panggilan daripada Frida membuatkan Luna teringat akan seseorang.

          "Zen! Zen macam mana?" Frida tidak menjawab. Dia malah bergerak menghampiri Luna.

          Tidak semena-mena, tubuh gadis itu ditarik masuk ke dalam dakapannya. Empangan air matanya mulai pecah. Esakan kecil turut kedengaran.

         "Frida, kenapa ni?" tanya Luna. Adakah Zen tidak terselamat? Adakah Zen sudah terkorban semalam? Tapi, bukankah dia sudah menghapuskan lembaga itu?

         "Selama ni, kita cuba untuk lindungi jiwa tu. Kita cuba untuk hapuskan mereka-mereka yang cuba untuk mengambilnya. Kita terlalu fokus dengan apa yang ada di depan kita, sampaikan kita terlupa apa yang ada di belakang kita."

        Frida meleraikan pelukan. Dia cuba mengawal esakannya. Luna memandangnya dengan pandangan yang penuh kekeliruan. Frida mengambil nafas sebelum menghembusnya perlahan.

       "Jauhkan diri daripada Zen. Benda yang mahukan jiwa tu, adalah lady sendiri."

       Luna terasa seperti ditikam dengan beribu-ribu pisau belati yang tumpul. Tumpul kerana ianya sakit untuk Luna terima. Luna adalah ancaman kepada jiwa yang ada dalam diri Zen? Itukah apa yang dimaksudkan oleh Frida?







SUDAH tiga hari Zen tidak dengar apa-apa khabar tentang Luna sejak kejadian malam itu. Galeri sudah mulai sibuk dengan persiapan pameran, jadi Zen langsung tiada kesempatan untuk melawat Luna. E-mail yang dia kirimkan kepada Frida sejak dua hari lalu, masih belum dibuka. Barangkali, mereka juga sibuk untuk menyiapkan lukisan.

“Zen, tunggu sekejap.” Panggil Marsha apabila mereka bertembung di luar pejabat Marsha. Kebetulan, Zen baru hendak turun ke bawah.

“Ada apa, aunty?” tanya Zen ingin tahu. Ternampak sahaja Sushi di tangga sana, Zen bagi isyarat meminta Sushi untuk turun dahulu.

“Ada dapat apa-apa info daripada Luna?” mustahil Zen tidak tahu apa-apa mengenai Luna. Dalam ramai-ramai pekerja galeri, Luna cuma mahu berurusan dengan Zen sahaja. Jadi,mustahil hubungan mereka tidak terlalu rapat.

Zen tersenyum kelat. Nampaknya, bukan dia seorang sahaja yang risaukan dan tercari-cari Luna. Zen menggeleng tanda dia juga tidak tahu apa-apa. Marsha mengeluh.

“Tak boleh ni,” bicara Marsha sendirian. Luna tidak pernah begini. Walaupun hidup Luna amatlah misteri, tapi dia tidak pernah membiarkan Marsha atau pihak galeri termangu-mangu menanti khabarnya.

“Tak mengapalah.” Marsha kembali masuk ke dalam pejabatnya. Risau macam mana pun, dia pasti Luna dalam keadaan baik-baik sahaja.

“Sushi, how?” tanya Zen sebaik sahaja dia berdiri di sebelah lelaki itu.

“Everything is under control! Encik Zen tak perlu risau part pintu masuk.” Yakin Sushi berkata. Zen di sebelah jelas puas hati dengan hasilnya.

“I go check the inside.” Sempat lagi Zen menepuk-nepuk bahu kiri Sushi sebelum Zen membuka langkah pergi.

Sama seperti di hadapan, bahagian dalam juga terkawal. Kawasan-kawasan tertentu yang ditutup buat seketika untuk tujuan pameran nampaknya masih terjaga. Tidak ada seorang pun pengunjung yang melanggar kawasan tersebut.

“Cu…” Zen terhenti melangkah. Pantas, dia berpaling ke arah sumber suara tadi.

“Nenek?” badan dibongkokkan sedikit untuk menyamai ketinggian mereka dan memudahkan Zen untuk mendengar suara lemah nenek itu.

“Tolong nenek, cu. Kucing nenek.” Sekerat sahaja ayat yang keluar daripada mulut wanita tua itu.

“Kenapa dengan kucing nenek?” tanya Zen, masih sabar menunggu ayat selanjutnya daripada si nenek.

“Nenek tak tahu. Tadi, dia ada di bahu nenek. Sekarang, dia dah hilang.” luah si nenek.

Zen kembali berdiri tegak. Dia mula mencari pengawal yang berada berhampiran untuk membantu Zen mencari kucing si nenek.

“Tolong nenek, cu!” mengejut, hujung baju Zen ditarik kasar. Perbuatan nenek itu membuatkan badan Zen condong ke bawah sebelum akhirnya dia jatuh terduduk.

“Ya, ya! Saya akan tolong…” jeda. Zen memandang sekelilingnya. Semerta, dia mengangkat punggung.

“Nenek?” panggil Zen. Macam mana dia boleh berada di taman yang agak familiar ini? Terdengar sahaja bunyi dedaun menari-nari ditiup angin, Zen laju berpaling.

“Taman Luna…” Macam mana? Bukankah tadi dia berada di galeri bersama seorang nenek yang meminta tolong?

“Nenek?” panggil Zen lagi. Kosong. Tiada seorang pun yang berada di taman itu melainkan dia.

Perlahan-lahan, Zen menghampiri si pokok tua. Adakah dia bermimpi? Baru beberapa tapak menghampiri si pokok tua, Zen disapa dengan kehadiran si kucing liar. Zen teguk liur. Jika dia diapa-apakan oleh kucing pallas itu, sumpah Zen tidak akan menjejakkan kaki ke situ lagi. Terkejut, bilamana si kucing pallas mara menghampiri Zen. Kelihatan si kucing liar seperti ingin melompat. Belum sempat Zen membuka langkah seribu, tubuhnya selamat dirempuh oleh si kucing pallas.

Hitam. Segala-galanya menjadi hitam.







JAM di meja kopi tepat menunjukkan jam 5:00 petang. Luna memberhentikan kerja menyapu berus ke kertas lukisannya. Punggung diangkat lalu dia bergerak menuju ke jendela. Sambil-sambil dia menikmati udara di waktu petang, sambil-sambil itu Luna melakukan beberapa senaman kecil. Seharian duduk menyiapkan lukisannya membuatkan dia mengalami kelenguhan.

Setelah itu, Luna bergerak keluar daripada bilik lukisannya. Seperti biasa, dia akan mengambil beberapa waktu untuk duduk menikmati air teh di taman. Di situlah dia melepaskan segala penat-lelahnya terhadap dunia ini.

Setibanya Luna di kawasan si pokok tua, dia dikejutkan dengan kehadiran seseorang. Dia boleh mengesan kehadiran tersebut sedang berdiri memandangnya. Luna melepaskan keluhan berat.

           "Zen, awak buat…”

           Tanpa diduga, tubuhnya ditarik masuk ke dalam dakapan lelaki itu. Luna diam terkaku. Dia langsung tidak berupaya untuk menolak. Entah kenapa, pelukan Zen terasa hangat dan selesa. Kehangatan tubuh lelaki itu serta merta mengingatkan Luna kepada seseorang di masa lampau.

           "Zen, le... Lepas..."

           Mata gadis itu membulat terpana apabila Zen mengucup lembut sisi kepalanya. Perbuatan itu, sama seperti apa yang selalu Zaki lakukan setiap kali memeluknya. Sebaik sahaja pelukan dileraikan, Luna diserang pelbagai rasa. Pandangan Zen langsung tidak beremosi namun dia tahu, Zen memberitahunya sesuatu melalui tatapan mata itu.

          Sekali lagi, Luna dikejutkan dengan senyuman lembut yang dilemparkan oleh Zen. Perasaan marah menyerbu hati. Pandangan terkejut Luna juga turut berubah kepada pandangan penuh kebencian dan amarah. Dia bencikan pelukan hangat itu. Dia bencikan kucupan sekilas itu.

          "Siapa awak?" pertanyaan Luna, tanpa sedar telah mengembalikan Zen ke realiti semula.

          Lelaki itu nampak seperti terkejut dengan kehadiran Luna di hadapanya. Luna sedar akan perkara itu namun perasaan benci dan marah telah menguasai dirinya ketika ini.

          Sedar dengan tatapan tajam gadis itu, tahulah Zen bahawa Luna tidak menyukai kehadirannya di situ. Kepala diangguk perlahan. Faham dan tersangatlah faham. Luna perlukan masa.

          "Gembira dapat jumpa awak semula. Maaf, sebab dah ganggu awak. Saya pergi dulu." Pamit Zen. Lelaki itu langsung tiada apa-apa idea mengenai tatapan tajam daripada Luna.

          Luna tunduk memandang tapak tangannya. Dia dapat merasai dengan jelas sehelai daun jatuh ke tangannya. Tiba-tiba, daun itu berubah menjadi satu bentuk yang baharu. Lama kelamaan, ia mula membentuk sebilah pisau yang agak tajam.

         "Zen!"

        Kebetulan, lelaki itu masih berada di kawasan rumah hijau. Alangkah gembiranya lelaki itu apabila terdengar namanya dipanggil. Zen memaniskan wajah sebelum berpaling ke belakang. Kelihatan Luna sedang meluru mendapatkannya dengan tatapan yang sama. Tajam dan penuh kebencian.

        Belum sempat Zen memahami situasi, sesuatu yang tajam menusuk tepat di dada kiri lelaki itu. Senyuman Zen pudar perlahan-lahan. Semerta, tangannya naik memegang tangan Luna yang masih menggengam sebilah pisau yang juga masih menikam dada kirinya.

       "Lu... Luna..." Darah membuak keluar daripada mulut lelaki itu. Pegangan tangan Zen juga semakin lemah.

       "Awak akan lin... Lindungi saya. K...kan?" pandangan lelaki itu mulai kabur. Darah pekat mengalir keluar mengotori baju lelaki itu. Seketika, tubuhnya jatuh rebah di hadapan Luna.

       Mendengarkan pertanyaan terakhir Zen tadi, telah menyedarkan Luna. Tangannya yang menggengam pisau berlumuran darah itu dipandang lama.

       "Jauhkan diri daripada Zen. Benda yang mahukan jiwa Zen, adalah lady sendiri."

        Adakah Luna baharu sahaja mengambil jiwa Zen dengan membunuhnya? Luna jatuh terduduk di hadapan Zen yang terbaring lemah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro