PROLOG

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

EMPAYAR TIBERIAN, TAHUN 1313




SUASANA pada malam itu terasa dingin dan sepi. Tiada satu bunyi pun yang dihasilkan oleh alam. Tiada juga hidupan yang berani membuat bunyi hanya kerana malam ini ialah malamnya. Malam di mana seluruh alam dan hidupan menyaksikan hukuman yang dijatuhkan ke atas Luna Adora.

     Sepanjang jalannya menuju ke tali gantung di hujung sana, Luna tidak habis-habis menerima kritikan daripada orang sekeliling. Ada yang berani melemparkan batu, ada juga yang sanggup menolak tubuh gadis itu agar cepat tiba ke tali gantung.

     Dalam kepala yang tertunduk, Luna mengukir senyuman perit. Orang-orang yang memaki hamun, melemparkan pandangan keji. Merekalah orang-orang yang dulunya sanggup melutut menyembahnya agar memberikan bantuan dan perlindungan. Sekarang, di mana perginya pujuk rayu mereka itu?

     "Luna Adora, bakal pemimpin puak pemburu. Kami percaya bahawa Lady Luna langsung tidak bersalah. Tetapi, demi kesejahteraan dan keselamatan puak pemburu dan puak lainnya, kami terpaksa menjatuhkan hukuman terhadap Lady Luna."

     Ucap si hakim yang berdiri tepat di hadapan tali gantung yang bakal menamatkan riwayat seorang pemimpin, bahkan seorang pelindung ini.

     Selesai berkata, Luna akhirnya dipaksa naik ke atas tali gantung kerana masanya sudahpun tiba. Leher jinjang gadis itu sudahpun dikelilingi oleh seutas tali yang agak besar. Kritikan demi kritikan mula kedengaran agak jelas.

     "Masih banyak yang ingin kamu lakukan, bukan?"

     Luna berkerut. Suara itu kedengaran agak jelas di pendengaran. Suara jeritan rakyat jelata sudah tidak lagi kedengaran, diganti pula dengan kesunyian. Perlahan-lahan, Luna mengangkat wajah dan perkara pertama yang menyapa mata gadis itu adalah keadaan pelik sekelilingnya.

     Mereka bagaikan telah terkena satu sihir yang telah mengakibatkan tubuh mereka terkaku tidak bergerak. Luna pantas menoleh ke arah kanan, di mana suara seseorang itu datang.

     "Siapa kau?" Luna bertanya dalam nada agak gentar.

     Mengikut firasatnya, nenek tua di sebelahnya ini tidak lain dan tidak bukan adalah Nenek Marta. Satu-satunya ahli sihir yang boleh menurunkan hukuman terhadap ahli sihir seperti Luna. Dan, hukuman yang Nenek Marta turunkan bukanlah hukuman yang biasa-biasa. Melainkan, ia adalah hukuman yang bakal menyeksa jiwa.

     "Bagi saya masa untuk fikirkan hukuman kamu."

     Nenek Marta menilik Luna dari atas hingga ke bawah. Cuba mencari hukuman yang sesuai dan setimpal buat pesalah seperti Luna.

     "Saya dapat tahu kamu telah membunuh puak kamu sendiri hanya disebabkan seorang ahli sihir yang berdendam. Frida? Saya yakin Frida seorang yang istimewa sampai kamu sanggup khianati puak kamu sendiri. Tapi, saya tak hairan sebab kamu juga ahli sihir."

     Nenek Marta mula berbicara sambil-sambil otaknya masih ligat mencari hukuman yang sesuai. Luna sudah tidak tenang. Jika kesalahan berkaitan khianat, bersubahat dan berdendam, hukumannya sudah tentu lebih teruk daripada hukuman-hukuman yang diterima oleh ahli sihir lain.

     "Jangan sentuh dia! Dia cuma inginkan keadilan!" Luna cuba sedaya upaya untuk meleraikan ikatan di kedua belah tangannya.

     "Luna, hukuman yang kamu terima ni bakal menemukan kamu berdua." Nenek Marta tersenyum penuh makna. Tangannya naik merapikan rambut hitam legam Luna yang serabai.

     Tepat pada masa itu, angin mulai bertiup hebat. Luna jatuh terjelepuk akibat kurang keseimbangan. Nenek Marta masih kekal berdiri membongkok menghadap ke arah angin itu bertiup.

     Dalam pandangan yang kurang jelas, dapat Luna saksikan disebalik angin taufan itu terlihat kelibat seseorang sedang menuju ke arah mereka dengan menunggang seekor kuda.

     "Lady Luna, tolong jaga taman saya ya?" pinta Nenek Marta sebelum dunia Luna menjadi gelap.

     Dalam gelap, Luna meraba-raba lantai bumi untuk mencari jalan keluar. Tiupan angin kencang masih terasa menyentuh kulitnya, tapi kenapa dunianya gelap sahaja? Ke mana perginya Nenek Marta? Adakah ini hukumannya?

     "Luna, disebabkan mata ini sudah banyak melihat, saya terpaksa menutupnya untuk seketika." Tangan sejuk milik Nenek Marta mengelus lembut pipi Luna.

     "Nenek, aku tak nampak apa-apa!" luah Luna seraya menggenggam erat tangan Nenek Marta. Apa yang sudah berlaku? Apa yang dimaksudkan Nenek Marta dengan menutup matanya buat seketika?

     "Luna Adora, ini hukuman kamu. Jaga taman saya dan teruskan menutup mata. Sampai masa itu tiba, dia akan datang untuk buka mata hati kamu."

     Sejurus selepas mendengar kata-kata daripada Nenek Marta, angin kembali bertiup kuat hinggakan Luna terpaksa menundukkan badan. Gadis itu berusaha menahan dirinya daripada ditiup angin kencang.

     "Lady!" keadaan kembali tenang. Namun, suara seseorang menyentuh pendengaran Luna.

     "Fri... Frida!" tangan Luna terkapai-kapai mencari keberadaan Frida. "Frida, saya… Saya tak nampak apa-apa!"

     Luna dikejutkan dengan pelukan erat seseorang. Yang pasti, pelukan itu adalah daripada Frida. Luna semakin mengeratkan pelukan. Pandangannya masih gelap. Dia yakin dia sudah membuka mata, tapi kenapa masih hitam?

     "Lady buta." Perlahan sahaja suara Frida memasuki halwa telinga Luna. Luna terdiam.

     "A... Apa?" tangan Luna naik mencari wajah Frida. Dia harus pastikan yang berada di depannya kini adalah Frida.

     "Nenek Marta sudah menarik deria penglihatan lady! Lady dah buta!" Frida menarik tangan Luna menyentuh wajahnya. Walaupun deria penglihatan Luna sudah tiada, deria rasa gadis itu masih ada.

     Seketika, Luna yang baru dihempap kenyataan mengapa pandangannya gelap melepaskan raungan kuat. Tangisan gadis itu pecah. Sakit yang Luna rasa apabila mengetahui bahawa deria penglihatannya sudah tiada.

     "Lady, saya tidak tahu kita berada di mana. Saya juga tidak tahu apa yang berada berhampiran dengan kita sekarang. Tapi..."

     Frida jeda. Dia kembali mengangkat tangan Luna untuk kembali menyentuh wajahnya. Esakan Luna kedengaran semakin perlahan.

     "Saya akan lindungi lady."



























Macam biasa, saya update PROLOG dulu. Save the date, 05/08/2024 pukul 11:00 pagi saya update bab 1 dan seterusnya❤️

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro