KERANA KORONA

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Lahirnya dari sebuah pasar
menjual haiwan-haiwan liar
mungkin dari perut ular
ataupun rahim kelawar
ia hidup sebagai Korona
permulaan sebuah bencana

ia beranak pinak dan merebak
menular sebagai wabak
dari Wuhan ke seluruh China
kini merata ke segenap peta
datangnya seperti badai
dan ia tak pernah menilai
apakah kau miskin, kaya, bodoh ataupun pandai

pantas sekali menjadi pandemik
lantas bumi menjadi panik
kebanyakan bertemu paramedik
untuk menyambung nyawa
atau menghantar kematian sebagai angka
dalam laporan di dada kaca

ketakutan bertaburan di mana-mana
wujudnya halimunan yang tak terlihat di mata
bisiknya,
"aku ingin datang menjarah tubuhmu sebagai rumah"
tanpa belas ia menerjah
dalam diam merajalela
merapah dada dan meratah nyawa

ganasnya tak lagi terbendung
kita tak mampu bertarung
cuma terkurung dalam bingung
kini malam lekas tidur
dan kota sunyi serupa kubur
kita teraba-raba dalam harapan yang masih kabur

kita pun mulai rindu dan kembali padaNya perlahan-lahan
setelah satu persatu pulang ke pangkuan Tuhan.

HAKCIPTA TERPELIHARA
Alilla Semerah
8/4/2020
4.15 a.m.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro