Bab 8

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

AKU MASIH tak bersuara walaupun ada rasa ragu di hati tika ini. Kereta membelok ke belah kiri, masih sedikit jauh perjalanan. Suasana cengkerik, benar-benar sunyi sepi menyelubungi kami.

Ternampak Qais tekan butang radio. Berkumandang lagu di corong radio. Aku jadi terganggu bila lagu tersebut mengimbau kenangan kami dahulu. Waktu dulu-dulu aku sering melayan perasan, mendengar lagu jiwang sambil bermuram durja menanti perangai Qais berubah menjadi mesra. Namun itu hanya angan yang tidak akan terjadi. Kedinginannya menyeksa aku saban hari.

"Biarku lukakan semua, biarpun musnah di tanganku. Jika akhirnya dirimu denganku."

Aduh, sebak pula terasa. Kawal Laila, jangan ikut perasaan.

"Apa hubungan kau dengan Neil?"

Soalan itu buat aku tak selesa. Sebak yang datang tadi, perlahan aku pinggirkan agar menjauh.

"Untuk apa awak tahu?"

"Just curious. Dengan aku, senyum pun tak nak. Dengan Neil, senyum ketawa... Suara pun sengaja dimanjakan. Keluar terus perangai gedik kau dulu..."

"Perlu ke awak stalk saya macam ni sekali? Dr Qais yang hebat lagikan angkuh sedang gila talak dengan janda dia ke?" Aku persoalkan tentang perangai dia hari ni. Memang agak lain dari perangai sebenar dia. Tak pernah dia annoying begini. Sampai tahu apa aku buat dengan Neil. Sampai hantar pesanan teks pada aku.

"Perasan. Siapa yang stalk kau?"

"Dah tu kenapa kat mana-mana saya ada, awak pun ada?"

Qais diam. Dia pandang luar tingkap. Entah apa yang difikirkan. Nak kelentong akulah tu, ego tak bertempat. Mengaku sajalah.

"Isteri awak tak marah ke saya drive kereta ni... Karang ada salah faham pulak antara awak dengan isteri."

Aku sendiri tak berapa pasti dia sudah punya isteri baru atau belum. Mengikut firasat aku, pasti dia cinta mati pada perempuan dalam wallpaper handhonenya itu. Tak pernah kut aku nampak gambar aku diletak sebagai wallpaper handphone dia, sekali pun tak pernah. Dia tak pernah sayang aku, kut.

"Salah faham... Bukan ke kau yang banyak salah faham tentang diri aku, Laila?"

Aku pulak terkena. Betullah tu dia dah beristeri. Tapi kenapa dia kacau aku? Bukankah lebih elok bawa haluan masing-masing, dan melupakan kisah lalu? Itu lebih baik untuk kami, kan.

"Better berhentikan kereta tepi bus stop, biar saya tunggu grab di sini. Awak pulak pandai-pandailah bawa sendiri kereta. Saya risau berlaku salah faham antara awak dan wife awak."

"Tak perlu kau risaukan apa-apa, Laila. Dia tak kesah pasal ni."

Kenapa aku pula rasa nak marah ya? Sekarang dia dah miliki perempuan itu, dia nak curang dengan aku pula ke? Hangat betul hati ini.

"Hobi mencurang ke? Dulu curangi saya, sekarang awak nak mencurang dengan saya, sedangkan awak dah ada dia?"

"Siapa kata aku nak mencurang dengan kau?"

"Dasar lelaki tak cukup satu!"

"Kau sama macam dulu, Laila. Aku ingat kau berbeza. Masih suka bercakap tak fikir dulu. Kau melukai hati seseorang di sekeliling kau tanpa kau sedar. Dan kau anggap orang lain sakiti kau aje, padahal kau lebih kurang saja Laila..."

Aku tak faham! Benar-benar tak faham!
Siapa pula aku lukai? Aku bukan selancang bicaranya, aku masih tapis kata-kataku. Melainkan aku bersama Qais. Aku terlebih emosi. Dari dulu lagi, aku emosi kerana aku sangat menyayanginya. Dan kini aku emosi kerana dia pergunakan aku!

"Laila... Dengar tak aku cakap ni?"

"Awak cakap jelah apa awak nak cakap. Puaskan hati awak tu. Awak je yang betul, kan?"

"Ini bukan tentang siapa salah atau siapa betul. Aku cuma nak kau sedar khilaf kau juga. Aku akui aku banyak khilaf dengan kau, tapi bukan aku sorang yang rosakkan hubungan kita dulu. Kau pun penyebabnya juga, Laila."

"So, apa awak nak buat kalau saya sedar ? Benda dah lepas kan. Kenapa masih nak bangkitkan?"

"Calm down, Laila... Inilah buat aku penat bercakap dengan kau. Tak faham apa yang aku cuba sampaikan, malah melenting macam ni. Masalah pun takkan selesai, Laila!"

"Masalah apa? Masalah kita dah lama selesai dulu. Kita dah tak ada apa-apa sekarang untuk diselesaikan. Sekarang, kita hanyalah orang asing! Tak saling mengenali. Faham tak orang asing!"

"Siapa kata dah selesai? Pada aku, belum... Sikap kau masih degil, dan tak mengerti kenapa aku lakukan semua ni. Kau tak pernah nak ambil tahu tentang apa yang berlaku pada diri aku sepanjang 3 tahun ni."

"Untuk apa saya tahu? Awak pun dah buang saya! Awak sendiri buang saya dengan kata-kata hinaan. Masih tak ingat? Nak saya ulang semula ke?"

"Stop it, Laila!"

Perbalahan ini terhenti begitu saja. Hati masing-masing dilanda ribut taufan. Aku terasa nak saja langgar mana-mana kereta dek kerana marah yang bermaharajalela.

"Kau dah tak sayang aku, Laila?"

"Sejak saya diceraikan, rasa sayang dah saya buang!"

"Oh, benci sangat ya dengan aku."

Selepas itu, dia kembali senyap. Aku pun sama, teruskan pemanduan. Tanpa disuruh dia pun, kereta membelok ke belah kanan. Jalan Teratai. No rumah 27... Sudah aku hafal, tempat inilah tempat aku ulang alik dahulu. Kenangan yang ada pahit dan manisnya. Walaupun manisnya hanya aku yang lalui.

Aku berhentikan kereta di depan pagar luar. Tali pinggang keledar aku lepaskan, bersiap nak keluar. Tugas aku hantar lecturer aku yang kononnya 'cedera' telah selesai.

"Masuk dulu, Laila. Mama ada kat dalam..." Suara Qais lembut, seakan memujuk aku. Geli pulak mendengarnya.

"Itu mama awak, kan? Awak jelah masuk. Saya nak balik..." Aku buat perangai degil aku. Tak mungkin aku jejak kaki ke rumah bekas mertuaku. Meskipun pada awal perkahwinan, layanan mama baik terhadapku. Lambat laun dia kurang mesra. Disebabkan apa pun aku kurang mengerti. Sebab tak dapat bagi dia cucu awal-awal kut? Tak pun sebab aku tak layak bergandingan dengan anaknya yang berpelajaran itu. Kalau tak layak kenapa mereka masih kahwinkan kami? Itu telah lama menjadi persoalan dalam pemikiranku. Tapi, aku biarkan saja. Tak penting untuk serabutkan kepala lagi.

"Sombong. Jumpa mama pun tak nak. Tak baik putuskan silaturahim dengan mama. Walaupun kita dah bercerai, hubungan Laila dengan mama masih tak terputus. Kau mesti tahu kan, ke buat-buat tak tahu."

Lantaklah nak gelar aku sombong. Mama pun tak suka aku, buat apa terhegeh tunjuk wajah di sini? Nak sakitkan hati sendiri? Mesti mama tak nak layan aku mesra. Lagipula dia dah ada menantu. Aku ni buat apa terjenguk sini?

"Tak payah degil, jom masuk." Dia keluar dari perut kereta. Aku masih keraskan badan di sini. Hati tak rela nak masuk dalam rumah itu.

"Laila..." Pintu pemandu dibuka luas.

Aku tak pandang dia.

"Awak dah rancang lama nak kenakan saya, kan? Saja cakap sakit padahal nak pedajal saya? Nak malukan saya depan mama dengan papa. Lepas tu sengaja nak berlagak depan saya sebab awak dah kahwin, sedangkan saya ni belum kahwin."

"Laila... Jangan berfikiran macam budak-budak. Jom masuk. Apa salahnya datang tanya khabar. Kau pun dah lama tak jenguk mama."

"Awak dah ada bini kan? Suruh bini awak jenguk mama awak!"

"Bergaduh kat luar pulak pasangan janda duda ni."

Kami pandang gerangan yang bersuara. Terjengil mataku pandang wajah Qaeed Ashtar, adik bongsu Qais yang terkenal dengan perangai annoying berlipat kali ganda dari Qais. Suka sangat mengusik aku dulu!

"Masuk jelah, wahai bekas kakak iparku. Buat malu bergaduh depan pagar. Mama pun dah dengar korang bertelagah!" Kata-kata Qaeed membuatkan aku malu. Kat mana nak sorok muka aku? Sudahlah apa yang digaduhkan tadi ada nada berlagak dari bibir aku ni. Rasa nak tampar bibir sendiri je.

"Dengar tu. Masuklah, Laila..."

Aku hentak stereng kereta Qais, meluahkan bengang. Berat kaki nak keluar tapi apa lah aku boleh buat sekarang? Nak lari pun nampak sangat aku berlagak depan keluarga Qais.

"Baik-baik sikit, kereta baru tu Laila..." tegur Qais dengan suara rendah.

"Garang dah janda kau... Baru bertemu buku dengan ruas." Qaeed gelakkan aku dengan Qais. Sabar ajelah, hati. Beg sandang itu aku biarkan aje di kerusi. Takkan nak bawa masuk ke dalam macam budak sekolah.



"Laila... Jemput masuk..." Puan Marisa sambut aku dengan senyuman. Tubuhku dipeluk erat, bagaikan merindui aku. Entahlah, rasa janggal. Tapi aku tetap balas pelukannya.

Kedua belah pipiku dicium lembut. Aku tersenyum nipis, tak tahu nak beriak bagaimana depan mama.

"Laila sihat?" Aku kemam bibir, sebak pula. Sepatutnya aku yang menyoal. Bening mata mama mulai berkaca-kaca. Mataku pula terasa berair.

"Alhamdulillah, sihat. Mama sihat?" Tergeliat lidahku nak panggil dia mama. Dah lama sangat tak jumpa bekas mama mertuaku.

"Tak berapa sihat. Mama rindukan kau, Laila..." Qais menyampuk dari arah belakang.

"Mama pun sihat, sayang. Qais ni melampau tak beritahu mama yang kamu nak datang. Kalau beritahu awal mama dah boleh masak spesial untuk Laila."

Aku jadi segan. Tak perlu kut nak layan aku bagaikan tetamu sangat. Aku dah dikira orang luar. Tak macam dulu lagi. Orang asing untuk keluarga ini.

Mama bawa aku ke ruang tamu.

"Duduklah dulu, mama nak sediakan apa patut kat dapur."

"Eh, mama. Tak perlu. S... saya sekejap je sini."

Mama tak peduli dia terus ke dapur. Aku pula rasa kurang enak. Tak sedap duduk sini.

"Macam mana korang berjumpa ni? Korang ada apa-apa lagi, ke?" Qaeed menyibuk sekali. Dia duduk berhadapan denganku. Lagaknya masih sama, selamba je cakap tak tapis. Kalau ada Qais dan Qaeed di sini, boleh terbakar jiwa aku. Kedua-duanya pakar menyakitkan hati orang.

"Kau naik atas ajelah Qaeed. Tak perlu nak tahu hal peribadi aku dengan Laila," jawab Qais sambil ambil tempat di sebelah aku.

Aku pandang Qaeed saja. Kecik besar aje aku perhati. Baru terjengah dalam fikiran, mana menantu kesayangan mama tu? Mana isteri tercinta Qais bongkak itu?

"Mana isteri idaman kalbu awak?" Terlupa Qaeed ada di situ. Aku soal juga dek kerana tertanya-tanya. Takkanlah isteri Qais duduk di atas, tak nak tolong sambut aku. Hehe, macamlah aku ni YB. Dia pun tak heran kut dengan aku.

"Siapa?" Qaeed tanya aku.

Aku pula kerut dahi. Dia pun duduk sebumbung kat sini, takkanlah tak tahu isteri abang dia sendiri.

"Oh, ada... Kejap lagi dia datang." Qais senyum lebar, seolah bangga nak tunjuk isteri kesayangan dia tu. Aku tayang muka biasa je. Tak sabar nak tengok depan mata perempuan yang rampas suami aku dulu.

31.10.2022

...

Writer's comment : Meletup kejap lagi. Haha...

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro