l b p | 0 0

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

10 Mac 2021. Jam 0237. Lelaki Bertopeng Putih.

TUBUH LBP ditolak kasar ke lantai lalu dikunci kemas dengan tangannya. Long, lelaki berbadan gempal yang sedang menghempap tubuh LBP, mengambil kesempatan dengan mengeluarkan pisau rambonya dari poket seluar.

Senyum Long melebar. Dia ketawa besar, mengenangkan kemenangan berada di pihaknya. Hari ini, dia bakal melihat wajah yang sering menganggu hidupnya belakangan ini. Pisau kecil itu dibawa ke belakang, mencipta jarak, sebelum bilah tajam itu dihunus tepat ke topeng muka LBP.

LBP menahan hunusan pisau rambo itu dari menembus biji matanya dengan tangannya. Nasib baik pakai sarung getah. Tapi, pedihnya masih terasa apabila bilah pisau itu berjaya mengoyak kecil kulit tangannya.

"Long, sorry," pinta LBP, tersenyum di balik topeng putihnya. Dia lihat wajah Long berubah riak menjadi keliru. Tak faham. Melihatkan itu, LBP naikkan lutut kakinya lalu celah kelangkang Long diluku kuat. Menjerit-jerit lelaki itu menahan perit. Terus terlepas pisau di pegangannya.

LBP lekas-lekas mengambil pisau rambo Long yang berada di lantai. Kemudian, perut Long ditumbuk kuat. Long terdorong ke belakang. Perutnya terasa senak dicampur lagi dengan pedih di bahagian kemaluannya.

Sepantas kilat, LBP bangun dari baringnya dan kali ini, mengunci pula pergerakan Long di bawahnya. Hujung pisau rambo itu dibawa ke leher Long.

Long terus kaku, tidak mahu pisau itu menembus kulit lehernya jika dia berdegil untuk bergerak.

LBP pula langsung tak berniat untuk membunuh Long. Sebaliknya, dia rasa simpati melihat lelaki itu. Lelaki itu nampaknya dah berusia. Dalam 60-an. Tapi terpaksa buat kerja kotor untuk sara diri yang serba susah.

Tapi, LBP, niat tak menghalalkan cara. Hatinya berbisik tegas, mengingatkan tuan empunya badan.

LBP menghela nafas panjang sebelum dia tersenyum di balik topengnya.

"Good night, Long."

Bunyi siren polis kedengaran jelas di telinganya kini.

Tugasnya dah tamat.


25 Februari 2020. Jam 2346. Raihanah Jazmin.

SEBUAH kereta kancil lusuh perlahan-lahan berhenti di bahu jalan. Jalan kecil di kawasan yang jauh dari bandar itu sunyi sepi.

Raihanah tersandar keletihan di kepala kerusi. Stereng digenggam kemas. Dia melepaskan keluhan panjang. Matanya dipejam rapat, ingin berehat meskipun sesaat. Tetapi tak mampu.

Jiwanya bercelaru. Semua masalah yang datang menyerang pada masa yang sama tidak membenarkan dia berehat dengan tenang. Semuanya rasa tak kena.

Dia gagal lagi hari ni.

Raihanah mengetap bibir. Matanya berair. Tangannya menumbuk-numbuk stereng kereta, melepaskan geram dan kecewa.

Ya Allah, aku gagal lagi. Hatinya berbisik, kesal.

Dah dua tahun dia mencari keberadaan ayahnya, tapi tak pernah ketemu. Ayahnya terus hilang tanpa khabar. Ibunya pula terlantar di hospital sejak tiga tahun lalu. Jantungnya masih berdetak, tapi matanya terus terkatup. Dah lama ibunya itu terlena, seolah-olah dah hilang semangat untuk mencelikkan matanya kembali.

Adiknya pula, asyik tertangguh pelajaran. Dah setahun. Dia cuba membiayai pembelajaran Razif tapi kos sara hidup yang tinggi, ditambah pula wang perbelanjaan sekolah dan rawatan ibunya, dia jadi lelah.

Raihanah kesat air mata. Tak, dia tak boleh terus menangis. Razif sedang menunggunya pulang di rumah. Razif satu-satunya keluarga yang dia boleh bergantung harap ketika ini.

Dia tak mahu Razif menghadapi kehilangan buat kali keempat pula. Dia mesti kuat. Raihanah yakin, pasti ada jalan.

Raihanah menukar gear kereta, bersedia untuk bergerak masuk ke laluan jalan. Namun, kerana terlalu asyik dihanyut perasaan, Raihanah tak perasan, ada sebuah kereta berjenama Audi Q3 sedang meluncur laju dari arah belakang.

Kereta itu membunyikan honnya. Panjang. Namun, saat Raihanah perasan akan kereta itu, semuanya dah terlambat. Dia tak sempat untuk menjerit. Hanya detak jantungnya yang semakin laju menjadi bunyi terakhir yang dia dengar sebelum dunianya terus gelap.

Sebuah lagi kereta yang berada di belakang kereta Audi Q3 pada jarak yang dekat, tak sempat mengelak. Tiga buah kereta itu akhirnya berlanggar sesama sendiri.

Kepulan asap putih keluar dari kumpulan kereta itu. Kenderaan berenjin itu masing-masing berbunyi nyaring, memecah sunyi di jalan kecil itu.

Kemalangan pada malam itu ternyata menjadi titik permulaan mimpi ngeri buat Raihanah.


14 Januari 2021. Jam 1000. Naina Matissa.

Kertas itu dipegang dengan tangannya menggigil hebat. Satu baris ayat itu ternyata memusnahkan segalanya. Dia bungkam. Jantungnya luluh membaca isi kertas itu.

Naina memandang lelaki yang berada di hadapannya. Dia terus merenung dengan riak keliru. Mulutnya terkunci. Naina hilang kata untuk diungkapkan. Berita ini terlalu mengejutkan.

Mulut lelaki di hadapannya terbuka dan memberitahu segalanya kepada wanita berkerjaya yang sudah bergelar Puan Sri itu. Naina mendengar tanpa mencelah. Selesai lelaki itu menerangkan semuanya, Naina bangun.

Dengan langkah longlai, dia keluar. Naina langsung tak pedulikan lelaki yang berada di hadapannya dan pantas saja berlalu pergi.

Naina memegang kepala yang sakit seraya mengusap dada yang berdebar kuat. Wajah keluarganya tertayang di layar mindanya. Satu per satu.

Wanita itu mengetap bibir.

Ini bala, Ya Allah. Hati kecilnya mengadu bimbang.


23 Mac 2020. Jam 1455. Fariel Iskandar.

KAKINYA yang kaku direnung dengan riak kosong. Sedangkan dalam jiwanya, bagai tsunami yang membadai bumi. Huru-hara. Air matanya menitis.

Tak pernah dia sangka, semuanya berubah dalam masa sehari. Tak pernah juga dia membayangkan, air matanya akan turun kerana kecewa. Pemegang kerusi roda yang dia duduk dicengkam kuat.

Dadanya yang berombak perlahan semakin laju ritmanya. Fariel menghamburkan tangisnya.

Di mana Fariel yang kuat? Semuanya hilang! Tiada yang tersisa. Masa depannya dirasakan gelap.

Fariel menjerit nyaring, melepaskan kesakitan yang dirasainya. Dia memukul-mukul pehanya. Separuh badannya sudah lumpuh. Dia tak mampu berjalan seperti dulu.

"Geraklah, bodoh! Geraklah!" tempik Fariel. Dia berusaha untuk menaikkan kakinya. Tapi sakit. Nak menggerakkan jari kaki pun dah terasa pedih yang amat. Apatah lagi kaki.

Badan Fariel tertunduk. Dia menangis semahu-mahunya. Tak pernah dia tahu dia selemah ini.

7 Mac 2020. Jam 2152. Yanny The Surrogate.

"Dia?" Suara garau itu memecah sunyi di dalam sebuah bilik. Suasana bilik mewah itu tegang. Seorang lelaki yang hanya berdiri tegak di hadapan Yanny mengangguk kecil. Mukanya tenang meskipun riak Yanny berubah bengis.

"Dia puncanya?" Sekali lagi, Yanny menyoal, tapi lebih kepada diri sendiri. Dia merenung benci pada sekeping gambar yang dikepilkan bersama-sama helaian kertas yang tersimpan butiran peribadi orang itu.

Yanny mengetuk-ngetuk meja kerjanya. Dia tersenyum. Salah satu gambar itu diambil lalu diletakkan di sebuah papan corkboard. Ada beberapa gambar lain di situ. Tapi semuanya sudah hancur.

Lelaki itu mengambil pisau lalu dihunus tepat ke wajah manusia di dalam gambar itu.

"Tuan nak saya uruskan dia?" Sengaja lelaki yang hanya memerhati tadi, menyoal.

Yanny tergelak kecil. Dia tahu, lelaki itu sengaja ingin mengusiknya dengan bertanya benda bodoh.

"Oh, come on! Dia dah masuk dalam Death Board aku. Mestilah aku yang akan uruskan dia. Nampaknya, aku ada seorang lagi VIP hari ni." Kening Yanny terjungkit, teruja.

Di sebelah sekeping gambar yang dia baru lekatkan tadi, ada sekeping lagi foto di sebelahnya.

Seorang lelaki berhoodie hitam dengan topeng putih di mukanya.

Rahsia, pengkhianatan dan cinta. Semuanya bermula di sini.

Tarikh - 190321

Masa - 2400

DJ's prescription :

√ Jangan lupa vote dan comment kalau awak enjoy dengan bab ni.

√ Bab ni bosan? Boleh utarakan di komen atau di private message. DJ boleh buat penambahbaikan.

✓ Terima kasih kerana sudi membaca, vote atau komen.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro