Bab 15

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

PANDANGANNYA yang pada mulanya kabur menjadi semakin jelas. Cahaya mentari terasa mencucuk kornea. Sakit. Kelopak mata ditutup seketika sebelum perlahan-lahan, Raihanah mencelikkannya kembali.

Raihanah merasakan kepalanya seakan-akan dihempap batu besar. Ingin menoleh pun rasa lenguh. Pening pun ada! Setelah beberapa ketika, Raihanah kuatkan juga dirinya untuk bangun.

Tapi belum sempat dia bangun, dia merasakan ada satu tangan yang tiba-tiba saja memeluknya erat. Dan tatkala kepalanya berpaling melihat empunya tangan, seorang budak lelaki berada di sisi.

Raziq.

Wajah Raziq merah. Dahinya berkerut bersama air mata yang berjuraian di pipi. Bibir kecil itu juga terketar, menunjukkan betapa takut dan bersyukurnya Raziq rasakan tika itu.

Raihanah mengukir senyum dalam kepayahan. Lega. Sangat-sangat lega melihat darah daging yang tinggal kini selamat di depan matanya sendiri.

"Adik, kakak bangga sangat dengan adik. Terima kasih sebab selamatkan kakak tau!" Nada suara Raihanah seakan berbisik. Masih dikuasai rasa loya dan pening akibat dari kesan ubat yang telah diberi minum.

Raziq meneruskan esakan tanpa suaranya sambil mengangguk laju. Hanya dakapannya saja yang masih kemas di bahu si kakak.

"Adik, kakak nak tanya... kita dekat mana?" Suara serak Raihanah menyoal. Anak matanya memerhati bilik besar itu.

Kanak-kanak berusia 12 tahun itu mengesat hingusnya lalu bahasa isyarat mula dibentuk dengan jari tangannya.

'Kita dekat rumah bakal suami kakak. Dialah yang selamatkan kakak.'

Mata Raihanah membuntang. Pantas, dia bangun dari perbaringan.

"Ha... Haries?"

Kepala Raziq terangguk-angguk, mengiakan.

"Jadi, dia... dia dah tahu semuanya ke? Pasal keluarga kita?" soal Raihanah, gugup. Walaupun kepalanya masih terasa berpusing tapi ternyata perkara ini berjaya membuatkan dia lupa akan rasa itu.

"Ya, Raihanah Jazmin. Saya akan tahu bila awak beritahu saya nanti." celah Haries tiba-tiba dari muka pintu.

Lelaki itu sedang menatang dulang dengan semangkuk bubur ayam dan air kosong. Tersedia beberapa pil di tepi gelas.

Badan Raihanah mengeras. Terkejut mendengar suara garau itu.

"Dah, makan. Lepas tu, telan dua biji ubat. Jangan tak makan. Saya takut kesan ubat yang mereka bagi masih ada," ujar Haries lalu dulang itu diletakkan di tepi meja.

"Raziq boleh beri kakak makan? Nanti, panggil abang. Abang ada benda tak puas hati dengan kakak awak ni." Sempat lagi hujung mata Haries menjeling gadis itu.

Geram dan ya, sangat geram! Dia ingin tahu semuanya namun dia perlu fikirkan juga keadaan gadis itu. Dia tidak mahu terburu-buru memandangkan ubat yang ditelan Raihanah bukan ubat biasa.

Raziq pula hanya akur. Dia sudah percayakan Haries. Dia tahu Haries takkan melakukan sesuatu yang tak baik kepada Raihanah.

Dia merenung si kakak sebelum bibirnya lambat-lambat tersengih-sengih.

Habislah kakak.

▶️ ▶️ ▶️

LELAKI itu mengambil tepat di kerusi di gazebo bilik yang diduduki Raihanah. Tajam renungannya ke anak mata gadis itu.

"So?" Kedua-dua keningnya terjungkit.

"Saya tak rasa kisah hidup saya penting untuk diceritakan." Dalih Raihanah tanpa memandang Haries. Dia lebih selesa melihat pemandangan bandar yang terbentang luas di hadapannya.

"Tak penting? Sedangkan saya ialah bakal suami awak?" Jari telunjuk Haries lurus menuding ke arah dirinya sebelum bertukar arah ke wajah keruh Raihanah.

"Sebab kisah saya bukannya sedap untuk didengar."

"Sedap atau tak, itu bukan yang saya nak tahu sekarang." Bidas Haries.

Raihanah melepaskan keluhan lemah. Dia memandang air muka tegang Haries melalui hujung mata. Mungkin dia memang sudah tiada pilihan lain.

Dia mahu mengelak tapi Raihanah tahu dia tak mampu. Gadis itu takut. Bukan kerana takut dengan wajah garang itu, tapi dia takut untuk menceritakan segalanya.

Bukan semua orang dapat menerima dirinya yang sebenar. Dirinya yang miskin, hidup seperti tidak berkeluarga. Jika Raihanah pulang ke kampung, pasti ramai mulut yang mencaci. Pasti banyak mata yang memandang hina.

Tapi melihat kesungguhan Haries, alasan yang dicipta bagai lebur sendiri. Lebih-lebih pula Haries lah yang menyelamatkannya semalam. Suka atau tidak, dia terhutang nyawa dengan lelaki itu.

Jadi, untuk menghampakan permintaan Haries pasti bukanlah sesuatu yang mudah.

Setelah lama berdiam, Raihanah akhirnya membuka mulut,

"Saya dulu berasal dari kampung di Negeri Sembilan dan lahir di sana. Hidup saya macam orang kebanyakan. Semuanya biasa dan awak pun tahu, saya ni miskin. Tapi..." Ayat Raihanah tergantung. Sebak menyerbu dadanya.

Andai masa boleh diputar kembali, dia akan berkorban badan jika benar ayahnya dalam kesempitan. Tapi ayahnya seorang lelaki yang suka berdiam dan bertindak seorang.

Haries merupakan orang kedua yang mengetahui tentang kehidupannya yang tak berapa indah ini. Walau ragu-ragu, Raihanah tetap meneruskan ceritanya.

Matanya terhala terus ke pemandangan yang sedikit sebanyak menyejukkan jiwanya.

"Tapi, satu hari, ayah saya berhutang dengan seorang lelaki ni. Bunga dia terlalu tinggi sampai ayah saya tak mampu nak bayar."

"Jadi? Dia serang ayah awak?" duga Haries, terus merenung riak tenang gadis itu.

Kepala Raihanah menggeleng perlahan. "Tak. Si penghutang tu tak serang ayah saya. Tapi ibu saya. Dia buat ibu kemalangan. Sampai sekarang, dia masih koma. Dengan cara tu, dia ugut ayah saya untuk bayar."

Suasana sepi. Air mata Raihanah menitis tanpa gadis itu sendiri sedar. Kesedihan yang sekian lama dia pendam kini terluah.

"Tapi ayah tetap tak mampu bayar. Suatu hari, ayah saya cakap dia nak ke bandar. Cari kerja dan bayar hutang tu. Tapi saya tahu, sebenarnya ayah kena halau sebab difitnah orang kampung."

Haries tergamam. Siapa saja menduga, di sebalik raut tenang dan lembut itu tersimpan kemas satu kisah pahit. Apa saja mampu dia katakan? Simpati? Sangat! Tapi dia tak dapat nak berkata apa-apa sedangkan bukan dia berada di tempat gadis itu.

"Sampai sekarang, ayah tak pernah pulang. Kami tunggu dan tunggu tapi dia hilang macam tu saja. Saya tahu, ada sesuatu tak kena. Jadi saya datang sini untuk cari ayah saya."

Raihanah menarik nafas dalam-dalam lalu dilepaskan kuat.

"Tapi, tulah. Sampai sekarang tak jumpa. Mungkin penghutang tu dah culik ayah saya. Entahlah. Bertahun-tahun mencari, saya tak tahu banyak."

Raihanah angkat bahu. Keadaannya seakan-akan letih. Ya, sejujurnya, dia sudah letih untuk terus mencari. Mencari orang yang telah hilang jejaknya. Mencari kasih yang lenyap entah ke mana. Lagi-lagi pula, tiba-tiba saja ada orang yang asyik memburunya belakangan ini.

"Orang-orang tu?" soal Haries, perlahan nadanya.

Raihanah mengangkat bahunya.

"Saya tak tahu sebab apa mereka kejar saya, siapa mereka, dari mana mereka datang. Mereka muncul macam tu saja." Jawab Raihanah lalu pantas menyeka air matanya tatkala menyedari air itu sudah lama menitik ke pipi.

"Tapi saya pasti satu perkara."

"Apa?"

"Mereka ada kaitan dengan kehilangan ayah saya. Saya dapat rasa ayah saya masih hidup. Mungkin dia ada berdekatan dengan saya tapi saya je yang tak tahu," ulas Raihanah panjang sebelum tiba-tiba dia tersedar sendiri.

"Maaf, saya melebih-lebih pula cerita," ucap Raihanah. Sedar dia tidak selayaknya menjadikan Haries sebagai tempat meluahkan rasa.

"No, no. It's okay. Lagi satu, macam mana awak boleh kenal dengan mama?" Haries cuba mengalihkan topik. Tak sanggup pula hatinya ingin terus mendengar kisah sedih bakal isterinya itu.

"Awak ingat tak mama awak pernah kemalangan dulu? Lebih kurang dua tahun lepas? Saya mangsa juga. Sejak tu, kami berhubung rapat."

Haries berfikir sejenak sebelum kepalanya terangguk laju. Mengingati semula bagaimana huru haranya rumah mereka apabila Puan Sri Naina cedera akibat kemalangan kecil dua tahun lepas.

Kemalangan yang melibatkan tiga pihak. Tidak dia sangka Raihanah merupakan salah seorang mangsa.

"Tapi saya minta maaf. Saya tahu saya tak layak pun nak berkenalan rapat dengan mama awak. Saya tahu tempat saya bukan di sini."

Haries menjadi serba salah mendengarkan kata-kata Raihanah. Kata-kata yang kedengaran jujur dan sering diulang-ulang di telinga Haries.

Dia tersepit antara dua. Hendak menerima gadis itu sebagai isterinya atau terus berpura-pura?

"Dahlah, tak apa. Saya tak benci awak. Buat sementara ni, saya rasa baik awak duduk je dalam rumah ni dengan Raziq. Rumah saya ni selamat," cadang Haries. Memang itu rancangannya sedari awal. Kawalan di rumahnya sangat ketat dan agak mustahil mereka dapat mencari Raihanah di sini.

"Eh, tak payah! Saya tak nak bebankan awak. Ni rumah awak. Lagipun, nanti..."

Haries segera memintas, "Saya duduk dekat rumah mama. Awak duduk sini. Tapi seminggu sekali, saya akan datang. Awak jangan fikir diri sendiri tapi fikirkan Raziq." Terselit ugutan dalam kata-kata Haries.

Dia bimbang! Dia risau! Dan ya, takkan sesekali dia biarkan Raihanah dan Raziq sendiri. Setelah dia tahu segalanya, dia takkan hendak berlepas tangan.

Namun, ada seperkara lagi yang dia musykilkan. Air muka lembut Raihanah dikerling.

Jika benarlah gadis itu merasakan dirinya tidak layak berada di sini, jadi mengapa gadis itu bersetuju untuk berkahwin dengannya?

Haries mengeluh perlahan. Entah kenapa, syak itu melintas di kepalanya.

Syak yang mengatakan, ada sesuatu yang Raihanah dan mamanya sembunyikan bersama tanpa pengetahuannya.

Rahsia yang kini ditunggu untuk disingkap.

▶️ ▶️ ▶️

DUA beg plastik berzip diletakkan di atas meja bulat. Lima pasang mata tertumpu pada barang-barang itu.

LBP menyilangkan tangannya lalu memandang setiap seorang daripada anak buahnya. Mereka berempat menunggu dengan sabar penerangan yang diberikan oleh LBP.

"Sebelum aku mulakan mesyuarat kali ini, aku nak beritahu kauorang semua sesuatu. Dengar baik-baik." LBP memulakan bicaranya.

"Aku takkan selalu datang ke sini macam biasa. Dan kau pun takkan selalu ikut aku pergi misi macam biasa."

"Kenapa, Ketua?" soal Edri, hairan.

"Sebab Ketua dah simpan perempuan sekarang." celah Addy selamba sambil tersengih-sengih.

LBP memegang kejap kepalanya lalu Addy yang sedang tersenyum sumbing dipandang.

"Kau tahu tak, kau seorang saja paling kurang ajar dalam rumah ni?"

Addy hanya tersenyum, tidak kisah dengan jelingan membunuh daripada ketuanya. Jika nak dibandingkan dengan ular yang pernah melilit kakinya dulu, pandangan LBP bukanlah apa-apa untuk dirinya.

LBP menggaru-garu keningnya kemudian berdehem-dehem sebentar. Agak gugup juga untuk memberitahu perkara sebenar kepada anak-anak buahnya.

"Perempuan tu, Raihanah Jazmin. Bakal isteri aku dengan adik dia, Raziq. Ada samseng kejar dia, jadi aku tumpangkan dia di rumah ni. Apa-apa pun, selagi tak dapat kebenaran aku, jangan keluar dari bilik ni." Amaran LBP, tegas.

Dia tak mahu identitinya sebagai LBP terbongkar begitu saja kerana kecuaian mereka. Dia juga tak mahu Raihanah dan Raziq tahu akan kewujudan bilik rahsia itu.

Rahsianya sebagai seorang Lelaki Bertopeng Putih perlu dijaga serapinya.

"Black, nanti aku akan bagi kau akses CCTV dekat luar rumah ni. Kalau ada benda pelik, roger kat aku."

Black diam. Sama juga dengan yang lainnya. Masing-masing membisu. Mulut mereka berempat ternganga luas mendengar kenyataan daripada LBP.

Selang beberapa saat, keadaan tak semena-mena menjadi kecoh.

"Ketua nak kahwin?" soal Black, teruja.

"Sejak bila?" Andy pula menyoal.

"Seriuslah, Ketua?" Addy terjerit.

"Bila, bila?" Edri pula lebih ingin tahu tarikh perkahwinan LBP.

"Eh, dah! Dah! Aku bukan nak cakap pasal perkahwinan aku. Sekarang ni, aku nak bincang pasal benda lain." Suara LBP yang naik membuat mereka semua terdiam. Tahu ini bukanlah masa untuk mereka bermain-main seperti selalu.

Mereka berempat serentak melepaskan keluhan panjang. Sangat panjang hingga LBP turut ingin mengeluh sekali. Dia memicit kepala.

"Raihanah Jazmin, bakal isteri pilihan mama aku. Kami akan bernikah lagi empat bulan, sehari sebelum hari jadi aku. Puas hati?" jelas LBP sekali nafas.

Mulut mereka membentuk O. Bibir keempat-empat mereka menggaris senyum. Tak sangka ketua yang disanjungi mereka akan berkahwin dalam masa terdekat ini. Tak dijangka, LBP yang kelihatan seperti ingin membujang hingga mati rupanya akan mendirikan rumah tangga.

"Sudah! Kau semua nampak dua buah dompet tu?" Mata Haries melurus ke arah tengah-tengah meja dimana barang yang dikatakan berada.

"Aku dapat barang ni semalam. Ini ialah milik dua orang mangsa yang aku jumpa di bilik bawah tanah Syarikat Haiy." Beritahu Haries.

Andy mencapai beg plastik pertama manakala Edri mengambil beg plastik kedua.

Black mengerutkan keningnya. "Ini je yang Ketua dapat?" soal lelaki berkulit sawo matang itu, sukar hendak percaya.

Haries sentiasa kembali daripada misi mencari maklumatnya dengan pelbagai dokumen-dokumen penting. Tapi nampaknya tidak kali ini. Hanya dua buah dompet lusuh yang berlainan jenis yang ditunjukkan kepada mereka.

Haries yang faham dengan apa yang difikirkan Black duduk di kerusinya. Tangan disilang ke dada.

"Sebab bilik bawah tanah tu bukan information base kumpulan The Oscura. Tapi tempat dia sembunyikan mangsa yang dia seksa." Jawab Haries, tenang. Matanya memandang jauh ke hadapan.

"Well, honestly, aku tak jumpa apa-apa selain seorang mangsa yang bertukar kanibal dengan seorang mayat yang baru mati semalam." Sebelah kening LBP terjungkit.

Air muka keempat-empat anak buahnya bertukar pucat. Faham dengan ayat ketua mereka. Faham bahawa kumpulan mafia yang mereka sedang kejar ini bukan seperti sebelum ini.

Ketua untuk The Oscura sangat licik dan begitu pandai bersembunyi di sebalik topeng yang pelbagai.

Sedangkan 426 pun mengambil masa yang agak lama untuk mencari identiti sebenar The Oscura kerana mereka satu-satunya kumpulan kongsi gelap yang tidak menggunakan sebarang teknologi untuk menyimpan maklumat kumpulan mereka.

"Tapi, Ketua. Terang-terang kita ada bukti untuk dakwa Syarikat Haiy kerana melakukan kesalahan jenayah." Ujar Black.

LBP memandang Black lalu mengangguk, mengiakan.

"Yes. Memang kita boleh dakwa dia. Tapi kita kena ingat satu perkara. Kumpulan yang kita sedang berhadapan ini ialah The Oscura. Ini kumpulan kongsi gelap yang paling lama di Malaysia. Kalau setakat samseng-samseng lain tu, mungkin kita boleh gunakan cara mudah tu but not this time." Ulas LBP.

"Jadi, apa kita nak buat?" Andy menyoal.

"Teruskan cari maklumat. And one more thing, I can't say for sure, but kita kena cari helah untuk masukkan dia dalam perangkap."

"Mesti susahkan?" keluh Addy. Nak gunakan tipu daya dengan The Oscura. Pastinya tak semudah seperti yang dikatakan.

"And dompet ni?" Jari Andy melurus pada dua buah dompet yang masih di dalam beg plastik.

"Andy, kau ambil dompet kedua ni dan cari maklumat pasal pemilik dompet ni. Apa yang dapat aku ringkaskan, pemilik dia dah mati dan berumur dalam lingkungan 70-an."

Manakala dompet di dalam beg plastik pertama diambil.

"Sebab pemilik dompet ni masih hidup, jadi biar aku yang cari dan uruskan semuanya." Ujar LBP sebelum mengakhiri mesyuarat mereka pada kali ini.

LBP menggenggam kemas dompet kepunyaan lelaki kurus itu. Apa-apa pun, lelaki kurus itu perlu bebas terlebih dahulu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro