Bab 18

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

PINTU bilik stor yang tertutup rapat ditendang kasar. Melepaskan segala yang berbuku di hatinya sejak tadi dengan sepakan.

Bergegar isi rumah dengan bunyi hentaman yang terhasil. Pintu kini terkuak lebar.

Seorang kanak-kanak lelaki yang sudah pengsan di lantai bilik menyapa pandangan Haries. Matanya kini perlahan-lahan memerhati setiap seorang pesalah di dalam ruang kecil itu.

"Ke... Ketua," Tergagap suara Addy menyebut panggilan untuk Haries. Badannya jelas menggigil melihat LBP kini berdiri di hadapannya seperti seorang pembunuh bersiri. Bukan seperti LBP yang Addy kenali.

Separuh wajah Haries telah dilindungi dengan topeng kain. Namun sepasang mata itu terhala terus ke arah Addy yang terduduk di lantai.

Addy menelan liur. Susah benar! Liur itu bagaikan tersekat di rengkung. Jantungnya seolah-olah ingin tercabut dari tempatnya.

Aura yang dibawa Haries kali ini amat berbeza. Sebelum ini, jika lelaki itu marah sekalipun, hanya renungan dan jelingan membunuh yang diberikan kepadanya.

Tapi kali ini, selepasnya tidak sama seperti sebelum ini. Mata itu hanya merenung kosong ke dalam anak matanya. Sangat kosong hingga Addy terketar takut. Dia tak sanggup untuk menentang renungan mata perang itu namun dia juga tak berdaya hendak melarikan anak matanya.

Addy seolah terkaku di tempatnya. Hanya tubuhnya saja yang menggeletar dirasuk ketakutan.

Haries menapak lambat-lambat. Tatkala berada benar-benar di hadapan Addy, Haries mencangkung. Mulutnya dibiarkan terkunci. Hanya matanya galak merenung.

"Ketua, ampun," pinta Addy antara dengar dan tidak. Kotak suaranya hilang ditelan kegerunan.

Tangan Haries naik menyentuh bahu berisi Addy. Lelaki tembam itu jelas tersentak. Badannya mengeras. Peluh dingin mula merenek di dahi.

Tangan Haries menepuk-nepuk lembut bahu Addy sebelum ia bergerak ke leher lelaki itu.

"Ketua." Suara Addy benar-benar seperti ingin menangis. Ketakutan yang tiada bicaranya.

Apabila leher Addy sudah berada dalam pegangan kemas Haries, lelaki itu perlahan-lahan menekan urat leher mangsanya.

Addy yang ingin bersuara menggelupur seketika. Air liur yang ingin turun ke kerongkong bertakung di ruang mulut. Matanya sudah berair menahan sakit tatkala merasakan lehernya di dalam cengkaman Haries.

Kerlipan matanya bertukar ganti. Sekejap terbuka kemudian tertutup kembali. Anak matanya meliar ke serata tempat sebelum ianya melekat ke raut kosong Haries.

Tak mungkin! Tak mungkin Ketua akan buat macam ni pada aku! Hati Addy menjerit, menidakkan apa yang dia lihat.

Tangan kiri Haries menggenggam kemas pisau rambo. Hujung pisau itu didekatkan ke leher berlemak Addy. Semerta, rasa pedih mencucuk kulit Addy.

Haries merapatkan bibirnya di telinga Addy sebelum suara garaunya halus berbisik,

"Mungkin kau lupa satu lagi perangai LBP. Dia..."

Nafas Addy tersekat-sekat. Air matanya jatuh ke pipi.

"... akan jadi gila kalau orang buat dia marah," sambung Haries.

"Ketua, dahlah. Takkan ketua nak bunuh dia?" Black akhirnya bersuara, cuba menghalang tingkah di luar kawalan LBP.

Haries diam. Badan Addy ditolak kasar lalu dia kembali berdiri. Pisau rambo disimpan kembali dalam poket lalu kedua-dua tangannya ditepuk-tepuk.

"Buat apa aku bunuh dia? Bukan sedap makan pun," ujar Haries, kembali pada ton dan nadanya yang normal.

Puas sungguh hatinya melihat wajah pucat Addy sebentar tadi. Sakit hatinya terlerai sedikit apabila lelaki itu mula menangis. Manja!

"Addy, you're grounded. Lauk kau selama sebulan ni hanya makanan hijau saja. Black, latihan dia, doublekan," arah Haries lalu tubuh Raziq diangkat.

Sebelum berlalu, Haries berpaling ke arah Addy yang masih terketar lutut.

"Addy, please behave. Aku tak nak sebab kau, karier aku hancur." Terselit amaran dalam tutur kata Haries.

Badan kecil Raziq diletak elok di atas sofa. Beberapa saat kemudian, dia tersenyum simpul sebelum letusan tawanya kedengaran berdekah-dekah mengisi ruang tamu.

Geli hatinya melihat muka tidak cukup darah Addy sebentar tadi. Sampai tercungap-cungap, tergagap-gagap nak bersuara. Haries tahu, jika dia tidak bertindak seperti itu, lelaki tembam itu akan terus-terusan melanggar arahannya.

Jikalau dulu, mungkin dia tidak berapa kisah memandangkan rumahnya hanya bertuankan dia. Namun sekarang dah berbeza. Ada Raihanah dan Raziq. Silap hari bulan, terbongkar identitinya nanti.

Memang Haries akan meroyan macam orang gila!

"Aku harap tak ada lagilah Addy curi-curi masuk dapur ambil makanan lagi. Penatlah nak bebel je," omel lelaki itu lalu menggosok-gosok belakang kepalanya.

Topeng kain ditanggalkan lalu disimpan dalam poket seluarnya. Dia memeriksa keadaan Raziq. Mencari punca kanak-kanak lelaki itu boleh tidak sedarkan diri.

Tapi Haries merasakan mustahil mereka memberi ubat pelik-pelik pada Raziq. Paling teruk pun, budak lelaki itu pengsan kerana dipukul di bahagian kepalanya.

"Hish, budak seekor tu. Patutlah keempat-empat orang aku call, tak ada siapa jawab. Bukan tak mampu nak jawab, tapi takut nak angkat!" Tanpa sedar, mulut Haries membebel sendiri.

▶️ ▶️ ▶️

DOMPET lusuh itu dipegang kemas. Sepasang matanya yang merenung dompet kain itu bergenang dengan air mata. Ibu jarinya menyentuh bentuk di sudut dompet itu dengan rasa yang bercampur baur.

"Ayah," rintihnya, sayu. Setitik air matanya jatuh. Fikiran Raihanah bercelaru. Perasaan dan warasnya akal sudah tak seiring.

Raihanah terkaku di dalam kereta. Badannya lemah, terasa sendi badannya direnjat elektrik yang maha hebat. Mulutnya dikemam, tak mampu lagi untuk menutur walau sepatah kata.

Emosinya juga seakan dilanda badai dan taufan yang datang tiada henti. Pelbagai andaian berlumba-lumba masuk ke lautan akalnya hingga Raihanah buntu sendiri.

Beberapa lama, hanya lagu tangisan yang mengisi kesepian di dalam kereta milik Haries. Kecelaruan yang tidak mampu diungkapkan dengan bicara diluahkan dengan air mata. Air mata yang tiada pasang surutnya.

Tanpa Raihanah sedari, Haries sudah menghampiri pintu kereta, ingin menjemput gadis itu masuk kembali ke dalam rumah.

Tapi niat Haries terbantut saat melihat dompet kain yang disimpan rapi di dalam beg plastik kini berada di tangan Raihanah. Jantungnya berdetak laju.

Marah yang surut tadi kembali mencanak naik. Haries pantas membuka pintu keretanya lalu dompet lusuh di tangan Raihanah dirampas kasar. Air muka Haries berubah garang.

"Siapa bagi awak kebenaran usik barang saya?" Suara Haries naik seoktaf.

Raihanah yang tersentak mengalihkan pandangannya ke arah Haries yang berdiri di luar kereta.

Kening gadis itu bertaut rapat. Jelas hairan dengan ayat yang keluar dari dua ulas bibir lelaki itu.

"Barang awak? Tu barang awak, Haries?" soal Raihanah, beremosi. Anak matanya tunak merenung sepasang mata Haries yang tidak mahu kalah.

"Benda ni barang saya. Awak ambil dari beg sayakan?" Dengus Haries lalu beg sandang di tempat duduk belakang dicapai, ingin memasukkan kembali dompet itu ke dalam beg.

Tapi Raihanah pantas menahan. Dompet di tangan Haries kini pula diambil secara paksa.

"Awak tipu! Sejak bila dompet ni jadi milik awak! Sejak bila barang ni jadi kepunyaan awak?! Mana awak dapat dompet ni, Haries?" tengking Raihanah. Buat pertama kalinya, suaranya yang sering direndahkan di hadapan Haries meninggi.

Bukan niatnya untuk melawan tapi jauh di sudut hati, jiwanya sesak dengan pelbagai andaian. Andaian yang semestinya bukanlah sesuatu yang baik.

Lelaki itu terkedu saat Raihanah menengkingnya sebegitu rupa. Seolah-olah dialah punca kemarahan Raihanah tika itu. Seakan-akan, dialah yang telah menumpahkan air mata gadis itu. Kata-kata Raihanah hanya masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Sejujurnya, dia lebih terganggu kepada punca emosi gadis itu yang tiba-tiba saja berubah arah.

"Raihanah, why are you crying?" soal Haries, lembut. Tak jadi ingin marah lebih-lebih melihatkan air mata itu. Air mukanya jelas terlukis kebimbangan. Badannya direndahkan sedikit untuk memandang wajah yang sudah basah itu dengan lebih jelas.

Kening Raihanah bertaut rapat. Sakit hati! Geram! Dia terjerit seperti nak terkeluar anak tekak, Haries masih boleh bertanya kenapa?

"Haries, awak masih boleh tanya kenapa? Saya tahu dompet ni bukan awak punya. Mana awak dapat dompet ni? Tell me! Just tell me!"

Tolonglah, dia tidak mahu berfikir yang jahat-jahat tentang lelaki itu. Lelaki yang telah banyak membantunya walau adakalanya dia akan sentiasa dilayan acuh tak acuh. Dia mahu buang prasangka yang kini berlegar di kepalanya.

Prasangka bahawa kehilangan ayahnya ada kaitan dengan Haries. Prasangka bahawa Haries itu bukan dari lelaki yang baik.

"Raihanah, seriously, kenapa awak nak tahu sangat pasal dompet ni? Kenapa awak cakap dompet ni...."

Kata-kata Haries segera dipintas, "Sebab ni dompet ayah saya! Ayah saya yang hilang..." Suara yang tinggi tadi kian merendah. Anak mata Raihanah ditenggelami kesedihan yang mengasak jiwa.

Haries tergamam. Akalnya jadi kacau dengan kenyataan gadis di hadapannya. Jadi, mungkinkah lelaki yang dilihatnya beberapa hari lepas merupakan ayah kandung Raihanah yang telah hilang?

Lelaki itu cuba menyusun serpihan-serpihan klu dalam kepalanya. Jika benar lelaki kurus itu ialah seperti yang didakwa Raihanah, maka kemungkinan besar orang-orang yang datang mahu menculik Raihanah dan Raziq tempoh hari juga dari kumpulan yang sama?

Tapi kenapa? Kenapa Sovrano hendak menjadikan dua beradik itu sebagai tahanannya jika ayah Raihanah sudah pun ada dalam genggamannya? Haries yakin ketua The Oscura bukanlah seorang samseng yang terlalu fokus pada perkara yang sia-sia. Logik akalnya, buat apa mahu pedulikan Raihanah jika sudah ada ayahnya? Hanya sebab hutang?

Haries memegang kepalanya yang berdenyut. Maklumat yang diterimanya hari ini berjaya membuatnya gila.

"Haries, jangan seksa saya. Ayah dekat mana? Ayah saya... dekat mana?" soal Raihanah bertalu-talu. Kepala dan jiwanya sakit.

Raihanah mahu tahu segalanya!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro