Bab 7

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

BAHU Haries ditampar kuat dari arah sisinya hingga membuatkan badan lelaki itu terdorong ke hadapan. Nasib baik saja dia sedang duduk di atas sofa dan bukannya berdiri. Jika tidak, pasti dia sudah jatuh tersembam ke lantai macam nangka busuk.

"Wei, Addy! Kau gila ke? Pergi pukul ketua sampai macam tu sekali kenapa? Tak serik-serik kena lilit dengan ular?" marah Black lalu menampar kembali badan besar sahabatnya itu.

Takut-takut, mereka berempat di ruang tamu merenung Haries, seakan-akan menunggu balasan daripada ketua mereka itu.

Tapi Haries masih begitu juga. Matanya terus terarah pada skrin televisyen yang gelap itu. Seakan-akan ada perkara menarik yang terlayar di skrin TV plasma itu.

Mereka berempat saling berpandangan, keliru dengan perubahan sikap Haries yang asyik termenung tidak kira masa. LBP yang mereka kenal sudah tak sama seperti dulu. Konsentrasi lelaki itu sudah lama hilang sejak minggu lepas lagi.

Andy mengeluh lemah lalu berbalas pandang dengan Black. Mereka tahu sangat ada sesuatu mengganggu ketua yang dihormati mereka itu namun apa dan mengapa? Dua persoalan itu masih tidak diketahui jawapannya.

Hendak bertanya lebih-lebih, mereka tak rasa mereka layak untuk mencampuri urusan personal lelaki yang hanya dikenali sebagai LBP itu.

Edri merenung dalam-dalam wajah Haries yang ditutup dengan topeng kain hitam itu. Keningnya bertaut rapat, seperti sedang menganalisis sesuatu dalam kepalanya.

"Aku rasakan masalah Ketua ni mesti ada kaitan dengan perempuan," tebak Edri sambil mengurut dagu gaya detektif dengan mata yang dikecilkan.

Haries yang terdengar hujung ayat Edri rasa tersedak. Tiba-tiba saja air liurnya sendiri rasa tersekat di celah kerongkongan. Haries akhirnya terbatuk-batuk untuk melegakan rasa tercekiknya.

Dahi Haries berlapis tiga. Pedih tekaknya! Lehernya diusap-usap lembut.

"Hoi, Ketua! Kau okey tak ni?!" soal Addy, gelabah lalu terus menepuk-nepuk kuat belakang badan Haries. Berharap dengan caranya dapat membantu mengurangkan kesakitan si ketua yang disayanginya itu.

Haries mengangkat tangannya, menandakan dia baik-baik saja sekaligus menyuruh supaya Addy berhenti memukul belakang badannya. Sakit woi! Sejak Addy melakukan latihan intensif dengannya, kekuatan Addy bertambah berlipat kali ganda.

Addy berhenti namun wajahnya dan air muka anak buah Haries yang lain jelas mempamerkan rasa bimbang terhadap keadaan mental LBP yang kian teruk dari hari ke hari.

Sedang mereka asyik menumpukan perhatian kepada Haries, secawan air diletak kasar ke atas meja kaca ruang tamu bilik rahsia itu. Lyana berdiri berdekatan meja dengan muka tidak beriak.

"Minum!" arah Lyana tanpa rasa takut. Ah, untuk apa lagi dia takut dengan LBP sedangkan dia sudah berbulan-bulan lamanya bersama dengan empat orang lelaki yang entah siapa-siapa dan menjadi orang gaji tetap dalam bilik rahsia yang terletak di bawah rumah LBP ini.

Lagipula dia tahu, mereka berlima takkan pernah sekali menyentuhnya. Hanya kadang-kadang layanan mereka agak kasar.

Haries mencapai gelas minuman itu lalu diteguk rakus. Lega apabila air yang disangkanya hanya air kosong semata merupakan air laici.

"Hei, LBP! Aku tak tahulah apa masalah kau. Tapi kalau kau rasa kau dah tak boleh fokus pada budak-budak kau ni, baik kau balik dan cuba selesaikannya dulu. Dan lepas tu, baru kau datang semula. Aku menyampahlah tengok kau termenung sana, termenung sini. Macam orang bodoh tahu tak? Dah, sekarang ni, kau blah!" bebel Lyana lalu badan Haries ditolak kasar untuk menuju ke arah pintu.

Setibanya di muka pintu, Lyana bercekak pinggang. "Jangan pernah kau datang selagi masalah kau tak selesai!"

Anak-anak buah Haries langsung tak menghalang sebaliknya hanya berdiam dan melihat. Dalam hati, mereka mengakui kebenaran kata-kata Lyana itu. Mungkin cara Lyana kasar, namun mereka berempat tahu, Lyana mengambil berat. Lagak Lyana tak ubah seperti seorang kakak yang sedang memarahi adik lelakinya.

Mereka sudah duduk sebumbung selama berbulan-bulan lamanya. Lyana yang mereka sangka jahat nak mati itu rupanya punya secebis kebaikan dalam diri. Hati Lyana yang keras akhirnya lebur sedikit demi sedikit apabila mula mengenali mereka dengan lebih dekat.

Haries yang dihalau anak-anak buahnya sendiri terpinga-pinga. Namun akhirnya dia akur. Dan dia akui yang dia memerlukan masa untuk selesaikan masalah yang datang.

Masalah bernama perkahwinan.

Argh, dengar saja buat kepalanya kusut. Setelah keluar dari bilik rahsia itu dia merebahkan badan di sofa baldu ruang tamu banglo setingkat itu. Mata dipejam rapat.

Kepala dipegang kejap dengan kedua-dua tangannya sambil mulut terkumat-kamit sendiri,

"Fokus, Haries, fokus. LBP, tolonglah fokus!!"

Minggu lepas, Puan Sri Naina baru saja membuat satu keputusan gila. Dan keputusan itulah punca sebenar kepada kehilangan konsentrasinya sejak belakangan ini.

Usahkan cerita tentang tugasnya sebagai Lelaki Bertopeng Putih, kerjayanya sebagai CEO di syarikat AmiZa Holding pun agak terjejas. Nasib baik Shafira memang jenis yang memahami dari dulu lagi.

"Mama dah putuskan. Lima bulan lagi, sehari sebelum hari jadi kamu, mama akan buat majlis pernikahan kamu dan Hana. Okey?"

Kata-kata Puan Sri Naina seminggu lalu diibaratkan seperti sebuah irama yang mengerikan untuk didengari telinga. Semakin ingin dibuang dan dilupuskan dari kotak ingatan, kian kuat pula ia berdengung di cuping telinganya.

"Jadi Haries. Kamu ada masa tiga bulan saja untuk kenal-kenal dengan Hana sebelum masing-masing akan sibuk dengan persiapan perkahwinan nanti. Mama bagi green light. Kamu boleh ajak dia keluar setiap hujung minggu okey?"

Aduhai, mudahnya perancangan mamanya. Mereka ada masa untuk berkenalan selama tiga bulan saja? Tiga bulan tu terlalu singkat masanya. Dalam sebulan pula hanya ada empat minggu. Dan setiap hujung minggu biasanya digunakan untuk menyelesaikan tanggungjawabnya sebagai LBP.

Membawa perempuan keluar jalan-jalan langsung tiada dalam senarai hujung minggunya. Tolonglah!

Perkara ini tak boleh sama sekali berlaku. Dia ada masa sebulan saja untuk membuatkan gadis itu menolak dirinya untuk dijadikan suami.

Kali ini, aku mesti bertindak lebih kejam dari biasa. Getus Haries dalam hati.

Namun ragu-ragu mencuit hati. Mampukah dia?

▶️▶️▶️

AHAD. Haries mengajak bakal isterinya itu untuk berbual-bual di kafe sahabatnya, Han's Cafe. Mereka mengambil tempat di kawasan yang agak tersorok memandangkan Haries tak mahu perbualannya didengari oleh orang lain.

Setelah masing-masing memesan makanan dan minuman, Haries pantas saja memulakan bicara, "Raihanah, saya nak berterus terang dengan awak." Kedua-dua tangannya dicantumkan di atas meja.

Manakala gadis itu pula kekal tersenyum mesra seperti tidak mengesan kegelisahan di raut muka Haries.

"Ya?"

"Saya tak nak kahwin dengan awak. Saya nak awak tolak perkahwinan ni. Right away!" arah Haries, tegas.

Raihanah masih mengukir segaris senyum lalu menggeleng sopan. "Maaf, saya tak nak. Lagipun, saya tak bencikan awak pun. Buat apa saya nak tolak awak?"

Haries mendengus kasar. Dia menjeling tangannya seketika. Nak tak nak, suka atau tak, bermain kasar adalah pilihannya sekarang ini.

3,2,1... Action!

Rambut diraup ke belakang lalu badan dirapatkan dengan raut lembut Raihanah dan kini mereka hanya dipisahkan dengan sebuah meja bulat.

"Hei, perempuan. Kau faham tak? Sekarang ni, aku. tak. nak. kahwin. dengan kau! Aku tak tahulah kenapa mama boleh terfikir nak ambil kau sebagai isteri aku."

Kepala gadis manis itu tertunduk. Haries mencarut dalam hati melihat wajah yang bersama senyuman tadi berubah kelat.

"Maafkan saya."

"Sekarang ni, kau dengar eh. Kau tak layak langsung jadi isteri aku. Aku benci kau. Benci sampai aku tertanya-tanya, macam mana aku boleh bawa kau keluar hah? Macam mana orang macam kau boleh duduk depan aku sekarang ni?" Pedas ayat yang dilontarkan Haries tepat ke wajah Raihanah yang masih tertunduk.

Jari pula diluruskan pada raut Raihanah dengan mata sengaja dijegilkan, ingin menunjukkan sinar benci dan marah melalui anak matanya.

Sedangkan hati Haries benar-benar seperti diguris kejam. Dia tak pernah sebiadap ini dengan siapa-siapa tidak kira status mahupun nama yang ada pada seseorang itu.

Dia langsung tak peduli tentang kedudukan seseorang. Jika dia kisahkan semua itu, buat apa dia ambil anak-anak buah dari golongan samseng? Mengapa dia boleh benarkan Lyana tinggal di bilik rahsianya?

Sedangkan setiap seorang daripada mereka punya kisah yang tidak layak digelar memori manis.

"Saya minta maaf kalau saya menyusahkan encik. Saya tak kisah kalau encik tak nak bawa saya pergi mana-mana dah. Tapi, Encik Haries," Mata yang hanya tunduk memandang bawah itu mengalihkan pandangannya ke mata Haries.

Mata itu tersinar rasa tekad yang tak mampu dileburkan.

"Saya tetap dengan keputusan saya untuk jadi isteri encik."

Haries bangun daripada duduknya lalu meraup wajah.

Argh, gagal!!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro