11. Hand That You Hold

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Bunyi bergerincing mengejutkan dia dari lena yang terasa panjang. Lisa menggerakkan kepala ke sisi, melihat susuk tubuh yang cukup dikenali sedang duduk di kerusi kayu dengan kedua tangan diletakkan di atas peha, memanggung kepala yang tertunduk. Dia kembali memejamkan mata. Dadanya berombak perlahan. Air mata mula murah membasahi wajah menitis di atas bantal.

Tom pantas mengangkat wajah. Mereka bertentang mata seketika. Lisa menggerakkan tangan menyokong tubuhnya untuk duduk. Gerakannya terhenti melihat kedua kakinya yang terikat pada rantai besi.

"Sorry..." gumam Tom, lemah. Dia sendiri merasa sakit melihat Lisa dibelenggu begitu. Lisa menekup mulutnya menahan tangisan yang mula pecah. Memorinya berputar bercampur aduk dengan emosi.

"Lisa... Lisa dah ingat semuanya. Lisa dah tak lupa seperti sebelum ni. Darah itu dah sebati dalam diri Lisa. Lisa ingat semuanya, ayah. Lisa... nampak semua yang berlaku, tapi Lisa tak berhenti."

Tom berdiri perlahan, mampir langkah demi langkah. Lisa mengangkat tangannya yang menggigil, menghalang Tom dari mendekatinya.

"Pakcik Albert?" bergetar Lisa bertanya.

Tom membalas renungannya dengan pandangan yang cukup sayu. Mata kelabunya tenggelam dalam cecair jernih sebelum dia menggeleng sekali sahaja namun cukup merobek jantung Lisa. Tangannya mencengkam baju di dada. Tangisan pecah menjadi raungan, menangis semahunya. Wajah Albert bermain di minda. Lelaki yang tidak pernah putus memberi senyuman padanya.

"Jangan dekati Lisa."

Langkah Tom mati. Wajahnya merah padam menahan sebak. Matanya basah memandang Lisa yang memeluk kedua kakinya yang dibawa rapat ke dada.

Dari tingkap yang terbuka, salji masih berjatuhan lembut, beralun mengikut hembusan angin membawa kesedihan yang tidak terubat.



RHO MEMANDANG di kejauhan, sinar mentari pagi yang mula menebar di tanah. Wajah pucatnya dibiarkan menyapa jatuhan salji dingin. Seolah-olah dia mendengar tangisan Lisa jauh di sebalik gunung-ganang. Buat pertama kali dia merasa saratnya sebuah kerinduan. Lisa adalah orang pertama yang tersenyum padanya. Insan yang menyedarkan dia adalah manusia yang punya hati dan perasaan.

Luppus yang mengambil tempat di sisi menyedarkan dia dari lamunan panjang. Turut memandang ke arah yang sama.

"Mereka sedang menderita," gumam Rho. Jauh di dalam hati, dia berharap The Lagg tidak ditimpa tragedi yang memilukan.

"Hidup perlu berdepan dengan realiti. Kau kena fikirkan tentang realiti hidup kau juga, Rho."

Rho mengalih pandang pada Luppus.

"Kita kena berpindah dari lembah ini. Aku yakin Death Eater sudah menjejaki kau sejak malam kau menjadi Omicron ketika bertarung dengan Lisa. Pasti kau dengar raungan menakutkan itu, kan?"

Lelaki itu diam membisu. Dia mula menyayangi lembah itu bahkan manakan tahu jika satu hari nanti Lisa mencari mereka, Lisa pasti akan datang ke sini.

"Kau dan mereka saling mengenali. Siapa kau sebenarnya, Luppus? Bertahun-tahun aku tinggal bersama kau, kita tak pernah bertemu dengan mereka. Nampaknya kalian saling mengenali sejak lama dahulu."

"Aku cuma serigala biasa... yang menjaga hutan di sini," balas Luppus, tenang. Salji jatuh mengenai bulu halusnya yang semakin perang.

"Bersiap sedialah. Apabila salji mereda, kita akan mula tinggalkan lembah ini." Luppus beransur pergi meninggalkan Rho yang masih kaku di situ. Beberapa langkah kemudian, dia berhenti berpaling memandang belakang susuk tubuh Rho dengan pandangan yang sukar ditafsirkan.




URAT-URAT HALUS ketara terlihat setiap kali dia memuntahkan isi perut ke dalam baldi kecil. Anna menggosok belakang tubuh Lisa yang terasa semakin kurus. Tubuh Lisa yang hangat dan menggigil dibaringkan lantas dilindungi dengan selimut. Lisa memejamkan mata, terlalu lemah untuk terus berjaga.

Anna beralih pada kaki Lisa. Stokin tebal disarungkan selepas menyapu ubat pada kesan lelesan dari rantai besi. Dia berhenti seketika. Panggilan telefon dari Seroja sebentar tadi meresahkan hati. Sedangkan dia merasa pilu melihat keadaan Lisa, apalagi Seroja sebagai ibu kandungnya.

Pintu ditutup perlahan-lahan tidak mahu mengganggu Lisa yang kembali lena.

"Kita tak boleh berterusan bagi dia ubat sedatif. Badan dia takkan mampu bertahan. Malam tu, aku tembak dia dengan ubat sedatif yang boleh tumbangkan seekor beruang! Dan sekarang tubuh dia mula menerima kesannya. Kita kena fikirkan cara lain," Anthony memecah sepi di beranda yang putih diliputi salji. Kelebihan mereka dapat bertahan dalam cuaca yang begitu sejuk menjadikan mereka tenang menghadapi angin dingin yang menyusup di celahan kulit.

"Aku... akan bawa dia pergi jauh dari sini," putus Tom.

"Tak boleh. Kau akan terkorban dan dia mungkin akan pergi ke tempat lain tanpa kawalan. Keadaan akan menjadi lebih teruk," bantah Anna.

"Cukuplah Albert seorang..."

Masing-masing terdiam sayu. Persalinan hitam yang dipakai selepas majlis pengkebumian Albert tadi masih tersarung di tubuh. Berat menerima hakikat Albert yang selalu menceriakan suasana kini sudah tiada.

Tangan Tom naik ke wajah, menolak rambutnya ke belakang. Buntu.





TIADA SIAPA yang menjawab saat Lisa bertanya keberadaan Alex. Masa seakan terhenti di dalam bilik itu. Sekali lagi Lisa hampa apabila permintaannya untuk bertemu Alex tidak mendapat respon.

"Saya akan bawa Alex ke sini," Anna memecah sepi. Semua mata ditala ke arahnya, membantah dalam diam.

Lisa mengerti maksud pandangan mereka. Dia benar-benar merasa terpinggir dan tidak berguna.

"Saya percayakan Lisa," Anna memandang Lisa yang jelas murung. Lisa sudah disayangi seperti anak perempuan kandungnya dan dia takkan membiarkan Lisa merasa terpinggir. Lisa mengangkat wajah memandang Anna, terharu.

Atas nasihat Anthony, Lisa menelan ubat penenang sebelum Alex tiba. Anna menyikat rambut Lisa dan didandan rapi. Wajah pucatnya dibedakkan agar Lisa berhenti merasakan dirinya adalah raksasa. Walaupun Lisa tidak bersuara, namun bahasa tubuh menyatakannya. Beberapa kali Lisa menghalang dia mendekat namun dia buat tidak peduli. Lisa bukan orang asing. Dia tetap sebahagian keluarga mereka.

"Kamu cantik macam Seroja," puji Anna saat mereka memandang ke dalam cermin. Lisa hanya memandang seketika sebelum meletakkan cermin itu terlindung dari penglihatan. Dia takut melihat matanya sendiri.

Anna meninggalkannya sementara dia berdiri di tingkap, melihat permukaan tanah yang memutih. Nampaknya kali ini dia tidak lagi berpeluang berlari gembira di atas salji itu.

Bunyi pintu dibuka membuatkan dia menoleh spontan. Mereka berpandangan seketika.

Rambut itu masih perang. Musim sejuk menjadikan wajahnya kemerahan. Senyuman itu masih sama namun ada rasa sepi yang sarat di sebalik anak matanya.

Anak mata Lisa beralih pada kerusi roda yang diduduki Alex. Mulut yang separuh terbuka ditekup kuat. Tubuhnya menggigil hebat. Alex menggerakkan kerusi rodanya ke hadapan melepasi pintu.

"Berhenti," ucap Lisa. Alex mematung di atas kerusi roda. Dia tahu Lisa merasa bersalah melihat dia kini tidak lagi mampu melangkah. Lumpuh selepas serangan Lisa ke atasnya.

Lisa tersandar ke dinding. Air matanya semakin laju membasahi pipi.

"Oh Tuhan... maafkan aku, Alex. Maafkan aku..." Lisa meraung pilu, tubuhnya tersorot di dinding hingga terduduk di atas lantai. Rantai yang membelenggu kaki bergerincing saat dia memukul dadanya, kesal. Kepalanya digeleng tidak mampu menerima kenyataan.

Alex mampir ke hadapan Lisa. Matanya sendiri sudah basah. Melihat keadaan Lisa yang dulunya selalu tersenyum, hatinya terasa hancur berkeping-keping.

"Lisa... bukan salah kau." Dia turun dari kerusi roda, mengengsot ke hadapan Lisa yang menyembamkan muka pada lutut. Ditarik tangan Lisa yang menggigil, digenggam erat.

"Jangan dekati aku, Alex. Aku pembunuh. Aku raksasa. Maaf... maaf, Alex. Maafkan aku... maafkan aku..." Lisa memandang anak mata Alex dengan kedua tangannya disatukan, merayu Alex memaafkan dia. Dia diburu rasa bersalah bergendang pilu.

"Dengar, Lisa. Aku tak pernah salahkan kau."

Lisa terus mengongoi pilu. Alex menarik tubuh yang semakin kurus itu ke dalam pelukan. Didakap erat berkongsi kisah sedih yang tidak terubat.

Di luar bilik, Anna tersedu dalam dakapan Hendrick. Tom tunduk menghadap pemandangan di luar sana. Mereka semua merasa tersayat pilu.

Hilangnya jenaka Albert.
Hilangnya senyuman Lisa.
Hilangnya ceria Alex.

Sunshine will comes
To all who feel rain...
Someday...


Notes : kenapa cerita ni macam makin jauh...

Flizwn🍃

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro