8. Missing Pieces

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Will you call me to tell me you're alright?
'Cause I worry about you the whole night,
I won't sleep 'til you're safe inside...

Hujung jari menyentuh tubir mata yang basah. Sebelah tangan menjadi alas kepala sambil dia berbaring menghadap langit malam. Dada langit bercorak indah dengan kelipan bintang, bagai memujuk hatinya yang berlagu pilu.

"Hei," tegur Hendrick. Dia mengambil tempat di sisi Tom. Perlahan-lahan Tom duduk dari pembaringan. Unggun api dipandang sayu.

"Dia saja yang aku ada, Hendrick," suara kedengaran serak. Hendrick menepuk bahu Tom dengan lembut.

"Seroja?"

Tercetus senyuman di wajah hambar Tom. Dia menjeling Hendrick. Dari Anna dia mendapat tahu Seroja mencari dia dan Lisa di Amber Hills namun entah mengapa dia tidak ada kekuatan untuk bersemuka dengan isterinya itu.

"Kau tak pernah lepaskan dia, kan?"

"Dia beritahu aku, satu hari nanti bila dia nak aku lepaskan dia, dia akan datang cari aku di sini."

"Jadi, dia masih isteri kau?"

Jeda. Tom menyebak rambut ke belakang.

"Dia sebahagian dari hidup aku, Hendrick."

Mereka berbalas senyum dalam limpahan cahaya unggun yang masih marak. Sudah beberapa hari mereka merentas hutan tebal mencari jejak Lisa namun buntu. Tiada langsung jejak atau panduan di mana keberadaannya. Aneh! Walhal, dengan kelebihan deria yang sensitif, mereka sangat pakar dalam menjejak kesan.


TIDURNYA TERGANGGU. Dahinya berkerut biarpun matanya terpejam erat.

"Lisa!" Satu suara bergema dalam mimpinya.

"Berlari 10 pusingan, sekarang!" Seorang lelaki botak berbadan tegap menjerit kepadanya. Lisa mengetap bibir menahan malu apabila dirinya menjadi perhatian pelajar lain yang sedang berehat.

Bola keranjang dicampak kasar. Salah ke dia malas nak main permainan itu? Dia lebih senang meneroka kawasan hutan di pinggir sekolah mereka. Ikatan kasutnya dilonggarkan sebelum dia berlari malas mengikut trek di padang.

"Laju lagi, budak lembab!"

Lisa mendongkol di dalam hati. Bukan dia tidak tahu pelajar lain mula berbisik bercakap tentang dia.

"Ahh!" Lelaki botak tadi tersungkur ke hadapan apabila belakang badannya dihentam bola. Kelihatan seorang pelajar lelaki berambut perang membuat muka cuak di belakangnya.

"Alex!"

"Maaf, coach!"

"20 pusingan!"

Mata lelaki itu seakan berkelip bercahaya apabila menerima arahan itu. Segera dia berlari mendapatkan Lisa yang masih menonton situasi menggelikan hati sambil bercekak pinggang.

"Lisa!" tempik coach apabila menyedari Lisa tersengih memandangnya.

"Hey, Lisa! Lari cepat!" tegur Alex. Kelam kabut mereka berdua berlari menjauhi coach yang mengamuk.

"Kau sengaja," kata Lisa dalam mengahnya, memandang Alex di sisi.

"Ya, sebab kau akan sunyi berlari seorang diri."

Lisa membuat muka loya.

"Terima kasih balingkan bola untuk aku," ucap Lisa.

"Kau terhutang budi dengan aku."

"Oh iya? Kita tengok siapa budak lembab yang sebenarnya!" Lisa terus memecut meninggalkan Alex di belakang. Alex cuba menahan senyum menyedari taktiknya untuk berbual dengan Lisa berjaya lalu mengejar gadis itu sepenuh tenaga. Mereka berlari bersama di padang yang mula lengang sehingga kelas tamat tanpa rasa lelah seperti orang biasa.

"Hah!" Lisa membuka matanya. Entah mimpi atau apa, dia bernafas dengan laju. Tanpa sedar, jalur merah di matanya semakin memudar.

SERBA SALAH. Gara-gara Luppus memberitahu Lisa bahawa Rho ialah pasangan Alpha-nya, Lisa seakan tidak mahu beranjak dari sisinya.

Anak mata Lisa kembali seperti biasa namun masih ada sedikit garisan menjalar kemerahan di situ. Rho tersentak apabila Lisa tersenyum padanya.

"Apa?" Entah kenapa dia merasa gugup. Lisa semakin mendekat.

"Bila aku tengok kau, macam ada sesuatu dalam fikiran ni. Sesuatu yang muncul dalam mimpi aku," ujar Lisa sambil bertinggung menelek wajah Rho. Lelaki itu berkelip beberapa kali.

"Aku nampak bayangan seorang lelaki berambut perang. Berkumis nipis. Pernah ada lelaki lain ke di sini?"

Rho menelan air liurnya. Memorinya mengimbas saat dia mengekori Lisa di Amber Hills. Seorang lelaki dengan ciri yang disebut Lisa, pernah dilihat berbual mesra bersama gadis itu. Malah Rho yakin Lisa adalah insan istimewa buat lelaki itu.

"Mungkin kau nampak aku di waktu senja," Rho menutup kegusaran dengan senyuman pahit.

Lisa mengangguk. Pandangannya dikalih ke arah hutan tebal.

"Lisa."

Lisa menoleh.

"Apapun yang berlaku, kami lakukan apa yang kami fikirkan ianya terbaik untuk kau," ucap Rho. Lis terkebil-kebil cuba memahami maksud Rho.

"Kau pasti akan membenci aku bila ingatan kau kembali nanti."

"Oh ya?" Lisa membuat muka sarkastik. "Nampaknya hubungan kita tidaklah begitu bagus."

"Ya."

"Jadi, mungkin ini peluang kita untuk jadi pasangan Alpha yang baik."

Rho kelu. Hatinya masih terasa berat.

"Kenapa kita tak pernah masuk ke hutan? Kenapa hanya Beta yang bebas keluar masuk ke lembah?" soal Lisa.

"Kalau kau nak ke sana, aku boleh bawakan."

"Tidak." Tiba-tiba Luppus mencelah entah bila sudah berada di belakang mereka.

"Kenapa? Aku boleh awasi dia," Rho mempersoal. Luppus melangkah merapati mereka berdua.

"Terlalu merbahaya. Kau dan dia tak boleh ke mana-mana," tegas Luppus. Rho nampak akur walaupun wajahnya beriak hampa.

Lisa merendahkan wajah. Senyumannya hilang. Matanya tajam merenung Luppus. Sekelip mata dia sudah menerkam Luppus dan menekan tubuh serigala dewasa itu ke tanah.

"Lisa!" Rho tergamam.

Luppus membalas renungan tajam Lisa tanpa gentar.

"Kau seekor Beta! Bukan Alpha! Kau tak boleh kuasai dia hanya kerana dia berlembut dengan kau!" Lisa membentak sambil menderam marah. Rho yang mencengkam kedua bahu Lisa, memaksa dia melepaskan tekanan pada Luppus. Saat tangannya diangkat, Luppus segera bangkit menghadap pasangan Alpha itu. Ada senyuman sinis menampakkan barisan taringnya yang tajam.

"Kau nampak, Rho? Kau perlukan dia untuk menjadi Alpha yang sebenar. Aku tak pernah silap."

Rho terdiam memandang Lisa yang masih merenung tajam Luppus di hadapannya.

"Aku takkan bertahan begitu lama untuk latih kau menjadi Alpha The Greys. Aku sudah terlalu tua. Kau membesar sebagai Omicron tetapi tidak pernah bergaul dan berjuang sendiri. Kau tak boleh jadikan The Greys sandaran kau. Kau memimpin kami," ucap Luppus satu persatu tanpa mengalih pandangan tepat ke anak mata Rho. Ini bukan lagi masa untuk Rho bermain-main. Dia perlu menghadapi tekanan untuk melatih jiwa Omicron dalam dirinya.

"Terima kasih, Luppus. Kau boleh pergi ke sana dan awasi The Greys. Rho akan bawa aku ke dalam hutan." Tegas Lisa memberikan arahan. Luppus menunduk sedikit sebelum melangkah menjauhi mereka.

"Luppus," panggil Lisa. Wajah tegasnya mengendur dipalit senyuman halus.

"Maaf. Aku masih tak boleh kawal kemarahan aku."

"Tak mengapa. Sebab itu kau perlukan Rho yang berhati budi," Luppus membalas ikhlas.

"Siapa sampai dulu, dia yang menang," Lisa menjungkitkan kening pada Rho sebelum berlari pantas meninggalkan Rho di belakang. Rho yang terpinga-pinga terpaksa mengekori Lisa walaupun dia merasa berat hati untuk membiarkan Lisa masuk ke dalam hutan.

Dalam diam, Lisa mengagumi kelincahan Rho berlari melepasi batuan besar dan pepohon kayu besar yang tumbang. Entah mengapa ada lintasan gambaran serigala besar sedang bergelut dan cedera.

"Argh!" Lisa terhempas di atas bonjolan akar. Rho yang beberapa langkah mendahuluinya berpatah balik dengan wajah cemas apabila Lisa menggenggam erat kakinya.

"Kau..." tidak sempat dia meneruskan perkataan seterusnya, Lisa sudah pun bangkit dan berlari meninggalkannya sambil ketawa riang. Rho terpempam seketika. Pertama kali dalam hidupnya mendengar tawa seorang manusia yang begitu lunak pada pendengarannya. Hatinya merasa lapang tanpa disedari.

"Luppus benar tentang kau. Kau kena kikis perasaan belas ihsan dalam diri kau kalau kau ingin menjadi Alpha yang sebenar, Rho."

Kata-kata Lisa terasa menikam ke lubuk hati. Pantas dia membuka langkah menyaingi Lisa.

Dari kejauhan, Luppus memandang sayu. Dia tahu usianya sudah hampir sampai ke penghujung. Dia tidak akan lagi berada di sisi Rho untuk membantu lelaki itu. Dan dia juga tahu, kedamaian yang mereka miliki kini tidak akan berkekalan.

Beberapa ekor serigala Beta menghampirinya. Isyarat diberikan dan mereka bergerak mengekori pasangan Alpha itu. Dia faham pandangan yang diberikan Rho tadi. Mereka perlu berjaga-jaga sepanjang masa.

Langit semakin gelap saat mereka tiba di pangkal pohon sebesar 4 pemeluk. Kabus tebal hampir mencecah ke tanah. Langkah Rho terkaku. Dia menoleh perlahan-lahan ke sebelah kanan. Telinga bergerak-gerak meneliti bunyi di sekeliling. Hidungnya menghidu satu bauan yang tidak menyenangkan. Jantungnya berdetak pantas, cemas. Dia menoleh memandang Lisa yang turut fokus. Wajahnya terdongak sedikit, turut menghidu satu bauan yang menyebabkan segenap uratnya terasa hangat.

Bau werewolf.

"Lisa," Rho menyentuh bahu Lisa namun tiba-tiba sahaja Lisa menepis kasar sehingga tertolak tubuhnya menghentak batang pokok. Mata Lisa mula kemerahan namun kembali memudar saat mereka bertentang mata.

Rho bernafas berhati-hati. Dalam hati dia menyumpah-nyumpah. Sepatutnya mereka jauh dari kawasan manusia bahkan jauh dari kawanan werewolf. Mungkin ada werewolf yang berkeliaran berdekatan dengan tempat mereka.

Lisa memeluk tubuh. Resah. Saat kerudung yang terikat di leher dilepaskan, Rho tahu Lisa mula merasakan kehangatan di dalam kesejukan malam yang menggigit. Ada sesuatu memicu naluri pembunuh di dalam dirinya. Guruh kedengaran bertimpa-timpa di angkasa. Langit mula memekat dan bunyi hujan renyai menimpa dedaunan mula memainkan muzik alam semulajadi.

"Tenang, Lisa. Aku di sini." Perlahan-lahan dia menghampiri Lisa yang jelas nampak keliru. Lisa menggeleng laju. Dia berundur hingga tersandar di pangkal pokok.

"Pergi, Rho. Aku... aku rasa..." Lisa kelu. Mula takutkan dirinya sendiri. Cengkaman pada tubuhnya sendiri dikuatkan. Adrenalin terasa berlumba-lumba menghasilkan rasa hangat yang semakin membara. Nafas ditahan bagi menghalang bauan yang cukup untuk menjadi penyebab dirinya dirasuk.

"Aku akan kekal di sini. Kau takkan apa-apa."

"Pergi, Rho. Aku taknak kau cedera lagi kerana aku."

"Aku takkan tinggalkan kau!"

"Urgh!" Lisa melutut dengan muka tertunduk ke bawah. Kedua tangannya terpasak di tanah, menahan tubuh dari rebah. Belakang badannya kelihatan berombak deras. Tiba-tiba dia mendongak seperti posisi seekor serigala ingin melolong namun pantas Rho menerpa. Mulut Lisa ditekup kuat, tidak mahu lolongan Lisa menarik perhatian werewolf yang lain. Hatinya kecilnya meyakini bau werewolf yang dihidu mereka adalah kawanan Hendrick Lagg. Pasti mereka sedang mencari Lisa. Dia tak boleh biarkan Lisa ditemui dalam keadaan begini! Cukuplah dia sahaja yang menderita selepas ibunya mendapat tahu dia Omicron yang merbahaya. Lisa pasti akan terseksa dikurung sama seperti dia dan tidak mustahil akan dibunuh di tangan keluarganya sendiri. Apalagi menghadap hari-hari kekesalan jika mereka pula terbunuh di tangannya.

Lisa menderam marah lantas mencampak Rho menjauh darinya. Tenaganya memuncak. Matanya kembali tirus, memamah warna putih kelabu sedia ada.

Rho bangkit dari jatuhnya. Tegak berdiri di hadapan Lisa yang mencerlung tajam.

"Aku takkan benarkan kau pergi!" tegasnya. Kedua tangan digenggam erat menanam tekad. Hujan dibiarkan membasahi suasana tegang di antara 2 Omicron itu.

Lisa menyeringai sebelum melompat tinggi meninggalkan Rho. Pantas lelaki itu menangkap tubuh Lisa dari belakang. Mereka tergolek di tanah yang becak.

Dari celahan pokok, Luppus yang mengekori mereka sedari tadi hanya memerhati tanpa berbuat apa-apa.

Rho memejam mata menahan perit apabila Lisa mencengkam lehernya. Darah pekat mula mengalir dari luka lama di situ.

"Ak... aku- takkan biarkan kau... musnahkan... keluarga kau sendiri!" Rho menderam kuat dan menolak tangan Lisa dengan pantas sebelum mengunci tangan gadis itu ke belakang. Setiap ototnya berkembang dengan urat yang timbul. Mata kelabunya menjadi terang seakan bercahaya.

"Omicron..." Luppus berbisik melihat perubahan Rho.

Tiba-tiba, terdengar satu suara raungan bagaikan dari dimensi lain bergema dari kejauhan. Luppus memandang ke langit yang diterangi selang seli kilat menyambar. Dia kenal raungan itu! Bukan raungan werewolf, bukan raungan manusia.

"Argh!" Rho tiba-tiba rebah ke tanah. Kedua telinganya ditekup kuat. Lisa yang sudah tenggelam dalam rasukan mengambil kesempatan itu untuk melarikan diri.

MALAM SEMAKIN LARUT. Alex memandang ke langit. Entah betul atau tidak, dia mendengar satu raungan yang terasa menakutkan. Raungan yang penuh dendam dan amarah. Seketika suasana kembali sepi, diisi dengan bunyi hujan menimpa dedaunan dan tanah. Dia hanya mampu mengeluh melihat unggun api yang terpadam dek kerana kebasahan. Gilirannya untuk berjaga di antara mereka berlima namun rasa mengantuk bagai memujuk-mujuk dia untuk melelapkan mata apalagi kedinginan terasa membuai. Pantas dia bangkit meregangkan tubuh namun sesaat dia terkaku melihat sesusuk tubuh jauh di celahan pepohon hutan di hadapannya.

Khuatir jika dia tersalah melihat, perlahan-lahan dia mula melangkah menjauhi tempat mereka berehat.

"Lisa?" Terbit nama itu tatkala mereka saling memandang. Ada senyuman halus mula menggerakkan kedua bibir. Sebak bersulam gembira. Keyakinannya bahawa Lisa masih hidup ternyata tidak sia-sia. Tertatih dia melangkah ke hadapan.

"Kami dah lama cari-" suara Alex tersekat di kerongkong saat menyedari Lisa di hadapannya kelihatan ganjil. Senyuman Alex memudar diganti kerutan halus di dahi melihat keadaan Lisa seakan tidak terurus. Rambutnya kusut dalam kebasahan hujan. Baju kotor dengan kesan tanah, ada urat biru kehijauan menjalar dari leher di sisi wajahnya. Matanya! Tiada lagi mata biru kelabu yang redup itu berganti dengan bentuk tirus kemerahan. Juga aura yang tidak enak bergulir di antara mereka.

Baru dia teringat akan peristiwa Lisa digigit Desmond. Bibirnya bergerak-gerak ingin memanggil mereka yang lain namun Lisa terlebih dahulu menerkam dirinya.

"ARGHH!!"

Di tapak berehat, Tom, Hendrick, Albert dan Lucas serentak terjaga. Suara raungan Alex kedengaran begitu keras dan menakutkan. Sekelip mata Hendrick menerpa mengikut jejak Alex.

BAMM!

Hendrick tercampak jauh ke belakang apabila tubuh Alex menghentam dirinya entah dari arah mana. Di hujung pandangan matanya terlihat kelibat yang menghilangkan diri namun kerisauan yang menggunung memaksa dia membiarkan sahaja orang itu pergi. Tubuh Alex yang sejuk kaku dipangku cemas.

Dalam masa yang sama, Tom turut melihat kelibat tubuh yang melarikan diri itu. Walaupun tidak jelas namun ada sesuatu yang membuatkan dia begitu yakin itu adalah Lisa. Nalurinya bagaikan membisik lantas dia berlari meninggalkan kawan-kawannya di belakang.

"Albert, ikut Tom! Lucas, bantu aku angkat Alex!" dalam mainan perasaan yang meribut, Hendrick memberikan arahan. Dia perlu bertenang. Albert mengangguk sambil menghilang mengekori Tom di hadapan. Hendrick membaringkan Alex di atas tanah.

"Bangun, Alex! Buka mata!" Pipi anak muda itu ditepuk beberapa kali namun tiada respon. Ada darah pekat mengalir dari hidung bersatu dengan air hujan yang semakin lebat.

"Tidak! Alex!!"

Nota : macam panjang sangat pula bab kali ni... Terima kasih korang sudi baca dan vote. Oh ya, cerita ni konflik dia takdelah gempak terux macam cerita werewolf. Light je, masih dalam proses belajar. Semoga ada manfaat untuk orang lain.

Enjoy!

Flizwn🍃

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro