06

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

MELEBIHI sejam yang telah ditetapkan, Noah membuka kembali aplikasi TikTok. Ingin melihat video yang dia tambah sebagai kegemaran pagi tadi. Melebihi Hafiq, dia pula yang tak sudah-sudah mengulang lihat video yang sama selang satu jam. Dan kali ini, Noah tak dapat tahan mulutnya daripada ternganga apabila melihat kutipan tontonan yang terkini.

"Berita buruk, Fiq. Video kau dengan perempuan tu dah cecah 1 million views," lapor Noah sambil memegang iPad di tangan. Dia tidak rasa hendak membuka komen sementelah sebahagiannya sudah dibaca dan rata-rata netizen melemparkan kata-kata yang berbaur negatif.

Ikutkan, hari ini mereka ada urusan di luar bersama Rauf, pemilik RXT Worldwide, iaitu sebuah jenama pakaian berfokuskan streetwear yang sedang meningkat naik di media sosial. Jika ikutkan agenda asal, mereka ingin berbincang secara santai mengenai sebuah kolaborasi. Daripada tahun lepas lagi, Rauf ada menyatakan keinginannya untuk bekerjasama dengan Hafiq memandangkan mereka sudah saling kenal agak lama.

Tetapi, Hafiq terlalu sibuk dengan lakonan dan jadual mereka pula tidak selari dengan masing-masing, menyebabkan baru sekarang mereka ada kesempatan untuk berjumpa. Bila keadaan jadi huru-hara seperti sekarang, Hafiq terpaksa minta Rauf untuk menunda perjumpaan dan segala perancangan mereka sehingga keadaan sudah terkawal. Memang benar Hafiq hendak berehat sepenuhnya, lebih-lebih lagi setelah apa yang berlaku sekarang, tetapi pelan kolaborasi antara dia dan RXT Worldwide bukanlah dalam masa terdekat.

Buat masa ini, Hafiq rasa lebih elok jika dia tak keluar dengan bebas, terutama sekali ke tempat publik. Bimbang ada wartawan yang akan mengejar untuk membuat liputan hangat.

"Gosip dengan Rania pun tak reda lagi, datang pula gosip lain. Tak pasal-pasal orang buat spekulasi baru. Paling tak boleh blah yang pergi cakap aku main kayu tiga tu. Hei, aku ni bercinta pun tak pernah! Perempuan baran dekat restoran tu pun aku tak kenal siapa." Hafiq melepaskan geram. Daripada mata terpejam, lantas celik melirik Noah. Hafiq yang tadinya berbaring di atas sofa, mengubah posisi kepada duduk.

"Nasib la kau, Fiq. Punyalah single sejak azali, tapi dilemparkan tuduhan sebesar tu." Senget bibir Noah. Hampir tergelak juga kerana rasa lucu dengan perkara tak masuk akal itu. "Bukan setakat tak pernah bercinta, kawan perempuan pun kau tak ada. Tak beragak betul la keyboard warrior ni. Jauh betul spekulasi menyimpang dari situasi sebenar."

"Kau ni nak sokong aku ke, nak sokong netizen, Noah? Macam kutuk je lebih." Hafiq mencerlung garang.

"Mana ada aku kutuk. Aku cuma berlaku jujur je." Noah tayang muka tak bersalah.

"Yalah tu."

"Yalah." Noah letak iPad di atas meja, kemudian memusatkan perhatian kepada Hafiq. "Okey, sekarang ni kau nak buat apa? Spekulasi dah macam-macam keluar. Kau tak boleh terus diam macam ni, Fiq. Selagi kau tak bersuara, selagi tu la orang akan buat andaian ikut kepala sendiri. Aku takut dia orang ambil diam kau tu sebagai jawapan. Bahaya, bahaya. Kau kena bersuara juga sebelum keadaan lebih keruh. Aku tak nak nama kau makin kotor pula nanti."

Berat helaan dilepaskan Hafiq, seolah-olah beban yang dipikulnya semakin sukar untuk ditanggung. Pasrah mendengar bicara Noah yang sangat nyata dengan kebenaran. Masalah yang sedia ada pun belum terkawal, datang pula masalah baru. Semakin pusing kepala Hafiq ingin selesaikan semuanya secara baik agar reputasi dan nama dia tidak tercalar. Sangat penting untuk Hafiq menjaga imej di dalam industri, tetapi keadaan yang meruncing kini membuatkan fikirannya agak berserabut.

Namun, Hafiq pasti setiap masalah tentu ada jalan penyelesaiannya.

Mungkin benar kata Puan Elysha dan Noah, Hafiq perlu berehat betul-betul sehingga dia rasa sudah bersedia untuk bekerja semula dengan nafas yang baharu. Bukan sekadar cuti biasa, tetapi dia ingin lari dari tumpuan media, menyendiri dari keramaian manusia, juga menghabiskan masa sepuasnya bersama orang yang tersayang. Hafiq turut perlukan masa untuk dirinya.

Lagipun, Hafiq baru 26 tahun. Asyik kerja saja, sekali-sekala kenalah berseronok juga. Selagi ada kudrat, duit boleh dicari, tetapi zaman muda takkan kembali.

Untuk berbuat begitu, Hafiq perlu jernihkan dahulu apa yang patut supaya dia bisa berehat dengan tenang. Orang mahu terima atau tak, percaya atau tak, terpulang kepada mereka. Asalkan Hafiq sudah memberitahu kebenaran. Biarlah masa yang larut menentukan jawapan kepada kepercayaan mereka.

"Aku rasa nak fully rest, macam yang kau dengan mama aku cadang. Tapi, aku tetap akan bersuara juga pasal benda ni dan cakap yang itu semua cuma salah faham. Aku nak terangkan lebih-lebih pun aku tak tahu situasi pihak perempuan tu macam mana. Kalau boleh, aku pun tak nak babitkan dan dedahkan dia dekat media. Nanti habis privasi dia orang kacau," ujar Hafiq cukup rasional. Memberi kata putus.

Hafiq rasa itulah keputusan yang terbaik untuk dia dan gadis tersebut. Walaupun apa yang jadi ini lebih buruk bagi pihak Hafiq, dia tak boleh la ikutkan kemarahan sangat sehingga boleh mengaibkan orang. Lagipun, Hafiq rasa apa yang perempuan itu buat tidak berniat kepada dia pun. Hafiq ada baca satu permohonan maaf dekat DM dari seseorang sebentar tadi, tetapi dia seen saja. Mungkin, orang itu adalah perempuan tersebut.

Noah menjatuhkan kepala tanda faham. Menghormati keputusan Hafiq. Baguslah lelaki itu mengambil pendekatan untuk bercuti lama sedikit kali ini sementelah sudah bertahun-tahun dia bergiat aktif dalam industri seni untuk menaikkan nama dan membina karier. Sehingga kini, Hafiq telah berjaya menempa nama ke serata negara Asia seperti Indonesia, Singapura dan Brunei. Kadang kala, dia berulang-alik ke luar negara untuk tujuan kerja.

"Tak sangka aku, Hafiq Iqmal cuba menjaga privasi perempuan gila yang curah air dekat dia," gurau Noah sambalewa.

"Diam, Noah." Keras amaran Hafiq.

Menurut dalam usikan, Noah kemam bibir sambil membuat gaya menutup zip di depan mulut. Tak lama, sebelum dia kembali bersuara apabila Hafiq tiada tanda-tanda ingin bersuara.

"Tapi, apa-apa pun, Fiq. Saranan aku, kau kesah dulu dengan reputasi dan nama kau, lepas tu baru kesah pasal orang lain. Apa pun yang kau nak buat untuk setelkan semua benda ni, just go on. Aku percayakan kau. Kau mesti ada cara terbaik untuk selesaikan masalah. Pasal takedown video, aku dah DM orang yang upload dekat TikTok tu, tapi belum ada apa-apa respon. So, kita kena tunggu je la. Sementara tu, kita boleh cuba cari cara lain untuk redakan apa yang berlaku," nasihat Noah. Kali ini, wajahnya serius.

Hafiq turut dengan mod asal. Tidak lagi rasa nak hempuk Noah dengan remote televisyen. Noah ini kalau tengah tak serius, memang minta kaki dia punya usikan dan gurauan. Tetapi, Hafiq juga tak menafikan bahawa lelaki itu pendengar dan penasihat yang baik.

"Aku tahu. Tapi, aku cuba dulu cari jalan lain tanpa libatkan dia. Perempuan tu bukan dalam industri, Noah. Aku tak nak la mental dia kacau ke apa sebab benda ni. Elok la dalam video tu pun tak nampak muka dia. Aku rasa, apa yang jadi ni salah faham je."

"Faham. Perempuan tu tak ada contact kau ke untuk minta maaf? Dekat Instagram ke, TikTok ke?" soal Noah.

"Ada."

"Wow! Dia cakap apa? Kau reply apa dekat dia?" Bersinar mata Noah, penuh minat untuk mengetahui.

"Dia minta maaf. Lepas tu, ajak jumpa." Seketul-seketul Hafiq balas dengan muka tidak berperasaan.

Sebaliknya bagi Noah yang kian tertarik dengan mereka berdua. Panjang benar sengihannya. "Okey, ini semakin menarik. Kau reply apa, Fiq?"

"Tak reply. Aku seen," ujar Hafiq senada. Tiba-tiba perut dia rasa lapar pula. Terus telefon dicapai lalu aplikasi Grab dibuka. Ligat jari-jemarinya menatal skrin untuk mencari makanan yang terasa hendak makan. Tidak dihiraukan Noah yang mula menempel di sebelah. Terkinja-kinja betul nak tahu dah kenapa? Tak ada apa yang menarik pun padahal. Pelik Hafiq.

"Hah? Kau seen je? Tak menarik betul. Respon la sikit kalau ya pun."

"Aku tak tahu nak reply apa. Nak jumpa lagi la malas. Biar je la, at least dia dah minta maaf dan aku tahu yang dia memang tersalah orang. Aku tak nak dah ada apa-apa kaitan dengan dia."

"Boring la kau ni, Fiq. Aku punyalah invested nak tahu kesinambungan tau." Noah mendecit.

"Kesah pula aku?"

"Tch! Kau tahu tak, Fiq? Bila kau cerita pertemuan pertama kau dengan perempuan yang kau cakap gila tu, aku rasa macam ada dalam drama tau. Tambah pula, dia tak kenal kau. Hafiq Iqmal, pemenang anugerah pelakon drama popular 2023. Real! Macam drama yang kau berlakon dengan Nees Meera tu, Fiq. Ha! Aku baru ingat. Bezanya, dalam drama tu kau penyanyi, lepas tu kau kena lempang dengan roti canai dekat kedai mamak oleh female lead sebab kau mempermainkan hati dia, cuma kau tak ingat sebab kau hilang ingatan. Kau tak rasa macam lebih kurang ke Fiq kisah kau orang dengan drama tu?"

Bersungguh-sungguh Noah bercerita. Punyalah rancak. Ke depan sangat delusional kawan baik dia yang seorang ini. Hafiq ketawa terbahak-bahak, cukup palsu apabila sampai ke telinga Noah.

"Drama kau cakap? Aku punyalah tahan malu dekat restoran tu. Tebalkan muka, jalan dalam mall bermandikan air oren, kau tahu?" Tegas Hafiq dalam bicaranya.

Dalam drama semua rasa indah, tapi realitinya... tak semanis madah.

Dengar la berpuluh kali pun, Noah tetap rasa hendak tergelak apabila dia terbayang semula. "Sekarang, mungkin kau rasa macam tu. Mana tahu suatu hari nanti, benda tu jadi memori indah untuk kau?"

"Jadah kau memori indah!" Terus berpaling muka Hafiq dari kaca telefon. Selesai oder set nasi ayam gepuk untuk dia dan Noah.

"Betul, Fiq. Kita tak tahu masa depan macam mana. Macam mana kalau..."

"Tak ada kalau-kalau. Dah, aku nak mandi. Nak masuk maghrib." Hafiq bangkit dari sofa. Baru teringat akan sesuatu, dia berpaling seketika ke arah Noah sebelum betul-betul melangkah ke bilik. "Lagi satu, nanti DM orang yang upload video tu sampai dapat dan suruh dia takedown secepat yang mungkin sebelum aku buat tindakan lanjut ke pihak berkuasa," arah Hafiq. Tak rasa pun nak buat betul-betul, sekadar nak menggesa pihak tersebut daripada berlengah menurunkan video. Namun, kalau keadaan bertambah buruk, mungkin Hafiq akan mengotakan perkara ini.

"Okey, baik bos."

Hafiq berura-ura ingin beredar sebelum ditahan oleh Noah. Dia kembali memusingkan tubuh setelah beberapa tapak berjalan.

"Kau tak nak reply ke, Fiq?"

"Tak habis lagi, Noah?"

"Reply la sikit. Kesian dia. Kejam gila kau seen. Orang tu minta maaf, kut."

"Dah kenapa kau ni? Aku ke dia kawan baik kau?" Berkerut dahi Hafiq dengan fiil Noah.

"Tak ada kena-mengena pasal tu."

Hafiq guling mata ke atas. "Kau je la reply. Aku malas."

"Serius?" Kelopak mata Noah meluas bersama senyuman penuh makna. Tangan lambat-lambat mencapai iPad.

Tidak berkalih, Hafiq menjawab. "Ya, serius."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro