10

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"MAMA..." Leret suara Hafiq menyebut perkataan itu kerana gelisah. Lengan Puan Elysha ditarik lembut ke hadapan, biar wanita itu berdiri di sebelah meja antara tempat dia dan Naaila. Bimbang jika Hafiq terlalu mendedahkan wajahnya ke belakang, ada pelanggan yang bisa mengesan.

Naaila telan liur dengan payah apabila mendengar panggilan mama yang disebut oleh Hafiq. Ha, sudah! Masak kau, Naaila. Kalau wanita itu tahu yang dia curah air kepada anak kesayangannya, silap-silap Naaila pula yang kena simbah seperti di dalam drama.

Tangan Naaila tak boleh duduk diam daripada bermain dengan sesama sendiri. Bibir dalam digigit perlahan sembari mata sesekali dilarikan ke arah lain. Oleh kerana tak mahu nampak terlalu gugup, Naaila membalas senyuman yang dilemparkan oleh wanita lebih separuh abad itu. Walaupun sudah berusia, ibu Hafiq masih nampak cantik selaras dengan umurnya.

"Err, ni Naaila nama dia, ma. Fiq ada urusan..."

"Urusan ke... date? Tadi rasanya mama Hafiq ada ajak Hafiq keluar sekali dengan kami, kan? Tapi, Hafiq kata nak jumpa someone."

Mata Hafiq tertumpu ke arah seorang wanita yang berdiri di sebelah Puan Elysha apabila kata-katanya dipintas laju. Jari telunjuk Hafiq tidak semena-mena naik menggaru hujung kening seraya bibir berdesis perlahan. Akalnya tiba-tiba terkandas hendak menerangkan situasi yang sebenar. Hafiq rasa mereka telah salah faham apabila melihat dia berdua-duaan dengan Naaila.

"Ni la kut someone tu, El. Girlfriend Hafiq agaknya. Tak ada rezeki la kita nak berbesan, El," tambah wanita itu lagi sebelum bicaranya disampuk insan lain pula. Membuatkan mata Hafiq kini beralih kepada seorang gadis yang memaut lengan wanita tersebut.

"Mummy, tak selesa la dia orang nanti mummy cakap macam tu."

"Fiq?" Puan Elysha mengangkat kening, menanti balasan daripada si anak, juga mengharapkan apa yang dikata oleh Puan Nazira adalah benar. Kalau Hafiq dah ada pasangan, tak perlulah dia susah-susah atur rancangan sendiri.

Hafiq pandang Naaila sekaligus mata mereka bertautan buat beberapa saat. Melalui bahasa tubuh gadis itu, Hafiq tahu Naaila rasa tak tenang. Seperti dalam keresahan dan kegelisahan.

"Kawan Fiq."

"Naaila... kawan Fiq?" Puan Elysha bertanya untuk kepastian. Ragu-ragu dengan title 'kawan' yang diberikan Hafiq kepada Naaila.

"Ya, ma. Err, kita orang borak kosong je tadi. Kan?" Hafiq memberi isyarat mata kepada Naaila.

Biji mata Naaila yang sudah membuntang dengan pengakuan Hafiq tadi kian terjojol sehingga kalau boleh mahu terkeluar. Dia bingung sama ada dia patut bersyukur kerana Hafiq menjaga air mukanya, atau dia patut bengang dengan penipuan yang dia tidak pasti apakah asbab Hafiq. Dalam banyak-banyak alasan, kenapa mengaku Naaila sebagai kawan?

"Ha... haah, ya aunty. Tak sangka pula Naaila boleh jumpa aunty hari ni. Sebelum ni, Naaila dengar Hafiq je bercerita pasal aunty."

Terbatuk-batuk Hafiq kala Naaila begitu tangkas menyambut lakonannya.

"Oh, ya ke?" Bersinar-sinar mata Puan Elysha mendengarkan itu. Tanpa aba-aba tangannya meraih lengan Naaila bersama senyuman yang melebar. "Tch! Hafiq tak pernah pun bagitahu aunty yang dia ada kawan perempuan. Cantik pula tu. Entah berapa lama la dia sorok Naaila dari aunty, kan? Hafiq ni memang tau. Saja la tu tak nak aunty masuk campur urusan dia dengan Naaila."

Naaila menyambut kemesraan itu dengan bermanis wajah. Rasa berdosa pula sebab dah terjebak dengan penipuan yang Hafiq mulakan ini. Haih, betul ke apa dia buat ni? Kenapa la Hafiq perlu memesongkan situasi sehingga timbul salah faham lain pula.

"Cantik kawan Hafiq ni, El. Sesuai you nak buat menantu. Nanti you kena la tolong I carikan calon untuk Nufa pula."

"Mummy..." Berkerut wajah Nufa sambil menggeleng kepala.

"Boleh sangat, Zee. I ada ramai kenalan tau." Puan Elysha kembali fokus kepada Naaila. "Nama penuh Naaila apa? Naaila kerja dekat sini?"

"Ya, aunty. Saya Naaila Maissa, pemilik Meribella Bakery Café."

・┆✦ʚ♡ɞ✦ ┆・

BERDUA di dalam kereta bersama Noah, Hafiq terpaksa menahan telinganya dengan gelak besar lelaki itu. Masih runsing dengan senario yang berlaku di antara dia, Naaila dan Puan Elysha di Meribella Bakery Café sebentar tadi. Hafiq memilih untuk sepi, tiada langsung rasa untuk menghentikan ketawa Noah. Dengan mata yang terkatup rapat itu, Hafiq mula mempersoalkan dirinya. Bagaimana keadaan boleh terpesong jauh seperti ini?

Kau buat apa ni, Hafiq Iqmal?

Detik hati Hafiq sambil tangan yang dikepal itu berulang kali mengetuk dahi.

Saat demi saat berlalu sehinggalah tawa Noah reda, berganti dengan kata-kata.

"Yang kau pandai-pandai cakap Naaila tu kawan kau dah kenapa?"

"Habis tu, kau nak aku jujur yang Naaila siram aku dengan air?"

"Dah itu benda betul, jujur je la. Boleh je kau cakap yang itu salah faham, kan?"

"Lepas tu, aku malukan dia depan mama aku? Bukan setakat mama aku, ada kawan dia dengan anak perempuan kawan dia sekali. Kalau la aku cakap benda betul pun, makin banyak soalan yang aku kena jawab nanti. Tak pasal-pasal aku kena cerita apa yang berlaku dari A sampai Z. Dan kau pun tahu kan, aku tak berminat nak cerita pasal diri aku dekat orang, apatah lagi masalah personal aku. Malas la aku nak besarkan hal yang dah setel antara aku dengan Naaila. Itu je jawapan selamat yang aku terfikir." Soalan demi soalan yang dilontar Noah, Hafiq tukas tanda tak setuju. Posisinya kini berubah dengan sebelah tangan melintang di dada, sedang menongkat sebelah lagi lengan yang tegak menampung dagu. Kepala Hafiq sedikit senget diarahkan kepada Noah, merenung lelaki itu dengan cukup tajam.

"Jawapan tu memang selamat, Fiq. Tapi, jadi tak cukup selamat bila melibatkan mama kau. Aku yakin aunty akan siasat hubungan sebenar kau dengan Naila nanti."

Hafiq tidak membalas, kerana dia juga tahu tentang itu. Haih, sebab itulah agaknya orang kata jangan berbohong. Kerana nak tutup satu pembohongan harus membuat pembohongan yang lain. Takkan la Hafiq nak menipu mamanya lagi dan lagi. Tak tergamak juga dia. Hafiq bisa jujur, tetapi dia rasa sekarang bukan waktu yang tepat memandangkan Puan Nazira dan anaknya, Nufa sudah terlibat sama.

"Kenapa kau tak cakap yang kau datang situ atas urusan kerja?" Noah pusing soalan lain pula. Dia tahu, benda dah lepas dan tak dapat mengubah apa-apa pun. Namun, tetap juga dia ingin tahu kerana rasa tertanya-tanya.

Dalam banyak-banyak skema jawapan, mengapa jawapan itu juga yang Hafiq bagi?

"Kau gila? Kerja apa aku nak buat dekat situ? Promote kedai bakeri dia? Ni bukan setakat mama aku, dengan media sekali tercirit sebab tak percaya. Hafiq Iqmal dengan pink ibarat kopi dengan sirap bandung, tahu tak? Aku bukan nak kutuk Meribella Bakery Café. Dan, aku admit bakeri dia memang cantik, kena la dengan owner. Tapi, cantik tu akan jadi pelik bila aku yang suka warna gelap ni, terima job macam tu."

Terburai gelak Noah mendengar perumpamaan yang Hafiq beri. Lagi berdekah dia ketawa apabila melihat muka selamba Hafiq. Dia hampir putus nafas, tetapi Hafiq kekal membeku. Entah Noah yang cepat terhibur atau Hafiq yang tak ada perasaan.

"Nak ketawa pun relaks sikit, eh. Tak pasal-pasal aku kena drive hantar emergency kejap lagi. Overreact betul."

"Bongok la kau, Fiq." Terbatuk-batuk Noah selepas itu kerana gelak kuat sangat. Sebelah tangan ditahan pada stereng manakala sebelah tangan lagi menepuk dada perlahan. "Kau cakap macam tu, buatkan aku teringin nak tengok benda tu jadi real. Silap-silap, benda yang kau tak nak tu la yang datang dekat kau. Macam sumpahan 'jangan benci, nanti lama-lama jadi sayang.' Fuh! Aku orang pertama yang akan sokong hubungan kau dengan..."

"Mula dah dia nak sembang lalat dekat sini." Hafiq mematikan angan-angan Noah. Bertambah bersyukur dia dibuatnya apabila deringan telefon berbunyi secara mengejut. Membuatkan Noah tak dapat membidas kembali.

Serta-merta Hafiq lekapkan telefon berjenama Apple itu di tepi telinga sebaik sahaja dia keluarkan daripada poket seluar. Setelah itu, mula la suara Puan Elysha kedengaran melalui corong telefon.

"Tak, ma. Hafiq nak keluar dah ni. Sekejap je lagi. 5 minutes."

"Ya, Fiq balik dengan mama. Fiq drive."

"Okey, ma. Nanti Fiq pergi dekat kereta mama."

"Mama tunggu kejap, eh. Kejap lagi Fiq datang."

"Okay, I love you."

"Mama aku dah tanya tu, lama lagi ke. Elok la, aku nak kena gerak dah ni, tak payah nak layan kau punya merepek tu," ujar Hafiq kepada Noah sebaik sahaja panggilan diputuskan.

Cemberut wajah Noah, tetapi tak lama. Sebab selepas itu hujung bibirnya tertarik ke tepi. Dalam hati, dia berharap akan ada kesinambungan untuk kisah Hafiq dan Naaila. Buat masa sekarang, dia tahu Hafiq tak rasa apa-apa. Namun entah mengapa, Noah suka akan perwatakan Naaila yang baginya menarik dan dia rasa ada daya tarikan asing pada mereka berdua. Hafiq pun selama ini tak pernah bercinta, jadi tak salah rasanya untuk Noah pasang niat begitu demi kawan baik dia sendiri.

Sementelah, dia tak rasa Puan Elysha akan berdiam.

~

Yeay, dah 10 bab hshs! So far, macam mana? Okey tak? Cuba komen sikit. Lepas bab 10 ni, insyaAllah makin banyak scene Hafiq dan Naaila jadi sila nantikan hshshs.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro