MYTH SIXTEEN

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng


HIDUNG yang merah aku picit-picit. Bangun-bangun sahaja, kepalaku terasa pening dan selsema. Melihat selendang yang dalam pelukan aku, aku teringat memori sebelum aku terlelap.

Nenda...

Belakang tubuh aku terasa sengal. Diurut sekejap bahu kiri. Selendang nenda aku lilit pada leher aku. Katil nenda aku kemaskan.

Aku tak sangka... Pari-pari penjaga aku sudah pergi. Umurku juga sudah 20.

Aku teringat sesuatu. Matahari!

Tingkap bilik nenda aku buka. Terus mataku naik melihat langit. Mendung. Cuaca mendung, sesuai dengan keadaanku yang masih bersedih.

Semua yang berlaku terlalu pantas buat aku. Hari-hari akan datang tanpa nenda? Aku tak pasti aku mampu atau tidak.

Aku kembali menutup tingkap. Katil nenda aku kemas elok-elok. Diari merah jambu yang nenda beri semalam aku capai dan dakap ke dada. Aku renung bilik ini sekilas. Aku pasti merindui suasana lama bilik ini. Pejam celik pejam celik, bilik ini bakal kosong dan sepi.

Pintu bilik nenda aku tutup rapat. Keluhan aku lepaskan lagi. Macam tak percaya pula nenda sudah pergi.

Tolonglah Heliena... Percayakan diri kau!

Aku pandang dapur. Kelihatan Luna menyediakan teh di atas meja dapur. Dia angkat kepala memandang aku tanpa suara. Hanya matanya saja yang merenung, mulut terkunci.

"Luna..." Teragak-agak aku memanggil dia. Kaki aku corak menghampiri dia. Kerusi meja makan aku tarik dan labuhkan duduk. Diari aku pegang kemas di dada. Aku meneliti hidangan sarapan yang dia sediakan. Nak makan pun dia tidak selera. Aku angkat kepala. Mata merenung seraut wajah Luna.

"Macam ni ke rasa kehilangan?" soalku lemah. Diari merah itu aku genggam erat. Entah bagaimana, perasaan hiba melanda kembali. Rindu. Ya, aku rindu walaupun baru semalam nenda pergi.

"Aku dah buat teh kau. Nenda ada tulis ramuan dekat atas dapur ni. Kalau kau nak minum, pergi buat dulu potion tu baru tuang pada air kau. Aku nak keluar kejap."

Aku kemam bibir. Aku mahu jawapan. Belum sempat dia melintasi aku, aku tahan lengannya. Dia menghentikan langkah lalu melepaskan hela nafas.

"Aku rasa nenda ada pesan, jangan tangisi dia. Ya, beginilah rasa kehilangan. Aku pergi dulu." Lengannya dia tarik kembali. Aku hanya membiarkan. Seketika aku terdengar bunyi pintu ditutup. Tiba-tiba aku rasa sunyi. Makanan yang Luna sediakan aku hanya pandang. Teh yang dibuatnya aku sisip sedikit. Lain. Lain rasanya dari air tangan nenda.

Ah, nenda lagi.

Cengkaman gelas semakin dieratkan. Setiap perbuatan aku, pasti mengingatkan aku pada nenda. Apa harus aku buat?

Wajah aku raup.

Nenda...

Meja aku tinggalkan dan berlalu masuk ke bilik aku. Hendak makan, tiada selera. Lebih baik aku berkurung dalam bilik. Nasib hari ini bukan hari sekolah. Esok baru hari sekolah.

Pintu aku kunci, tak mahu diganggu. Langsir bilik aku tarik dan tingkap aku buka untuk memudahkan pengudaran. Sebaik aku pusingkan tubuh, mataku tertancap pada sesuatu di atas katil. Sebuah kotak kecil diletakkan di atas katil aku.

Kotak apa tu?

Segera aku capai dan belek. Hanya sebuah kotak sahaja. Punggung aku labuhkan. Diari ibu aku tolak tepi. Penuh berhati-hati aku buka kotak kecil itu. Aku terkedu melihat isi kotak itu. Luarannya nampak comel tapi dalamnya tak terkata nilainya.

Seutas rantai emas ditarik keluar. Corak rantai itu yang mengukir matahari dibelek lama. Cantik!

Kotak tadi dipandang semula. Satu helai kertas yang diselitkan pada kotak itu ditarik keluar. Lipatan kertas itu dibuka.

Tulisan ini dia kenal. Ini tulisan nenda. Jadi... Rantai ini daripada nenda?

Selamat ulang tahun, Heliena. Maaf, nenda terpaksa pergi dahulu. Rantai ini sebagai hadiah sempena ulang tahun Heliena yang nenda boleh raikan sebelum nenda pergi. Nenda tahu cucu nenda masih berada dengan anak raja itu. Roti olive Heliena ada atas dapur. Mungkin kita tak sempat makan bersama tapi nenda buat juga... Untuk kali terakhir. Rantai yang Heliena pegang, itu milik ibu Heliena. Mungkin sudah tiba waktunya nenda serahkan pada Heliena. Jaga rantai ini elok-elok sayang. Nenda sayang kamu. Selamat tinggal.

Aku pejam mata bersama kemaman bibir. Rantai itu aku genggam erat. Nenda...

Nafas dihela. Rantai itu aku pandang semula. Rantai ini milik ibunya, Idalia. Rambut panjangnya diikat bulat sebelum rantai itu dikancing ke leher. Rantai itu dibelek semula. Simbol matahari direnung lama.

Heliena... Makna namanya adalah Matahari.

Idalia... Makna nama ibu juga Matahari.

Buku yang diserahkan nenda aku capai. Rajin betul ibu tulis diari. Adakah sebab dia tahu ajalnya bakal mendatang?

Muka hadapan aku selak. Tertulis namanya dia dan suami.

Idalia & Addison.

Comelnya tulisan ibu. Bertambah lebar senyuman aku bila aku sedar tulisan nama mereka berbeza. Nama ibu ditulis cermat manakala nama ayah sedikit cerawit. Mungkin ayah sendiri yang tulis namanya sendiri. Ah, pasti mereka pasangan romantis.

Halaman seterusnya aku buka. Tulisan kemas ibu menambah minatku untuk terus membaca.

Aku terleka.


PERUTKU berkeroncong minta diisi. Entah berapa lama aku duduk dan membaca diari ibu. Yang dapat aku baca setakat ini adalah waktu sebelum ibu berkahwin dengan ayah.

Baru aku tahu ibu juga seorang yang degil, sama seperti dia. Kerjanya asyik lari dari jagaan nendanya. Bukan main dia kutuk nendanya. Senyumanku tak lekang dari bibir. Membaca coretannya seolah-olah aku dapat membayangkan situasinya.

Meja dapur aku jengah. Makanan pagi tadi sudah hilang. Pasti Luna yang kemas. Aku mencebir. Mahu makan apa?

Dapur juga nampaknya tidak berasap. Luna tak masaklah nampaknya. Aku berlalu ke belakang dan kelihatan ada banyak roti olive yang terhidang di atas dapur. Aku teringat kertas tadi. Inilah maksud nenda roti yang dia buat. Roti yang dia ingatkan mampu dia nikmati bersama aku.

Kalaulah malam itu aku pulang lebih awal pasti aku dapat bermanja dengan nenda lebih lama. Kalau aku tahu, lepas balik dari istana Icarus, terus aku pecut ke rumah dan sambut bersama nenda. Tetapi aku terlampau degil. Akhirnya, aku juga yang merana.

Aku ambil sekeping dan sumbat ke dalam mulut. Sedap! Nenda tahu rasa tekaknya. Ah, kalaulah nenda ada di sisiku.

Selendang nenda masih di leherku. Baunya masih lagi melekat. Ini sajalah penawar andai aku rindukan dia. Nenda, Heliena rindu nenda!

Beberapa ketika kemudian, Luna datang menghampiri dapur dari arah tangga. Mata kami sempat berselisih beberapa saat.

Entah, kalau kami berdua memang akan jadi sunyi. Masing-masing rasa kekok hendak diajak berbual. Lagi-lagi bila nenda tiada, bertambah kekoklah hubungan kami. Kebiasaannya ada nenda yang menghangatkan suasana tapi kini tidak lagi.

Aku teruskan suapan aku.

"Arus ada jumpa kau tak?" Soalan Luna menyentak aku. Aku terbatuk-batuk kecil. Sudahlah aku tak buat air. Aduh, Luna ni!

Setelah tekakku lega, aku berdeham beberapa ketika. Kepalaku pusing menghadap Luna yang mencari sesuatu di kabinet dapur.

"Kenapa tanya?"

"Jawab ajelah."

Aku mencebik. Aku tak berkenan dengan sikapnya yang dingin. Cubalah cakap baik-baik. Ini tidak, mengarah aje tahu. Memang sesuailah dengan bulan. Sama dingin!

"Tak ada."

Dia tidak membalas walaupun aku mengharapkan penjelasan darinya. Sekarang baru aku sedar, aku terlupa keberadaan Icarus. Perasaanku bercampur-baur apabila nenda pergi sehingga aku lupa anak raja itu masih wujud dalam hidup aku.

Serta-merta pesanan nenda berlagu di telinga aku. Jauhi dia? Aku gigit bibir.

"Esok pergi sekolah, duduk sebelah aku."

Dia bersandar pada kayu pada salah satu kerusi meja makan. Aku terpinga-pinga dengan kata-katanya. Duduk sebelah dia? Dalam setiap kelas?

"Kenapa?" Dua ulas bibirku masih degil nak bertanya.

"Nenda pesan apa?"

Aku bungkam. Luna pun tahu ke pesan nenda supaya dia jauhi Icarus?

Aku mengeluh. Perlahan-lahan aku menganggukkan kepala. Nak tak nak, aku terpaksa akur. Nenda... Heliena buat semua ni untuk nenda!


AKU labuhkan duduk di bangku sebelah Luna. Pagi ini ada kelas sejarah. Kalau difikir-fikirkan semula, aku terasa seperti adik Luna pula. Jalan bersebelahan dari rumah hingga ke sekolah dan kini di kelas mereka duduk bersebelahan. Macam kakak dengan adik! Kawan-kawan Luna yang duduk semeja dengan dia pun memandang aku pelik. Yelah, tak pernah-pernah aku duduk hadapan. Biasanya tempat duduk belakang menjadi pilihan tapi disebabkan arahan Luna dan pesanan nenda, aku terpaksa dengar. Biarlah orang nak kata apa sekalipun.

Mataku menoleh ke belakang sekilas. Bayang Icarus belum muncul lagi. Mungkin belum tiba.

Sundial di depan meja aku telek. Masih ada sepuluh minit sebelum kelas mula. Hari ini hari pertama aku datang awal ke sekolah jalan kaki. Luna dah biasa datang awal, jadi aku kena datang awal juga. Walaupun leceh, dia pasti ugut aku semula.

"Nenda pesan apa?"

Itu ajelah modal dia. Suka betul ugut aku dengan nama nenda. Tak tahu ke aku rindu nenda? Huh. Seketika kemudian, aku mengeluh. Begini ke rutin hariannya untuk hari-hari yang bakal mendatang? Ah, bosannya!

"Beauty?" Tubuhku tegak mendengar suara yang memanggilku. Suara ini masih belum luput dari memori aku.

Dia tercengat di pintu hadapan. Matanya merenung aku lama. Pandangannya terhadap aku pagi ini terasa lain. Entah, sungguh lain dari kebiasaannya. Nampak lebih... Rindu? Yakah dia rindu aku?

Icarus mengorak langkah menghampiri aku. Betul-betul di hadapan mejaku. Sepasang matanya langsung tidak melepaskan aku. Ditenung lama.

"Kau... Okey?"

Aku tidak menjawab sebaliknya, aku menunduk. Pesan nenda dan cengkaman tangan Luna pada paha aku memaksa aku untuk tidak menurut hati. Tipulah kalau kata hati aku tak terusik dengan sikap prihatinnya. Wajahnya jelas pucat dan penat.

"Beauty? Jawablah..." panggilnya sekali lagi. Aku ketap bibir. Cengkaman tangan Luna juga kian ketat. Aku tahu dia larang aku jawab. Aku faham sangat. Mataku pejam. Aku takut nak tengok dia kecewa dengan kebisuanku.

"Heliena..."

"Arus, kau lupa ke pesan aku?" Luna mula bersuara untuk aku. Bahasanya tak pernah sopan. Memang aku kenal sikap Luna yang tak berapa suka belajar tatacara dan tatatertib sesama insan. Dia lebih sempoi dan spontan.

"Takkan aku nak jumpa dia pun tak boleh?"

"Aku rasa kau faham maksud aku."

Icarus berdengus. Dia kembali memandang aku. Pandangannya redup.

"Beauty... Take care." Derap kakinya kedengaran, semakin lama semakin perlahan. Tanda dia menjauhi.

Dua-dua tangan aku naik menekup muka. Kenapa aku rasa serba-salah sangat ni? Kasihan Icarus. Tak sepatutnya aku layan dia dingin.

"Kau jangan nak kesiankan dia. Ingat pesan nenda."

Nenda, apa makna nenda? Heliena nak tahu. Heliena tersepit sekarang. Heliena sayang nenda dan Heliena kasihankan Icarus. Dia anak raja, nenda.

"Kau dengar tak? Sudah-sudahlah mengelamun. Arus bukan untuk kau miliki."

Pedih. Ibarat sembilu menoreh hati aku. Tanpa bersalah Luna kata sebegitu. Memang dia benci betul melihat hubungan aku dengan Icarus. Belum sempat aku menoleh belakang untuk melihat Icarus, Madam Que sudah melangkah masuk ke kelas dan sesi belajar pun bermula.


SEKARANG adalah subjek seni. Aku lupa pula yang Luna tak ambil seni. Dia lebih minat memasak. Kerana itu dia yang banyak tolong nenda masak di dapur.

Aku? Tengok minyak pecah pun aku dah berlari. Seram!

Aku mengeluh. Terpaksalah aku pergi sendirian. Tadi pun sempat dia memberi amaran. Tahu pula dia yang Icarus sama kelas dengan aku.

Kini, aku di dalam kelas dan duduk bersebelahan Icarus. Memang di sini tempat aku dan dia. Hendak menumpang pelajar lain, Luna tiada untuk menemani aku. Jadi, aku hanya mengambil tempat di tempat kebiasaanku. Sejak kelas bermula hinggalah kini, aku dan Icarus langsung tidak bersuara. Hanya memandang beberapa ketika. Selebihnya kami fokus pada bicara Madam Flora.

Perubahan sikap Icarus yang mendiamkan diri benar-benar menghairankan aku. Ke mana hilangnya perangai mulut murainya? Hari ini suaranya ibarat emas, susah nak didengari. Dia merajuk dengan aku ke? Atau dia marahkan aku?

"Memandangkan sesi persekolahan akan tamat dalam masa empat bulan, sebagai pelajar tahun akhir, saya ada tugasan berpasangan untuk kelas ini. Pasangan kamu adalah orang di sebelah kamu. Kiri atau kanan, saya tak kisah asalkan kamu berkumpulan berdua. Saya tak mahu tiga. Saya tahu kelas saya ni muridnya genap. Kertas tugasan akan saya edarkan sekarang."

Kerja berpasangan? Aku toleh ke Icarus. Hanya dia yang ada semeja dengan aku. Jadi, dialah pasangan aku kan?

Gulp!

Tangan aku jadi beku, seolah-olah kami ini ibarat orang asing. Sedangkan sebelum ini kami ibarat belangkas.

Kertas edaran Madam Flora aku baca. Ada tiga tugasan.

"Tempoh yang saya beri pada kamu adalah tiga bulan. Selesai semuanya, hantar pada saya dan saya akan serahkan pada pihak atasan untuk nilai hasil kamu. Tugasan pertama adalah tugasan mural. Kamu boleh pilih mana-mana dinding di sekolah ini untuk diperbaharui. Saya rasa masa yang tinggal sebelum waktu pulang ini, kamu semua boleh keluar dan cari dinding kamu. Bila dah jumpa, maklumkan pada saya untuk saya take note. Baiklah, semua boleh bersurai."

Madam Flora juga sudah angkat barangnya dan melangkah keluar. Sundials di hadapan kelas aku pandang. Patutlah, tinggal beberapa minit sebelum cecah jam tiga.

Rata-rata pelajar kelas ini mula berbincang dan keluar mencari dinding kosong. Kelas mulai lenggang sehinggalah tinggal aku dan Icarus berdua-duaan. Aku pandang ke arahnya. Dia membelek kukunya. Langsung tidak ditoleh wajahnya menghadap aku. Aku ketap bibir. Dia masih terasa ke?

"Pu... Putera," panggilku.

Dia hanya menjonget kening. Aku garu belakang tengkuk. Bagaimana aku nak berbicang kalau dia seperti tidak mahu bekerjasama? Kalau aku tahu, baik aku tukar patner dengan budak lain. Senang sikit kerja aku.

"Kita nak pilih dinding mana?"

Jeda.

Dia bungkam, masih menilik kuku cantiknya. Aku hela nafas. Kalau beginilah keadaan mereka, aku tak rasa hasil tugasan kami akan sempurna.

"Dinding hati kau."

Aku angkat kepala. Mata terus bertentang dengan wajahnya. Dia merenung hadapan sekejap. Jari diturunkan sebelum kepalanya menoleh ke arah aku. Keadaan kami agak tegang. Hanya mata yang berbicara, merenung wajah masing-masing tanpa suara.

"Kau dah tak sayang aku ke?"

Lidahku kelu. Aku hanya telan liur perit. Soalannya... Maut!

"Kenapa kau macam ni, Heliena? Aku ada buat salah lagi?"

Kepalaku jatuh. Matanya membundar meminta jawapan dan aku tak sanggup bertentang mata terlalu lama.

"Salah apa, Heliena? Bagitahu aku. Luna suruh aku jauhi kau. Kenapa aku perlu jauhi kau? Apa jadi hari semalam? Ada apa-apa yang tak kena ke?"

Bertubi-tubi soalan dia ajukan dan tiada satu yang aku mampu jawab. Mata aku pejam. Perasaan di dada sakit mendengar suaranya yang lemah. Berbeza sekali dengan nada kebiasaannya.

"Aku tak mampu lena fikirkan kau. Apa jadi? Bagitahu aku, Heliena." Bahuku terasa disentuh sebelum jemari kasarnya mengangkat dagu aku ke atas. Tubir mataku berkaca-kaca melihat wajahnya tidak bermaya. Ini bukan Icarus yang dia kenal. Di hadapannya tidak ubah seperti Icarus yang dia lihat ketika dijamu dengan pakaian hasil ibunya. Ya, Icarus yang terasa kosong mendambakan kasih sayang.

"Setiap kali aku nak bercakap dengan kau, pasti Luna halang. Tak pernah-pernah dia kacau aku sejak aku berkawan dengan dia, semalam dia mula tunjuk perangai. Cakap pada aku, kenapa semua ni berlaku? Kenapa kau tak nak duduk sebelah aku setiap kelas? Kenapa kau tak tegur aku? Kenapa warna kau... Kenapa warna kau pucat, beauty?" Dia mendekatkan jarak kami. Ibu jarinya sibuk mengusap pipi aku. Lama pandangan mata kami tertunak. Icarus bagaikan cuba untuk menyelami mata aku.

"Tolonglah buka mulut kau. Cakap pada aku, apa yang ada dalam hati kau?" soalnya lagi tanpa jemu. Bibirnya dia gigit geram dengan sikap aku yang membatu.

"Aku minta maaf kalau aku ada silap pada kau, Heliena. Tolonglah, aku merayu nak dengar suara kau. Please!"

Bahu kananku terasa berat. Sedar-sedar, tubuh kami melekat. Dia mendakap aku penuh erat.

"Aku takut, Heliena. Jangan hancurkan hati aku. Aku tak pernah rasa perasaan ni. Tolonglah jawab soalan aku. Aku tak nak hilang kau," bisiknya lemah.

Hatiku turut layu mendengar rayuannya. Dari mata hazel yang aku pandang tadi, lelaki itu benar-benar memaksudkan setiap katanya. Dek perasaan sakit yang menggunung, aku rehatkan kepala aku pada bahunya juga. Beberapa saat kemudian, tangisanku terhambur.

Maafkan saya, Putera. Saya tak bermaksud nak pulaukan awak. Saya cuma... Saya tak tahu. Awak dan nenda, dua-dua insan penting dalam hidup saya. Nenda minta saya jauhi awak tapi hati saya tak mampu. Awak tunjuk pada saya erti kebebasan dan kebahagiaan dan nenda ajar saya erti kasih sayang dan pengorbanan. Mana satu patut saya dahulukan, Putera?

Mahu saja aku luahkan rasa hati aku ini tapi bibirku berat. Akhirnya, masa yang tinggal kami bazirkan dengan melayan perasaan sendiri. Aku dengan tangisan aku dan Icarus bersama dakapan penuh eratnya.

Takdir memang memisahkan kita ke, Putera?


______________

Sajalah bagi untuk yang rindu. Muah, much love dears ❤️

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro