10 Beli baju

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Kelembapan sapu tangan merebak ke ruas dahinya. Mata Luth terkerdip membuka. Dia melalukan iris ke kiri dan kanan. Apa yang kelihatan ialah wajah ibu yang sedang membalas pandangan.

"Apa ibu buat dalam bilik Luth?" soal lelaki itu perlahan. Apa yang diingati hanyalah dia tidur di malam hari, pasti sekarang ini sudah siang. Tangan kanan memanjang memeriksa apa-apa tubuh di ruang katil. Hampa, hanya dia saja yang terbaring. Bukaan mata diluaskan lagi. Cahaya mentari memancar menembusi satah cermin tingkap  ke serata sudut bilik.

"Mana Aira?" bisik Luth.

"Ibu minta Aida jagakan Aira. Luth tengah demam." Puan Dalila menurunkan sapu tangan itu tatkala Luth mahu duduk dan bersandar pada bahu katil.

"Mana Mawar?" Kegelisahan Luth kerana tidak disapa wajah Mawar meruap dalam hati. Matanya sayu melihat ruang katil yang kosong.

"Mawar pergi kerja."

"Dia tak salam Luth dulu?" Lelaki itu mula terasa hati.

"Dia salam masa Luth tidur. Dia kata tak nak ganggu Luth yang demam. Mawar dah gerak Luth sekali, tapi Luth yang tak bangun."

"Mana boleh macam tu..." gumam Luth tidak puas. Kenapa Mawar sanggup tinggalkan dia yang demam dan masih ke kerja? Menerawanglah pelbagai sangkaan buruk. Luth tertunduk menekur.

"Janganlah risau, ibu ada untuk Luth." Mata ibu tidak lepas melihat raut wajah anaknya. Semakin lama anak itu semakin memiliki raut Luthfi. Dari tempat tumbuh anak rambut hingga ke dagu, penampilan Luth yang tidak berambut lagi mengingatkan wanita tua itu kepada arwah suami.

Luth menurunkan kelopak matanya. Tangan sendiri naik memeriksa jinjang leher yang suam-suam panas. "Ibu tak kerja?"

Puan Dalila menggeleng. "Ibu nak jaga Luth."

"Ibu... Luth dah besar. Boleh jaga diri sendiri kalau setakat demam macam ni." Senyuman nipis terbentuk di bibir lelaki itu. Matanya terjatuh pada genggaman ibu yang terdapat sepapan panadol.

"Untuk Luth ke tu?" soal Luth.

"Ya, makanlah. Ibu nak Luth sihat macam biasa," ujar Puan Dalila. Huluran tangan pemuda itu disambut baik. Dua biji ubat diletakkan ke atas telapak tangan Luth.

Wajah ceria Luth sewaktu itu mendamaikan hati sang ibu. Mata ralik melihat anaknya menelan dua biji paracetamol dengan bilasan air suam dari botol mineral di sisi. Tiada kata dapat mengungkapkan cinta dan rindu.

"Luth, ibu nak tanya sikit boleh?"

"Apa?" Luth menutup botol itu. Dia meluruskan tulang belakangnya untuk bersandar kembali. Wajah tua Puan Dalila ditatap sahaja.

"Mana rantai..."

"Ada. Luth simpan sebab Mawar kata lelaki mana boleh pakai rantai. Ada je dalam almari tu." Hati yang sakit dengan pemergiaan Mawar ke tempat kerja diubati dengan ibu sebagai peneman.

"Luth tahu tak tu rantai siapa?" sambung Puan Dalila.

Lelaki itu menggeleng. "Orang lorong kata tu rantai yang memang terkalung pada Luth sejak bayi lagi. Jadi Luth tak pernah cabut sebab tu je identiti yang Luth ada. Luth tak ada harta lain. Peragut pun tak ada nak ambil rantai macam ni. Dah berkarat sebab Luth tak jaga..." Kedua-dua bahu dijongketkan. Senyuman yang terbit pun nipis sahaja.

"Luth tahu tak tu rantai askar?"

"Askar?" Dahi Luth berkerut tidak tahu. Manalah dia pernah didedahkan dengan angkatan tentera Malaysia. Jauh sekali hendak bergaul dengan kumpulan mereka.

"Ya. Orang paggil benda tu, disc." Mungkin hal ini lebih baik dikhabarkan pada anaknya. Lagi beberapa hari Luth akan dibawa ke dewan pembedahan. Biarlah Luth tahu bahawa ibu kandung yang dilupakan selama ini sebenarnya sentiasa ada di sisi.

"Jadi?"

"Pemilik rantai tu seorang lelaki bernama Luthfi. Dia askar. Ada nombor lain dekat atas tag tu yang merujuk pada Luthfi," terang ibu.

"Mana ibu tahu? Siapa Luthfi?" Lidah Luth juga hampir terkelu. Namun, telinga masih mahu menadah setiap bait bicara. Dilihat pada kilasan mata ibu, dapat diketahui bahawa wanita tua itu tidak menipu. Ada kejujuran perit yang cuba disingkap.

"Sebab pemilik rantai tu suami ibu." Puan Dalila tidak mampu bercakap lebih. 

Membulatlah mata lelaki itu. "Apa maksud ibu ni?"

"Luth anak kandung ibu," bisik ibu. Mata tuanya berkaca-kaca memandang anak lelaki yang telah membesar sempurna.

"Ibu tak boleh mudah-mudah je kata Luth ni anak ibu hanya kerana rantai," bangkang Luth pula. Dia menggeleng menafikan.

"Ya, memang. Sebab tu lah ibu perlukan masa untuk cari eviden kukuh. Sebab tu lah ibu tak cop Luth sebagai anak kandung ibu waktu pertama kali berjumpa... Ibu cuma takut untuk berharap... Ibu tak tahu anak ibu masih hidup atau tak... Bila keputusan darah tu keluar, memang Luth darah daging ibu." Nada suara Puan Dalila makin mengendur yang akhirnya disambung dengan titisan air mata.

" Luth... Maafkan ibu." Terkebil-kebil tangan mahu menyentuh lengan anaknya.

Bagaikan patung cendana selepas menerima khabaran. Lengan dibiarkan sahaja disentuh ibu. Luth tidak mampu bersuara. Hakikat yang dipegang bahawa diri itu anak haram mencengkam sanubari."Kalau betul ibu ni ibu Luth. Mana ayah Luth?"

"Dia tak ada... Dia meninggal waktu Luth lahir."

"Luth anak haram ke, ibu? Sebab tu ibu sanggup nak buang..." Segala derita semenjak kecil hadir bertubi-tubi menghempap jiwanya. Dia dilayan seperti pengemis oleh orang ramai, makan pun kebanyakannya sisa orang, mengutip dari tong sampah dan banyak lagi. Air mata Luth jatuh menuruni pipi.  "Kenapa ibu buang Luth?"

"Luth anak sah ibu dan ayah..."

"Dah tu kenapa buang? Apa salah Luth? Kenapa lahirkan Luth kalau semata-mata nak buang dekat lorong?" Berderai air mata lelaki itu. Terlalu perit apa yang ditanggung selama ini. Sejujurnya dia masih tidak percaya kebenaran yang cuba disampaikan ibu.

"Luth tak salah. Ibu yang salah. Ibu tinggalkan Luth sebab tak mampu nak jaga," jawab Puan Dalila.

"Ibu nak tikus dekat lorong yang jaga Luth? Ibu nak anjing kurap yang jaga Luth? Kenapa..." Nafas hangat dihembuskan. Dia sendiri dilayan sebagai tikus dan anjing kurap. Tak siapa mahu bersimpati dahulu kala. Yang akhirnya mengorbankan diri sendiri ke lembah maksiat buat mencari sesuap dua nasi.

" Ibu tinggalkan Luth sebab ibu tak ada satu sen duit... Ibu tertekan... Ibu tak mampu nak jaga Luth..."

Luth berdecit. Kedua belah tangan naik menenyeh mata. "Tak ada ibu yang sanggup tinggalkan anak halal mereka. Yang selalu dibuang ni cuma anak haram. Mengaku je la yang Luth ni anak luar nikah."

"Bukan," bisik ibu. Begitu merah mata helang Luth memandang. Air mata membanjiri wajah  lelaki itu tidak henti. Ingin saja ibu memanjangkan tangan buat menghentikan gundah anaknya.

"Luth makan dari tong sampah. Kecil-kecil dah kena paksa telan arak... Kena paksa mencuri... Mana ibu waktu Luth derita dekat luar sana?" Luth jadi bengang. Dadanya bergetar hebat. Hancurnya zaman kanak-kanak kerana khilaf seorang ibu.

"Luth... Maafkan ibu..." Puan Dalila menarik nafas dalam. Tangan mahu menyentuh wajah anaknya.

"Jangan sentuh," larang Luth. Matanya menikam ke dalam mata tua di hadapannya. "Kenapa nak sentuh Luth sekarang? Kalau waktu dulu dah buang macam sampah..."

Selimut yang membaluti kaki ditolak ke tepi. Luth memejamkan matanya yang panas. Kepala pula sedang berdenyut mencengkam. Jelas kelihatan urat pelipis sedang menegang. "Keluar..." bisiknya.

Apa yang dikatakan Luth semuanya benar. Remuk hati seorang ibu dihalau oleh anak sendiri. Sampaikan sentuhan pun dipandang jijik oleh Luth. Puan Dalila menahan segala tangisan di hadapan anaknya. Sarat dadanya memaksa untuk melangkah pergi.

Gugurlah air mata di belakang anak itu. Ibu memejamkan kelopak mata yang memedih.

***

Kelengkapan dapur yang sebegini sudah lama diinginkan Mawar. Hasil beberapa bahan mentah di dalam peti, terhidanglah satu hidangan tengah hari. Apa yang mengujakan Mawar ialah terdapat pressure cooker dengan warranty setahun. Baru hari ini gadis itu sempat buat membelek barangan yang ada di rumah Hakim.

Punggung berlabuh di bangku dapur. Dia menanti dengan sabar ketibaan si teruna. Nasi panas dan rendang ayam telah siap terhidang. Terkadang hati bunga turut merisaukan keadaan Luth di rumah. Namun, ibu melaporkan kepadanya bahawa Luth banyak tidur seharian. Semoga demam sang suami akan surut setelah berehat lama.

Bunyi bukaan pintu utama didengari Mawar. Diharapkan masakan pada tengah hari itu dapat memujuk Hakim untuk meminjamkan dia beberapa ribu wang tunai. Pembedahan Luth berhajat besar pada duit.

Hakim menapak ke ruangan dapur dengan kerutan di wajah. Wajah bekunya memang begitu. Satu butang baju kemeja dari atas dibuka setelah tali leher dilonggarkan.

"Kau masak?" tegur Hakim. Lelaki itu mengambil tempat semeja dengan Mawar. "Kenapa kau masak?"

"Sebab dapur rumah kau macam tak pernah berasap. Barang-barang pun macam nak expired dah," jawab Mawar.

"Em... Ya. Aku banyak makan luar. Nasib baik tak lunch lagi." Hakim mengusap belakang leher.

Tanpa diminta, Mawar meringankan tangan buat menyenduk nasi ke dalam pinggan. Dia menghulurkan pada lelaki itu.

"Kau tak balik ke?" Hairan kuasa dua. Sudu dan garfu dalam bekas berdekatan ditarik keluar.

"Aku nak tanya tentang tawaran kau hari tu..." Mawar tersipu-sipu malu. Dia tidak sepatutnya menolak tawaran Hakim tempoh hari. Andai diterima untuk menjadi pasangan Hakim satu malam, mungkinkah lelaki itu akan hulurkan wang pinjaman?

"Dinner tu?"

Si bunga mengangguk. "Apa yang aku kena buat sebenarnya?"

"Tak ada apa pun sebenarnya... Cuma makan-makan je dengan kawan-kawan pejabat aku. Dorang pun bawa pasangan masing-masing. Aku bukan ajak pergi kelab malam, dinner ni dekat hotel je." Seketul ayam bahagian dada diletakkan ke dalam pinggan. Hakim mula memotong cebisan ayam untuk dimasukkan ke dalam mulut.

"Oh, hotel..." Mati-mati Mawar ingatkan kelab malam. Gadis itu tersengih sendiri. Tidak sepatutnya dia membuat serkap jarang pada lelaki baik seperti Hakim.

"Jadi kau nak tak?" soal lelaki itu. Deria rasa dijengah keenakan masakan gadis di hadapannya. Hakim terdiam ketika mengunyah. Tak sangka Mawar sanggup memasak makanan tengah hari buatnya.

"Boleh..." Mawar mengangguk setuju. "Payment double."

"Ya... Makanlah juga. Takkan aku seorang je makan ni. Sedap kau masak." Berduaan dengan Mawar di dapur memberikan Hakim satu rasa. Sejak dahulu dia suka memandang gadis ini, sayangnya telah disunting Luth sebagai isteri halal. Dari pandangan mata yang ikhlas, bentuk wajah yang tampak sesuai dengan tudung bawal, segalanya membuatkan hati teruna itu cair.

"Takpe. Makanlah," Mawar menolak. Wajah yang berlagak tenang tidak dapat menipu Hakim.

"Kenapa sedih? Sebab Luth?" tebak lelaki itu. Suram si bunga pasti ada sesuatu yang bermain di fikiran.

"Ya. Aku risau pembedahan tak lama lagi." Mawar tersenyum sendiri. Cincin belah rotan pada jari manis disentuhnya.

"Luth sihat?"

"Kadang-kadang dia sakit kepala. Kadang-kadang demam... Luth pun macam dah kurang ingat beberapa perkara."

"Apa doktor kata tentang pembedahan tu?" Kunyahan Hakim dihentikan. Fokusnya berada pada Mawar.

"Pembedahan tu memang berisiko besar. Sama ada hidup atau mati. Tapi kalau hidup pun... Ada pula risiko untuk lumpuh seluruh badan." Gadis itu menongkat dagu sendiri.

"Janganlah sedih. Kalau dah Allah takdirkan hidup, hiduplah dia nanti walaupun lumpuh. Kalau Allah takdirkan dia mati, mati juga nanti. Tak perlu bazirkan air mata. Tak ubah apa-apa pun," pujuk Hakim. Lelaki itu mahu meletak tepi soal Luth apabila Mawar sedang berada di rumahnya. "Pasal dinner nanti... Kau dah ada baju nak pakai?"

Topik yang diubah Hakim tidak pula meleraikan kesedihan yang sudah lama bertapak di hati Mawar. "Ni je lah yang aku ada." Mawar memandang baju tshirt dan seluar jeans yang sering tersarung.

"Kau nak tak keluar sekejap lagi? Lepas makan tengah hari ni."

"Untuk?" Wajah diangkat Mawar. Tangannya membelek pakaian yang tersarung. Luth sering memuji Mawar cantik tanpa mengambil kira pakaian yang dipakai. Gadia itu amat gemar memakai pakaian Luth juga. Terasa hangat cinta sentiasa ada.

"Ya... Untuk beli baju dinner kau," Hakim berlagak beku.

"Perlu ke?"

"Perlulah. Kau dinner dengan orang korporat, takkanlah nak berseluar jeans je." Sindiran itu diiringi kerlingan mata.

"Tak nak. Aku tak ada duit," tolak Mawar.

"Siapa kata guna duit kau? Guna duit aku je. Kau ambillah baju tu sebagai hadiah."

"Tapi... Kenapa?" Sudah diambil bekerja pun, lelaki itu mahu berikan hadiah pula. Padahal tak sampai seminggu Mawar bekerja di sini.

"Sebab aku tak suka tengok kau sedih," jawab Hakim ikhlas dari hati. Dia tersenyum kecil memandang si bunga.

Mawar mula berfikir.

"Tapi aku tak kisah kalau kau tak nak. Kau pakailah seluar jeans kau masuk hotel tu nanti. Kalau kena halau dengan guard jangan salahkan aku." Lelaki itu mengangkat bahu.

"Eh, kenapa pula nak halau?" Kening Mawar bertaut. Tidak habis lagi dia mengambil kira pelbagai aspek, Hakim sudah ugutnya begitu.

"Sebab kau nampak macam budak mentah... Mana ada hotel nak sambut budak-budak mentah." Sekali lagi senyuman mahal Hakim terlekuk elok.

"Memang aku muda dari kau pun. Aku baru 23 tahun..." gumam Mawar. Jiwa mudanya masih ada, malah tak pernah terfikir dek akal untuk menjadi ibu kepada Aira. Luth jua yang memaksanya menghasilkan susu sedang diri itu tidak pernah mengandung atau bersalin.

"Aku 27," sambung Hakim. "Jadi nak pergi mall esok? Kita tengok baju apa yang sesuai."

"Tapi... Kena balik sebelum zohor," ujar Mawar. Takut nanti Luth pula yang akan terasa hati.

"Okay, kita pergi pagi esok. Datanglah sini dalam pukul 9 pagi. Kita boleh sarapan dulu lepas tu pergi mall. Boleh?"

"Okay. Tapi ni demi dinner tu okay? Kalau tak aku takkan pergi," cepat-cepat Mawar menerangkan batas mereka.

"Boleh. Tak ada masalah." Makanan yang dinikmati Hakim cumalah separuh. Dia meletakkan sudu dan garfu di atas pinggan.

"Kenapa tak habiskan?" Mawar berasa sayang terhadap apa-apa sisa makanan.

"Dah kenyang. Buang je lah." Selamba sahaja lelaki itu menolak pinggan berisi nasi dan ayam ke tepi.

Mawar mengetap bibir. Kalau Luth yang makan, hingga licin pinggan dikerjakan. Luth akan menghargai walaupun sebutir nasi kerana mereka dibesarkan dalam keadaan yang susah. Makanan dari tong sampah terkadang menjadi pilihan andai  itu sahaja yang ada.

"Basuhkanlah pinggan aku. Aku bayar kau, kan?" Lelaki itu mematikan lamunan Mawar.

***
votexkomen
***

buatlah Mawar kalau nak Luth mengamuk.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro