14 : Mati

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Helmet motor diletak ke atas rak kasut. Habis basah lencun, dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Hendak ikutkan hati, sampai tengah malam pun sanggup berada di tengah-tengah bandar buat mencari Umar. Luth amat merisaukan keberadaan anak itu. Sejak tadi hujan melebat, jika apa-apa terjadi pada Umar mustahil Luth dapat memaafkan diri sendiri.

Dialah yang kononnya mahu gembirakan hati Umar, sudahnya kanak-kanak itu tersesat sendiri. Tahniah, Luth. Siap dapat pakej lebam di pipi lagi. Mujur mak nyah di tengah lorong sanggup membantunya.

Lelaki itu melajukan langkah ke ruangan dapur. Bunyi esakan tangisan si kecil Aira memecah benak. Luth terburu-buru pulang kerana menerima panggilan telefon daripada Aida, katanya Aira asyik buat perangai sejak petang lagi.

Sebelum mencempung tubuh Aira, sempat Luth menukar baju yang lain. Barulah selesa hendak memujuk puteri manjanya ini. Sengaja menepuk tangan lembut di hadapan wajah Aira, maka terlonjaklah si Aira hendak memeluk Luth. Takut sangat ayahnya hilang seharian. Dapat cium bau ayahnya, barulah tangisan reda. Anak ayah sangat.

"Mana Mawar?" Bayi itu beralih ke dalam pelukan Luth. Air mata pun telah kering di pipi tembam Aira.

Aida menggeleng tidak tahu. Sejak tadi gadis muda itu menanti kepulangan Luth di ruangan dapur.

"Eh, tak tahu?" Kening Luth bertaut. Ubun-ubun bayinya dicium lembut. "Mana pula dia pergi?"

"Zohor tadi dia naik kereta dengan Hakim," jujur Aida.

Hampir putus urat nadi Luth. Mata menoleh ke arah jam dinding. Jarum pendek tepat menunjukkan angka 10. "Kenapa dia keluar dengan Hakim?"

"Luth tak tahu ke yang Mawar kerja dekat rumah Hakim..."

"Kerja?" Hampir tergelak Luth di situ. Inilah kerja yang dimaksudkan Mawar selama ini? Sanggup diabaikan suami sendiri yang sakit kanser.

"Ya, dia jadi orang gaji. Bersihkan rumah Hakim..." tambah Aida lagi.

Makin berapilah hati Luth. Membakar-bakar hingga ke isi terdalam. Orang gaji di rumah Hakim? Mawar buat lawakkah? Tidak sekali pun Luth akan percayakan lelaki lain untuk menjaga isterinya.

Aira diserahkan kembali pada Aida. Lelah siang masih tersisa, Luth terkocoh-kocoh ke pintu utama. Helmet basahnya disarungkan ke atas kepala.

Tangisan Aira kembali memecah benak.

***

"Seronok malam ni?"

Mawar tak lekang dengan senyuman bahagia. Pertama kali masuk ke dalan majlis, ramai yang mahu beramah mesra dengannya seolah-olah dia ini orang setaraf mereka. "Seronok," jawab Mawar.

Sayang sekali hujan sedang turun melebat. Awan pun menggelap hingga tiada satu bintang pun kelihatan. Jika tidak, pasti Hakim akan membawa Mawar ke mana-mana tempat sebelum dihantar pulang ke rumah.

"Baguslah kalau kau gembira. Aku tak suka tengok kau sedih je. Kan lagi elok macam ni?" balas Hakim. Sebelah tangan bersandar pada pintu kereta buat menongkat dagu.

"Em, ya. Kan bagus kalau setiap malam macam ni?" Apabila pulang ke rumah, Mawar akan kembali menghadap lelaki bernama Luth. Nanti mereka akan bergaduh mulut lagi. Akhirnya, sia-sia sahaja rasa gembira pada malam ini.

"Kenapa berharap je kalau kita boleh jadikan harapan tu kenyataan?"

11 malam.

"Mustahil." Mawar tertawa halus. Cukuplah kegembiraan sementaranya. Dia harus menempuh realiti kehidupan lama.

"Kenapa gelak?" Hakim menjongketkan kening. Keretanya memacu laju membelah jalan raya yang lengang.

Si bunga menutup kipas pendingin hawa berhampiran. Tiba-tiba suhu turun mendadak disebabkan hujan di luar sana. Dia mula meneluk tubuh dan duduk elok di sebelah tempat pemanduan. "Hakim, terima kasih sebab kau baik dengan aku. Baju ni pun..." Matanya menekur persalinan baju yang amat cantik malah lagi cantik dari baju yang digunakan tika akad nikah bersama-sama Luth.

"Kau ingat tawaran aku siang tadi?" Atmosfera malam menghadirkan satu rasa.

"Apa?"

"Aku boleh hadiahkan kau RM30 000. Tapi dengan satu syarat..."

"Hm?" Mawar jadi ternanti-nanti. Matanya membulat memandang Hakim hinggakan badan pun tertoleh sekali menghadap pemandu itu.

"Kalau kau sudi jadi isteri aku," sambung lelaki berkemeja kemas itu. Sepersalinan tuxedo yang tersarung pada tubuh menambahkan lagi seri ketampanan. Malam itu pula Hakim langaung tidak memakai kaca mata, digantinya dengan kanta lekap.

Mawar ketawa sumbang." Jangan mengarur."

"Aku serius, Mawar," potong Hakim. Gelakkan gadis berkenaan terhenti serta-merta.

"Aku nak kau jadi isteri aku. Duit RM30 000 tu anggaplah hadiah hantaran perkahwinan kita. Aku jenis yang tak akan bagi duit dekat orang melainkan orang tu buat sesuatu untuk aku. Mesti kau ingat aku gila, kan? Ya, aku gila sebab jatuh hati pada isteri kawan sendiri. Tapi... Aku cuba sunting kau dengan cara baik. Kalau kau setuju untuk kahwin... Aku beri RM30 000 tu," terang Hakim. Ekor mata mengintai wajah Mawar yang sedang menekur.

"Aku sayangkan Luth," bisik Mawar. "Maaf, aku tak boleh kahwin dengan kau."

"Kenapa kau sayang dia? Apa kurangnya aku?" soal Hakim sedikit kecewa. Dia tak mahu mendesak Mawar untuk menerimanya.

"Kau tak boleh paksa orang lain untuk cintakan seseorang." Mawar mengangkat wajah dan memandang jauh je hadapan.

"Cinta? Patutlah aku tengok kau menderita. Sebab cinta kau sanggup korbankan usia muda kau untuk jaga Luth? Banyak lagi perkara yang kau boleh buat. Dekat majlis tadi... Ramai perempuan sebaya kau yang dah berkerjaya. Dorang boleh beli apa yang dorang nak tanpa harapkan lelaki. Sementara kau bergelut dengan nasib hidup... Aku janji kalau kau jadi isteri aku, aku akan jadi lebih baik daripada Luth. " Hakim memang tekad mahukan Mawar. Rata-rata rakannya di majlis tadi sibuk menjadikan Mawar dan dia sebagai perbualan. Setiap pasang mata tertumpu pada kecantikan Mawar.

" Cukup, Hakim." Mawar sudah naik rimas. Mata dipejamkan buat seketika. Tulang belakang disandarkan pada kusyen kerusi.

"Lagi dua hari... Luth akan ke dewan bedah. Atas dasar cinta, kau sanggup ke kalau doktor batalkan pembedahan tu sebab kau tak cukup duit? Aku cuba tolong kau sebab Luth kawan aku. Bila bercinta ni... Tak semestinya kena memiliki. Cukup untuk kau tengok si dia bahagia..." Kata-kata Hakim menyentakkan Mawar sesaat dua. Gadis itu hampir terlupa bahawa dalam dua hari lagi Luth akan ke dewan bedah.

Mawar yang berselendang satin mencelikkan mata. Sungguh fikiran itu buntu untuk bagaimana lagi dia harus berusaha.

"Aku nak pinjam RM30 000, boleh?" cadang Mawar.

"Kau takkan mampu bayar. Sebab tu lah aku tawarkan kau untuk jadi isteri aku sepenuh masa." Satu lagi simpang, tibalah ke rumah Hakim. Ada baiknya jika berteduh memandangkan hujan semakin lebat.

"Eh, hantarlah aku balik. Dah lewat ni..." Mawar sedikit terkejut. Kawasan perumahan dimasuki pacuan itu.

"Aku rabun malam. Silau lagi... Hujan lebat malam ni. Terpaksa berteduh dulu. Kalau hujan tak berhenti, kau tidur je lah rumah aku," balas Hakim selamba. Entah mengapa dia kekal melayan Mawar seperti gadis itu bukan isteri sesiapa. Mungkin kerana manusia bernama Luth telah lama dianggap 'mati'.

***

Langit hitam terus mencurahkan air ke muka bumi. Seorang lelaki berhelmet bersabar menunggu sang isteri meskipun dia kehujanan satu jam lamanya. Daripada pukul 10 malam hingga kini, seinchi pun Luth tidak bergerak di bahu jalan berhadapan sebuah rumah.

Dia tidak takut andai disambar petir di tengah malam itu. Grip motor digenggam erat apabila sebuah kereta menghala ke arahnya. Pandangan helang menikam wajah pemandu pacuan berkenaan.

Pada mulanya, Hakim menekan hon kereta kerana tidak mengecam itu suami pada Mawar. Kedegilan Luth memaksa lelaki berkenaan untuk melangkah keluar kereta. Hakim telah membuat langkah yang salah.

Jari-jemari dipatahkan Luth. Senyumannya naik sebelah. Inikah wajah yang berani membawa Mawar keluar hingga lewat malam?

Laju sahaja Luth menerkam ke arah Hakim bagai harimau kelaparan. Leher baju kemeja lelaki itu dicengkam kuat lalu ditolak tubuhnya ke arah hoods kereta. Hakim tidak dapat melawan Luth apabila dikunci segala pergerakan sepantas kilat. Dia terpaksa menadah jatuhan air hujan ke wajah dek kepala yang terdongak memandang langit.

Api kemarahan Luth menjulang tinggi. Lebatnya air hujan pun tidak mampu memadamkan. "Kau buat apa dengan bini aku?" Suara Luth naik seoktaf.

Terkial-kial Hakim menolak tubuh Luth menjauh.

"Kenapa kau tak hantar Mawar balik? Kau nak suruh dia tidur rumah kau? Kau nak beli maruah dia macam perempuan murah? Kau ni memang tak guna." Penumbuk sulung Luth dihadiahkan pada perut lelaki itu. Bukan sekali tetapi tiga kali dengan kudrat sekuat hati. Luth benar-benar bengang. Kesabarannya telah tiba ke penghujung.

Hakim mengerang kesakitan di hoods kereta. Habis bajunya turut dibasahi air hujan.

Satu lagi penumbuk digenggam Luth erat. "Kau nak muka kau hancur malam ni juga?"

PAPP

Cengkaman leher baju Hakim terlepas serta merta. Luth kehilangan kata. Dipandang wajah yang sedang mencerlung tajam ke arahnya.

"Mawar... Tampar abang?" Suara Luth tersekat di kerongkong.

"Apa masalah abang?" bidas Mawar. Pergaduhan pada malam itu dihentikan si bunga sendiri.

"Mawar, abang cari Mawar," bisik Luth. Nafas hangat ditenggelami kesejukan hujan. Pipi pijarnya disentuh perlahan.

"Kenapa abang pukul Hakim?" Mawar berdiri tegak di hadapan Luth.

"Sebab abang takkan lepaskan lelaki yang nak apa-apakan isteri abang." Luth terkelip-kelip matanya. Sejak bila Mawar sanggup berkasar begini?

"Dia tak apa-apakan Mawar. Tapi dia beri Mawar apa yang abang tak mampu beri. Jangan pukul Hakim lagi. Abang pergi balik. Kalau Mawar nak tidur rumah Hakim pun apa salahnya? Nanti kalau abang demam menyusahkan Mawar pula."

Ada satu bunga yang diharapkan untuk kekal menghiasi taman di hati. Namun, bunga itu tidak kekal menjadi milik si fakir ini. Pemilik yang baharu mampu berikan segalanya, dan dia tidak pula.

Mata Luth menyaksikan isteri sendiri memeriksa keadaan lelaki asing bagai diri itu tidak wujud. Satu jam Luth menanti di bawah hujan sementara untuk melihat keadaan Mawar. Adakah dia tidak layak menjadi suami gadis ini?

Air mata menggelongsor dengan lajunya air hujan.  Grip motor dipulas sekali, laju membawa diri pergi dari kesakitan yang teramat. Jantung pun seperti tak mahu berdegup. Lebih baik mati berbanding hidup begini.

Tiba di rumah, langkah longlai menuju ke bilik. Segala perasaan menjadi satu. Bantal dan selimut habis dicampak ke lantai bilik. Tak cukup dengan itu, tingkap bilik ditumbuk sekuat hati. Bunyi jatuhan kaca mengisi kesakitannya.

Getaran dada tidak dapat dikawal. Kenapa Mawar jadi begini?

Sukarnya untuk bernafas hingga tangan menjadi bergetar. Bilahan kaca diambil Luth. Nadi pergelangan tangan disentuh lembut dengan hujung kaca. Kehangatan air mata membanjiri wajah.

Semua orang telah menganggap Luth tiada di sini. Maka, lebih baik dia pergi. Mawar pasti gembira, bukan?


***
votexkomen
***

sebab semua rindu Luth, kita double la hari ni..

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro