16 Tak wujud

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Pintu kamar ibu dipandang sepi. Di sini, Luth dapat mengasingkan dirinya daripada bergaul dengan dunia luar. Badan diringkukkan di atas katil sambil perut kempis diusap sendiri. Mungkin sudah masuk angin kerana tak menjamah apa-apa dari siang.

Cantik sungguh pakaian Mawar semalam meskipun dalam hujan. Tak ubah seperti bidadari di alam mimpi. Sayangnya pakaian itu tidak dibeli Luth, Hakimlah yang belikan. Mawar selesa ke sana ke mari di bawah bumbung kereta bersama-sama Hakim, Luth yang bermotosikal jauh ketinggalan.

"Dia tak apa-apakan Mawar. Tapi dia beri Mawar apa yang abang tak mampu beri."

"Abang tak mampu buat banyak perkara, Mawar. Mesti Mawar dah bosan dengan abang, kan?" Hati Luth bersuara dalam diam. Mata tidak berkelip memandang tempat yang sama.

"Jangan pukul Hakim lagi. Abang pergi balik. Kalau Mawar nak tidur rumah Hakim pun apa salahnya? Nanti kalau abang demam menyusahkan Mawar pula."

Luth ini hanya tahu menyusahkan semua orang. Dia akan terus membebankan orang lain hingga hembusan nafas terakhir. Begitukah?

Badan lemahnya terbaring sahaja. Mawar akan pergi tidak lama lagi dan dia tak dapat menghalang apa-apa. Pergilah, Mawar. Hakim pun boleh ganti tempat Luth sebagai suami malah jauh lebih baik.

Tak usah bandingkan antara sampah dan barangan mahal, kerana sampah seperti Luth tahu di mana darjatnya. Apa yang Luth miliki, boleh diambil Hakim sesuka hati. Kerana apa? Kerana sampah memang tak layak untuk kecapi rasa bahagia sendiri. Sampah hanya layak untuk duduk sendiri dan meratapi hari-hari sebelum mati.

Bukan Luth yang memilih untuk hidup begini. Dia memang serba serbi bodoh. Dalam bab pelajaran, usah disoal. Lelaki bernama Luth tidak pernah ke sekolah. Hendak bekerja sebagai buruh kasar? Sakit yang menyelubungi menghalang segala perkara itu daripada terjadi.

Sudahlah bodoh, pemalas pula.

Tawa halus terbit di bibir Luth. Dia menyembamkan wajah ke katil. Cadar digenggam erat seperti kuatnya torehan di hati.

Tak cukup dengan itu, suka menyusahkan orang lain pula. Umar hilang atas perbuatan bodoh Luth sendiri. Nanti satu rumah asuhan akan menyalahkan Luth. Kenapa pula diambil Aira sebagai anak angkat? Untuk menyusahkan Mawar? Padanlah Mawar akhirnya pergi kepada orang lain.

Luth bodoh. Luth tak layak hidup.

Entah-entah Hakim dan Mawar telah berzina selama ini di belakang Luth. Padanlah Mawar seronok sangat mahu ke rumah lelaki itu.

Memang Luth kadang-kadang tak mampu untuk laksanakan tanggungjawab sebagai suami. Ceritakan bagaimana? Jika kepalanya asyik sakit mencengkam seperti orang gila. Demam pasang surut membuatkan seluruh tubuh menjadi lemah.

Andai Mawar mengandung selepas ini, pasti itu anak Hakim.

Begitu jauh fikiran Luth tersasar. Akhirnya dia sendiri merundum sedih dalam lautan pilu. Adakah ini realiti kehidupan? Terasa semuanya bagaikan mimpi. Jika benar mimpi, bangkitkanlah diri ini.

Sentuhan di bahu menyentakkan lelaki itu. Dia menoleh ke belakang dan mengangkat wajah pucatnya. Selimut pada badan jatuh ke sisi apabila Luth berusaha mahu bangkit duduk. Dipandang Puan Dalila yang baru pulang dari kerja. Waktu siang hampir bertemu ke penghunung. Matahari akan terbenam disebalik kegelapan malam.

"Luth dah makan?" soal sang ibu.

Kadang-kadang Luth sendiri keliru. Mana satu insan yang benar-benar ikhlas menyayanginya? Dia tak punya apa-apa untuk diberikan sebagai balasan selain kasih yang tulus. Mahukah mereka ambil balasan murahan ini?

Kepala tidak menggeleng atau mengangguk. Perlahan-lahan anak mata jatuh merenung pintu bilik kembali.

"Ibu nak tanya, Luth pergi mana petang semalam?" Puan Dalila berlabuh berdekatan pemuda itu. Mahu diusap Luth dengan penuh kasih sayang, moga hati Luth akan terbuka sedikit demi sedikit untuk ibu.

"Umar," bisik Luth. Dia segera mengangkat wajah. "Luth kena bawa Umar balik." Selimut ditolak ke tepi sebelum kaki menapak ke lantai bilik. Fikirannya sarat memikirkan Mawar hingga hampir terlupa perihal Umar. Entah apa nasib anak itu di luar sana dalam lebat hujan malam tadi.

"Luth, sabar. Jangan pergi mana-mana. Cakap dekat ibu Luth nak apa? Biar ibu buatkan." Puan Dalila menghalang Luth dengan memegang pergelangan tangannya. Wajah Luth tiba-tiba bertukar bimbang tidak tentu pasal. Anak mata pun asyik ke kiri dan kanan mentafsirkan perasaannya sekarang ini.

"Umar..." Luth merundum sedih. Dia tidak boleh duduk diam sahaja di sini sementara Umar mungkin dalam keadaan bahaya di luar sana.

"Siapa Umar? Kawan Luth?" soal ibu lembut. Kedudukan dua beranak itu makin rapat.

Luth menggeleng lemah. Alunan nafas jadi sesak gara-gara memikirkan kehilangan Umar pula. "Dia budak rumah asuhan ni..."

"Rumah ni tak ada budak nama Umar." Lengan anaknya dielus perlahan. Benarlah kata Aida, terkadang Luth banyak bercakap sendiri. Ada sesuatu yang asyik menemani Luth selama ini. Ibu menyimpulkan senyuman nipis.

"Apa ibu cakap ni? Umar kan anak rumah asuhan ni? Dia selalu tunggu dekat luar..." Luth agak terkejut mendengar jawapan ibu.

"Luth, dengar cakap ibu. Budak bernama Umar tak pernah wujud dekat rumah ni," pesan wanita itu sambil menatap ke dalam anak mata anaknya.

Terus Luth tertawa halus. "Ibu, Luth selalu sembang dengan dia. Luth belanja dia ais krim... Dia teman Luth bila tak ada orang nak temankan Luth... Kalau ibu tak percaya, ibu tanya Aida. Hari tu Aida marah Umar sebab Umar buat perangai."

"Okay, ibu panggil Aida. Sekejap, ya?" putus Puan Dalila. Sempat bahu anaknya ditepuk lembut.

Pemergian ibu keluar bilik diiringi ekor mata Luth. Terkelip-kelip memandang pintu yang telah terbuka luas. Apa maksud ibu yang sebenarnya?

Tubuh sendiri dipeluk kerana sejuk. Hujung kaki cuba disorokkan ke bawah selimut. Hairan sungguh hidup ini.

Seketika ibu kembali dengan seorang pengasuh bernama Aida. Aida melangkah ke dalam bilik itu setelah diizinkan ibu. Dua pasang mata kini memandang Luth yang terduduk berselimut.

"Cakap, Aida. Mana Umar?" soal Luth. Di akan buktikan pada ibu bahawa ibu salah. Umar memang ada selama ni!

"Tak ada budak nama Umar dekat sini," jujur Aida.

Berkerut-kerut wajah menahan geram. Kenapa dengan semua orang ini? Luth semakin keliru. "Kau jangan nak tipu aku. Hari tu kau marah dia. Kau lupa ke?"

"Luth, saya tak faham apa awak cakap ni." Gadis itu berundur setapak kerana mahu menyorok di belakang ibu. Pertanyaan keras Luth seolah-olah mahu membahamnya. "Umar tak wujud dekat rumah ni."

"Setiap hari Umar tunggu dekat pagar rumah," bidas Luth berang. Wajah diraup kasar. "Kau... Kenapa? Kenapa semua orang buat macam ni dekat aku? Cakap je lah Umar dah hilang. Jangan tipu aku... Macam apa yang Mawar buat... Kau ingat aku suka ke kalau orang tipu aku?"

Setitis mutiara jatuh ke atas lengan yang berbalut kain. Luth menarik nafasnya yang perit. Dia terketar-ketar menahan segala sarat. Dihentam lagi emosinya dengan kecelaruan.

Gadis pengasuh itu disuruh ibu untuk pergi. Pintu bilik terkatup rapat dari luar. Tinggallah Luth berdua dengan Puan Dalila.

"Luth..." Anak muda itu didekati Puan Dalila.

"Ibu... Ibu percayakan Luth, kan?" soal Luth bersungguh-sungguh. Tulang pipinya menadah tangisan air mata.

"Ya, ibu percaya." Meskipun ibu tidak pernah berjumpa dengan anak bernama Umar, tetapi tidak boleh mengatakan bahawa Luth salah. Air mata Luth dikesat dengan telapak tangan. Keadaan Luth yang begini menyedihkan hati ibu. Kesan lebam di pipi diusapnya penuh kasih.

"Kenapa lebam ni?" Ibu benar-benar mahu tahu asbab pukulan ini. Siapalah yang sanggup pukul Luth.

"Semalam... Luth bawa Umar pergi cari papa dan mama dia. Ta-tapi Umar tiba-tiba hilang. Luth cari... Penat... Sampai malam. Lepas tu hujan lebat..." luah lelaki itu. Nafas hangat tersekat-sekat keluar. Dia perlukan kekuatan untuk terus bercerita.

"Iya? Lepas tu?" Ibu memegang kaki Luth yang beralas selimut. Bekas calar pada telapak tangan ditiliknya.

"Luth balik rumah sebab Aida kata... Aira menangis. Ta-tapi Mawar tak ada.. Dah pukul 10 ma-malam. Luth risaukan Mawar." Terhentilah ceritanya di situ kerana tidak dapat meneruskan bicara. Anak mata menekur cadar katil.

"Tak apa kalau tak boleh cerita... Ibu tak paksa," ujar ibu.

"Luth tunggu lama depan rumah Hakim... Hujan lebat... Kereta Hakim sampai. Ha-Hakim keluar, terus Luth tumbuk. Ibu fahamkan Luth sayang Mawar?" Sudah penat Luth mengalirkan air mata.

"Ibu tahu, sayang."

"Mawar tiba-tiba tampar Luth... Dia kata Luth menyusahkan dia... Dia nak tidur rumah Hakim. Dia tak kisah pasal Luth dah... Luth masih hidup pun dia dah anggap Luth dah mati. Lagi baik Luth mati, kan? Nanti dah tak susahkan Mawar... " Bibir diketapkan lama. Segala luahan didengar oleh sang ibu. Luth tersebek-sebek di situ, hatinya makin luluh. Dia merapati tubuh ibu lalu mahu memeluk dalam keadaan teragak-agak.

" Ibu ni ibu Luth, kan?" soal Luth polos. Tak banyak perkara yang mampu diproses Luth. Seingatnya ibu pernah mengaku ada pertalian darah dengannya.

" Ya, sayang. " Tersenyum nipislah Puan Dalila.

" Bolehkan Luth nak peluk ibu?"

Ibu tidak menjawab malah membalas dengan satu pelukan. Kekuatannya tersalur pada pemuda botak itu. Parut pembedahan tempoh hari terlihat apabila ibu cuba mengintai wajah Luth.

Ya Allah, tolong kuatkan Luth.

"Ibu betul-betul sayangkan Luth?" Luth sudah penat dengan hidup sendiri.

"Ibu sayang Luth," bisik ibu. "Tak apa kalau semua tak sayang Luth. Ibu nak Luth tahu yang ibu sentiasa sayang Luth."

"Aida tipu... Tak baik dia kata Umar tak wujud... Mawar pun tipu... Dia kata dia pergi kerja, padahal berdua dengan Hakim. Semua jahat... Ibu akan jahat juga ke dengan Luth?" soal Luth. Tangisan dikesat pada bahu baju kurung Puan Dalila.

"Tak. Ibu akan jaga Luth. Luth jangan risau. Duduk je dalam bilik ni ya? Anak soleh ibu kena rehat..."

Air mata seoeang ibu turut jatuh. Setiap kali Luth menangis, jujurnya Puan Dalila akan luluh sekali. Namun, dia harus kuat agar dapat menjadi tempat sandaran lelaki muda itu.

Diamlah Luth dalam pelukan ibu. Badan membahang panas gara-gara kehujanan semalam.

"Luth penat, ibu," bisik Luth. Perlahan-lahan pelukan dileraikan wanita setengah abad itu. Badan lemah Luth kembali berbaring di atas katil. Bibir mengoyak senyuman nipis melihat kasih ibu padanya.

Benarkah Puan Dalila ini ibu Luth? Luth tidak tahu. Realitinya hampir sama seperti mimpi hingga akal logik tak mampu membezakan lagi.

"Kalau Luth demam, tolong... Jangan beritahu Mawar. Sebab Mawar tak suka Luth susahkan dia," pinta Luth.

"Jangan pukul Hakim lagi. Abang pergi balik. Kalau Mawar nak tidur rumah Hakim pun apa salahnya? Nanti kalau abang demam menyusahkan Mawar pula."

"Ya, sayang." Ibu menghormati permintaan anak kandungnya. Sepasang stoking disarungkan pada kedua-dua kaki Luth yang mula sejuk kejung.

"Ibu, betul ke ibu ni ibu Luth?" Luth memerhatikan wajah tua itu.

"Kenapa?" soal ibu kembali.

"Tak... Cuma Luth dah lama berangan nak ada ibu sendiri. Rasa macam mimpi." Kelopak mata diturunkan lelaki itu. Tersenyum kecil bibir keringnya. Air mata telah dihapuskan angin kipas bilik. Rasa sejuk berganti hangat dek comforter yang baru dilapisi.

***
votexkomen
***
mungkin Luth mati dulu baru segalanya baik. patutlah tajuk Novel ni hentian akhir? ')
*
*

Korang! Korang!

Dapatkan anak sulung saya ni ♥️🦋
Ya, bukan ebook tau! tapi buku fizikal!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro