18 Pilihan Bunga

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"Kenapa ibu panggil Kim? Orang sibuklah..." Tulang rahang yang tidak gatal digaru perlahan. Ruangan pejabat Puan Dalila menjadi destinasi selepas penat bekerja di pejabat. Atas urusan mahu menghantar Mawar usai mengemas seharian, sempat jua singgah ke pejabat ibu di bangunan yang berasingan.

Puan Dalila yang terduduj di sofa tidak membuat sebarang riak. Memang benar selama ini Hakim ke sana ke mari bersama-sama isteri Luth. Sudah besar panjang pun mereka mahu bergaduh lagi? Lagi teruk Hakim cuba merampas hak kepunyaan Luth. Mawar itu isteri halal Luth.

"Hakim tahu apa jadi dekat Luth?" soal ibu.

"Ah, budak tu... Kenapa? Dia sakit ke?" Punggung dihenyak ke atas sofa seraya tali leher dilonggarkan.

"Hakim buat apa dekat Luth?"

Hakim tidak mengerti. Dia menggeleng perlahan. "Buat apa? Kim baru je sampai sini... Ibu, kenapa ibu nak bela Luth? Dia tu dah besar panjang. Sekali pun dia ada masalah dengan Kim, tak perlu pun hantar ibu untuk berunding."

"Biarlah Luth nak duduk sini. Dia hak ibu. Dia tak pernah menyusahkan ibu, tapi dia senangkan ibu. Dia banyak tolong ibu walaupun bukan dengan duit. Isu dia sekarang ni, kenapa Hakim cuba rampas Mawar dari dia? Apa masalah awak?" Kesabaran Puan Dalila makin tergugat setiap kali Hakim seolah-olah mahu merendahkan anak kandungnya. Memang pun tiada siapa yang tahu dia ini ibu kepada Luth.

"Apa? Ibu percaya cakap Luth tu? Budak yang macam penagih dadah tu?" Hakim berdecit lalu tersenyum senget.

"Hakim, jaga mulut tu. Awak ingat awak mulia sangat nak hina orang lain?" balas Puan Dalila. Sungguh dia terkejut Luth mahu disamakan seperti penagih dadah. Tubuh Luth jadi kecut bukan kerana najis dadah tetapi dia terpaksa bertarung dengan kanser.

"Dia tu dah lah sakit. Gatal pula nak bela anak angkat. Nanti kalau dia mati, siapa nak bela bayi tu? Harapkan Mawar seorang?" sinis sungguh bidasan yang dilontarkan Hakim. "Memang padanlah kalau Kim nak ambil Mawar. Tengoklah nanti. Kalau Luth dah mati, biar Kim yang ambil Mawar dan Aira," putus Hakim dengan kepala sendiri. Hal Luth bukanlah urusannya.

Betapa terkejutnya ibu dengan sikap Hakim. "Astaghfirullah... Hakim, awak tahu tak Luth tu siapa? Dia kawan satu rumah asuhan dengan Kim dulu. Korang makan sama-sama... Main sama-sama... Mawar dan Aira tu bahagian Luth. Jangan rampas kebahagiaan anak ibu-"

"Luth je anak ibu? Hakim?" Lelaki berkemeja itu menaikkan sebelah kening. Dia yang asalnya bersandar kembali meluruskan tulang belakang.

Puan Dalila masih berlagak tenang di situ. "Ibu tak ada anak yang sanggup panggil orang lain penagih dadah."

"Kenapa ibu selalu lebihkan Luth? Dari kecil lagi... Ibu selalu sayangkan dia padahal dia tak ada apa-apa nak dibanggakan. Hakim dah belajar tinggi-tinggi, dapat kerja bagus sekalipun ibu tak pernah nak lebihkan Kim."

Kerja sehebat mana pun jika tiada akhlak, ia tiada nilai di mata seorang ibu. Memang Luth itu serba kekurangan, namun hatinya tidak pernah merendahkan orang lain. Luth banyak merendahkan diri sendiri dalam kekurangan yang ada hingga dia mula merasakan diri itu tidak berguna. "Ibu sayang anak ibu sama rata. Cuma Hakim yang buat kasih sayang ibu berubah. Baliklah, ibu tak nak tengok muka Hakim."

Hakim menerima tamparan hebat dengan kata-kata berbaur halauan. Lidahnya mahu membalas pun jadi terkunci. Wanita kesayangannya tidak lagi memandang diri itu.

Suasana menjadi sepi buat mereka berdua. Muka ibu berpaling ke arah lain kerana tak mahu memandang Hakim. Hati tuanya terlalu sakit, takut makin lama perbualan nanti makin berputik benci pada anak asuhan sendiri. Maka ibu memilih untuk berdiam diri.

" Assalamualaikum... " Satu suara mencelah. Wajahnya basah dengan air wuduk yang baru sahaja diambil. Lama mendengar perbualan dari luar, akhirnya Luth melangkah ke dalam jua.

Mata Hakim bertemu dengan sepasang mata bundar. Sembapan mata menceritakan betapa banyak air mata telah Luth alirkan, wajahnya yang tidak bermaya menyatakan sakit dalam badan semakin memamah isi. Kehadiran Luth  disambut ibu dengan baik. Hakim memerhatikan sahaja tingkah ibu yang membantu Luth berjalan perlahan-lahan untuk ke sebuah kerusi plastik.

Rasa cemburu bertapak di hati Hakim dengan kasih ibu pada Luth. Apa Luth sudah cacat hingga perlu dipimpin ketika melangkah? Meruap jugalah hati lelaki berkemeja itu.

"Pergilah balik, Hakim," ulang ibu. Tiada secebis senyuman buat anak itu. Puan Dalila lebih merisaukan keadaan Luth yang sedang sakit.

"Hakim pergi dulu, ibu." Pedihnya hati dilayan ibu begini. Hakim beransur pergi kerana tidak mempunyai pilihan lain. Kehadirannya bagaikan orang asing di situ.

Pintu pun terkatup dari luar.

Puan Dalila beralih pada anak lelakinya. Disentuh bahu pemuda itu lembut. "Dah lama Luth duduk luar?"

Luth tersenyum nipis. Wajahnya menunduk sahaja. "Lama juga... Luth dengar semua yang Hakim kata."

Penagih dadah.

Gatal nak bela anak angkat.

Tidakkah Hakim tahu yang Luth juga ada hati? Hati yang setiap hari kian lemah meminta mati.

"Pedulikan kata-kata dia. Dia tak layak nak cakap apa-apa pasal anak ibu." Puan Dalila terus memeluk kepala Luth. Hakim cukup melampau, akhlak menghilang gara-gara iri hati.

Semuanya berlaku kejam pada pejuang kanser ini. Hati telah lama retak. Hinaan Hakim mencabar kesabaran Luth, namun Luth sendiri rasa lelah ingin bergaduh lagi. Mawar pun sudah tentu akan berpihak pada Hakim. Tiada apa yang boleh Luth lakukan selain duduk dan angguk sahaja seperti orang bodoh.

"Betul kan, bu? Yang Hakim akan ambil Mawar dan Aira... " Luth bersuara. Kepalanya bersandar pada tubuh wanita tua itu. Wangian tudung yang tersadung membelai wajah bekunya.

"Mawar milik Luth, Aira pun... Itu hak Luth."

Kelopak mata membahang kepanasan. Air mata cuba ditahan meskipun sukar buat Luth. "Luth tahu yang Luth ni tak guna, kan?"

"Dah... Luth solat Maghrib dulu. Nanti kita balik rumah," pujuk Puan Dalila. Wajah anaknya yang menunduk ditarik ke atas buat memandangnya. Sisa air wuduk di muka Luth dikesat dengan ibu jari. Kalau biarkan Luth lemas melayan peraaaan dikhuatiri dia akan bertekad untuk membunuh diri lagi.

Tingkap pejabat menayangkan langit yang mula menggelap. Seharian Luth menemani ibu di pejabat kerana katanya dia mahu berjalan-jalan. Tak nak lah asyik terperap di bilik sahaja. Walhal kesihatan lelaki itu masih tidak begitu baik.

"Ibu, Luth dah lupa sebenarnya... Macam mana nak solat..." jujur Luth. "Luth ada tulis bacaan dalam solat atas kertas... Tapi kertas tu dekat rumah, dalam buku nota."

"Ibu boleh ajarkan," tawar Puan Dalila.

Ruang privasi ini memberikan tempat untuk Luth berehat dan beribadah di saat ibu terkadang sibuk menguruskan hal pejabatnya. Luth tidak pernah menjangkakan ibu sebenarnya bukan goyang kaki sahaja di sini. Tidak duduk diam tangan ibu menyelak dan memeriksa apa yang perlu. Luth bukannya faham kerja ibu, jadi dia berbaring sahaja di sofa seharian.

"Bismillah," ungkap Puan Dalila. Mengajar anak sendiri solat adalah satu perkara yang bermakna buat seorang wanita bergelar ibu

***

"Kalau kau setuju nak kahwin dengan aku, bolehlah minta Luth ceraikan kau."

Kata-kata Hakim terulang banyak kali di ingatan hingga si bunga tak mampu melelapkan mata. Batukan kecil Aira mengalihkan perhatiannya pada bayi itu. Kelopak mata telah terkatup rapat, Mawar tersenyum sendiri. Kain bajunya diturunkan seusai menyusukan anak di atas katil.

Kepala sendiri terlentok di atas lengan kiri, badan pula dalam posisi mengiring. Dia tidak suka bergelut dengan perasaan sebegini. Ubun-ubun Aira dielus lembut.

Telefon pintar baharu yang dibelikan Hakim siang tadi dicapai Mawar. Skrin utama masih rawak, belum lagi ditukar. Sudah lama dia inginkan telefon mewah, ruangan yang lebih besar membolehkan si bunga menangkap foto sebanyak yang mungkin.

Langsung melupakan telefon pintar lamanya. Sebuah telefon pintar yang tersadai di tepi bantal itu hasil gaji ketika bekerja sebagai juruwang pasaraya. Sewaktu itu Mawar dan Luth belum bernikah lagi. Betapa banyak gambar mereka berdua dalam memori kad kerana Mawar memang suka menangkap gambar bersama-sama Luth.

Punat skrin utama telefon baharunya ditekan. Jari menggelongsor bagi mencari ikon galeri. Di situ terdapat sekeping gambar Hakim. Hati yang awalnya bahagia memiliki telefon baharu merundum sedih. Matanya jadi berkaca-kaca hanya kerana tiada gambar sang suami di situ.

"Apa masalah kau ni Mawar? Lupakan Luth..." bisik sanubari.

Dengan Hakim, masa hadapannya akan menjadi cerah. Mawar cukup yakin hidupnya dan Aira akan bertambah baik jika bernikah dengan lelaki bekerjaya itu. Hakim punya ekonomi yang stabil, minda yang berpendidikan tinggi dan dia juga rajin solat.

"Cinta kau takkan mampu buat kau kenyang. Takkan mampu buat kau hidup senang..." Bibir sendiri menambah lagi. "Takkan lagi 10 tahun pun kau nak duduk dekat sini, Mawar?"

Terkebil-kebil menahan empangan air mata. Digigit ulas bibir bawah, matanya telah pun terpejam. Gadis itu menghela nafas berat. Tangan kanannya masih berdegil mahu mengambil telefon pintar lama di sebelah bantal. Biarlah Mawar mahu melihat gambar suami sendiri bagi melepaskan rindu.

Bila berjauhan, kasih makin memudar. Tiada bicara yang hendak diberikan Luth, lelaki itu diam membisu di bilik ibu. Luka yang mahu dibelek Mawar pun tidak akan dihulur. Mawar tidak tahu hingga bila Luth akan layannya begini.

Perlahan-lahan bibir mengoyak senyuman bahagia meskipun hanya melihat gambar lama. Ya, salah satu sebab kenapa Mawar boleh jatuh cinta pada lelaki ini adalah kerana rupa parasnya yang kacak. Muka acah-acah samseng, bila dengan Mawar automatik jadi kucing parsi. Skrin telefon disentuh ibu jari.

Wajah Luth telah banyak berubah. Rambut hitam yang sering diikat belakang telah tiada. Usah katakan ikat, lepas biar jatuh ke bahu pun boleh membuatkan Mawar tidak keruan. Kulit sawo matang, rahang dan tulang pipi yang terletak elok menambahkan sisi maskulin Luth. Namun, gambar yang terpampang ini hanya gambar lama, yakni sebelum Luth kemalangan. Setelah peristiwa gelap itu, imej Luth berubah sedikit demi sedikit. Berat badan menjadi susut nak-nak lagi apabila terpaksa bekerja keras memotong rumput. Cubaan mencari nafkah halal buat Mawar dan Aira terhenti di tengah jalan, tumor di kepala lelaki itu makin membesar setiap hari.

Air mata hangat mengalir di kedua-dua pipi.

Rupa paras Luth bukanlah asbab utama si bunga jatuh hati padanya, tetapi sikap seorang pelindung dan kasih yang telah membuai Mawar dari kecil. Luth mungkin jahat dahulu, namun lelaki itu sangat baik padanya. Apabila tiada makanan, Luth pasti akan mengutamakan Mawar dahulu biar pun perut sendiri berbunyi.

"Mawar jahat, kan abang?" bisik gadis muda itu. Punggung mengesot ke belakang hingga tubuh bertemu kepala katil. Dia sudah tidak mampu melihat wajah Luth lagi. Setiap kali menatap lelaki itu, tekad mahu berkahwin dengan Hakim pasti tergugat.

Tipulah diri sendiri selagi boleh.

Segala kebaikan Hakim cuba disenaraikan. Jelas lelaki 27 tahun itu lebih hebat berbanding Luth. Hati disumbat dengan hal-hal Hakim, hasilnya makin terseksa perasaan sendiri. Duri sembilu itu menyucuk cintanya yang termaktub untuk lelaki bernama Luth.

Kedua-dua kaki didirikan lalu Mawar menyembamkan wajah pada lutut sendiri. Dia takut tangisannya akan menjagakan si kecil Aira.

"Mawar cuma nak cari duit untuk abang... Nanti abang boleh sihat... Mawar nak masa depan yang baik untuk diri Mawar dan Aira... Sebab tu Mawar terima tawaran Hakim." Getaran dada seiring dengan lebat jatuhan air mata. Kain batik yang tersarung habis basah pada bahagian lutut.

"Mawar tak tahu nak buat apa lagi..." lirih si bunga. Dia semakin keliru dengan apa yang ada di hadapan mata. Sama ada mahu hidup terjamin sebagai isteri Hakim atau melepaskan sisa usia mudanya demi menjaga suami yang semakin tenat.

"Abang, maafkan Mawar."

***
votexkomen
***

Korang, jangan lupa vote dan komen. Hm :( Susah nak buat pilihan.

Sementara tu boleh beli novel saya dulu! Cepat2!


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro