21 Sakit

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Ada orang yang mati terus selepas pembedahan. Ada pula yang bergantung pada mesin berbulan-bulan selepas ditebuk kepala. Luth banyak mendiamkan diri di katil. Tubuh yang tersarung baju hijau hospital ditemani sang ibu. Mawar terpaksa bergilir dengan ibu jika mahu melawat ke sini kerana tiada siapa yang akan menjaga si kecil Aira di luar sana. Seharusnya bayi tidak dibawa ke hospital, amatlah berisiko untuk sistem badan berimun rendah dijangkiti pelbagai virus dan bakteria hospital. Namun, Mawar benar-benar mahu berada di sisi Luth pada setiap detik sebelum tubuh itu disorong ke dewan pembedahan.

"Abang," panggil Mawar lembut. Tanpa balasan apa-apa, gadis itu mengatur langkah lebih dekat lalu terduduk di sebuah kerusi kosong. Padanya tiada Aira kerana diambil Puan Dalila. Kekura tangan sang suami dibawa rapat ke dahi.

"Abang, tolong maafkan Mawar," pinta gadis itu dengan suara halusnya. Dikucup kulit tangan Luth. Selagi Luth tidak maafkan selagi itulah dia akan memegang tangan lelaki itu.

"Ya, abang maafkan," Luth bersuara.

Wajah sayu Mawar diangkat memandang. Bertautlah mata buat seketika. Hanya sekejap, kemudian Luth mengalihkan pandangan. Tahulah Mawar bahawa masih ada sisa marah buat dirinya. Luth tidak akan buat begini jika telah memaafkan seikhlas hati.

"Abang... Tolong maafkan Mawar. Mawar sanggup melutut pada abang asalkan abang maafkan Mawar." Diusap kekura tangan Luth, bibir tak mampu melekukkan senyuman. Berkaca-kaca mata mengharap keampunan sang suami.

"Mawar, jangan paksa abang. Abang tak suka," balas Luth. Dia yang bersandar pada bahu katil menyelesakan kedudukan. Suhu badan Luth beransur normal setelah dimasukkan air ke badan. Pelbagai perasaan berbaur di dada.

"Abang..." Mawar mula menangis teresak-esak. Dia tidak mampu menahan diri daripada terus memikirkan pembedahan yang mendatang. "Ma-Mawar tahu Mawar jahat... Mawar cakap macam-macam dekat a-abang..."

Kepala dijatuhkan mengucup tangan suami. Berlumba-lumba air mata menitis pada kulit Luth. "A-abang... Abang nak Ma-Mawar buat apa? Ca-cakap je..." Nafas si bunga jadi tersekat-sekat.

Pada mulanya Luth memandang ke arah lain. Langsung tidak endah tangisan gadis itu. Kata-kata yang pernah dihamburkan Mawar terulang-ulang di layar fikiran. Tidakkah Mawar kata siapa-siapa pun akan mati, jadi kenapa nak fikirkan sangat tentang penyakit Luth ini? Atau pun kata-kata yang ini, baliklah rumah nanti demam menyusahkan pula. Kesemua itu meninggalkan parut yang dalam di hati rapuh Luth.

"Mawar... Abang maafkan. Cukuplah," keluh lelaki itu.

"Tak," Mawar menggeleng. Habis tudung menjadi basah dan comot. Mata bunga memandang wajah sang suami sedalam-dalamnya. "Mawar kenal abang. Kalau abang maafkan Mawar, bukan macam ni pandangan mata abang."

Redupan mata Luth ada tersulam jelingan. Mawar amat masak dengan perangai suami sendiri. Dia mengesat tubir mata dengan hujung baju tshirtnya.  "Abang..."

"Mawar, pergi jaga Aira. Biar ibu yang temankan abang," potong Luth.

Liur ditelan kesat. Sia-sia tangisan tidak berlagu Mawar. Diam si bunga di sisi suami. Niat di hati mahu berlama di situ. Luth pula yang awal-awal lagi menolak dengan wajah tidak punya perasaan.

Beku. Terlalu banyak yang difikirkan Luth saat itu. Tidak lama lagi tubuh itu akan disarungkan baju untuk pembedahan. Luth tak pasti lama mana dia akan lali dengan bius. Tak pasti sama ada badan ini mampu menanggung sakit yang berkali-kali. Terkadang Luth membalas kembali pandangan Mawar. Kemudian dia menghelakan nafas.

"Boleh, Mawar boleh pergi. Cuma Mawar nak minta abang cium dahi Mawar dulu," akur Mawar.

"Okay."

Tubuh duduk tegak di atas katil. Mata bundar Luth memandang si comot yang cengeng ini.

Mawar mengambil tempat di birai katil. Sedikit sahaja punggung berlabuh di situ. Tubuh sang suami terus dipeluk. Wajah disembamkan pada bahu lelaki berkenaan. Terasa tulang clavicular menimbul di pangkal dada Luth. "Maafkan Mawar," bisik Mawar. "Terima kasih sebab jadi suami Mawar. Mawar bahagia sangat dengan abang. Aira pun bahagia. Mungkin pada mata kasar Mawar nampak Hakim baik, tapi pada batinnya abanglah yang terbaik. Mawar nak abang tahu yang Mawar cintakan abang. Maafkan perangai Mawar yang kadang-kadang buat abang sakit hati. "

Luth mengangkat kedua-dua lengan membalas pelukan itu. Nafas hangat Mawar menampar jinjang lehernya. Dia membiarkan diri menjadi tempat sandaran Mawar buat seketika.

"Kalau abang tak boleh maafkan Mawar sekarang ni tak apa. Mawar tak nak desak abang. Mawar tahu hati abang sakit sangat... Demi Allah, Mawar tak pernah buat hubungan haram belakang abang. Mawar cuma bersihkan rumah Hakim untuk abang... Memang Mawar ada keluar dengan Hakim, itu memang salah Mawar. Mawar tak minta kebenaran abang... Ta-tapi demi Allah juga, Mawar tak pernah terhegeh-hegehkan Hakim. Hakim asyik desak Mawar buat itu ini. Ampunkan dosa Mawar, abang, " ujar si bunga. Telapak tangan dilekapkan pada dada Luth. "Mawar yang buat hati abang sakit. Mawar harap Mawar boleh ubatkan balik." Dada bergetar hebat. Mawar telah jauh melencong dari niat asal hendak mencari duit untuk suami. Mata dipejam rapat, hangat tubuh mereka pun berkongsi rasa seperti mana hati masing-masing yang lama tidak disiram cinta.

Dagu gadis muda itu ditarik melangut. "Mawar doakan abang, ya? Abang nak duduk lama lagi dengan Mawar dan Aira dekat dunia ni." Luth tersenyum nipis. Kelopak mata diturunkan lalu dua ulas bibir dilabuhkan pada ruas dahi Mawar yang bersih. Rasa hangat tubuh gadis itu mengalir kepada Luth.

"Mawar demam ke ni?" tebak Luth. Wajah sang isteri disentuh dengan jemari. Tidak sempat menelek Mawar sebelum ini. Lihatlah, Mawar nampak lesu di sisi Luth.

Mawar menundukkan wajahnya. Kesihatan gadis itu merosot dua tiga hari ini. Sedang Luth demam di bilik, suhunya sendiri pun meningkat naik. Mawar tidak akan sedar dengan benih Luth yang tertanam di dinding rahimnya. Seminggu berlalu sejak mereka bersama, sebelum segala pergaduhan tercetus. Perubahan hormon baru hendak berjinak-jinak. Dia demam kerana tidak biasa mengandung sebelum ini.

"Nanti makan ubat, jaga diri baik-baik," pesan Luth. Dikhuaturi Aira akan berjangkit demam sekali kerana bersumber susu tubuh Mawar. Tangan gadis itu dipegang Luth. Hati mula memaafkan. Mawar tampak benar-benar ikhlas meminta maaf pada mata Luth.

"Okay..." jawab Mawar. Perut kempis gadis itu akan membesar dalam beberapa bulan. Tidak pasti bilakah masa Mawar akan sedar kandungan benih suaminya.

Kasihannya gadis ini. Lingkaran bawah mata menjadi sembap. Hidung kempas kempis dek baru lepas menangis. Badan pula hangat demam. "Jangan sedih. Abang maafkan Mawar," sambung Luth. Orang yang masih belum dimaafkan ialah Hakim. Lelaki tidak guna itu akan kekal menjadi musuh dalam hidup Luth.

"Tengok-tengokkan Aira dan ibu," ujar Luth. Rahang si bunga dielus perlahan lalu pipi berisi Mawar ditepuk-tepuk. Si pipi merah ini yang menjadi tatapan Luth sejak kecil lagi. Bermula dengan pertemuan di bawah meja rumah asuhan.

Mawar tersenyum kecil. Rimas diperlaku begitu, dia mengalihkan wajah sedikit jauh. Tangan Luth dibawa turun. "Abang,  nanti bila dah nak masuk dewan bedah... Abang jangan berhenti istighfar. Mawar tahu suami Mawar kuat. Insya Allah, nanti bila dah selesai bedah... Mawar akan cepat-cepat datang jenguk abang."

Lelaki itu tersenyum nipis. Kepala dijatuhkan sekali sebelum tubuh isterinya dipeluk lama.

Harapnya begitulah.

***

Mata melihat wajah Puan Dalila. Dia terbaring di atas katil dengan degupan jantung yang rancak.

Raut yang mendamaikan hati walau dipandang berkali-kali. Luth mahu terus kekal di samping Puan Dalila.

"Ibu," bisik Luth.

Ibu membalas renungan mata anaknya.

"Kalau Luth pergi dulu, maafkan Luth. Luth gembira sebab ada ibu... Ibu baik sangat..." Menanti detik untuk ke dewan bedah meletakkan perasaan Luth habis berbaur. Rasanya seperti menunggu malaikat maut datang kepadanya. Bibir kekal beristighfar atas pesanan sang isteri.

"Jangan kata macam tu," larang Puan Dalila. Lengan pemuda itu ditampar perlahan. "Cakap lagi..."

Luth hampir tergelak. Dia menggeleng perlahan. "Luth akan rindu nak tidur dengan ibu. Nak baring atas riba ibu... Nak dengar cerita ibu... Ya, banyak sangat perkara yang Luth nak buat dengan ibu."

"Nanti kita buat sama-sama. Sebab tu Luth kena pastikan yang Luth selamat. Jangan lemah..." Bibir delima Puan Dalila mengukir senyuman manis. Si anak ini tak ubah seperti suaminya. Makin lama dipandang, makin mirip dengan Lutfi.

"Luth je satu-satunya anak ibu dan ayah. Kalau Luth meninggal dunia nanti... Maafkan Luth sebab tak sambung keturunan ibu... Aira ada, cukuplahkan? Dia anak susuan Luth. Ibu layan Aira macam Luth layan tau." Bibir masih mahu mengungkapkan kata. Kenapa dia boleh terfikir semua ini? Kerana Luth penat mahu diam menyepi dan menanti mati. Baik masa yang tinggal digunakan buat bercakap dengan insan yang telah mengandungkannya selama sembilan bulan.

"Luth, dah... Jangan cakap." Wajah ibu mencuka.

"Yela." Rasa berdosa pula buat wanita setengah abad itu gusar hati. Kekura tangan ibu digenggam. "Luth janji nanti Luth bagi ibu timang cucu banyak-banyak bila dah sihat... Jadi Luth kena sihat."

"Ibu cuma nak Luth sihat je. Ibu tak kisah tentang perkara lain." Nafas halus dihela. Tangan kasar Luth sedang memujuk agar dia kembali tersenyum.

"Bila sihat dapat buat macam-macam. Oh ya, ada lagi satu yang Luth teringin nak buat."

"Apa?"

"Luth nak belanja ibu makan guna duit gaji Luth. Ibu sabar, ya? Nanti bila dah sihat... Luth kerja, nanti kita makan sama-sama. Dengan Mawar dan Aira sekali," yakin Luth. Dia mahu kehidupannya dihiasi perkara-perkara indah selepas ini. Terlalu banyak duri menyeksa diri di masa lalu.

Ibu pula yang tertawa halus. Hairan anak bertuah ini. Nak masuk ke dewan bedah pun terfikirkan hal yang itu. "Janji? Ibu nak tuntut nanti." Biar Luth semakin bersemangat untuk berjuang. Tubir mata yang berair dikesat Puan Dalila.

"Luth cakap benda sedih, ibu masam. Dah janji macam-macam ibu menangis pula," rungut lelaki itu. Dia jadi tidak tahu mahu bicara apa lagi. Jika menyepi menanti kehadiran doktor, rasa seperti nak mati pula.

Cepat sungguh masa berlalu. Susuk tubuh beberapa pegawai hospital datang ke arah katil mematikan senyuman Luth. Puan Dalila menjauh daripadanya. Sapaan mesra doktor berlalu ditiup atmosfera tegang. Tubuh Luth dipindahkan ke katil yang lagi satu.

Detakan jantung bertambah kencang. Apa yang terlihat hanyalah siling koridor hospital. Ditolak ke dewan bedah, ini pengalaman kali yang ketiga. Pertama, ketika kemalangan jalan raya. Kedua, pembedahan kecil untuk mengeluarkan cecair cerebrospinal yang mencengkam otak. Ketiga, pembedahan terakhir Luth.

Liur ditelan kesat.

Astaghfirullah...

Astaghfirullah...

Astaghfirullah...

Ternyata nafasnya makin sukar. Tiba di sebuah bilik, badan Luth dibaringkan ke atas 'meja'. Baju bedah bertali ini hanya menutup bahagian hadapan. Rasa sejuk menyucuk kulit badan.

Satu alat bantuan pernafasan ditekupkan pada bahagian wajah. Dengan itu, paru-paru mampu menghirup udara segar. Luth merasakan tubuhnya semakin lama semakin mengecil sebaik sahaja bius memasuki saluran pembuluh darah.

Terpejam celik mata memerhatikan keadaan sekeliling. Kening berkerut-kerut cuba melawan kesan bius.

Gelap dan sunyi.

Kelopak mata terbuka separa. Dada pun tidak berombak laju lagi. Luth sedar dirinya seolah-olah sedang dipegang erat. Tangan tidak boleh digerakkan lagi kerana terikat.

Tebukan pada otak bagai menyiat isi kulit hidup-hidup. Apa yang mampu dilakukan cuma meraung sekuat hati.

Kepedihan itu bagai laut menggelora diterpa badai. Tubuh lemah Luth dilontar dari satu dunia ke dunia lain. Terbenamnya ke dasar yang dingin dan gelap tanpa belas kasihan.

Terlalu sukar buat bernafas walaupun satu hirupan. Rasa sakit ini seumpama sayatan pisau belati, merobek tempurung kepala dan menumpahkan darah merah pekat. Cecair merah itu mengalir terus menerus, sehingga kematian adalah anugerah tak terkira.

Kerana sakit ini terlalu berat untuk ditanggung jiwa luluh seorang lelaki lemah.

***
votexkomen
***
kita tunggu sambungan nanti :) sabarlah. Doakan yang baik-baik buat Luth.
.
.
.

Jom beli buku sulung saya! Iklan japp. nak update kisah Luth ni? Beli dulu buku saya ni hehe.

Nak beritahu yang tajuk Muslimah yang Tersingkir telah ditukar kepada Bidadari yang Tersingkir! Harap maklum!

FREE POSTAGE masih available ya. Marilah selit order! Postage saya tanggung.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro