36 Kuat

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Tok tok

"Masuklah."

Penutup botol air mineral ditutup rapat sekali pulas. Wajah Luth menekur lantai bilik. Kedua-dua telapak kaki melekat di lantai bilik berturapkan jubin kaca putih. Dia yang baru selesai mandi pada pagi itu agak hairan perihal keberadaan Mawar. Pagi-pagi lagi telah menghilang.

"Mawar-" Luth menolehkan wajah. Ternyata itu bukanlah gadis kesayangannya.

Satu susuk tubuh seorang lelaki terpacak di hadapan muka pintu. Tangannya tidak lepas memegang tombol. Pertemuan mata hazel dan mata bundar Luth menghadirkan suasana sepi seketika.

Luth terkelu lidahnya.

"Assalamualaikum," ucap Mahfuz.

"Waalaikumsalam."

"Boleh aku masuk? Mawar kata kau tak berani nak keluar bilik." Lelaki berkumis itu tersenyum nipis bagi meleraikan kejanggalan. Dia tidak tahu kenapa pertemuan pertamanya dan Luth tidak meninggalkan segan di hati. Seharusnya dia tidak boleh memanjangkan langkah hingga ke bilik seseorang yang tidak pernah berjumpa di alam realiti.

"Masuklah," balas Luth lalu mendiamkan diri di birai katil. Dilihat Mahfuz semakin mengatur langkah lebih dekat lagi. Kekallah pemilik nama Mahfuz itu berdiri tegak tidak jauh dari Luth sendiri.

"Luth, kau tinggalkan dunia lama kau?" soal Mahfuz.

"Itu je pilihan yang aku ada untuk tak berpisah dengan Mawar." Mawar cinta hatinya, sampai mati pun lelaki itu tak mahu berpisah dengan Mawar.

"Kau ada pilihan untuk kekal dengan dunia lama kau, tapi kau pilih untuk berubah. Aku tahu macam mana hidup kau dulu... Aku nampak gambar-gambar kau terbaring dengan perempuan lain, botol arak bersepah dalam bilik, dengan bekas abu rokoknya... Aku tahu tentang kau. Itu memang hakikat diri lama kau yang dulu. "

"Aku tahu siapa diri aku. Kau tak perlu ingatkan. Kenapa kau datang ke sini?" Hati Luth dicengkam pedih. Telinganya benar-benar sakit menerima ungkitan masa silam yang telah lama diketahui.

"Sebab isteri kau merayu supaya aku beritahu kau mana yang betul dan mana yang salah." Dipandang sahaja keadaan Luth yang sekarang ini. Betapa dia berbeza nak dibandingkan dengan keadaan lalu.

"Dah, cukup. Tak payah nak salahkan aku lagi. Aku tahu diri aku dah cukup hina dengan dosa-dosa semua ni." Mata menekur lantai marmar di kaki.

"Kau mesti tahu kan yang kau pernah kemalangan jalan raya?" soal Mahfuz pula.

"Ya." Parut jahitan di kepala menceritakan segalanya.

"Relakslah. Aku bukan nak cari gaduh. Kalau gaduh pun aku tak dapat apa-apa. Aku cuma nak jadi kawan kau." Mahfuz menyimpulkan senyuman nipis.

"Aku tak ada kawan dekat sini." Luth menggeleng sekali.

"Kalau hidup sorang-sorang ni memang sakit. Kau ada isteri, ada anak dan ada ibu... Tapi kau tak ada kawan yang sama umur dengan kau, yang akan memahami kau dan akan tolong kau tak kira apa. Untung isteri aku berkawan dengan Mawar. Fatihah pun tak ada ramai kawan lepas berhijrah, dia banyak menyendiri. Tapi aku lega juga sebab Mawar selalu ada dengan dia. " Mahfuz menyambung bicaranya tanpa dipinta. Dia yang berdiri mahu sahaja duduk di sebelah Luth agar pandangan mata mereka menjadi satu aras.

"Aku tak perlukan kawan." Dingin balasan seorang lelaki yang lelah disakiti.

"Kenapa?"

"Sebab semua tak guna. Kawan aku pun rogol isteri aku sendiri." Nyata Luth masih bergolak dengan pelbagai lautan memori.

"Aku tahu tu. Tapi kau tak boleh asyik terperangkap dengan mimpi lama. Apa yang kau fikir tu cuma mimpi kau," terangnya. Mahfuz menghela nafas halus. Mahu saja dia memeluk Luth dan memujuk. Namun, semua itu tidak boleh dilakukan dek jurang kepercayaan. Luth belum ada kepercayaan pada dirinya lagi.

"Aku tak faham apa kau cakap," ujar Luth separa berbisik.

"Tak apa. Tak payah faham pun. Aku cuma nak jadi kawan kau. Itulah hajat aku datang ke sini dan nak ziarah..."

"Apa tujuan di sebalik persahabatan yang kau cuba hulurkan ni? Cakap je la apa yang kau nak. Jangan berdalih dengan aku. Aku tak ada apa-apa pun untuk beri pada kau." Memang pun Luth tidak mengerti apa yang sedang berlaku.

"Persahabatan aku ikhlas kerana Allah. Aku tak nak apa-apa." Kepala digeleng perlahan.

"Ikhlas kerana Allah?" soal Luth. Keningnya berkerut.

"Sama sahaja macam apa yang aku buat dekat dunia ni. Aku cintakan Fatihah kerana Allah. Aku bekerja setiap hari demi keluarga aku, juga untuk Allah. Aku tahu hidup ni kadang-kadang tak jadi macam kita rancang. Aku pun asyik keluar masuk hospital sebab masalah jantung. Tapi bila mana kita letak Lillahi Taala sebagai tujuan, kita akan sukar untuk putus asa. Kita tahu rahmat Allah tu sentiasa ada. Jadi, kenalah kuat untuk capai matlamat hidup. "

"Aku tak ada matlamat." Luth berdecit.

"Boleh aku duduk?" Sudah penat berdiri di ruangan bilik. Kaki yang patah pun belum lagi pulih sepenuhnya. Terkadang rasa sakit hadir tanpa diduga.

Anggukan kecil mengizinkan tindakan Mahfuz yang mahu berlabuh di sebelahnya. Luth tidak berasa hendak menghalau Mahfuz keluar saat itu. Dia kenal iras wajah yang sedang memerhati ini. Dari mata hazel, kening hingga lekukan bibir. Inilah Mahfuz yang pernah datang ke dalam mimpi Luth di suatu ketika.

"Kau bukan tak ada matlamat, cuma belum jumpa. Kau mesti nak tengok anak-anak kau membesar dengan elok depan mata, kan?" Kaki kanan dilunjurkan sedikit ke depan setelah duduk di tilam.

"Ya, aku nak. Tapi bila lihat keadaan aku yang macam ni... Aku tak nak fikir jauh tentang masa depan." Luth memaksudkan diri sendiri yang tidak punya kerja dan wang. Badan pun masih lemah lagi. Sungguh diri merasakan tidak bertujuan. Hanya makan dan minum setiap hari, tak ubah seperti haiwan jika berterusan begini.

"Mawar tengah mengandung dua bulan. Aira pula dah nak masuk bulan keempat. Anak-anak kau sedang membesar, baik dalam janin atau yang sedang ada ni. Kau tak boleh kekal di tempat yang sama. Kau kena berjalan dengan anak-anak kau juga."

"Aku tak boleh. Aku tak mampu nak buat apa-apa."

"Apa yang kau nak buat?"

"Aku nak kerja.... Aku nak cari duit nafkah untuk keluarga aku." Luth menarik nafas dalam. Dia sangat benci akan diri sendiri yang seperti orang cacat ini. Lengkap kaki dan tangan pun masih gagal hendak mencari sesuap nasi buat keluarga.

"Nampak? Kau ada matlamat hidup kau sebenarnya. Aku tahu kau nak pergi jauh bila kau pilih nak berhijrah. Kau sanggup tinggalkan dunia lama kau untuk sesuatu yang lebih besar. Apa benda besar tu?"

"Entahlah. Aku cuma fikir nak hidup dengan Mawar dan nak ada darah daging sendiri. Keluarga aku mungkin kecil tapi aku nak bawa keluarga aku... Supaya tak ulang kesilapan macam diri aku yang dulu. Ya, tu lah yang aku nak," yakin Luth. Terbayang wajah Mawar yang sentiasa sabar melayan karenahnya. Luth benar-benar mahu bawa gadis itu ke kehidupan yang lebih indah.

"Kau nak bawa keluarga kau ke syurga." Kesimpulan dibuat Mahfuz. Pandangan hazelnya mengerling reaksi wajah Luth.

Luth berkerut lagi. Dia tidak kata pun hendak begitu. Jauh benar Mahfuz melangkah. "Tak. Aku cuma tak nak anak-anak aku jadi liar macam aku."

"Dalam kata lain, kau nak anak-anak yang soleh dan solehah. Itulah tujuan kau berhijrah. Kau nak baiki hidup kau." Mahfuz tersenyum kecil. Bahu Luth ditepuk perlahan.

"Ya..." akur Luth akhirnya. Setelah difikirkan, mungkin itulah matlamatnya.

"Kau jangan beratkan diri kau dengan dosa-dosa lalu. Apa yang dah berlaku, kita tak dapat ubah. Tapi kita dapat ubah masa depan kita. Kita dapat jaga masa depan anak-anak kita. Kau dah jadi ayah kot sekarang ni, jangan lemah macam ni... Sakit macam mana pun jangan tunjuk kau lemah depan anak bini. Sebab... Kau lah kekuatan mereka," ujar Mahfuz. Gaya  percakapannya macam dah kenal Luth lama pula. Dia dapat merungkaikan ketegangan keadaan dengan lembutnya kata-kata.

Luth tersenyum. Kepalanya ditoleh agar memandang tingkap bilik. Hati yang sakit dengan kenangan lama diubati kedamaian. Segala yang dikatakan Mahfuz itu benar belaka. Dia ini asyik terperangkap dengan kenangan silam. Tak kira lah memori itu mimpi atau realiti, itu hanya perkara yang telah terjadi dan dia tak dapat ubah. "Mahfuz, apa yang kau tahu tentang aku?"

"Kau kemalangan jalan raya dan koma. Masa koma tu lah kau mimpi macam-macam. Ada yang baik, ada yang buruk. Satu benda yang perlu kau tahu, Mawar tak pernah kena rogol. Tu cuma mimpi kau. Aku faham kau keliru dengan semua ni tapi tolong pegang yang benih dalam rahim Mawar tu dari kau. " Selagi dia boleh bantu, selagi itu liur tidak kering mahu terangkan situasi sebenar pada Luth.

" Kenapa aku kena percayakan kau?" Hairan Luth. Sebelah kening dijongketkan.

" Sebab kita pernah berkongsi mimpi yang sama dengan izin Allah. Aku sebagai kau dan kau sebagai aku."

Sambaran ayat-ayat itu tepat mengena pada diri Luth. Wajah Mahfuz dipandang lama.

***

Sebarang suara tersekat di anak kerongkong. Bantal peluk berupa pisang kuning sedang dihulurkan Puan Dalila kepadanya. Luth terkelip-kelip memandang wanita setengah abad itu.

"Kenapa?" soal Luth.

"Sebab Luth yang ibu kenal suka bantal ni. Luth ingat lagi?" Senyuman pada wajah ibu tidak lekang. Dia yang berdiri tadi kembali duduk di sebelah anak lelakinya.

"Ibu... Ibu tak perlu pun susah-susah belikan Luth macam-macam." Matanya sedang membahang panas. Kilasan cahaya terlantun dengan kacaan mata. Luth meletakkan bantal itu elok di atas tiba sendiri.

"Bukan ibu yang beli. Ibu minta Hakim tolong carikan dekat pusat beli-belah. Nasib baik wujud lagi bantal ni," balas Puan Dalila. Lagaknya bagaikan sihat seperti sedia kala. Jahitan tikaman pada abdomen bawah langsung diabaikan. Dia lagi gembira mahu menatap wajah sang anak.

"Ibu ni..." Terkoyak juga senyumannya. Seraya dengan itu air mata menitis menuruni lekukan pipi. "Luth minta maaf sebab tak melawat ibu... Tak jaga ibu..."

Jari telunjuk mendarat di bibir Luth. Iby menggeleng kecil. "Jangan cakap macam tu. Ibu cuma nak tengok Luth sihat... Sebab tu ibu belikan ni... Supaya Luth ingat pertemuan kali pertama kita."

Bantal di atas riba Luth ditepuk Puan Dalila lalu dia mencuit bawah dagu anaknya. "Luth suka bantal pisang ni. Ibu tak tahu kenapa. Luth suka juga tidur atas katil ibu. Luth kata lembut... Besar... Sebab sebelum ni Luth tak pernah tidur atas katil."

Luth tak mampu memudarkan senyumannya. Puan Dalila sedang mengalirkan segala kasih sayang dan kekuatan yang ada. "Luth ingat," bisiknya. Ini bantal yang pernah dipeluk Luth satu ketika. Dia tahu hidupnya dahulu tidak senang mana. Tidur pun merata-rata di jalanan sebelum diambil ibu ke rumah asuhan ini.

"Ibu rindu Luth. Luth janji jangan tinggal ibu dah?"

"Ya." Kepala dijatuhkan sekali.

Satu pelukan dihadiahkan pada tubuh anaknya. Puan Dalila mengucup pula sisi wajah pemuda itu. "Ibu tak sakit pun. Ibu  kuat sebab ibu nak jaga Luth."

"Luth yang patutnya jaga ibu..."

"Jagalah ibu bila Luth dah sihat. Sekarang ni... Luth kena sihat, ya?" Kedua-dua belah rahang anaknya dilekapkan telapak tangan. Mata memandang ke dalam pandangan bundar Luth.

"Ya. Luth akan sihat balik... Luth tak nak sakit dah," ujar Luth dengan tekad di hati. Dia menurunkan tangan ibunya lalu dikucup kekura tangan wanita tua itu. Jika dia berterusan lemah begini, bagaimana hendak jalani sesi kemoterapi? Satu pun belum dibuat lagi gara-gara keadaan kesihatannya.

" Macam tu lah anak ibu." Hujung bibir tertarik ke pipi. Puan Dalila mengesot ke kepala katil, mahu merehatkan badan di ruangan tilam itu.

"Luth nak tidur dekat sini," pinta Luth.

"Tidurlah. Temankan ibu. Ibu rindu Luth sangat-sangat," ujar ibu pula. Sebuah bantal berhampiran Luth ditepuk lembut.

Gembira sang hati tidak dapat diceritakan. Wajahnya saja terpeta pelbagai rasa. Luth berlabuh di sebelah ibunya. Badan mengiring menghadap wanita itu.

Puan Dalila sedikit terhibur melihat anaknya meletakkan kedua-dua telapak tangan sebagai alas sisi kepala. Satu kucupan dilekapkan pada telapak tangan sendiri lalu bekas ciuman itu ditampalkan pada dahi Luth. "Tidur, ya?"

"Luth nak tidur hari-hari dalam bilik ibu lah kalau macam ni." Luth tertawa halus sambil mengesat sisa tangisan.

"Mana boleh. Mawar macam mana? Dia kan tengah mengandung... Lagilah nak perhatian Luth," bangkang Puan Dalila.

"Ya, dia mengandung." Jeda. Luth asyik terngiangkan kata-kata Mahfuz tempoh hari. "Dia mengandung anak Luth.

Luth menyimpulkan senyuman manis persis arwah suami Puan Dalila.

***
votexkomen
***
Maaf lambat update! Doakan saya ada kuiz esok huhu. Rindu Luth, Luth pun rindu readers dia. Insya Allah lepas ni hanya kebahagiaan.


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro