4 Cari duit

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Ampunan-Nya amat luas,
Dia tidak lelah memadamkan segala keburukan lalu,
Tinggal bagaimana kita menghargai rahmat-Nya,
Kebanyakan kita sekadar mengkhianatinya.


Kulit tubuh membahang kepanasan sejak azan subuh lagi. Selimut hanya menyelimuti hingga ke pinggang bagi menutupi pehanya. Ketidakselesaan menyebabkan Luth menolak kain selimut ke tepi meninggalkan tubuh yang hanya berseluar pendek. Wajah dibenamkan ke bantal. Mentalnya memang lemah selemah badan yang menanggung sakit. Pelbagai hal diletakkan ke atas bahu hingga diri sendiri menjadi lemah luar dan dalam.

Tubuh kecil Aira berbalut kain batik sedang lena tidak jauh darinya. Minda mula menerawang dengan 'kalau', lalu dia sendiri yang menjunam sedih.

Kalaulah Mawar berkahwin dengan Reza, mesti bukan macam ni jadinya. Isteri kedua pun tidak mengapa asalkan ekonomi si suami stabil dan tidak menyusahkan dengan sakit tak berkesudahan.

Sentuhan hangat pelukan dari belakang mengejutkan Luth. Ekor matanya melihat bentangan sejadah yang sudah dilipat. Mawar telah selesai solat subuh.

"Kenapa tak tidur?" bisik Mawar. Lengan dilingkarkan memeluk tubuh sang suami. Air wuduk batal begitu sahaja. Apabila telinga dilekapkan pada belakang badan suami yang tidak berbaju, deruan nafas kedengaran dengan jelas. Dapat jua dirasakan suhu Luth tidak sehangat biasa.

Bibir Luth terketap rapat. Mereka bernafas dalam ritma yang sama. Begitu berat untuk membuka mulut lalu lelaki itu memilih untuk membisukan diri. Diamnya dia membiarkan Mawar memeluk. Tangan kurus isterinya elok melekap pada rusuk muda dan ke depan.

"Mawar rindu abang," ujar gadis itu.

"Kenapa?" Barulah Luth ingin membalas. Dia sedikit berkerut.

"Sebab abang suami Mawar. Abang, abang Mawar. Abang, cinta Mawar." Seraya dengan itu, bibir si bunga berlabuh pada belakang suaminya.

Perlahan-lahan kekusutan terlerai, hanya kerana sentuhan sebegini. Luth kekal dalam posisi mengiring dan membelakangkan Mawar. Degupan jantung beransur surut, tekanan emosi yang menghempap diselimuti hangat cinta si bunga.

"Mawar tak kisah kalau suami Mawar tak kerja sebab Mawar tahu abang sakit. Kalau abang tak sakit, mesti abang dah pergi kerja, kan?" Ada ketika dia sedang luluh. Ulang perkara yang bermain di fikiran si dia dalam bentuk sokongan. Khabarkan kepadanya, semua akan baik-baik sahaja. Dengan lidah tidak bertulang mampu mententeramkan hati yang gundah.

"Tak apa juga kalau tak beli baju baru untuk Aira. Aira kan bayi lagi? Badan dia cepat membesar... Nanti habis baju tak muat. Jadi... Kita beli mana yang Aira selalu pakai je dulu," tambah Mawar. Walau tiada balasan jawapan, Mawar tahu Luth sedang mendengar.

" Mawar tak kisah kalau abang tak beli kredit phone untuk Mawar, sebab untuk apa langgan internet sedangkan orang yang Mawar angaukan dah ada depan mata? Mawar boleh bersembang dengan dia 24 jam, itupun kalau dia sudi..." hujung ayat kedengaran sayu sahaja. Sekecil-kecil perkara harus dileraikan terlebih dahulu untuk pergi kepada jerutan yang lebih besar. Biar Luth tahu segalanya baik.

Ketawa halus yang cuba ditahan menyebabkan tubuh bidang lelaki itu bergetar. Tidak lama, kemudian Luth kembali membatukan diri. Senyuman nipis membentuk perlahan-lahan.

"Abang suami yang hebat. Tak semua mampu buat macam abang. Walaupun abang sakit, abang tak putus asa. Sebab abang nak jaga Mawar dan Aira..." ujar Mawar. Katakan dia telah buat yang terbaik sebagai ketua keluarga. Pelukan juga menjadi pengubat. Lengan Mawar kekal melingkari badan lelaki itu. Kehangatan badan berkongsi rasa. Cinta juga kembali menyelinap buat meneguhkan hati kedua-dua mereka.

"Abang selalu buat Mawar rasa gembira walaupun kita takde duit banyak... Abang gembira beristerikan Mawar?" soal bibir delima. Menunggu balasan dia. Pergerakan dapat dirasai. Mawar membiarkan Luth menoleh badan ke arahnya.

Linangan air mata menyapa pandangan si bunga. Cepat-cepat tangannya naik mengusap wajah sang suami. Anak mata menatap ke dalam mata hitam itu. Bergenang air di tubir, Luth masih mengoyak senyuman buat isteri. Dahi mereka bertemu, nafas saling menampar wajah. Mawar tahu Luth hanya berlagak kuat selama ini yang hakikatnya lelaki itu semakin lemah hari demi hari. Baik mental mahupun fizikal. Pejuang kanser perlukan sokongan dari insan yang tersayang, hanya dengan itu mereka akan mampu membaiki cara pandang pada kesakitan yang dialami.

"Mawar cintakan abang... Kita boleh lalui ujian ni sama-sama. Abang ada Mawar," bisik Mawar.

"Abang bersyukur sebab beristerikan Mawar," balas Luth dengan bisikan serak. Mawar, bunga berharganya yang akan dijaga sebaik mungkin. Kerana itulah dia tidak mahu Mawar yang membanting tulang buat mencari wang, yang harus menjaga bunga itu dia. Bukannya bunga yang disayangi mengorbankan diri.

Wajah suami dielus lembut. "Abang sabar ya? Sakit ni penghapus dosa. Banyak dosa abang terhapus."

Luth mengerdipkan mata. Dia faham konsep itu. Cuma tanpa sokongan, untuk menerima ujian pun terasa payah. Dahi gadis itu dikucup lembut. "Abang minta maaf... Sebab hidup kita tak macam orang lain."

"Hidup kita tak macam orang lain... Sebab orang lain tak ada suami yang hebat macam yang Mawar ada. Dah nikah sebulan pun boleh buat Mawar jatuh cinta banyak kali. Jatuh cinta dengan kesabaran dia... Ego dia... Degil dia... Manja... Gatal..."

Tawa lelaki itu pun terledak. Lantas Luth menggeleng tidak setuju penyataan akhir. Hati kembali tenang dengan isteri penyejuk mata sebegini. Begitulah tugas pasangan, untuk ada tika dia tidak mampu berdiri sendiri.

"Abang demam, kan?" tebak Mawar. Sepanjang mendakap tubuh Luth, suhu lelaki tu amat tinggi.

"Sejak semalam lagi..." khabar Luth. Ketika buah hatinya tidur, Luth menggigil kesejukan. Kini, sejuk itu berganti pula dengan panas yang teramat.

"Kita makan ubat, ya?" Kucupan tadi dibalas ke atas pucuk hidung Luth. Luth tersenyum sendiri.

"Okay," akur lelaki itu. Mereka meleraikan pelukan, cukup hangat yang dikongsi. Hati telah dipenuhi kembali dengan kekuatan.

Balang ubat terletak di bawah meja diambil Mawar. Punggung dihenyakkan bersebelahan Luth. Ada sebotol air mineral telah disediakan Mawar buat suaminya.

"Abang, jangan lupa appointment hari esok."

Luth hampir terlupa tentang itu. Dia mengangguk faham. Sebiji demi sebiji ubat dimasukkan ke anak tekak. Perbuatan itu diulang setelah kesemua 10 biji ubatan ditelan. Air kosong diteguk rakus menolak pil melalui esofagus.

***

" Ya, Mawar fikir nak kerja juga. Sebab abang Luth dah tak larat nak kerja," kata gadis itu. Bayinya dibawa sekali untuk duduk di meja makan bersama ibu. Sudah puas tidur siang, mata Aira tercelik luas di malam hari.

"Ibu ada simpan duit untuk Luth..." ujar Puan Dalila.

"Ibu..." Mawar mengeluh halus. Kepalanya menggeleng perlahan. "Ibu dah banyak keluarkan duit untuk Luth. Biar Mawar cari duit sendiri."

Bil hospital ketika Luth kemalangan bulan lalu pun ibulah yang menanggung.  Barang kemas wanita itu sanggup digadai buat sediakan duit untuk Luth tempoh hari.

"Ibu sayang Luth. Ibu faham sakitnya bila takde duit. Mawar takkan mampu kumpul duit yang banyak. Biarlah ibu tambah juga duit simpanan Mawar yang sedia ada." Jeda. Puan Dalila mengangkat wajah memandang Mawar. Ujian duit mampu menyebabkan seseorang terdetik untuk bunuh diri, hingga sampai ke tahap itu tekanan yang dilalui seseorang. Diri sendiri pernah melakukan tindakan bodoh gara-gara duit. Kini ujian yang sama menimpa anak kesayangannya pula.

"Ibu sayang Luth," ulang ibu lagi. Lama wanita setengah abad itu berfikir mengenai anak teruna bernama Luth yang sedang dipeliharanya.

"Mawar tak berniat untuk tolak. Tapi... Hakim pun anak ibu juga. Dia akan rasa iri hati kalau ibu sanggup gadaikan banyak benda untuk Luth," terang Mawar.

"Apa yang Hakim perlukan dari ibu? Dia dah cukup berjaya sekarang ni. Lama-lama ibu akan terbuang macam tu je. Macam yang anak-anak lain buat pada ibu. Bila mereka dah berjaya dekat luar sana, manalah ada orang nak ingat perempuan tua ni yang jaga mereka dulu... Kecuali Luth." Puan Dalila tersenyum nipis. Matanya menekur wajah Aira yang seakan mengerti untuk tidak mencelah perbualan itu. Terkelip-kelip kelopak mata bayi milik Luth ini.

"Luth tengah demam panas dalam bilik. Mawar ingat esok nak ke hospital, lagi pun esok juga Luth ada appointment dengan doktor pakar," khabar Mawar.

"Mawar ambillah duit ibu, ya? Nanti ibu minta kereta sewa untuk hantarkan Mawar dan Luth ke hospital." Puan Dalila begitu mahukan duitnya diguna pakai buat kepentingan Luth. Dia langsung tidak kisah untuk berikan nyawa sekali pun agar anak bernama Luth ini dapat bahagia seperti orang lain.

"Okay, ibu. Banyak ke duit yang ibu nak beri?" Bayi Aira dipindahkan ke tangan lagi satu setelah lenguh. Bibir bayi itu bergerak dengan sendiri, mula tercari-cari sumber susunya. Rengekan kecil tersendu mahu layanan Mawar.

"Tak banyak. Dalam RM3000." Hasil pemberian Hakim setiap bulan disimpannya dalam kotak besi. Setelah dikira-kira, amaun duit telah menjangkau angka RM3000. "Nanti ibu cuba lagi untuk dapatkan sumbangan dari badan-badan lain."

Semangat yang terpancar di wajah Puan Dalila turut membangunkan hati Mawar. Aira menurunkan kelopak mata setelah disuakan susu. Bayi itu gemar meminta-minta setiap satu jam yang terkadang melelahkan Mawar sendiri. Tenaganya banyak dihabiskan buat penghasilan susu si kecil.

"Mawar nak kerja, bu. Ibu boleh pujuk Luth?" Kos pembedahan yang puluhan ribu ringgit hampir membuatkan Mawar tak tidur malam. Kos kemoterapi pun lagi menambahkan kerisauan hati. Sedikit sebanyak, gaji kerjanya akan menambah wang simpanan mereka berdua.

Puan Dalila tersenyum sahaja. Cawan air suam dipegang tangkal. "Kenapa Mawar fikir ibu boleh pujuk Luth?"

"Sebab Luth dengar cakap ibu... Dengan Mawar ni kadang-kadang dia degil juga. Ada je nak menjawab mulut tu. Kalau dengan ibu, tahu pun nak angguk," luah Mawar. Separuh wajah Aira ditutupi bajunya. Bayi itu sentiasa berasa selamat dengan haruman tubuh Mawar.

"Aira menyusu lagi, sayang. Macam mana Mawar nak kerja? Ibu rasa Luth halang demi Aira juga."

"Mawar boleh beli breast pump... Nanti boleh simpan stok susu. Pengasuh rumah ni boleh tengok-tengokkan Aira masa Mawar kerja." Mawar sudah fikir masak-masak. Makin panas punggungnya jika hanya duduk di rumah dan susukan anak kecil sedang dia mampu membuat lebih. Iklan Facebook asyik memaparkan alat pengepam susu kepadanya, bagai tahu-tahu saja dia amat memerlukan itu sekarang ini.

" Ibu tak rasa semudah tu Luth akan lepaskan Mawar kerja," ujar ibu setelah meneguk air suam. Bibirnya dibasahi air. Penat bekerja seharian terubat dengan melihat wajah gadis kesayangan Luth dan bayi susuan Luth.

"Kenapa?" Mawar berkerut hairan.

"Cara Luth dibangunkan dalam kesusahan tanpa kasih sayang ibu bapa. Apa yang ibu nampak bila dia nak jaga Aira adalah kerana Luth tak nak orang lain alami nasib yang sama seperti masa lampau dia. Luth nak Aira dapat kasih sayang sepenuhnya. Jadi apa jaminan Mawar untuk Aira masih dapat kasih sayang yang sama walaupun Mawar sibuk kerja di siang hari?" Sejauh itu ibu berfikir. Hidup sebagai pengasuh anak kecil mengajar wanita setengah abad itu banyak perkara. Dia belajar mengenali Luth hari demi hari.

" Dan Mawar mampu untuk kekalkan layanan yang sekarang ni pada Luth kalau Mawar dah penat bekerja nanti? Luth sakit... Dia sangat perlukan sokongan mental. Ada sebab kenapa Luth tak izinkan Mawar kerja. Dia nak Mawar selalu ada buat dia dan Aira."

"Tapi... Keadaan sekarang mendesak Mawar untuk cari duit juga. Mawar sayang Luth. Ibu tahu, kan?" bangkang Mawar. Gadis itu berkeras mahu usahakan banyak benda buat Luth.

"Takkanlah ibu tak tahu kalau setiap pagi bercium pipi," sakat Puan Dalila. Kalau dah hari-hari kena lihat pasangan muda itu bermesra, takkanlah tidak maklum lagi yang hati kedua-dua tengah hangat bercinta.

Pipi Mawar berona merah. Dia tersenyum janggal di hadapan ibu. Salah Luth juga yang suka mencium pipinya tak kira tempat. Kalau dalam bilik lagilah lelaki itu betukar menjadi semanja kucing parsi jadian. Clingy.

"Nasihat ibu, bincang dengan Luth baik-baik," ujar ibu. Hati seorang ibu itu turut mahukan yang terbaik buat Luth. Moga ada bantuan dalam kesulitan yang dihadapi.

***
votexkomen

***

yeay 200 reads. Surprisingly buku ni jadi buku romance ft. tarbiyah haha. xdelah, cuma nak sampaikan be a supporter :) jadi isteri solehah untuk suami. hari tu ada orang request untuk kisah cinta orang biasa-biasa. Mungkin kisah Luth akan dapat penuhi permintaan tu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro