40 Pelihara [TAMAT]

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

p/s: Author selitkan lagu. Korang boleh dengar nanti!
.
.
.
.
.
.

Segelas air mineral diteguk buat membilas tekak. Dia mahu menghilangkan mual yang membelengu sejak sesi kemoterapi tempoh hari. Nafas dialunkan dengan baik seusai solat Asar seorang diri di atas kerusi. Dia terduduk di katil pula untuk berehat.

"Abang... Nak peluk," pinta Mawar. Jari melukis kosong di atas katil. Lama si gadis menanti Luth sudah solat Asar di katil.

"Kenapa ni sayang?" soal Luth dengan lembut. Kepala dijatuhkan sekali buat mengizinkan Mawar menghampirinya. Tangan didepakan sesikit luas.

Tanpa berlengah, Mawar menyembamkan wajah pada bahu Luth. Kain baju lelaki itu digenggam tidak mahu lepas. Haruman dari tubuh Luth menyelesakan lagi hati yang gundah. Perut boyotnya terhimpit dengan dakapan hangat ciptaan sendiri.

"Mawar ni kenapa? Sakit perut? Sakit kaki? Sakit belakang?"

"Tak..." Gadis itu menggeleng perlahan. "Cuma nak duduk dengan abang."

"Jangan risau... Abang kuat. Dah kurang sikit muntah-muntah." Sungguh wajah Mawar terpeta kebimbangan yang teramat. Monyok sahaja sejak semalam. Luth tersenyum kecil. Pucuk hidung mencium dahi sang isteri sambil lengan melingkar tubuh di sebelahnya ini.

"Mawar risau tau tak? Abang cepatlah sembuh," rungut Mawar. Mata terkelip-kelip memandang Luth.

"Abang cuba cepatkan ni, sayang. Abang dah makan semua ubat... Dah makan nasi... Sabar, ya? Kesembuhan ni milik Allah. Allah akan berikan abang nikmat sihat balik bila tiba masanya. Tulah, abang ni banyak dosa. Sakit ni untuk hapuskan dosa-dosa abang," bisik Luth. Wajah isterinya dielus lembut. "Jangan risau... Mawar jangan henti doakan abang. Abang sangat-sangat perlukan Mawar."

"Mawar pun... Perlukan abang...." balas Mawar dengan gumaman. Badan dikecilkan tersandar pada suaminya. Pelukan diperkemaskan si bunga. Pipinya tersulam warna merah di senja hari.

"Mawar tahu tak macam mana abang boleh jumpa Mawar dulu?" Punggung diturunkan agar dia bisa berbaring dengan elok. Pipi gadis kesayangannya diusap sambil mata memandang menanti jawapan.

"Tak," jujur Mawar.

"Abang ingat semuanya. Mawar takut dengan semua orang... Kecuali abang. Mawar cuma nak berkawan dengan abang... Mawar nak main dengan abang, nak ikut abang ke mana-mana.... Sampailah sekarang ni Mawar jadi milik abang," terang Luth. Indah percaturan hidupnya. Allah menakdirkan diri itu menjadi pelindung buat Mawar semenjak kecil lagi.

Biarpun suaranya serak dek asyik muntah, Luth tetap mahu meluangkan masa bersama-sama cinta hati. Lelah diletak ke tepi. Mahu terus mencintai gadis ini. "Abang takut sangat bila Mawar rapat dengan lelaki lain... Abang takut Mawar akan tinggalkan abang. Tapi Mawar takkan tinggalkan abang, kan?"

Mawar menggeleng.

"Pernah ke abang tinggalkan Mawar sejak kecil?" Lelaki itu menaikkan kedua-dua kening.

"Tak."

"Sama juga lah dengan sekarang ni. Abang akan terus jaga Mawar," pujuknya. Banyak kali ayat itu diikat pada tiang janji. Ikatannya mati dan mustahil terungkai selagi nyawa dikandung badan.

"Mawar cuma takut... Mawar fikir nanti nak bersalin, sakit. Mawar mana pernah lahirkan anak... Entahlah, bang. Lepastu Mawar fikir pasal abang pula. Terus jadi sedih... Abang asyik muntah. Abang tak larat nak jalan..."

"Lagi?"  Luth memandang wajah Mawar. Fokusnya dia pada gadis itu. Mata tidak berkelip.

"Hm, lepastu Mawar fikir pasal Aira. Mawar tak tahu Mawar larat ke tak nak jaga dua orang anak. Mawar rasa serabut bila fikir macam-macam." Semakin lama suara Mawar semakin perlahan. Akhirnya berakhir dengan gumaman yang hanya diri sendiri memahami.

"Kita akan lalui semuanya sama-sama. Jangan risau ya, sayang?" Rengekkan Mawar jadi begini gara-gara kecelaruan emosinya. Tidak mengapa, Luth ada buat setia mendengar. "Dah-dah. Sini abang tengok baby buat apa hari ni."

Tak kisahlah badai menghempas, Luth harus menguatkan diri. Dia sakit, namun sakitnya mampu terubat dengan senyuman insan tercinta. Dia harus kuat, kerana ramai yang memerlukannya. Dia perlu terus melangkah, melangkah bersama-sama keluarga kecilnya.

Pipi Mawar memerah bak kelopak bunga. Rasa hangat telapak tangan Luth menjalar diperut besarnya.

"Lagi sebulan lebih, kan?" soal Luth. Senyuman terukir elok di bibir. Kekura tangan Mawar dicarinya lalu dia bersulaman dengan jemari gadis muda itu. Pada usia 23 tahun, Mawar akan melahirkan anak dan telah pun mengambil seorang anak susuan.

"Ya," jawab Mawar yang tersipu malu.

"Tengoklah nanti... Bila abang dah sihat, abang akan cari kerja yang baik untuk Mawar dan anak-anak kita. Insya Allah. Takde apa pun lah nak dirisaukan. Abang bersyukur sangat sebab kita duduk dekat rumah ni. Bila Mawar penat jaga Aira, ada pengasuh yang akan bantu. Walaupun kita tak ada rumah sendiri, tapi kita ada segalanya... Kan, sayang?"

Gadis muda itu diam mendengar bicara sang suami. Hati tersenyum dalam diam, lega menerima pujukan Luth biar pun acap kali dia bertingkah laku begini.

Uraian rambut hitam lebat Mawar diraup Luth ke tepi telinga."Banyak lagi benda yang akan kita lalui. Nanti dengan karenah anak-anak, nak cari duit untuk keluarga kita, nak didik anak-anak jadi yang soleh dan solehah... Abang janji, kita akan lalui sama-sama."

"Baik, abang," bisik Mawar.

"Macam ni la isteri abang." Pucuk hidung isterinya dipicit lembut. Rasa loyanya cuba ditahan. Tolakan angin dari kantung perut dikawal dengan alunan nafas.

Kadang-kadang diri ini belum bersedia lagi untuk menimang anak tetapi Allah lebih mengetahui. Zuriat yang hadir akan cuba dijaga sebaik mungkin dengan didikan dan kasih sayang. Satu tanggungjawab besar buat ibu bapa buat mencorakkan kain putih ini.

"Abang, nanti kita ulangkaji kitab malam ni?" pinta Mawar.

"Ulangkaji tajuk mana? Abang kena tengok buku balik... Sebab abang tak pandai." Waktu petang itu mereka hanya berbaring di atas katil. Santai begini seperti tiada apa yang mahu dikhuatir.

"Ish, mana ada tak pandai. Abang pandai... Nanti ajarlah apa-apa yang abang belajar dari Mahfuz. Mawar nak dengar dari mulut abang." Marah benar Luth kata begitu. Mawar mencebikkan bibir.

"Boleh... Nantilah lepas isyak, sebelum tidur kita ulangkaji. Abang pun dah rasa sihat sikit hari ni. Petang ni kita sudahkan dulu ya mana-mana order tudung yang tak siap? Abang boleh tolong." Dahi didekatkan pada sisi wajah Mawar.

Si bunga benar-benar bahagia segalanya semakin pulih hari demi hari. Rezeki kecil dengan hasil jahitan tudung buat pelajar muslimah di pondok akan dimanfaatkan Mawar sebaik mungkin.

"Okay, jom!" Terus gadis itu bingkas duduk dengan perut boyotnya.  "Susahlah nak jalan bila perut besar ni..." omel Mawar. Kedua-dua belah kaki menjejak ke lantai. Langkah diatur perlahan-lahan. Cara jalan pun telah jadi kengkang dengan bawaan kandungan berusia tujuh bulan lebih ini.

Luth tertawa halus. "Abang pun tak larat nak berjalan juga. Tapi abang kena jalan juga untuk Mawar." Tangannya dipasak ke atas tilam katil. Dia turut mahu membantu Mawar.

Duit gaji mereka tidak banyak. Namun, bersumberkan yang halal dan cukup seadanya. Apabila bersyukur, segalanya akan terasa nikmat. Sekecil-kecil pemberian pun mampu diungkapkan kata-kata pujian ke hadrat Ilahi.

"Ab-," Mawar terkedu. Luth sedang berdiri di sebelahnya dengan lingkaran pada pinggang. Tangan yang mahu menarik keluar kain tudung daripada rak automatik terhenti.

"Nak jahit yang mana dulu?" soal Luth. Senyumannya mendamaikan hati sang isteri.

***

Bibir dimuncungkan tidak puas hati. Berkerut-kerut kening memandang wajah lelaki botak di sebelahnya. Ruangan dapur pada malam itu hanya dihuni pasangan muda ini. Masing-masing dengan pen dan buku tulis di tangan. Meja dan kerusi di sini menyelesakan Luth dan Mawar buat mengulangkaji ilmu fardhu ain.

"7 tulang ni wajib kena tempat sujud..." Luth menyelak helaian buku nota sendiri tanpa mengendahkan isterinya.

"Abang, salah... Tengok apa yang Mawar salin ni," sangkal gadis itu beria-ria. Dia hampir menangis di situ dek keengganan Luth untuk menerima nota yang disalin daripada kelas dengan ibu mertua Fatihah.

"Ni abang salin dengan Mahfuz. Mahfuz dah periksa nota abang," balas Luth pula. Jarinya berhenti menyelak.

"Tak, abang salah. Nota ni Mawar salin dengan Fatihah dan ummi. Abang yang salah," bentak Mawar.

"Ya Allah, perkara kecil je. Janganlah macam ni." Pelipis yang tidak gatal digaru kehairanan.

"Ni perkara besar. Abang kata Mawar salah. Mawar dah belajar penat-penat..." Si bunga itu berkaca-kaca matanya.

"Sayang..." Luth menghela nafas lalu tersenyum nipis. Anak mata hitam Mawar sudah dilarikan ke arah lain menandakan empangan tangisan yang akan pecah pada bila-bila masa. Kekura tangan Mawar disentuh Luth lalu kulit tangan gadis itu dielus lembut.

"Abang padam balik nota abang." Mawar merengus kegeraman. "Kalau tak..."

Kelakuan Mawar dan Luth diperhatikan sepasang mata tua semenjak tadi. Daripada atmosfera yang dihujani keberkatan mengulangkaji ilmu, bertukar pula dengan pergaduhan. Puan Dalila menggeleng kecil. Ibu melangkah lebih dekat dengan meja makan. Di atas papan meja itu hanya ada tudung saji kosong.

"Luth, Luth buat apa dekat Mawar?" tegur Puan Dalila.

Luth menoleh ke belakang. Wajah bondanya dan Mawar dipandang silih berganti lalu dia mengeluh lagi. "Luth tak buat apa-apa..."

"Dah tu kenapa Mawar menangis?" Ibu menarik kerusi dan duduk berhampiran Luth. Hairan sungguh dengan pasangan muda ini. Sekejap bagaikan manis tak cukup gula, tiba-tiba dingin tanpa khabaran ribut dan hujan.

"Entah, tak cukup perhatian kot," seloroh Luth. "Ibu lapar tak malam ni? Luth teringin nak beli burger dekat simpang belakang tu..."

Keadaan bertambah buruk apabila hati Mawar tergores dengan gurauan suaminya. Air mata menuruni di pipi merah si bunga. "Abang pergi makan burger tu... Pergi..."


Liur kesat ditelan lelaki itu. Dia segera merapatkan kerusi ke arah Mawar. Tangan melingkar di bahu gadis itu mahu memujuk. "Sayang... Abang nak makan dengan sayang. Tapi lepas kita habiskan ulangkaji. Senyumlah..."

"Nak ulangkaji apa kalau nota pun salah," gumam Mawar tidak puas hati. Wajah berpaling ke arah bertentangan sambil tangan bersilang ke dada. Air mata dibiarkan sahaja menitis di hadapan Luth dan Puan Dalila. Rasa malunya tidak ada.

"Abang minta maaf, ya? Okaylah, kita call Mahfuz. Kita tanya dia mana yang betul. Okay?" cadang Luth.

"Hm," balas Mawar. Sakit hati terubat dengan sendiri apabila hangat ibu jari Luth mengesat air mata. Senyuman dibuat mahal, bibir diketapkan rapat.

Luth mencapai telefon pintarnya. Isyarat mata ibu difahami Luth agar terus memujuk Mawar sehingga reda. Takut nanti sampai ke tidur dibawa pergaduhan dingin ini. Mawar dengan perut saratnya perlu dilayan dengan baik.

"Assalamualaikum, Mahfuz. Sibuk ke? Aku nak tanya ni..." Pantas sungguh Mahfuz mengangkat panggilan. Pembesar suara pun dibuka Luth. Biar Mawar dan ibu dapat mendengar jawapan kepada persengketaan malan ini.

"Waalaikumsalam. Tak sibuk pun. Ada apa?"

"Apa tujuh tulang yang wajib kena tempat sujud apabila kita bersujud dan bahagian mana yang perlu kena tempat sujud tanpa pelapik?" soal Luth.

"Dahi, kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut serta sebahagian daripada jari kaki dan perut telapak kaki. Itu je. Bahagian yang wajib terbuka ialah dahi. Dahi ni perlu mengenai tempat sujud tanpa apa-apa pelapik. Tak boleh pakai kopiah hingga menghalang dahi apabila solat. Pastikan ruas dahi kita ni terdedah. Jelas ke? "

"Sekejap... Bukan tulang hidung ke yang lagi satu?" Mawar merapati suaminya. Dia agak terkejut mendengar penjelasan suami Fatihah itu.

"Em, Mawar ke tu? Bukan tulang hidung, Mawar."

"Tapi ummi ajar lain..." nafi si bunga. Masih tidak berpuas hati. Maknanya betullah apa yang dicatat Luth. Dia sahaja salah erti.

"Sekejap, nak panggil ummi."

Luth tersenyum kecil. Pipi Mawar dibersihkan lagi agar tiada anasir luar. Wajah cemberut sang isteri cuba dipujuk dengan kucupan pada kekura tangan. "Dah... Jangan merajuk."

"Mawar cari ummi ke?"  Suara penerima panggilan berubah pula. Pasti itu Puan Munirah yang sedang memegang telefon Mahfuz.

"Ummi... Kenapa Mawar belajar salah? Kenapa bukan tulang hidung yang tujuh tu..." Mawar mengadu di situ. Berkerut keningnya tidak faham.

"Sayang, bukan. Apa yang Mahfuz kata tadi betul. Itulah yang ummi ajar. Mungkin Mawar tersilap dengar."

Jawapan Puan Munirah tidak menyenangkan hati ibu hamil itu. Dia tersebek-sebek memandang Luth disebelahnya. Mulut terkumat-kamit menggambarkan perasaan sendiri.

Lelaki itu setia di sisi. Panggilan dimatikan setelah Luth mengucapkan terima kasih. Kini dia memerhatikan isteri yang seorang ini. Macam-macam ragamnya keluar, macam-macam juga yang Luth harus beralah dalam banyak perkara. "Jangan menangis, biasalah tu kalau tersilap salin. Nasib baik Mawar ajak abang ulangkaji. Banyak dah abang lupa rupanya. Kita sudahkan belajar, lepas ni makan ya?"

Nafas halus dihela Mawar. Matanya masih panas dengan air mata. "Minta maaf..."

"Dah... Dah-dah..." Pelukan dihadiahkan pada isterinya. Ini sahaja cara untuk memujuk hati Mawar yang gundah. Dakapan Luth membaluti segala rasa, redalah gelodak jiwa.

"Assalamualaikum." Satu suara garau menerpa mereka bertiga.

Mawar memencilkan diri dalam pelukan Luth. Ekor mata melirik ke pintu dapur. Tidak berminat untuk melihat sesiapa, malah dia memilih memejamkan mata.

"Nak kopi? Kim ada beli ni," ujar Hakim. Cerianya seperti malam-malam sebelum ini. Lelaki lewat 20 an itu melangkah ke ruangan dapur dengan jinjingan tiga cawan kopi panas. Sempat dia berkerut melihat Mawar dan Luth yang berpelukan. Namun, diabaikan sahaja. Sudah masak dengan perangai dua belangkas berkenaan. Ke mana-mana pun hendak berdua, Hakim turut pening. Sedikit gerun untuk mendirikan rumah tangga.

"Amboi, memang gembira ya setiap malam keluar dengan Nizam?" soalan cepumas dilontarkan ibu.

"Mana ada dengan Nizam. Nizam sibuklah. Kadang-kadang je dia lepak dengan Kim," jawab Hakim. Senyuman tersemi di wajah. Tuan badan sibuk mengatur cawan kopi pada Luth dan Mawar. Tidak sedar ibu sedang mengesyaki sesuatu.

"Siapa perempuan tu?" Puan Dalila menjongketkan kedua-dua belah kening. Pemberian secawan kopi disambut baik. Balik-balik kopi yang dibawa Hakim. Mereka semua maklum Hakim ini penggemar kopi dan tidak akan muak walaupun disajikan banyak kali.

"Eh- Perempuan mana pula?" Hakim terkaku. Senyumannya jadi senget ke kanan.

"Jarang ibu tengok anak ibu senyum-senyum bila balik lepak dengan Nizam. Adalah tu taman bunga mekar dalam hati," tebak wanita setengah abad itu dengan mudah. Dia terhibur dengan reaksi Hakim yang telah kena serkap jarang.

"Hakim baru berkawan dengan dia dua tiga hari... Apa yang tamannya? Merepeklah ibu ni," nafi lelaki berkaca mata itu.

Pertuduhan ibu mengalih perhatian Mawar dan Luth kepada Hakim. Lakonan Hakim makin longgar, perasaannya tidak dapat disorok di hadapan ibu.

"Siapa, Kim? Perempuan mana ni?" Luth berminat ingin tahu.

"Ni mesti budak yang kerja kedai kopi ni juga." Tebakan Luth mengenai sasaran tepat. Lagilah Hakim berasa tidak boleh bernafas di meja makan itu.

"Kau pernah jumpa dia ke? Kau intip aku?" soal Hakim bertubi-tubi. Gagap juga mulut hendak membidas. Lagi gugup perasan dalam hati.

"Takde masa aku nak intip kau. Aku banyak lagi kerja penting lain nak buat." Luth menggeleng. Terlalu banyak perkara hendak dikerjakan. Antaranya ialah buat melayan drama air mata Mawar. Mana mungkin dia punya masa hendak mengintip aktiviti harian Hakim.

"Jadi betullah Hakin dah ada awek?" Puan Dalila mencelah.

Tiga pasang mata tertumpu pada Hakim seorang. Suasana menyepi. Jawapan daripada bibir Hakim diharapkan semua.

"Okay-okay." Hakim menyerah kalah. "Dia cuma budak kedai kopi tu. Kitorang berkawan, itu je. Takde pun bercinta atau apa. Hakim sedang cuba mengenali perempuan. Baru tiga hari berkawanlah... Tak logik soalan ibu ni," balas Hakim.

"Betul kan, bu? Luth dah kata ada benda tak kena dengan Hakim ni." Jari dipetik, Luth tersenyum kemenangan.  "Kalau tekaan Luth betul, ibu nak belanja burger, kan? Ingat tak?"

"Ya, sayang. Hakimlah tolong belikan. Ibu hulur duit je," kata Puan Dalila.

Mawar tertawa halus. Dia yang mood ke laut kembali terhibur di dada suaminya. Kepala selesa bersandar pada Luth. "Uuu... Orang dah ada awek sekarang," tambah Mawar.

"Bukan main taste dia, awek kedai kopi. Kenapa bukan awek kedai tom yam?" Luth meloyar buruk di hadapan abang angkatnya.

"Eh, budak dua orang ni... Dua-dua nanti aku sekolahkan." Lelaki berkaca mata itu semakin geram. "Ka-"

Mawar dan Luth meledakkan ketawa. Sakit perut mereka melihat wajah Hakim merah begini. Kebiasaannya apa yang terpeta hanyalah si beku Hakim. Luth mengesat tubir mata yang berair.

Tegang di wajah mengendur. Hakim sendiri tersenyum mendengar gelak ketawa Luth dan Mawar. Segala penjelasan yang cuba diutarakan asyik dibidas Luth dengan jayanya.

Puan Dalila lah orang yang paling gembira. Apa lagi nikmat yang paling besar buat seorang ibu melainkan dapat melihat anak-anak berkumpul dan bergelak ketawa tanpa pertelingkahan.

Hakim, orangnya baik. Sangat bersifat kepimpinan sejak dahulu, tetapi lelaki ini agak sukar menggambarkan perasaan sendiri. Walaupun berwajah selamba, Hakim sahaja anak rumah asuhan itu yang masih menghubungi ibu malah mahu menjaga ibu di saat anak-anak rumah asuhan yang lain membina kehidupan baharu.

Mawar, anak yang didera oleh kedua-dua ibu bapa. Terlalu trauma dek seksaan lama, maka tiada yang diingati melainkan persahabatan si abang Luth. Mujurlah Mawar dijaga Luth dengan baik sejak dahulu, membesar sebagai gadis yang terpelihara. Hanya didikan sahaja masih cacat cela.

Luth, darah daging ibu. Nama asalnya bukanlah Luth. Tetapi tidak mengapa, kerana anak itu telah selesa dengan panggilan Luth. Nyawa ibu dan ayah. Dalam nakalnya, sangat manja dan suka meluahkan isi hati pada ibu. Suka tidur di bilik ibu dan sangat sayangkan keluarga kecilnya. Ibu akan sentiasa mencurahkan kasih dan cinta pada Luth kerana zaman kanak-kanak Luth telah habis di lorong tanpa belaian. Hingga tua pun, ibu akan tetap memandang Luth sebagai anak kecilnya.

Moga Allah pelihara hubungan kekeluargaan ini.

***
TAMAT
***

Alhamdulillah, dah tamat. Apa perasaan korang? Tak sangka 40 bab juga. Bahagia tengok keluarga ni.
.
.
Sedihlah dah habis 😭
Tapi lagi sedih kalau silent reader 😓
Tunggu epilog!
.

.
Jemput baca dua buku saya ni. Dah tukar cover tauuuu

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro