Empat

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Empat.

Wanita itu kelihatan anggun dengan dress silang hijau zamrud berlengan panjang dan separas lutut. Rambutnya didandan dengan ringkas tetapi elegan. Anting-anting labuh menjadi pelengkap.

Amirul Hilmi yang duduk di hadapannya, tidak kurang segak. Namun begitu, mereka tetap kelihatan walau bukan seperti ibu anak, tetapi seperti kakak dan adik. Ada jurang usia yang jelas kelihatan.

Tanpa berbasa-basi, Amirul Hilmi terus kepada topik utama, "Saya telah memberitahu isi hati saya kepada bunda."

"Isi hati?" Soal wanita itu, pura-pura tidak tahu. Minuman yang dihidang dihirup perlahan. Restoran pilihan Amirul Hilmi bukan alang-kepalang. Meja yang ditempah juga agak jauh dari orang lain. Hiasan dan tatarias restoran kelihatan ekslusif. Alunan muzik latar dipasang untuk membolehkan para tetamu menikmati hidangan dengan tenang.

"Saya beritahu bunda, saya ingin memperisterikan kamu, Cik Maya."

Pernyataan itu membuatkan Maya Marina tertawa dan menggeleng-geleng. "Adakah kamu sedar betapa besarnya jarak usia kita?"

"Apa salahnya?" Balas Amirul Hilmi tekad.

"Saya pernah berkahwin."

"Sekarang tidak lagi."

"Usia saya sudah banyak. Saya tak mungkin dapat memberikan kamu zuriat."

"Apakah saya meminta Cik Maya menjadi seorang ibu? Saya mahu Cik Maya menjadi seorang isteri. Isteri saya."

"Di luar sana, ada ramai lagi gadis yang lebih sesuai dengan kamu."

"Tetapi mereka bukan Cik Maya." Tenang sahaja ayat itu meluncur dari bibir. Maya Marina pula kelihatan sedikit gelisah.

"Luaskan ruang sosialmu."

Mereka terhenti seketika apabila pelayan datang membawa hidangan pembuka.

"Saya merupakan lulusan universiti. Kemudian, bekerja di bawah Cik Maya. Setelah itu menyambung pelajaran dan bekerja di beberapa tempat."

"Maksudnya?" Makanan pembuka tadi dicicip tetapi tidak terlihat rasanya di wajah yang manis. Makanan tadi hanya dijadikan modal melarikan pandangan daripada pemuda di hadapannya.

"Saya telah menemui ramai wanita. Tetapi hanya satu yang memikat hati saya; Cik Maya."

"Minggu ini kami akan ada penggambaran koleksi yang baru. Saya akan kenalkan kamu dengan model-model kami."

"Saya bukan mencari model. Saya mahukan isteri."

"Bagaimana kamu begitu yakin, pilihan ini tidak salah?"

"Tiada pilihan salah dalam hidup. Setiap pilihan yang dibuat, pasti akan ada sesuatu yang diperolehi. Sama ada pengajaran atau pelajaran. Kedua-duanya tetap ada manfaat." Amirul Hilmi masih tegas dengan pendirian. Matanya langsung tidak berkelip ketika mengungkapkan kata-kata itu.

"Pandai kamu bermadah?"

"Ajaran bunda."

"Jadi, bagaimana reaksi bundamu?"

Pemuda itu mengangkat bahu. "Katanya saya sudah majnun!"

"Majnun?"

"Gila!"

"Oh."

"Kalau menyukai dan ingin memperisterikan Cik Maya dikatakan majnun, saya tidak peduli. Ini bukan cerita Laila dan Majnun. Tetapi kisah Maya dan Hilmi si Majnun."

Maya Marina kematian kata. Hidangan utama yang dihantar, hanya dikuis dengan garfu.

"Adakah Cik Maya fobia dengan perkahwinan?"

Maya Marina berdehem. "Saya yang meninggalkan perkahwinan lalu dan memilih karier."

"Oh."

"Adakah kamu takut?"

Cepat-cepat Amirul Hilmi menggeleng. "Saya tidak peduli."

"Tidak bimbang saya tinggalkan kamu?" Usik Maya Marina.

"Saya akan kejar."

Jawapan itu membuatkan Maya Marina terkaku. Amirul Hilmi dengan wajah yang penuh yakin, mengulangi kata, "Saya akan kejar Cik Maya walaupun ke hujung dunia! Saya akan terus mengejar sehingga Cik Maya tidak mampu lagi berlari."

Tertawa kecil. "Mungkin ketika itu gigi saya sudah pun luruh dan rambut pun beruban."

Senyuman Amirul Hilmi semakin melebar. "Saya tidak peduli, kerana Amirul Hilmi memang si Majnun!"

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro