Hati - hati, hati...

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Kamariah sibuk menguruskan kanak - kanak berusia 6 tahun itu. Seramai 20 orang semuanya. Leraikan yang ini, yang itu pula bergaduh. Pujuk yang sini, yang itu pula menangis. Ada - ada saja hal berlaku dalam kelas kecil itu. Tidak pernah sunyi!

"Kalau kamu semua tak mahu diam, cikgu tak jadilah nak potong kek ni." Kamariah meninggikan suaranya dengan intonasi merajuk.

Tekniknya berhasil apabila semua murid senyap dan buru - buru duduk dikerusi masing - masing. Diam dan terpaku kepada sebiji kek yang agak besar dan menarik sekali hiasan diatasnya. Ada permainan berbentuk budak lelaki, perempuan, lori dan bas. Soseh - soseh kedengaran semakin keras dek anak - anak kecil mulai mahu merebut permainan tersebut. Ah, anak - anak! Sememangnya ada saja ulahnya.

"Haa, tu dah bising lagi! Nak ke tak ni?"

"Nak!" Jawab mereka serentak. Nadanya panjang meleret.

Dalam lima belas minit, kek habis dimakan bersama anak - anak murid dan guru. Sebahagian dibungkuskan untuk pembantu dapur dan tukang kebun. Kek itu, hadiah dari seorang ibu murid sempena ulang tahun anaknya. Selain kek, diberi juga sedikit buah tangan untuk kanak - kanak.

Kelas disambung lagi selepas majlis ringkas itu.

****

"Macam mana budak - budak?"

Kamariah menoleh, wajah lelaki itu ditatap seraya senyuman diberi. "Macam biasa..."

"Penat, kan? Melayan budak - budak."

"Mereka memang nakal tapi hari - hari saya, meriah dek mereka ni. Cuti, saya sunyi."

Hadi mengangguk. Hadi menebak, pasti Kamariah seorang yang sangat bersifat keibuan.

"Kamariah..."

"Emm hmmm..."

"Sedar tak kita dah berkawan lebih kurang 6 bulan?"

Melihat anggukan kecil dari perempuan berwajah ayu disisinya, Hadi menyambung lagi. "Boleh tak kalau saya nak meminang awak?"

Mata Kamariah membundar lebih besar! Terkejut bukan kepalang dia dengan kata - kata yang terlafaz dari bibir Hadi.

"Err... Err... Ma... Maafkan saya. Maaf." Hadi gugup. Tindak balas Kamariah sukar dia baca. Suka? Tidak suka? Penolakankah? Malunya!

Kamariah berdehem. Dia baru sedar dia terlopong dengan matanya membulat. Pasti dia kelihatan lucu! Malu pula rasanya.

Jeda.

"Hadi."

"Iya..."

"Datanglah ke rumah. Jumpa mak ayah."

Hadi rasa mahu tersedak. Seperti tidak percaya jawapan si pujaan hati!

Kamariah menoleh ke arah Hadi yang sedaya - upaya menyembunyikan senyum - simpulnya. Dia rasa gelihati melihat tingkah lelaki itu.

"Saya balik dulu."

"Saya hantar."

Mereka saling berbalas senyum. Dalam hati penuh taman.

****

"Mak dengan ayah, tak kisah kalau Mar dah suka. Lagipun, orangnya dah bekerja. Stabil pula. Elok sangatlah tu. Cuma... Macam mana rancangan Mar nak sambung belajar nanti?"

Kamariah memandang emak dan ayahnya silih berganti.

"Kalau Mar tak sambung, boleh? Mar dah seronok mengajar di tadika tu. Gaji, elaun, cukup dan potongan KWSP pun ada. "

Mahmud angguk perlahan.

"Itu pilihan Mar. Terserah. Bagi ayah, setakat apa yang Mar dah buat ni, ayah tetap bangga dengan Mar."

"Mak pun setuju dengan ayah kamu."

Kamariah lega. Syukur dia dianugerahkan orang tua yang selalu memahami dan menyokongnya.

"Jadi, bila orang sana nak kemari?" Kias Mahmud.

"Ni... Mak dan ayah dah setuju dengan keputusan Mar, bolehlah Mar bincang sekali lagi dengan orangnya."

"Hmmm..." Angguk Mahmud, memahami.

Habsah memandang suaminya dengan mata redup sebaik anak dara mereka mohon masuk ke bilik.

"Abang," Mahmud toleh. "Muda lagi si Mar tu. Tak apa ke? Takkan nak dibiar bertunang lama - lama?"

"Jodoh, Sah. Jodoh. Kita tak tau lagi kedepan ni macam mana... Terima pun belum tentu jadi. Tawakal."

Mahmud bangkit dari kerusi. Sebenarnya mahu menghindari Habsah dari mengesan rasa tidak sedap hati yang dia pasti tidak mampu disorok dimuka. Habsah hanya melihat saja sosok suaminya berlalu. Tapi sebagai isteri yang sudah lebih 30 tahun berkongsi segala rasa dengan lelaki itu, dia dapat merasa kelainan dalam jawapan yang diberikan.

****

"Alhamdulillah!" Pekik Hadi sambil menadah tangan ke langit dan kemudian meraup mukanya, "... keluarga awak tak ada halangan!" Sambungnya lagi, kali ini bernada perlahan.

Beberapa orang yang berdekatan dengan kerusi mereka, menoleh tapi seketika saja.

"Tak payahlah cakap kuat - kuat!"

Hadi ketawa. Dipaling tubuhnya menghadap Kamariah yang sedang duduk disebelahnya. Wajah ayu buah hatinya itu sedikit merah. Akibat malu barangkali dek tingkahnya tadi.

"Balik nanti, Di bincang dengan ibu dan ayah Di. Mungkin sebelum jumpa orang tua Mar, Di nak bawak Mar jumpa ibu ayah Di dulu. Kenal - kenal. Okey?"

Muka Kamariah memerah semula. Tapi sudah tentulah dia setuju! "Okey!"

****

Hadi terkebil - kebil melihat tindak balas bapanya. Orang tua itu bertanya macam - macam, itu dan ini dan kemudian berlalu begitu saja dengan raut wajah seperti orang marah. Adakah dia silap cakap dimana - mana? Atau orang tua itu sedang sakit perut atau... Hormon menjelang andropause sedang berkelahi?? Hadi garu - garu kepala yang tidak gatal. Ibunya pula, awal - awal saja beriya bertanya tetapi lama - lama dia lebih banyak berdiam dan menyibukkan diri dengan adunan kuih kocinya.

"Biarlah ayah kau tu... Nanti dia dah habis fikir, taulah dia nak berbincang semula."

Tenang saja Amnah menepis galau dihati si anak sambil tangannya melipat daun pisang membungkus koci. Hari ini dia mendapat tempahan 50 biji koci pulut hitam dan 30 biji koci labu manis.

"Macam marah je... Nak bina masjid pun ayah marah ke?"

"Hmm... Nanti dia dah reda, tanyalah dia, kenapa." Balas Amnah dengan riak wajah yang... Sukar diduga.

Semakin keliru minda Hadi. Memang macam ada sesuatu disembunyikan oleh orang tua berdua ini... Hati Hadi mula bergelodak.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro