Kisahnya...

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Kamariah termangu. Itulah sebab mengapa hubungan dia dengan Hadi diputuskan secara paksa... Perseteruan lama bapa - bapa mereka.

"Bila atok jodohkan mak dengan ayah, masa itulah permusuhan tu bermula." Ujar Habsah mengimbau cerita lampau...

****

Bermula dengan gelanggang silat, Bakri, Mahmud dan Habsah, saling mengenali. Habsah, anak gadis si guru silat, menjadi pengajar kepada budak - budak sekitar 6 hingga 12 tahun, mengaji setiap malam. Selalunya, sebaik habis mengaji, budak - budak ini akan duduk sekitar gelanggang menonton latihan silat. Adakala, Habsah turut sama. Dari situlah dia menarik minat Bakri. Habsah sememangnya tidak akan melayan lelaki sebarangan dek peraturan dan pengawasan ketat bapanya tapi Bakri sentiasa mencari jalan. Paling kerap, tulis surat. Budak - budak mengaji itulah yang jadi perantaranya. Dia tidak serik mengutus dan memberi kata - kata cinta walaupun Habsah tidak membalas.

Mahmud dan Bakri, bukan kawan baik. Sekadar berteman biasa saja tetapi mereka pesaing dalam gelanggang. Kata bapanya, mereka berdua, adalah antara yang terbaik pernah diajarnya. Cuma Mahmud tidak berketrampilan seperti Bakri. Bakri menyerlah dengan ketegasannya, manakala Mahmud, pemalu. Suatu hari, Mahmud datang kerumah untuk membantu bapanya mengangkut kayu dari kebun getah. Seharian menolong, bapanya berbesar hati mengajak Mahmud makan sekali. Mahmud telah meminta izin untuk mandi dan solat sebelum makan. Sewaktu mahu solat, bapanya sengaja beralih ke belakang, petanda memberi ruang kepada Mahmud menjadi imam.

Malam itu...

"Eloklah bawaan si Amud tu. Suruh silat, boleh. Suruh angkut kayu, boleh. Suruh jadi imam, pun boleh! Eh, semua bolehlah! Kalau apak padankan kau dengan dia, kau mahu?"

Habsah ternganga.

"Apaknya, anak kita kan perempuan. Apa pulak ditanya macam itu?" Celah emak Habsah, Mek Wah.

Leman Silat terkekeh ketawa. Betul juga kata isterinya!

"Nanti apak tanya si Amud. Kalau dia nak dengan kau, apak kahwinkan saja."

Kali ini, bukan Habsah saja ternganga. Dengan emak - emaknya sekali, masing - masing tepuk dahi!

****

Apabila diketahui oleh Bakri, Mahmud kian rapat dengan keluarga Habsah, gelanggang Leman Silat berubah! Mahmud sentiasa menjadi belasahan Bakri. Sekadar latihan pun, teruk Mahmud dikerjakan. Sehingga ibunya menyuruhnya berhenti belajar silat. Mulanya Mahmud sangka Bakri hanya bersungguh - sungguh dengan apa yang mereka belajar tapi apabila dia cedera teruk sebaik pak guru mengumumkan bakal menikahkan Mahmud dengan Habsah, Mahmud sedar... Dia dibelasah kerana cemburu.

Tangan kanannya retak. Tulang keringnya bengkak dihayunkan dengan kayu dek Bakri. Mujurlah latihan itu bersenjatakan kayu, kalau keris atau parang, mungkin dia mati ditikam! Kepalanya benjol - benjol dihentam, sampai pening tiga empat hari tidak hilang. Namun didiamkannya saja ulah Bakri itu. Dia tidak mahu pak guru masuk campur pula nanti. Biarlah dia hadapi sendiri sebagai lelaki.

****

"Kau dah sembuh..." Datar saja nada suara Bakri.

Mahmud tidak menjawab.

"Aku sukakan Habsah. Kenapa kau potong jalan?"

Angin petang begitu nyaman sekali. Tambah pula mereka dibawah rimbunan pokok - pokok getah.

"Aku tak potong jalan. Ini keputusan pak guru."

"Masalahnya, kau sukakan Habsah ke?"

"Nanti dah jadi bini, mestilah suka juga."

"Kau main - main!" Bakri menukar gayanya berdiri. Spontan Mahmud bersedia. "Kau, kalau tak suka, kau cakaplah pada pak guru. Apa yang susah sangat? Biar aku, yang sukakan Habsah ni, yang masuk!"

"Kalau kau sukakan dia, kenapa tak awal - awal lagi kau bagitahu pak guru? Salah kau sendiri, tak berani nak mengaku. Nak salahkan aku pulak!"

Sakit pula hati Bakri dipersalahkan. Betullah, memang salah dia tapi tercabar pula rasa dirinya bila diperlekeh begitu. Spontan semangat gelanggang menyarung diri. Langkah dibuka. Salam bersambut!

****

Entah siapa yang melihat, entah siapa melaporkan, pergaduhan dua jejaka yang mahir ilmu persilatan itu diketahui oleh pak guru dan tersebar keliling kampung 'bergaduh kerana berebutkan perempuan'!

"Bapak, bagi aku peluang. Aku lebih dulu sukakan Habsah. Dia ni yang potong jalan aku!" Kata Bakri sewaktu dia dan Mahmud diheret orang kampung menghadap Leman Silat dan orang tua masing - masing dirumah Leman Silat sendiri.

Masri merengus, kelihatan rahangnya bergerak - gerak seolah menahan geram. Memalukan saja anak yang seorang ini! Kerana perempuan, sampai bergaduh sesama rakan seperguruan? Melampau! Jatuh airmuka Masri sebagai orang kaya dikampung itu.

"Maafkan aku, Bakri. Aku langsung tak berniat nak potong jalan. Pak guru yang mencadangkan. Aku menghormatinya. Itu saja."

Melihat Mahmud begitu, Masri kagum. Dia sangka Mahmud itu seperti anaknya juga,  keras kepala. Tiada meleret - leret cerita, tiada dakwa - dakwi, malah meminta maaf pula lagi, memang ciri - ciri yang baik. Sepadanlah dengan Habsah yang sopan tutur kata itu.

"Aku percaya kau buat pilihan yang betul, Leman. Sepadan betul. Habsah tu, elok budaknya."

Kepalang terkejutnya Bakri dengan kata - kata bapanya. Terbuntang matanya dengan mulut ternganga tapi tekaknya bagai tersumbat untuk membalas apa - apa.

"Maafkan kami anak beranak, Leman, Daud. Maafkan anak pakcik, Mahmud." Berpaling ke arah Bakri, Masri menekan suara, "balik!"

Dengan hati mendongkol dan bengang, terpaksa juga Bakri ikut arahan bapanya. Apa mahu ditunggu lagi kalau nanti lebih memalukan diri?

Selepas itu, dengar cerita, Bakri dititipkan kepada bapa menakannya dengan alasan disuruh berdikari dan mencari pekerjaan.

****

Kamariah memainkan jemarinya. Kukunya dikuis - kuis sambil duduk menekur lantai.

"Cerita tu dah terlalu lama. Pakcik Bakri pun dah ada makcik Amnah. Buat apa lagi disimpan dendam tu? Dan kenapa bebankan kami yang tak ada kena - mengena ni?"

Mahmud menghela nafas. "Hati orang, nak. Kita tak pernah tahu. Ayah dah lama biarkan perkara tu berlalu. Dah maafkan dia pun. Tapi tak tau pulak dia masih..." Mahmud mengeluh.

"Kesian makcik Amnah... Sikap pakcik Bakri seolah - olah menunjukkan dia tak menghargai isterinya. Macam... Err... Macam dia sebenarnya masih sangat kecewa tak dapat kahwin dengan mak."

Habsah dan Mahmud berpandangan sebelum memaku pandang ke arah Kamariah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro