Titian kasih

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Fahim meletakkan gambar itu di atas meja kopi. Dua wajah dihadapannya dipandang bersilih - ganti.

"Ini ke Kamariah?" Tanyanya. Ibunya angguk. "Cantik. Kenapa belum kahwin?"

"Itu tak penting. Sekarang ni, ibu dan babah nak pinangkan dia ni untuk kau. Kami berkenan dengan dia." Hajar menoleh kesisi mengharap sokongan suaminya, Khir. Khir seperti faham isyarat tanpa lisan itu lantas angguk dua tiga kali.

"Mana ibu kenal dia ni? Tiba - tiba boleh berkenan."

"Haihhh... Banyak tanya betullah kau ni. Kau tu dah lebih 40 dah. Terlajak dah jauh sangat. Dah tu cari sendiri tak dapat - dapat. Sebab tu ibu tolong carikan. Ada orang kenalkan ibu dengan mak dia ni masa kenduri kahwin. Mak dia datang kenduri tu dengan dia. Ha, macam tulah ceritanya!" Hajar naik bengang. Khir tersengih - sengih melihat tingkah dua beranak itu.

"Masa ibu jumpa mak dia tu, ibu berkenalan dengan maknya... Tapi macam mana boleh berkenan dengan anaknya pulak?" Tanya Fahim lagi. Dahinya dikerutkan konon serius.

Hajar mula naik angin. Dia berdiri, mencekak pinggang dengan nafasnya sedikit laju. Geram pula dengan anaknya yang seorang ini. Khir makin mengulum tawa. Dia tahu anaknya itu sengaja mengusik si ibu yang memang diketahui cepat kalut dan mudah merajuk. Fahim buat muka tidak bersalah sambil garu - garu kepala. Saja dia buat perangai, membakar lagi hati si ibu.

"Engkau ni, aku nak bagi bini pun kau banyak cakap, kan? Haa, suka hati kaulah sana! Biar terlajak, terbabas seorang - seorang." Hajar marah - marah lantas melangkah pergi dengan kaki dihentak keras ke lantai.

Sebaik hilang kelibat Hajar, dua beranak, Khir dan Fahim, terkekeh - kekeh ketawa. Gambar diatas meja diambil dan dibelek - belek lagi. Cantik orangnya. Hidungnya agak mancung, bibirnya penuh dan berulas cantik. Matanya besar tapi redup. Macam orang mengantuk. Kulitnya tidak cerah sangat tapi bukan hitam manis. Barangkali ini yang orang kata kuning langsat. Tanpa sedar, Fahim terangguk - angguk sambil mata lekat pada gambar Kamariah.

"Kau tengok gambar ke kau buat tenungan makrifat? Lain macam je babah tengok." Tegur Khir.

Fahim tersipu. Pipi berlesung pipitnya digaru - garu. "Mmm..."

"Berkenan?" Tanya Khir dengan mata merenung sinis. Keningnya terjungkit. Fahmi angguk, tersengih - sengih. Terserlah taring pemanis disebelah kiri bibirnya.

****

"Ah, geram saya dibuatnya, bang! Tanya betul - betul, dijawab dengan main - main. Kita sungguh - sungguh, dia buat melawak. Iihhh... Geram!" Rungut Hajar.

Khir senyum. Perangai Hajar yang satu inilah yang buat hatinya terpikat. Bila dia marah, mimik muka dan suaranya comel sangat! Mahu dilawan bergaduh pun tidak sampai hati. Marah dan rajuknya pun tidak lama. Kadang tidak sempat memujuk, dia sudah sejuk sendiri. Malah kalau bertengkar, isterinya itu boleh lagi bertanya dia mahu makan apa, mahu dibuatkan air atau tidak... Kalau dia tertidur, Hajar akan selimutkan dan cium pipinya. Dia tahu itu sebab dia pernah pura - pura tidur selepas bergaduh dulu. Sejak dari itu, dari memanjangkan perbalahan, Khir lebih suka buat - buat tidur!

"Abang!"

Khir tersentak. Kacamata yang ditenggekkan di atas kepala, terjatuh ke lantai. Bukan kepalang terkejutnya dia disergah Hajar.

Hajar mengerut dahi melihat tindak balas suaminya. Sahlah suaminya tidak dengar apa yang dia bebelkan tadi!

"Huh!! Penat aje kita bercakap." Hajar mengendurkan nada. Duduknya pun dikalih, tidak lagi menghadap Khir. Merajuk!

"Eh? Err... Abang dengar, abang dengar."

Khir merapatkan duduknya dengan Hajar. Berkeriut lantai katil bila dihenyak - henyak.

"Hajar bengang dengan Im, kan?" Bahu isterinya dipaut. Hajar membatu. "Tapi... Dia suka calon yang Hajar pilihkan tu."

Hajar berkalih, wajah Khir ditatap.

Khir senyum, angguk.

Hajar senyum.

"Abang, dah lama kan kita tak duduk - duduk di pangkin? Jom, kita minum sambil bincang - bincang. Hajar pergi buat air, ya?"

Lenggok Hajar meninggalkan bilik, diperhatikan sambil tergeleng - geleng. Kan betul, sekejap saja marahnya... Khir senyum sendiri, gelihati.

****

Fahim memetik gitar sambil menggumamkan irama. Sedang dia leka mengatur jari - jemari mencari rentak, tiba - tiba teringat gambar calon isteri pilihan ibunya. Segera gitar diletakkan dan tangannya mencapai gambar tadi yang sudah disimpan dalam laci.

Direnung gambar itu penuh minat. Memang tiada yang mahu atau dia jual mahal? Maklumlah, lawa. Atau... Si cantik itu ada calon tapi tidak direstui keluarga? Kalau macam itulah ceritanya, maka dirinya hanyalah calon tangkap muat! Alamak! 

Fahim menyimpan semula gambar itu. Hatinya mulai ragu. Macam mana kalau nanti selepas kahwin, perempuan itu tidak menyintainya? Masih berhubung dengan kekasih lama. Dia curang. Macam mana? Macam mana pula kalau sudah dekat - dekat hari nikah, perempuan itu lari dengan kekasihnya? Dia sekeluarga akan malu. Untuk menutup malu, terpaksa pula paksa gadis lain untuk kahwin dengannya. Macam dalam drama tu! Ah, sudah! Macam mana? Banyak betul 'macam mana' yang lalu - lalang dalam kepalanya, sudahnya Fahim ketawa sendiri.

****

"Babah kata, anak ibu ni setuju dengan calon yang ibu pilih. Betul ke?" Tanya Hajar, nadanya riang sekali.

Fahim yang sedang menyuap nasi, terhenti sejenak. Kemudian dia teruskan makan. Senyap. Dilihat ibunya gelisah, semakin dia berlengah - lengah.  Hajar mula menangkap ada yang tidak kena.

"Fahim!"

"Ya, ibu? Aihhh... Im depan mata pun ibu jerit. Panggillah perlahan sikit, kan anak kesayangan ibu ni, kan?" Ujar Fahim, sengihnya dilakar lebar - lebar, sengaja dia mahu menggiat ibunya.

Hajar merengut. "Im saja tak nak jawab. Saja nak bagi ibu marah." Rungut Hajar. Namun dia masih betah menghadap anak bujangnya. Dia mahukan kepastian dari kata - kata Khir malam tadi.

"Ibu..." Panggil Fahim sambil dia berjalan membawa pinggan kosong ke sinki.

"Hmm..."

"Im setuju dengan pilihan ibu tu, tapi... Sebagai ibu baru Im. Boleh?"

"Im! Eee... Bertuah betullah dia ni!"

Fahim terkekeh - kekeh ketawa sambil melarikan diri dari dikejar ibunya!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro