MHS | 02

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

WAJAH yang masih tidak menunjukkan sebarang reaksi sejak tadi mereka bertemu itu, Elnara Nailah tatap dalam resah jiwanya. Berkali-kali dia mengerling pandang ke arah suami. Dengan harapan saat anak mata mereka bertemu, ada senyuman yang terukir indah daripada sang suami kepadanya.

Dia rindu. Sungguh, dia rindukan Muhammad Ardaninya dahulu. Dia sentiasa merindukan suaminya itu. Walaupun dalam amarah kerana hal 10 tahun dahulu, tidak pernah berkurang sedikit pun perasaan rindunya terhadap lelaki itu. Lelaki yang dicintai sepenuh hati. Tanpa sebarang keraguan.

'Tapi kenapa kau meragui Ardani saat dia dituduh atas kesalahan yang langsung tidak dibuatnya? Sedangkan kau tahu... dia merayu kepercayaan kau kepadanya.'

Seakan ada satu bisikan halus yang menjengah di telinga, membuatkan perasaannya semakin berat dengan kekesalan yang bertimpa-timpa.

Selesai menghidangkan makanan di atas meja makan, dia melangkah ke ruang tamu yang menempatkan suami. Televisyen tidak terpasang, namun pandangan lelaki itu terhala hanya ke situ. Entah apa yang dilamunkan suaminya.

"Abang..." serunya lembut dan dia melabuh duduk di sisi lelaki itu. Begitu rapat sehingga berlaga sentuhan paha mereka.

Tiada sebarang sahutan yang diterima. Tiada juga reaksi terpampang pada raut wajah itu. Jambang yang pendek, tetapi kurang terurus itu diteliti. Jambang itu membuatkan suaminya nampak seakan begitu berusia sedangkan mereka baru sahaja berumur pertengahan 30-an.

"Jom, makan..." ajaknya sambil tangan dibawa berlabuh di paha kiri lelaki itu.

Muhammad Ardani menjauhkan perlahan pahanya. Tingkahnya langsung tidak kasar. Tidak sekali pun dia berkasar dengan wanita itu sejak mereka berkenalan, berkahwin dan bahkan sehingga sekarang. Mana mungkin dia berkasar dengan wanita yang dicintai. Dicintai dalam kepedihan jiwa saat kepercayaan yang diharapkan terobek begitu sahaja 10 tahun lalu.

Tidak cukupkah cara layanannya kepada si isteri untuk membuktikan cintanya tidak pernah beralih arah? Bagaimana dia dituduh merogol wanita lain sedang setiap detik hanya nama Elnara Nailah yang menjadi helaan nafasnya?

Masih tidak mengeluarkan suara, Ardani bangkit daripada duduknya. Lamunan panjang berkisahkan masa depannya sudah tidak terasa lagi menarik perhatian. Dia hanya mahukan tenaga untuk meniti kehidupan kini. Selepas bebas daripada jeriji besi yang menyekat langkah kakinya dan buatkan masa depannya begitu kelam.

Meja makan yang penuh dengan lauk-pauk, nasi dan minuman di atas meja dipandang. Seleranya tidaklah tahap memuncak, namun dia rindu nikmat air tangan orang rumah. Selama ini, dia hanya menikmati makanan tawar dan kosong di dalam sel besi yang langsung tidak menaikkan seleranya.

"Abang duduklah. Nara layan abang. Nara senduk nasi untuk abang. Abang kena makan banyak-banyak tau! Kurus sangat suami Nara ni. Tapi, takpe... abang jangan risau. Nara masak semua ni untuk abang. Abang nak lauk apa?" Elnara Nailah bersuara lagi. Cuba mencuri perhatian suami sekaligus mengambil hati lelaki itu.

Muhammad Ardani mengambil tempat duduknya. Dia merenung lagi lauk-pauk. Memang semuanya kegemaran dia. Asam pedas ikan pari, pindang serani ikan kembung, telur dadar, kubis goreng, dan sambal belacan yang disertakan dengan ulam-ulaman.

"Abang..." Elnara menyeru lagi tatkala lelaki itu hanya membisu. Langsung tiada sepatah kata yang mampu dia dengar daripada ulas bibir itu melainkan 'aku nak balik' yang diungkap semasa di hadapan mahkamah tadi.

Aku?

Sungguh, hatinya tersiat. Tidak pernah lelaki itu menggunakan panggilan 'aku kau' setelah mereka berkahwin lima belas tahun yang lalu. Hanya semasa berkawan semasa sekolah dahulu, masing-masing menggunakan 'aku kau'. Sejak berkahwin, panggilan itu diubah kepada 'abang sayang'. Walau bergaduh macam mana pun mereka, lelaki itu sentiasa menggunakan gelaran abang. Sentiasa bertutur lembut dan tenang dengannya.

Kini, ke mana indahnya perasaan saat mereka saling berabang sayang? Ke mana indahnya bahagia tatkala mereka saling memujuk dengan kata-kata lembut dan panggilan manja?

Dinginnya Muhammad Ardani sungguh membuatkan Elnara Nailah nanar!

Tidak langsung peduli apa yang dikatakan isteri dan juga panggilan wanita itu sedari tadi, Muhammad Ardani mencedok sendiri lauk yang dimahukan ke pinggannya. Pinggannya sudah diisi nasi oleh si isteri.

Setelah mencedok lauk-pauk yang terhidang di atas meja ke dalam pinggan, dia merendam tangannya ke mangkuk berisi cecair jernih yang dihulur isteri. Tangan ditadah dan doa makan dibaca perlahan. Sekadar untuk pendengaran dirinya sahaja.

Elnara Nailah yang memerhati gelagat suaminya sedari tadi menarik kerusi. Dia melabuhkan duduk di sisi suami. Kerusinya dirapatkan dengan kerusi lelaki itu. Tubuhnya juga dirapatkan sehingga dia dapat menghidu bau tubuh suaminya. Bau yang sudah lama tidak dapat dinikmati sejak kisah silam kelam itu melanda hubungan mereka... kehidupan mereka.

Muhammad Ardani buat tidak peduli. Apa sahaja yang dibuat isterinya di sisi, dia hanya membiarkan. Dia tidak berkalih daripada kedudukan, tetapi tidak juga melayan. Suapan demi suapan dimasukkan ke dalam mulut sendiri.

"Makin handsome suami Nara ni. Berjambang macam ni pun masih boleh pikat hati isteri. Rindunya Nara dengan muka ni. Setiap malam teringatkan muka suami yang Nara sayang ni." Sengaja Elnara Nailah memuji dan mengusap-usap sisi wajah suaminya untuk meraih perhatian lelaki itu.

Namun, sedikit pun Muhammad Ardani tidak terkesan. Selamba dia meneruskan makan. Kehadiran si isteri seakan halimunan. Langsung tidak wujud di pandangannya.

"Abang..." Meleret manja suara Elnara. Kali ini, dia memeluk lengan suaminya yang tidak menyuap makanan. Kepala dilentok manja ke situ. Wajah suami direnung lagi dari bawah.

Sudah lama dia tidak bermanja dengan lelaki itu. Suaminya memang tidak pernah menolak setiap kali dia menagih perhatian. Muhammad Ardani tempat Elnara Nailah bermanja, mengadu nasib, dan bergantung hidup.

"Abang memang tak nak bercakap dengan Nara ke? Nara rindu abang ni..." Elnara merengek manja. Lengan di dalam pelukannya diusap-usap.

Kali ini, Ardani menumpukan perhatian kepada si isteri. Dia merenung lama wajah isteri yang sedang melekat di lengannya. Bermacam rasa yang bertindan di hati. Dan perasaan kecewa memenangi tempat pertama. Sakit dan derita yang pernah dilalui suatu ketika dahulu membuatkan dia tegar menarik lengannya daripada terus dipeluk.

"Aku tengah makan. Tolong hormat." Perlahan. Tidak memaki. Tidak marah. Hanya mendatar. Tanpa emosi.

"Abang..."

Elnara Nailah tidak senang duduk. Suara sang suami walaupun berintonasi rendah, tetap membuat perasaannya terguris. Terguris dengan kedinginan yang dia tahu berpunca daripada kesilapannya. Menghukum dan meninggalkan.

"Kalau kau nak aku terus duduk dalam rumah ni dengan kau, tolong hormat aku, Elnara Nailah..." Berubah tegas nada suara Ardani. Anak mata mencerlung tajam wajah isteri yang berganti suram.

Kesal dia rasakan dengan sikap isterinya itu. Berlagak hubungan mereka baik-baik sahaja sedangkan hakikatnya langsung tidak. Sudah lupakah si isteri tentang peristiwa lalu?

Dan sekali pun wanita itu lupa, namun tidak dirinya. Dia yang parah tersakiti. Dia yang merayu. Dia yang melutut memohon kepercayaan isterinya.

Wanita itu hanya berkelakuan sinis. Merenungnya penuh benci dan hina. Meninggalkannya sendirian dengan tohmahan buruk yang semua manusia lemparkan kepadanya.

Tiada siapa di sisinya pada waktu itu. Bahkan Elnara Nailah, wanita yang sudah berjanji ingin sehidup semati dan susah senang bersamanya.

Bukan itu sahaja silap isterinya. Bukan itu sahaja punca jiwanya menderita selama 10 tahun. Ada lagi perkara menyakitkan yang dihidang si isteri kepadanya. Terlalu sakit sehingga dia rebah tidak berdaya. Tidak lagi mahu memperjuangkan haknya untuk bebas daripada kurungan dunia yang begitu kejam.

Kesilapan isteri yang buat dia cukup terkilan dan tidak terasa mampu untuk memaafkan...

Bibir mungil Elnara Nailah terkatup rapat. Anak mata tertunduk ke bawah. Tidak mampu lagi menatap wajah tegang sang suami. Pandangan itu menghunus seakan-akan pemilik mata sudah begitu benci kepadanya. Jari-jemari yang tadinya terlepas daripada merangkul lengan suami dibawa ke ribaan. Saling tergenggam erat. Menahan rasa yang membelenggu diri.

Tanpa mempedulikan isteri yang jelas sedang berduka dengan layanannya, Muhammad Ardani bangkit daripada duduk. Nasi yang bersisa lagi separuh dibiarkan di atas pinggan. Tangan dicuci di dalam mangkuk yang sama sebelum makan.

Kemudian, langkah diatur ke dalam bilik. Meninggalkan isteri sendirian pada masa air mata wanita itu gugur membasahi wajah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro